“Minjam Mubail Kita!”

10.30 malam. Matanya masih belum terasa mengantuk lagi. Tersadai di atas sofa empuk di ruang tamu, si Awang begitu asyik bermain permainan telefon bimbit ‘Mobile Legends’ sehingga tak disedari masa yang bergerak dengan pantas. Sudah dua jam dia bermain. Ibunya yang sudah berulang kali melintasi ruang tamu itu menggelengkan kepalanya.

“Adang-adang tah kan main game saja ani, Wang. Ahir sudah ni. Tidur tah, eh! Agatah naik ke bilikmu ah”, tegur ibunya.

“Karang dulu bah, bu. Alum jua mau tidur mataku ani. Baiktah ku main daulu”, jawabnya.

Ibunya mengeluh. “Bah, manatah saja kau Wang. Mun apa-apa, jangan pulang kau ingar”. Lalu ibunya naik ke tingkat atas, menuju ke bilik tidur.

Dia hanya memasang telinga. Apa pula yang “apa-apa” ni? Tak ada yang pelik pun selama ni. Dia malas hendak mengambil kisah kata-kata ibunya itu, lalu menyambung permainannya.

Jam sudah menunjukkan 1 pagi. Ketika ini matanya sudah terasa berat. Hendak melangkah ke tingkat atas pun terasa malas. Akhirnya dia membuat keputusan untuk tidur saja di ruang tamu itu. Permainan Mobile Legends di logout dan telefon bimbitnya ditutup. Tubuhnya segera dibaringkan keatas kerusi sofa. Nyaman sungguh rasanya. Tidak lama selepas itu, dia pun hanyut dibuai mimpi.

Entah, tak tahu berapa lama dia terlelap di situ, apabila tiba-tiba dia tersedar dan terdengar bunyi permainan Mobile Legends dimainkan. Aik? Bukankah dia sudah pun menutupnya? Dengan telefon bimbitnya sekali dia tutup. Pelik.

Perlahan-lahan dia membuka matanya walaupun terasa masih mengantuk. Ada seseorang sedang duduk di lantai membelakanginya, tak jauh dari tempatnya berbaring. Seperti seorang kanak-kanak dalam perumuran 9 atau 10 tahun. Eh? Bila masa pula dia ada adik kecil lagi? Seingatnya, adik kebongsuannya berusia 17 tahun.

“Bang. Bulih ku minjam mubail kita? Aku mau main game“, kata kanak-kanak itu tanpa memandangnya.

Dia bingkas bangun dan melihat, adakah telefon bimbitnya masih berada diatas meja berdekatan dengan sofa atau sebaliknya. Ternyata telefon bimbitnya tiada. Ya, kanak-kanak tu yang mengambilnya.

“Bulih bang?”, tanyanya lagi.

“Kau anak siapa? Cemana bulih kau masuk ke sini ani?”

Kanak-kanak itu tidak menjawab pertanyaannya. Perlahan-lahan, telefon bimbit itu diletakkannya di tepi lalu memalingkan tubuhnya menghadap si Awang.

“Arrrggghhhhhhhhh!!!”, jerit si Awang demi melihatkan rupa kanak-kanak itu.

Sebelah kanan wajah kanak-kanak itu seperti papan; langsung tiada bentuk. Manakala sebelah kiri pula, rupanya sangat buruk. Matanya terkeluar dan terjuntai, kulitnya seperti terkoyak teruk sehingga menampakkan isinya, dan mulutnya carik sehingga ke pipi. Dia mengengsot perlahan, menghampiri si Awang yang terkaku sambil menghulurkan telefon bimbit si Awang.

“Bang. Aku pinjam mubail kita. Aku kan main game“.

Peluh dingin memercik di dahi si Awang. Mindanya seperti tersekat. Tak mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Pergerakannya pun terkaku. Matanya semakin membulat bila “kanak-kanak” tersebut berada semakin hampir dengannya. Dia sudah tak berdaya lalu memejamkan matanya rapat-rapat. Hatinya kian berdegup lebih kencang.

“Bang. Aku minjam mubail kita ah”, lembaga itu bersuara lagi. Kian dekat bunyinya.

Tiba-tiba si Awang terasa kedua belah kakinya seperti dipegang. Terasa sangat sejuk seperti ais. Ketika ini si Awang sudah tak mampu lagi membendung rasa takutnya. Akhirnya dia pengsan di situ juga.

Keesokannya…

“Eh, Wang. Luan jua kau tidur di sini ani. Inda kau tedapat bilik kah?”

Kedengaran suara ibunya membebel.

Si Awang membuka matanya. Terkejut bukan kepalang dia bila melihatkan dirinya terlentang di dalam ruang dapur. Bukankah dia berada di ruang tamu semalam?

Telefon bimbitnya berada tidak jauh dari tempatnya berbaring. Lekas-lekas dia mencapai telefon bimbit tersebut lalu memeriksanya.

“Aarrggghhhhhhh!!”, jeritnya lalu membaling telefon bimbit tersebut ke lantai. Dia terundur ke belakang dengan wajah ketakutan.

Ibunya terkejut. “Kenapa kau, Wang eh??”, tanya ibunya yang kehairanan.

Si Awang tak menjawab. Apa yang pasti, dia ternampak wajah lembaga kanak-kanak yang mengganggunya semalam di telefon bimbitnya.

Tiga Dimensi – bhg. 2.

Candi Trimurti – Zaman Pengindiaan.
Angin pagi yang bertiup perlahan terasa dingin menampar tubuhnya yang hanya dibaluti kain putih. Matanya tertutup rapat, postur tubuhnya menegak sambil duduk bersila. Kedua-dua telapak tangannya terbuka dan belakang telapak tangan diletakkan di atas kedua belah pehanya. Di hadapannya terdapat patung Siwa serta beberapa patung dewa-dewa agama Hindu yang lain. Meditasi itu berlangsung sejak dua jam yang lalu. Sedikit pun dia tak terasa lenguh dengan kedudukan sebegitu dalam masa yang agak lama. Dalam masa itu juga mindanya dirasakan menerawang .

Tiba-tiba kelopak matanya bergerak. Dalam pandangan batinnya, ada beberapa orang pamegat manghuri dan kandangan tuha sedang bergerak menuju ke candi tempatnya bermeditasi ketika ini.

Tiga…ngga’. Ada empat kesemuanya. Apa maunya para pamegat ini ke mari?

Bunyi derapan kaki menaiki tangga candi kedengaran jelas di telinganya. Dia masih berada dalam kedudukan meditasi tanpa bergerak sedikit pun.

“Dengan hormat, kami ingin sekali bertemu Gusti Dharmadhyaksa yang kami muliakan”, terang salah seorang dari mereka.

Menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya, perlahan-lahan dia bangkit dari kedudukannya lalu berdiri menghadap mereka.

“Bilang terus apa yang kamu ingin katakan”, sahutnya mendatar.

Para pamegat itu berpandangan sesama sendiri, seolah-olah sedang bermusyawarah di dalam diam. Akhirnya, salah seorang dari mereka tampil ke hadapan. Jika dilihat dari segi ketrampilannya, dia nampak lebih muda dari tiga yang lain.

“Gusti. Adapun kami hanya ingin menyampaikan titah perintah Duli Yang Maha Mulia Prabhu Jayasingganagara dan Gusti Adipati, bahwa Gusti Dharmadhyaksa yang kami muliakan harus meninggalkan candi ini dan pertapaan Gusti mulai sekarang”, jelasnya, cuba menyampaikan sebaik mungkin apa yang telah dipesankan padanya.

Lelaki yang digelar ‘Gusti Dharmadhyaksa’ itu mendengar tanpa ada riak terkejut di wajahnya. Dia nampak tenang sahaja.

“Bilang sama saya, ke mana saya harus pergi sekarang?”, tanyanya tenang.

Pamegat yang kelihatan muda tadi nampak gelisah. Apa yang harus dikatakannya pada orang ini? Dia memandang pamegat yang berada di sebelahnya. Pamegat itu kelihatan agak berusia dari dia. Melihatkan kegelisahanya yang terpancar di wajahnya, pamegat itu menganggukkan sedikit kepalanya lalu maju setapak.

“Gusti yang kami muliakan. Gusti bebas pergi ke mana saja selepas ini. Baginda Prabhu Jayasingganagara dan Gusti Adipati membenarkan Gusti meneruskan kerja-kerja rohani Gusti di mana-mana candi di muka bumi ini”, jawab pamegat yang lebih berusia tadi.

Mendengarkan penjelasan pamegat itu, Gusti Dharmadhyaksa berkenaan mengeluh perlahan. Ya, mungkin jua masanya untuk meninggalkan tempat itu sudah tiba. Tapi…kenapa bukan mereka berdua yang menemuinya? Kenapa perlu ada pengantara? Ini soal jawatan yang telah dikurniakan padanya melalui Sang Prabhu satu ketika dahulu. Baik diserahkan, sepatutnya baik pulalah dikembalikan. Dan yang menjadi tanda tanya padanya, kenapa tiba-tiba dia dikehendaki meninggalkan tempat itu?

“Apa…sudah ada pengganti saya di sini?”, dia bertanya lagi kepada para pamegat itu.

Sekali lagi mereka berpandangan antara satu sama lain. Lama mereka berkeadaan sebegitu, mencari kekuatan untuk menyampaikan kebenaran yang dititahkan oleh Prabhu dan Gusti Adipati kepada Sang Dharmadhyaksa tersebut melalui mereka.

“Sungguh berat rasa kami untuk bilangin Gusti yang kami muliakan, bahwa Baginda Prabhu dan putranya Gusti Adipati sudah punya Dharmadhyaksa Kasaiwan yang baru dilantik semalam. Kami ngga’ punya apa-apa pengetahuan tentang urusan pemilihan maupun perlantikan baru ini karna kami hanya menyampaikan sahaja apa yang dititahkan”, jelas pamegat itu lagi.

Sang Dharmadhyaksa tersebut menarik nafas dalam-dalam.

“Baiklah, jika itu titah perintah baginda dan putranya. Saya akan undur diri sekarang”, lalu Dharmadhyaksa itu pun mula melangkah setapak demi setapak meninggalkan candi berkenaan setelah memberi salam hormat kepada para pamegat tersebut.

Setelah dia berada di anak tangga yang terakhir, tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia berdiri kaku. Diam tak berkutik. Matanya dikecilkan, seolah-olah memerhatikan sesuatu yang jauh. Setelah beberapa saat dia berkeadaan begitu, dia menutup matanya rapat-rapat. Dalam pandangan mata hatinya, dia melihat beberapa orang panglima sedang mengerumuninya di kawasan candi itu juga. Golok dihunuskan kepadanya dari semua penjuru, dan tiba-tiba salah seorang dari mereka mara hendak menikamnya. Sejurus itu, dia tersedar lalu membuka matanya semula.

Curang! Apa, itu juga masuk titah-perintah Baginda Prabhu??

Akalnya terdetik setelah melihat kejadian yang bakal berlaku tak lama lagi dalam pandangan batinnya. Pantas dia mengorak langkahnya meninggalkan kawasan candi berkenaan. Dia mencari jalan keluar yang dijamin tidak akan terserampak dengan sekumpulan panglima itu nanti serta tidak dapat dikesan akan kelibatnya. Dia tahu, nyawanya sekarang di dalam bahaya. Cuma dia berasa aneh. Kenapa tiba-tiba dia dikhianati sebegitu rupa? Apa salah silapnya sehingga dia dilucutkan jawatan dan diburu oleh para panglima itu? Apa yang sudah terjadi sebenarnya??

Terlalu berat rasanya kepalanya memikirkan persoalan demi persoalan yang mengasak mindanya kini. Dan…apakah para pamegat tersebut juga sudah pun mengetahui akan buruan yang dilakukan oleh panglima-panglima yang sedang menuju ke candi berkenaan? Atau mungkin sekali para pamegat itu juga bersekongkol? Dia berhenti seketika di pertengahan jalan. Dalam tak sedar, sudah separuh hutan rimba diredahinya. Tiba-tiba dia merasakan dunianya berputar hebat. Dia terjelopok di atas tanah lalu tersandar di sepohon kayu yang sebesar dua pemeluk. Kelam dirasakan penglihatannya lalu dia terus tidak sedarkan diri.

Di Suatu Kawasan Lain di Perkarangan Candi.
Kepalanya sungguh berserabut memikirkan kejadian itu. Terasa hendak menangis pun ada. Sehingga ke saat ini dia langsung tak percaya dengan apa yang dilihat dan dialaminya ketika ini. Faizul merasakan dirinya seperti sudah gila. Dia melangkah longlai. Terasa kedua-dua belah lututnya lemah untuk mengheret kakinya berlalu dari situ.

Fazrul yang terperasan akan kelakuan Faizul itu menoleh kepadanya sepintas lalu.

“Memang banyak benda yang tak masuk akal dalam dunia ni”. Fazrul bersuara, memecah kebisuan antara mereka berdua. Dia berjalan perlahan di hadapan Faizul.

Faizul masih membungkam. Dia tak tahu apa yang hendak diluahkan. Yang penting, kepalanya diserang berbagai soalan, teka-teki, teori dan bermacam lagi sehingga dia merasakan kepalanya mahu pecah menampung semua itu. Sungguh haru-biru perasaannya ketika itu. Kalut yang tak terperi rasanya.

Tidak semena-mena, Fazrul berhenti bergerak lalu menarik Faizul bersamanya dan bersembunyi di sebalik salah sebuah candi tersebut. Faizul yang melihat kelakuan Fazrul itu menelan liur. Apa pula yang tak kena dengan dia ni?

Fazrul diam memerhati pergerakan manusia-manusia yang lalu di hadapan mereka. Kelihatan seperti para panglima dan pahlawan-pahlawan Zaman Majapahit sedang berlari-lari anak menuju ke sebuah candi utama yang terletak tidak jauh dari tempat persembunyian mereka. Nampak seperti ada sesuatu yang berlaku di situ. Fazrul tiba-tiba merasa tidak sedap hati.

Fazrul menoleh ke sisinya. Faizul memandangnya tajam. Pasti Faizul merasa sakit hati sebab dia menarik Faizul tiba-tiba tanpa sempat memberitahunya kenapa. Faizul tak tahu bahawa ada segerombolan panglima melintas di hadapan mereka tadi. Dia tak dapat menyalahkan Faizul dalam hal ini kerana dia yang bertindak melulu.

“Aku rasa baik kita berpatah balik. Kita salah jalan ni”, Fazrul memberitahu Faizul.

Faizul mengerutkan dahinya. “Kau dah kenapa ni? Tadi kau yang bawak aku pergi sini, sekarang salah jalan pulak??”, balas Faizul tak puas hati.

Fazrul merenung wajah Faizul tak berkelip. “Aku rasa tak sedap hati. Aku nampak sekumpulan panglima tadi melintas depan kita menuju ke salah sebuah bangunan tu seperti ada sesuatu yang berlaku. Aku tak nak mereka terserampak dengan kita sehingga menimbulkan masalah yang lain. Kau tahu kan kita ni bukan dari zaman ini? Zaman mereka? Aku tak tahu apa motifnya kita terdampar di sini dan kembali ke zaman yang aku sendiri rasa tak dapat diterima oleh akal aku, tapi aku rasa pasti ada sebab tertentu kenapa kita dihantar ke sini”, jelas Fazrul panjang lebar. “Dan aku sendiri merasa seperti hilang akal bila bertemu dengan seorang manusia dari zaman yang beratus tahun ke hadapan dari zaman aku”, sambungnya lagi. Kata-kata tersebut merujuk kepada Faizul yang hidup beratus tahun setelah zamannya.

Panas juga rasanya telinga Faizul mendengarkan ayat-ayat terakhir yang terluah dari mulut Fazrul tu. Kedengaran sinis di telinganya. Rasanya dia sendiri pun merasakan hampir gila apabila dia mengetahui bahawa Fazrul itu datangnya satu abad dari zamannya. Tu dah satu hal. Tambahan lagi Fazrul itulah orang yang selalu mengganggu malam-malamnya; orang yang mati dibunuh dalam mimpi-mimpinya. Sekarang, yang mati dibunuh tu lah yang bersamanya ketika ini. Peliknya makin menjadi-jadi bila dilihatnya Fazrul itu punya wajah yang serupa sepertinya. Kalau Fazrul hilang akal, dia pulang dah tak siuman.

“Betul jugak tu. Rasanya aku sendiri pun rasa benda yang sama macam kau. Pelik bagaimana tiba-tiba aku jumpa dengan manusia yang hidup satu abad dari aku. Lebih pelik lagi, manusia yang mati dibunuh dalam mimpi-mimpi aku”, sahut Faizul dengan suara yang kedengaran sedikit tegang.

Fazrul yang telah pun menoleh ke hadapan, kini mengalihkan semula pandangannya ke wajah Faizul. Sekarang mereka bertentangan sesama mereka tanpa sepatah kata.

Fazrul baru sahaja hendak menghamburkan kata-kata kesatnya kepada Faizul bila tiba-tiba kedengaran bunyi jerit tempik dari dalam candi yang dimasuki oleh para panglima tadi. Fazrul dan Faizul diam membungkam mendengarkan bunyi itu. Fazrul membatalkan niatnya yang hendak “menyembur” Faizul itu, sebaliknya dia menarik kolar baju Faizul dan mengheretnya bersama untuk pergi dari situ. Dia mengambil keputusan untuk lari ke arah yang bertentangan dengan kedudukan panglima-panglima itu, iaitu arah di mana mereka bermula tadi.

Faizul yang merasakan lehernya hampir tercekik apabila kolarnya ditarik oleh Fazrul, lalu menepis kasar tangan Fazrul.

“Kau tak payah heret aku macam aku tak tahu berjalan sendiri”, ujarnya sambil membetulkan kolar bajunya.

“Kau kalau nak selamat kat alam ni, jangan cuba cari pasal dengan aku. Aku cuma nak kita selamat dari sebarang kecelakaan, bukan nak masuk ke dalam mulut buaya!”, tegas Fazrul yang merasakan muak dengan sikap Faizul.

Faizul merengus kasar. “Kenapa tak cuba saja, mintak tolong dari panglima-panglima yang kau kata tu? Mana kau tahu kalau-kalau mereka tu mahu menolong kita??”

“Kau nak aku ulang berapa kali lagi? Aku dah cakap, kita ni dari dunia lain, zaman lain. Kau ingat mereka boleh percayakan kita ni, haa??”, Fazrul meninggikan suaranya. Hatinya sudah mula terbakar dengan kedegilan Faizul. Susah juga budak masa hadapan ni.

“Dah tu, kau ingat kau tu satu zaman dengan aku? Begitu?”

“Walaupun zaman kita tak sama tapi kemajuan pemikiran kita hampir serupa, kau faham??”

Rancangan Fazrul untuk meloloskan diri dari situ tergendala disebabkan perdebatan mulut antara dia dan Faizul. Entah, untuk berapa lama mereka bertelingkah apabila satu anak panah tiba-tiba memacak betul-betul di hadapan mereka berdua. Fazrul dan Faizul yang tadinya rancak bertengkar sesama sendiri kini terpaku melihat anak panah itu.

Mata Fazrul meliar, mencari siapa yang memanah itu dan akhirnya tertancap pada sebentuk tubuh yang berdiri di atas salah sebuah candi yang kedudukannya tidak jauh dari mereka berdua. Demi sahaja melihatkan kelibat manusia itu, Fazrul tanpa berlengah dan bersuara terus menarik lengan Faizul dan melarikan diri secepat dan sejauh mungkin dari situ. Faizul yang tadinya berkeras, kini hanya menuruti langkah Fazrul. Kecut juga perutnya melihatkan panah yang terpacak di hadapan mereka serta manusia yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dan berdiri di atas candi. Hati Faizul terasa haru-biru dengan kejadian-kejadian yang tidak dapat diterima oleh akal logiknya itu. Dia menjadi bungkam dan membiarkan sahaja lengannya ditarik kuat oleh Fazrul. Kesakitan sudah tidak lagi dirasakan olehnya apabila bahaya sedang menunggu dan memburu mereka bila-bila masa dari sekarang.

Fazrul dapat merasakan ada orang lain yang sedang mengejar mereka ketika ini. Nalurinya kuat mengatakan bahawa orang ketiga itu adalah si pemanah yang berada di atas candi tadi. Dia mempercepatkan lariannya. Tangannya yang menggenggam lengan Faizul semakin dieratkan. Dia sudah tak peduli lagi jika Faizul merasa kesakitan dengan genggamannya, asalkan Faizul tak tertinggal di belakang. Pergerakan Faizul dirasakan longlai. Dia pasti, Faizul dalam keadaan tertekan sekarang. Tertekan kerana terperangkap di dalam alam yang asing ini.

Langkah Fazrul terhenti tiba-tiba. Faizul yang sedari tadi seperti patung bernyawa, terlopong melihat manusia yang kini berada di depan mereka berdua. Ya, sangkaan Fazrul tepat sekali. Yang mengejar mereka adalah si pemanah itu. Wajahnya jelas kelihatan bengis.

“Siapa kalian berdua??”, tanyanya kasar.

Mereka berdua diam merenung wajah si pemanah itu. Fazrul tiba-tiba bergerak setapak ke hadapan. Faizul agak terkejut melihatkan perlakuan Fazrul itu.

“Kami datang dari dunia jauh. Kami terdampar ke alam ini”, Fazrul kedengaran bersuara, menyahut soalan si pemanah itu.

Faizul tambah terkejut mendengar kata-kata Fazrul tersebut. ‘Bahasa apa yang dia gunakan ni??’, benak Faizul tertanya-tanya. Bahasa yang Fazrul gunakan begitu asing bunyinya dari yang selalu dituturkan.

Si pemanah tersebut memandang Fazrul tajam. Dari kerutan dahinya, jelas menampakkan reaksi terkejut setelah mendengar kata-kata Fazrul. Loghat Minangkabau? Manusia ganjil ini orang Minang? Tapi pakaiannya agak ganjil. Bukannya pakaian tradisi Minangkabau. Berbagai persoalan timbul di benaknya melihatkan Fazrul dan Faizul. Dan sudah setentunya dia hairan melihat cara berpakaian mereka berdua. Tak pernah lagi dia melihatkan pakaian seperti itu seumur hidupnya.

“Apa maksudmu manusia asing?!!”, jerkah si pemanah.

“Kau takkan bisa memahaminya”, jawab Fazrul pantas.

Dengan tidak semena-mena, Fazrul pantas menyerang si pemanah tersebut. Faizul hampir menjerit kecil melihatkan tingkah Fazrul yang tiba-tiba itu. Apa, Fazrul sudah gila?? Hilang akal bilamana tiba-tiba menyerang si pemanah yang rasanya jauh lebih handal dan licik itu?? Kecut perut Faizul melihat tindakan Fazrul itu.

Fazrul bergerak sekelip mata tanpa sempat dihalang oleh si pemanah tersebut. Si pemanah itu terkejut bukan kepalang bila dia mendapat tahu, Fazrul sudah pun berada di belakangnya. ‘Kapan dia berada di belakangku???’, benaknya menujahkan sebuah persoalan.

Fazrul menusukkan hujung jari-jemarinya ke belakang si pemanah itu, tepat di kawasan jantung si pemanah. Tindakan pantas Fazrul sempat ditepis oleh si pemanah apabila si pemanah tersebut pantas berpaling dan menepis lengan Fazrul. Fazrul cuba meradak perut si pemanah tapi sekali lagi serangan Fazrul berjaya dipatahkan oleh si pemanah. Fazrul terus memberikan serangan fizikal bertali-arus, yang juga sesekali dibalas oleh si pemanah. Faizul tercengang melihatkan serangan demi serangan yang diberikan oleh Fazrul itu. Beginikah kekuatan sebenar Fazrul? Dan inikah kebolehan Fazrul? Dia tidak pasti apakah namanya perbuatan yang dibuat oleh Fazrul itu, tapi dia seperti pernah melihatnya di dalam laman Youtube. Itu pun dia hanya melihatnya dalam beberapa saat sebelum beralih ke video lain. Silat? Pencak silat? Itukah namanya? Dia rasa itulah namanya perbuatan itu. Dia tak berapa ingat. Ye lah. Bukannya dia berminat dengan benda-benda sebegini. Lainlah kalau futsal atau dodgeball.

Tiba-tiba pergerakan si pemanah terhenti. Si pemanah menjadi kaku. Bulat mata Faizul melihatkan golok sudah pun berada tepat di leher si pemanah. Fazrul pula kelihatan seperti tiada perasaan semasa menghunuskan golok di leher si pemanah itu.

“Apa maumu, anak bangsat?? Apa sebenarnya tujuan kalian ke sini?!! Apa, kamu hanya mau membunuh saya???”, tanya si pemanah bertubi-tubi dalam nafas yang tersekat-sekat.

“Tidak ada apa-apa. Aku cuma tak mahu laluanku dihalang”, jawab Fazrul dalam loghat Minangnya, tenang.

Tanpa sempat si pemanah tersebut membalas kata-kata Fazrul, darah merah pekat memercik dari leher si pemanah lalu jasadnya rebah menyembah bumi. Matanya masih terbeliak dan mulutnya kelihatan sedikit terbuka. Kali ini Faizul terjerit kecil melihatkan situasi itu. Dia memandang jasad si pemanah dengan wajah yang pucat, lantas beralih memandang Fazrul pula.

Golok berdarah yang dipegang oleh Fazrul terlepas dari tangannya. Kepala Fazrul tiba-tiba terasa pening. Sangat pening. Dia cuba menggagahkan dirinya untuk berjalan walaupun dalam keadaan terhuyung-hayang tapi akhirnya Fazrul rebah, tidak sedarkan diri. Faizul cepat-cepat menghampiri Fazrul lalu menggoyangkan badan Fazrul dan menampar-nampar pipinya berkali-kali sambil memanggil namanya. Setelah dilihatkan tiada respon dari Fazrul, Faizul cuba mengheret tubuh Fazrul untuk beredar dari situ menuju ke satu tempat yang dirasakan lebih selamat dan terlindung dari mana-mana manusia. Faizul masih cuba menyedarkan Fazrul tetapi hampa. Akhirnya Faizul membiarkan sahaja mereka dalam keadaan begitu. Tak tahu untuk berapa lama. Dia sendiri pun panik dan mati akal. Dia tak tahu bagaimana hendak handle situasi begini. Maklumlah. Dia tak pernah lagi berhadapan dengan situasi-situasi yang getir seperti ini.

Fazrul membuka matanya. Terasa silau dengan cahaya yang kuat memancar ke wajahnya. Dia di mana sekarang?

“Kau kembali semula, anak muda”, tegur seseorang. Dia tak kenal siapa lelaki itu.

“Kau siapa?”, tanya Fazrul.

“Ingatkan semula, wahai anak muda. Kau pasti kenal aku”, jawab lelaki itu seringkas mungkin.

“Aku tak ada masa nak berteka-teki dengan kau!!”, Fazrul naik berang secra tiba-tiba.

Lelaki misteri itu melangkah setapak demi setapak, memperlihatkan dirinya pada Fazrul. Fazrul terbungkam tiba-tiba melihatkan lelaki di hadapannya ketika ini. Tiba-tiba peluh dinginnya terasa mengalir, membasahi bajunya. Lelaki itu…

“Ya, aku yang pernah bersua denganmu satu ketika dahulu”.

[Bersambung]

TIGA DIMENSI

‘Apabila tiga alam yang berbeza bergerak selari…’

BEBERAPA RATUS TAHUN YANG LALU…

‘Cis!! Jahanam!!’

Lari. Kaki tersadung akar lalu menyembah tanah. Sumpah seranah. Semuanya gara-gara rancangan yang tak menjadi. Niat hatinya mahu melihat kehancuran, tapi sebaliknya, nyawanya pula yang hendak dihancurkan.

Tidak jauh dari situ, kelihatan kelibat berserta bunyi orang. Dia lantas berselindung di sebalik semak dan pohon kayu yang besar. Dia memasang telinga. Bunyi itu semakin menghampiri tempatnya berselindung, dan jelas kedengaran butir-butir percakapan mereka.

Melalui tutur percakapan mereka, jelas mereka adalah dari Tanah Jawa. Bunyinya agak sukar untuk difahami tapi tidak baginya. Dia faham apa yang mereka cuba cakapkan.

“Apa benar kamu melihat si brengsek itu lari ke sini?!”, tanya suara itu kepada seseorang dengan nada yang kedengaran marah.

“Demi keagungan Sang Hyang Tungal yang hamba junjungi dan Gusti Adipati yang hamba hormati, hamba melihat dengan mata kepala hamba sendiri, bahwa dia membawa dirinya ke sini. Maka ada baiknya kalau kita cari jejaknya di sini”, jawab seseorang. Nadanya kedengaran lebih tenang dari yang seseorang yang bergelar ‘Gusti Adipati’ tadi.

“Baiklah. Aku mahu kita berpecah sekarang, dan cari si brengsek itu sampai dapat!”, arah si Gusti Adipati keras.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi sekumpulan manusia berlarian di sekitar kawasan itu. Mereka sudah mula mencarinya. Di kesempatan itu, dia cuba bergerak perlahan, menjauhi kawasan itu dengan penuh waspada. Dia merangkak untuk menuju ke satu destinasi yang dia sendiri pun tidak pasti arah tujunya. Akhirnya, dia sampai ke tebing sebatang sungai yang agak besar dan dalam airnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskan perlahan. Sangkanya dia telah terlepas dari orang-orang Jawa itu.

Baru saja dia berdiri menghadap sungai itu, tiba-tiba…

Zappp!

Dia terasa seperti ada benda yang tajam menyucuk belakangnya…seperti dilemparkan oleh seseorang. Belakang badannya terasa amat pedih. Tidak. Bukan setakat pedih, tapi juga sakit. Kini rasa sakit itu mula menjalar ke seluruh tubuhnya. Kepalanya juga mula terasa berat dan seperti berputar. Sayup kedengaran seperti suara orang ramai. Sakitnya sudah tidak tertahan lagi, hingga akhirnya dia rebah dan jasadnya terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Orang-orang Jawa itu bergegas pergi ke tebing sungai, melihat jasad yang sudah terjatuh ke dalam sungai itu. Akhirnya mereka bersorak kegembiraan. Mereka berpuas hati kerana berjaya menamatkan riwayat seorang pembunuh.

“Bagus kalian semua. Disebabkan kalian sudah berjaya membunuhnya, maka malam ini, aku akan adakan pesta bagi meraikan kemenangan kita dalam memburu si pembunuh!”, umum si Gusti Adipati yang disambut dengan sorakan orang-orangnya.

“Untuk kemuliaan Sang Hyang Tunggal dan Gusti Adipati, hamba akan turutkan apa jua yang Gusti Adipati titahkan”, lalu yang empunya suara memberi sembah hormat. Akhirnya, mereka semua berangkat pulang setelah mereka dapati si pembunuh itu sudah tidak lagi bernyawa.

Jasadnya tenggelam di dalam sungai dan laju dibawa arus. Dia tidak pasti apa yang terjadi pada jasadnya ketika ini. Matikah dia? Atau masih hidupkah dia? Dia benar-benar keliru. Tapi kalaulah dia mati, kenapa dia merasakan, dia seperti masih hidup? Soalan yang tiada jawapannya. Tiba-tiba dia merasakan jasadnya menjadi ringan dan seperti melayang-layang. Serasa bagaikan berada di awang-awangan. Apa pula lagi selepas ini?

TAHUN 2016.

Fazrul seperti baru tersedar dari mimpi yang panjang. Kepalanya terasa pening yang teramat sehinggakan badannya terasa sukar untuk digerakkan. Nafasnya pula tersekat-sekat. Entah, kenapa dengan dirinya. Apa yang pasti, dia merasa aneh kerana mengalami mimpi yang berulang-ulang. Sama jalan ceritanya. Tiada satu pun yang terkeluar dari landasan cerita asalnya. Kalau sekali, dia takkan kisah kerana dia menganggap itu hanyalah permainan tidur. Tapi kalau sudah berkali-kali?

Mimpi yang seringkali berkunjung dalam lenanya itu membuatkan dia tertanya-tanya, apa maksudnya sebenarnya? Selalu saja dia bermimpi sebagai seorang pembunuh. Bukan pembunuh seperti dalam filem Hitman atau Resident Evil tetapi seperti di zaman…ah, zaman apa ya? Nampak seperti ala-ala filem Puteri Gunung Ledang lakonan M. Nasir dan Tiara Jacquelina tu. Kesultanan Melayu dulu-dulu? Ya, nampak seperti itu. Berbaju Melayu, bersamping, bertanjak dan lengkap berkeris. Tetapi yang mengejarnya kelihatan seperti raja-raja Jawa pula, cukup dengan wajah mereka yang bengis. Apa yang lebih sadis dan tragis, mimpinya itu selalunya akan berakhir dengan kematiannya yang terjatuh ke dalam sungai setelah belakang badannya dipanah dengan panah yang dibubuh racun berbisa.

Dia menutup matanya lalu mengeluh perlahan mengenangkan semula mimpi yang sentiasa berulang itu. Dia meraup wajahnya.

‘Apa yang hendak ditunjukkan padaku sebenarnya?’

Fazrul bermonolog sendiri. Lama dia berkeadaan sebegitu sebelum dia bangkit dari katilnya dan menuju ke bilik mandi.

Belum sempat dia menjejakkan kakinya ke dalam bilik mandi, tiba-tiba pintu bilik apartmentnya diketuk dari luar. Tanpa rasa ragu, dia terus membuka pintunya. Terkejut bukan kepalang dia melihat tetamu-tetamu yang datang di awal pagi ini. Polis? Kenapa dengan anggota-anggota polis ni? Apa salahnya? Apa yang telah dibuatnya sehingga membawa mereka ke sini?

“Jangan bergerak!!”, jerit salah seorang dari mereka sambil mengacukan pistol ke dahi Fazrul. Fazrul tercegat kaku.

“Kamu telah didapati membunuh seorang lelaki sebaya kamu malam semalam. Sekarang kamu ditahan!!”, sambung anggota polis itu lagi. Kesemua mereka mengacukan pistol kepada Fazrul sebagai langkah berjaga-jaga dan dua dari mereka bergerak untuk menangkap dan menggari tangannya.

Dengan tidak semena-mena, jiwa Fazrul merusuh seperti ada satu semangat aneh yang membangkitkannya. Apabila anggota-anggota polis yang hendak menangkap Fazrul berada berhampirannya, Fazrul tiba-tiba menyiku wajah salah seorang anggota polis tersebut dan menendang perutnya sehingga terdengar bunyi erangannya. Fazrul seterusnya memulas tangan seorang lagi anggota polis di sisinya sehingga menjerit kesakitan apabila anggota tersebut hendak menumbuk wajahnya. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Anggota-anggota polis yang lain terpegun melihatkan situasi itu. Mereka mula mencekah pistol mereka, bertujuan untuk menembak Fazrul. Belum pun sempat mereka melepaskan sedas tembakan, Fazrul sudah terlebih dahulu ‘mematahkan’ tembakan mereka dengan menyerang secara fizikal. Fizikal? Tiba-tiba Fazrul menjadi sekuat itu. Dari mana datangnya kekuatan itu? Fazrul seperti tersedar dengan apa yang telah dilakukannya. Melihatkan kesemua anggota polis tersebut bergelimpangan dengan berlumuran darah, Fazrul mengambil keputusan untuk lari dari situ.

Sejurus dia melangkah keluar dari apartmentnya, dia bercadang untuk melarikan diri ke tempat yang terpencil untuk menyembunyikan diri sementara waktu. Sebaik saja dia menghampiri keretanya, dia terperasan ada seorang lelaki misteri bersandar di belakang keretanya. Berpakaian serumpun hitam, lengkap dengan jaket dan hoodnya yang menutupi separuh wajahnya kecuali sedikit hidung dan mulutnya.

“Hei. Kau siapa?”, tegur Fazrul. Lelaki itu tidak menjawab.

“Hei. Ini kereta aku. Kau siapa yang bersandar kat belakang kereta aku ni ha?!”, sergah Fazrul lalu cuba memegang bahu lelaki tersebut.

Tanpa sembah tanpa salam, tiba-tiba tangan Fazrul ditarik lalu tubuhnya direbahkan ke atas lantai dan tangannya dipulas kuat ke belakang. Dagunya terhentak lantai simen di tempat letak kereta tersebut. Dia menyumpah kuat sambil mengerang kesakitan.

“Hebat permainanmu, anak muda. Tumbang semua lawanmu disebabkan alammu yang di sana!”, ujar lelaki misteri itu perlahan tapi cukup jelas di telinga Fazrul.

‘Alamku di sana? Apa maksud lelaki ni?’

Fazrul hairan dalam kesakitan. Apa yang dimaksudkan lelaki itu? Alamnya yang di sana? Alam apa? Berapa alam lagi yang dia ada?

“Alam kau adalah di SANA!”, lelaki itu berkata dengan lebih keras, seraya menghentak kepala Fazrul dengan kuat.

Fazrul terasa kepalanya seperti berbisa. Sakitnya tak terperi. Lebih menyakitkan dari awal-awal tadi sehinggakan badannya mula terasa longlai. Dia dapat merasakan seperti ada cecair hangat yang mengalir dari kepalanya. Akhirnya dunianya menjadi gelap dan kelam. Mungkin sekarang dia sedang menuju ke alam lain…mungkin…

DI SATU WAKTU DI MASA HADAPAN…

Dia bingkas bangun dari tidurnya. Peluh bercucuran di seluruh tubuhnya sehingga membasahi bajunya. Bermimpi lagi! Dan mimpi yang sama, berulang-ulang. Hampir setiap malam dia mengalaminya. Dia terasa kepalanya berat dan tengkuknya terasa kencang memikirkan mimpinya itu.

Faizul meraup wajahnya berkali-kali sebelum bangkit dari katilnya. Di liriknya jam dindingnya yang menggunakan lampu LED di dalamnya. Baru 2 pagi. Masih awal rupanya. Tetapi disebabkan mimpi yang dialaminya tadi, dia sudah tak mampu melelapkan mata lagi. Dia memutuskan untuk turun ke dapur. Terasa tekaknya sangat haus ketika itu dan amat memerlukan air untuk membasahinya. Ahli-ahli keluarganya yang lain masih nyenyak dibuai mimpi indah ketika itu. Hanya dia yang bermimpi ngeri.

Ketika berada di dapur, dia mengelamun seorang diri sambil menghirup minumannya. Fikirannya kembali melayang kepada mimpinya itu. Dia melihat dirinya diserbu oleh pihak polis, lalu dia melawan dan menumbangkan mereka seorang demi seorang. Dia kemudiannya lari dari situ, tetapi belum pun sempat dia melarikan diri, dirinya dibunuh oleh seorang lelaki yang langsung tidak dikenali di sebuah tempat…nampaknya seperti tempat letak kereta. Faizul termangu memikirkan maksud mimpi tersebut. Dia merasa pelik, kenapa mimpi yang sama hadir dalam lenanya setiap malam? Kenapa seperti tak wujud mimpi-mimpi yang lain?

‘Ah, sudah’.

Faizul menggelengkan kepalanya. Sebaik saja minumannya habis, dia meletakkan cawannya di sinki lalu terus naik semula ke bilik tidurnya. Dia tak terus tidur kembali sebaliknya dia mahu melayari internet terlebih dahulu. Dia membuka suis komputernya dengan menggunakan retina scan dan secara automatik, komputernya terus menghubungkannya ke internet. Yang pertama sekali dilayarinya adalah berita-berita semasa dan terkini. Faizul sememangnya seorang pembaca tegar. Bab berita-berita semasa, tanyalah dia. Semua dia tahu kerana dia memang sentiasa update dengan hal-ehwal semasa.

Untuk awal pagi itu, belum ada berita tempatan yang menarik perhatiannya. Baru kisah-kisah luar negara. Dia cuba refresh berkali-kali laman web tersebut sehinggalah terpapar satu berita tempatan yang baru diupdate ke laman tersebut. 5 saat yang lalu. Memang masih baru lagi. Berita yang baru tersiar itu amat menarik perhatian Faizul. Satu kes bunuh yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 20an. Mayatnya ditemui terbujur kaku di tempat letak kereta di sebuah apartment kawasan bandar. Lewat 20an. Seperti usianya ketika ini. Dalam erti kata lain, lelaki itu sebayanya.

Tiba-tiba Faizul teringat akan mimpi-mimpi yang dialaminya sebelum ini. Kes bunuh. Dibunuh di tempat letak kereta. Tidak semena-mena, peluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Wajahnya bertukar menjadi pucat. Entah mengapa, dia merasakan kes pembunuhan yang baru terjadi itu seperti ada kaitan dengan mimpi-mimpi yang dialaminya itu. Nafasnya menjadi sesak dan tak teratur memikirkan hal itu. Dia menjadi gelisah. Dia takut mimpi-mimpinya itu menjadi realiti.

Dalam dia membawa rasa resahnya, tiba-tiba dia terdengar seperti bunyi seseorang menekan loceng rumahnya. Berkali-kali. Dia cuba memberanikan diri untuk membuka sedikit pintu biliknya dan melihat ke bawah. Hairannya, tak ada seorang pun ahli keluarganya yang terbangun oleh bunyi loceng tersebut. Disebabkan rasa ragu menguasai hati, Faizul mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan bunyi loceng tersebut.

Faizul terus menutup komputer lalu kembali berbaring atas katilnya dan menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Entah, dia tak pasti berapa lama loceng tersebut di bunyikan. Akhirnya bunyi itu hilang dan kembali sunyi. Walaupun begitu, Faizul masih dalam keadaan berjaga-jaga. Jam ketika itu sudah pun menunjukkan 3.30 pagi. Faizul yang tadinya sukar untuk melelapkan semula matanya akhirnya terlena jua.

Faizul membuka matanya perlahan. Dia tersentak melihatkan keadaan sekelilingnya.

‘Kenapa aku di sini?’

Dia terpinga-pinga. Bagaimana dia boleh berada di tempat ini? Dia perhatikan suasana tempat itu. Candi? Terdapat ukiran-ukiran patung Siwa dan Buddha di sana sini. Tiba-tiba dia terlihat sekumpulan manusia yang lalu di sebalik candi-candi tersebut, agak jauh sedikit dari dia berada. Dia bertambah panik bila melihatkan pakaian mereka tak ubah seperti zaman pemerintahan Betara Majapahit.

‘Zaman apakah ini??’

Bahunya terasa dipegang oleh seseorang. Dia pantas menoleh ke sisinya. Belum habis rasa terkejutnya melihatkan sekumpulan manusia yang melintas tadi, kini dia dikejutkan pula oleh seorang lelaki yang…yang rupanya…saling tak tumpah seperti DIRINYA! Bagaimana boleh wujudnya orang seperti itu??

“Faizul?”, tanya lelaki itu. Faizul masih tergamam memandangnya.

Lelaki itu tersenyum. “Aku Fazrul. Orang yang dibunuh dalam mimpi-mimpi yang selalu mengganggu tidur malammu”. Faizul masih tak mampu bersuara kerana rasa panik masih menguasai dirinya. Dia hanya mampu menatap wajah Fazrul dan menelan liur.

Melihatkan keadaan Faizul, dengan pantas, Fazrul meletakkan tangan kanannya ke atas kepala Faizul. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu lalu dihembuskan ke ubun-ubun Faizul. Beberapa saat kemudian, Faizul mula pulih seperti biasa. Ketika itu barulah Faizul mula bersuara walaupun masih dalam keadaan lemah.

“Bagaimana kau dan aku boleh berada di sini? Kita di mana ni? Ini zaman apa?”. Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Faizul kepada Fazrul.

Fazrul terdiam seketika sambil merenung Faizul. “Kita berada di zaman yang jauh terdahulu dari zaman kita. Dan aku pula adalah dari zaman yang jangakamasanya adalah satu abad dari zamanmu”.

Faizul terdiam. Satu abad? Itu bermakna, Fazrul telah pun hidup seratus tahun terdahulu dari dia!

‘Arrgghhhh!! Mengarut!! Bilakah semua ini akan berakhir??’

Sungguh, dunia ini penuh dengan mistik dan misteri.

[Bersambung]

KONSEP DEWARAJA/KHALIFAH ISLAM, DAULAT DAN DERHAKA HANYA WUJUD PADA TEORI TETAPI PADA REALITI SEJARAH, IA DIKETEPIKAN OLEH SEKELOMPOK RAKYAT APABILA DILIHAT PEMERINTAH BERSIFAT ZALIM (AH-3402 KESULTANAN MELAYU TRADISIONAL: KEPIMPINAN DAN KUASA)

Abstrak.

Di zaman Kesultanan Melayu Tradisional, konsep dewaraja dan khalifah Islam, daulat dan derhaka amat dijunjung dan ditaati oleh masyarakat Melayu ketika itu. Mereka telah diajar sedari awal lagi bahawa jika seseorang itu menderhaka kepada raja atau sultan, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk atau tulah kerana pemerintah itu dikatakan jelmaan dewa di zaman Pengindiaan atau ‘bayangan Allah’ di zaman kedatangan Islam. Kerana itu mereka dimestikan taat kepada pemerintah walaupun adakalanya seseorang pemerintah itu bersifat zalim.

Tapi di sebalik itu, ada di antara masyarakat Melayu ketika itu yang mengingkari konsep tersebut. Di antara kisah-kisah penderhakaan yang terkenal di Alam Melayu di zaman tradisi tersebut adalah seperti kisah Sang Rajuna Tapa dengan Parameswara, Hang Jebat dengan Sultan Mahmud Shah, Pengiran Yusof dengan Kerajaan Brunei yang melibatkan Sultan Omar Ali Saifuddin II, serta beberapa kisah yang lain lagi seperti yang terjadi dalam Kerajaaan Jawa. Di antara penyebab-penyebab kenapa timbulnya penderhakaan demi penderhakaan tersebut adalah kerana corak pemerintahan dan terjadinya perebutan kuasa di dalam sesebuah kerajaan.

Ada banyak lagi faktor-faktor yang menjurus kepada penderhakaan dan kenapa mereka tidak menjunjung konsep dewaraja dan khalifah Islam, daulat dan derhaka tersebut sebagai tatacara hidup beraja yang akan diterangkan lebih lanjut di bahagian-bahagian seterusnya.

PENGERTIAN DEWARAJA SECARA RINGKAS.
Kedudukan seorang raja itu adalah yang tertinggi, terpenting dan amat mulia dalam sesebuah organisasi Alam Melayu. Ianya tidak boleh dipersoal dan dipertikai oleh sesiapa sahaja. Seorang raja yang memerintah itu akan diberikan kepadanya sifat-sifat kedewaan atau ketuhanan kerana masyarakat yang ketika itu dipengaruhi dengan kepercayaan Hindu-Buddha percaya bahawa seorang raja itu adalah jelmaan dari dewa-dewa kayangan; penjelmaan dari Shiva, Vishnu atau Brahma, lelembut, mambang atau makhluk-makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar [1]. Konsep dewaraja ini berasal dari sebuah doktrin teologi agama Hindu-Buddha yang menekankan konsep inkarnasi dan reinkarnasi iaitu penitisan dewa dalam diri seorang raja dan kelahiran semula, di mana seseorang yang baik di masa silamnya dilahirkan semula sebagai seorang raja kemudiannya [2]. Kerana kepercayaan ini, masyarakat Melayu tradisi mempercayai bahawa seorang raja itu mampu memberikan kemewahan dan kesenangan dunia serta mentaati raja itu akan dilimpahkan rahmat dan kehidupan yang selesa di dunia [3].

Konsep sebegini sudah pun menjadi sebati dalam jiwa masyarakat Melayu tradisi dan hujah-hujah yang disebarkan menguatkan lagi kepercayaan mereka bahawa raja atau sultan itu mempunyai kebesaran dan kemuliaan sehingga baginda wajib disembah oleh rakyat [3].

PENGERTIAN KHALIFAH ISLAM SECARA RINGKAS.
Konsep Khalifah Islam tidak jauh bezanya dengan konsep dewaraja di Zaman Pengindiaan. Konsep ini berlangsung sesudah kedatangan Islam di Alam Melayu. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu di zaman Khalifah Islam, raja atau sultan itu merupakan ‘bayangan Allah’ di dunia ini serta meletakkannya setara dengan Nabi Muhammad Sallallaahu ‘Alaihi Wassalam, seperti mana yang jelas dibuktikan melalui wasiat Bendahara Paduka Raja Tun Perak kepada semua keturunan beliau yang berbunyi;

“Adalah raja yang adil itu dengan Nabi Salla’llah u’alaihi wassalam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagipun raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana zulli’illahu fi ‘l-‘alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, seperti berbuat kebaktian kepada Allah Subhanahu Wataala. Yakni berbuat kebaktian kamu akan Allah dan RasulNya dan akan raja inilah wasiatku kepada kamu semua. Hendaklah jangan kamu lupai, supaya kebesaran dunia akhirat kamu perolehi”[3][4].

Walaupun setelah kedatangan Islam ianya sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi masyarakat Melayu tradisi tentang kedudukan seorang pemerintah, namun unsur-unsur keagungan seorang raja tetap tidak hapus dan masih dikekalkan.

APA DIA DAULAT? PENGERTIANNYA SECARA RINGKAS.
Asal perkataan daulat itu adalah dari perkataan Arab, daulatun, yang membawa maksud kuasa kerajaan, empayar, dinasti, pemerintahan, negara atau negeri. Daulat itu adalah sebuah pengiktirafan yang diberikan kepada individu atau kelompok, sama ada secara lisan, kepercayaan ataupun tulisan (piagam atau perlembagaan). Ianya tidak dapat dilihat kerana daulat itu ada sesuatu yang abstrak tetapi dapat dirasakan. Daulat itu juga menuntut kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dikritik serta diingkar akan titah perintah seseorang pemerintah itu.

Ada sebuah pendapat mengatakan bahawa konsep daulat itu adalah intipati kepada hak pemerintah dalam menggunakan kuasanya untuk memerintah sesebuah kerajaan atau negara. Daulat seseorang raja juga sebagai unsur tuah, kemuliaan, keistimewaan dan kelebihan yang ada pada diri seseorang raja itu [1] [2].

Sebuah lagi pendapat mengatakan bahawa daulat itu bukanlah semata-mata suatu gambaran kuasa undang-undang yang terletak di tangan para Raja-Raja Melayu, tetapi mencakupi aspek agama dan budaya. Ianya memberikan sultan banyak hak dan keistimewaan, meletakkannya dalam masyarakat tanpa boleh dicela atau dikritik [2] [5].

Kedaulatan seorang raja itu dilihat daripada karisma dan peribadi baginda. Salah satu ciri seorang raja yang berdaulat itu adalah adil dan saksama dalam membuat pertimbangan dan undang-undang selain alim dalam ugama, memiliki ilmu kebatinan, bijak dan cergas. Kedaulatan itu juga dapat dinilai dari keadaan sesebuah negara itu; ianya dapat ditandakan apabila negara tersebut mengalami kemakmuran seperti ekonomi negara meningkat, perhubungan perdagangan dalam dan luar negara berkembang, dan sebagainya.

PENGERTIAN DERHAKA DALAM KERAJAAN MELAYU TRADISIONAL.
Pengertian derhaka secara umum adalah tidak taat, khianat, ingkar dan menentang. Dalam konteks kerajaan, ianya boleh ditakrifkan sebagai menentang, melawan atau cuba menjatuhkan kuasa pemerintah. Derhaka itu ada dua cara; pertama adalah secara terang-terangan iaitu perbuatan dan kedua adalah secara halus, yakni secara lisan atau tulisan. Contoh derhaka secara terang-terangan atau perbuatan itu seperti mengapi-apikan pemberontakan, melakukan rampasan kuasa dan perebutan takhta kerajaan yang sedia ada. Derhaka yang dilakukan terang-terangan itu selalunya melibatkan kekerasan dan kekasaran secara fizikal. Manakala derhaka secara lisan atau tulisan itu selalunya dilakukan secara halus melalui ayat-ayat sindiran seperti pantun, sajak, syair, gurindam, dan sebagainya, sama ada diluahkan melalui kata-kata mulut atau di atas kertas.

Derhaka termasuk dalam kesalahan besar dan hukuman yang akan dikenakan kepada penderhaka sangat berat sehingga membawa kepada hukuman bunuh. Tetapi ada di antara kes derhaka tersebut yang tidak dijatuhkan sebarang hukuman, sebaliknya diberikan pengampunan seperti kisah Raja Tengah, adinda Sultan Abdul Jalilul Akbar yang memerintah di Sarawak Asal. Kisah ini akan diterangkan dengan lebih lanjut di bahagian seterusnya.

DEWARAJA DAN KHALIFAH ISLAM, DAULAT DAN DERHAKA: DIANGKAT ATAU DIBABAT?
Benarkah konsep dewaraja dan Khalifah Islam, daulat dan derhaka itu benar-benar diangkat dan dimartabat oleh masyarakat Melayu tradisi? Sejarah Alam Melayu sudah ada mencatatkan kisah-kisah penderhakaan yang seterusnya menyangkal keras konsep tersebut. Berikut adalah beberapa kisah penderhakaan terkenal di Alam Melayu:

SANG RAJUNA TAPA DAN PARAMESWARA (ERA DEWARAJA).
Penderhakaan Sang Rajuna Tapa bermula apabila Parameswara menjatuhkan hukuman sula secara membuta tuli terhadap anak perempuannya. Kisahnya bermula apabila anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang juga merupakan perempuan kesayangan Parameswara difitnah oleh salah seorang dayang-dayang istana yang mencemburuinya. Dayang istana itu menabur fitnah dengan mengatakan bahawa anak perempuan Sang Rajuna Tapa berlaku curang di belakang Parameswara.

Dengan rasa berang berbaur kesal, Parameswara memerintahkan menterinya untuk membawa anak perempuan Sang Rajuna Tapa ke hujung pasar sebelum terbit matahari keesokannya untuk dihukum sula. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Sang Rajuna Tapa sehingga menggemparkan seluruh kaum keluarganya termasuk Sang Rajuna Tapa sendiri.

Keesokan harinya, anak perempuan Sang Rajuna Tapa dihukum sula di hadapan orang ramai dan dari kejadian itu, Sang Rajuna Tapa mula bersekongkol dengan Majapahit dengan mengutus surat kepada Betara Majapahit, menyatakan bahawa peluang Majapahit untuk menyerang Singapura sudah terbuka.

Angkatan Majapahit serta orang-orang Jawa berjaya menumpaskan Singapura sehingga memaksa Parameswara melarikan diri ke Melaka. Setelah Singapura berjaya ditewaskan, angkatan Majapahit dan orang-orang Jawa itu pun kembali semula ke Majapahit [6].

ARIA WIRARAJA DAN SRI KERTANEGARA (ERA DEWARAJA).
Aria Wiraraja merupakan seorang demung di masa pemerintahan Sri Kertanegara dari Kerajaan Singhasari. Beliau dikatakan disingkirkan dari jawatannya sebagai demung kerana Sri Kertanegara tidak menyukai keturunan Wangsa Rajasa, leluhur Ken Arok yang telah menewaskan Kertajaya dari Kerajaan Kahuripan [7]. Kerana penyingkiran itulah Aria Wiraraja membuat keputusan untuk bersekongkol dengan Sri Jayakatwang, raja bawahan dari Gelang-Gelang yang juga merupakan ipar Sri Kertanegara untuk menjatuhkan Sri Kertanegara, seterusnya menjadi penamat kepada era Kerajaan Singhasari [8].

Aria Wiraraja mengambil kesempatan itu semasa angkatan tentera Singhasari sibuk menakluk Suwarnabhumi dan suasana di Singhasari sepi tanpa kekuatan tenteranya. Ketika itulah Aria Wiraraja berpeluang untuk meneruskan niatnya lantas memberitahu rancangannya itu kepada Sri Jayakatwang di Gelang-Gelang. Sri Jayakatwang tidak menunggu lama untuk membuat persiapan ketenteraan. Setelah semuanya sedia, beliau berserta bala tenteranya pun menyerang Singhasari sehingga musnah dan akhirnya mengorbankan Sri Kertanegara ketika baginda sedang minum bersama menterinya [8].

HANG JEBAT DAN SULTAN MAHMUD SHAH (ERA KHALIFAH ISLAM).
Kenapa Hang Jebat menderhaka? Semuanya bermula apabila Hang Jebat mendengar titah perintah Sultan Mahmud Shah yang menjatuhkan hukuman mati ke atas rakannya, Hang Tuah, yang juga difitnah oleh sultan sendiri. Hang Tuah difitnah berlaku curang dengan Melor, gundik sultan, juga merupakan bekas kekasih Hang Tuah sendiri. Kerana cemburu buta itulah yang mendorong Sultan Mahmud Shah untuk menabur fitnah ke atas Hang Tuah, seterusnya menitahkan hukuman bunuh ke atasnya.

Hang Jebat berang lalu mengamuk di istana sultan sebaik sahaja beliau mendengarkan berita itu. Beliau mahu menuntut bela ke atas kematian Hang Tuah dan cuba menghentikan kezaliman yang berleluasa. Melihatkan keadaan Hang Jebat itu, Sultan Mahmud Shah mengambil kesempatan menabur fitnah ke atasnya dengan menyatakan bahawa Hang Jebat menimbulkan kekacauan serta mempunyai hubungan sulit dengan Dang Wangi yang merupakan bekas kekasih Hang Jebat tetapi dirampas oleh sultan.

Hang Tuah yang disembunyikan oleh menteri, muncul tiba-tiba setelah mendengarkan berita bahawa Hang Jebat mengamuk di istana. Beliau menawarkan dirinya untuk menumpaskan Hang Jebat lalu mencabar Hang Jebat untuk beradu. Sebaik sahaja Hang Jebat melihat Hang Tuah masih hidup, beliau menyerahkan keris Taming Sari kepada Hang Tuah sebagai penghormatan seterusnya menghentikan ancamannya. Kerana terlalu berpegang teguh kepada ungkapan “pantang anak Melayu menderhaka”, akhirnya Hang Jebat mati dibunuh oleh Hang Tuah, rakannya sendiri [9].

Hang Tuah dikenali sebagai seorang laksamana yang sangat taat akan sultan dan pantang menderhaka, dan kerana itulah jua yang mendorongnya untuk menumpahkan darah rakannya sendiri sebaik sahaja beliau mendapat berita bahawa Hang Jebat menderhaka kepada sultan. Prinsip yang berlainan sama sekali dengan Hang Jebat, yang mana, Hang Jebat lebih berpegang kepada ungkapan “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

PENGIRAN YUSOF DAN KERAJAAN BRUNEI – SULTAN OMAR ALI SAIFUDDIN II (ERA KHALIFAH ISLAM).
Kisah penderhakaan Pengiran Yusof terhadap Kerajaan Brunei bertolak dari rancangannya yang ingin menjual Sarawak Asal kepada saudara Sultan Sambas tetapi dibantah keras oleh Kerajaan Brunei. Kerana itulah Pengiran Yusof mengambil tindakan dengan mengapi-apikan penduduk Sarawak Asal yang terdiri daripada masyarakat Melayu Sarawak dan Bidayuh untuk bangkit menentang kerajaan. Beliau juga mendapat sokongan dari Datuk Patinggi Ali, Datuk Patinggi Gapur dan Datuk Temenggung dari kaum Bidayuh. Apa yang menguatkan lagi sokongan mereka terhadap Pengiran Yusof adalah disebabkan rasa kurang senang mereka terhadap pentadbiran keras Pengiran Indera Mahkota Muhammad Salleh yang merupakan wakil Kerajaan Brunei di Sarawak Asal ketika itu.

Pemberontakan terjadi di Sarawak Asal tetapi gagal ditangani oleh Pengiran Indera Mahkota, lalu Sultan Omar Ali Saifuddin II menghantar Raja Muda Hashim selaku Pengiran Bendahara untuk mengatasi pemberontakan itu. Walau bagaimanapun, pemberontakan masih gagal dihentikan sehingga akhirnya Raja Muda Hashim meminta bantuan dari James Brooke yang ketika itu berkunjung ke Sarawak Asal.

Di era pentadbiran Raja Muda Hashim, Pengiran Yusof telah dilucutkan jawatannya sebagai Pengiran Bendahara dan diganti oleh Raja Muda Hashim atas campurtangan dan desakan James Brooke dan Belcher dari Angkatan Laut British. Pengiran Yusof juga pernah merancang untuk menyerang istana sultan dan angkatan Inggeris kerana berang dengan keputusan Sultan dan Raja Muda Hashim yang membenarkan Laksamana Thomas Cochrane menghukumnya atas kesalahan yang dilakukan di masa lalu tetapi menemui kegagalan sebaik sahaja rumahnya diserang oleh Inggeris serta berjaya dipatahkan oleh Pengiran Badaruddin, adik Raja Muda Hashim. Beliau akhirnya lari ke Berakas, seterusnya ke Kimanis, Sabah. Semasa di Kimanis, beliau beserta adiknya, Pengiran Yakub ditangkap lalu dibunuh atas arahan Raja Muda Hashim [2].

RAJA TENGAH (SULTAN TENGAH) DAN SULTAN ABDUL JALILUL AKBAR (ERA KHALIFAH ISLAM).
Raja atau Sultan Tengah merupakan adinda kepada Sultan Abdul Jalilul Akbar dan anakanda Sultan Muhamad Hasan. Raja Tengah mempunyai hasrat untuk menduduki takhta Kerajaan Brunei tetapi terhalang kerana baginda bukan putera sulung Sultan Muhamad Hasan dan takhta itu lebih layak disandang oleh Sultan Abdul Jalilul Akbar. Baginda merasa tidak puas hati lalu menyatakan bahawa baginda diputerakan setelah ayahandanya ditabalkan menjadi sultan sedangkan kekandanya diputerakan sebelum ayahanda baginda menaiki takhta.

Berbagai cara yang dilakukan oleh Raja Tengah untuk merebut takhta dari kekanda baginda sehingga ke satu tahap baginda sengaja menimbulkan perselisihan antara baginda dan Sultan Abdul Jalilu Akbar. Melihatkan perlakuan Raja Tengah itu, Sultan Abdul Jalilul Akbar akhirnya membuat keputusan untuk menghantarnya ke Sarawak dan menjadikannya pemerintah di sana untuk mengelak dari berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini [10].

MEMISI KISAH DI SEBALIK PENDERHAKAAN DEMI PENDERHAKAAN.
Melihatkan beberapa kisah yang dihuraikan, dapat dirumuskan bahawa di antara punca-punca kenapa ada sekelompok rakyat di zaman tradisi yang mengetepikan konsep dewaraja dan Khalifah Islam, daulat dan derhaka ini adalah disebabkan corak pemerintahan yang zalim dan tidak adil, termasuklah sifat-sifat keji pada seorang pemerintah seperti menabur fitnah, menjatuhkan hukuman secara membuta-tuli tanpa menyiasat terlebih dahulu serta memerintah atau mentadbir dengan menggunakan kekerasan.

Karisma seorang raja atau sultan yang memerintah juga sedikit sebanyak mempengaruhi ketaatan sekelompok rakyat seperti halnya Sultan Mahmud Shah, seorang sultan yang penuh kejelekan, suka berfoya-foya dan menindas rakyat. Jika menurut adat Melayu, Hang Jebat itu merupakan seorang penderhaka dan tindakannya itu dilihat keterlaluan. Begitu juga akan halnya Sang Rajuna Tapa yang bertindak memberi laluan kepada Majapahit untuk menyerang Singapura. Tetapi di sebalik penderhakaan yang mereka lakukan itu tersirat satu iktibar yang perlu diperbaiki oleh generasi yang mendatang, terutama bagi mereka yang memegang kuasa.

Seorang raja atau sultan yang benar-benar berdaulat itu adalah seorang yang adil saksama dalam pemerintahannya, mendengar dan berfikir sebelum bertindak, bijak dalam membuat penilaian dan belas terhadap rakyat. Jika seorang pemerintah itu bersifat kejam dan tidak adil, ia hanya akan melahirkan rasa ketakutan dan kebencian di hati rakyat, bukannya ketaatan, dan sehingga ke satu tahap apabila rakyat puas menderita dan hidup dalam kegelapan, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri dari penderitaan yang dialami di bawah pemerintahan kuku besi tersebut. Di situlah bermulanya penderhakaan, yang sebenarnya membawa maksud akan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan yang zalim.

Ada juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada penderhakaan seperti perebutan kuasa antara kerabat-kerabat diraja dan pembesar-pembesar negara seperti kisah Pengiran Yusof dan Raja Tengah, rampasan kuasa seperti yang dilakukan oleh Aria Wiraraja yang bersekongkol dengan Sri Jayakatwang untuk mengambil alih kuasa Kerajaan Singhasari serta ketidakpuasan hati rakyat terhadap sesebuah sistem yang dikuatkuasakan oleh sesebuah kerajaan seperti mengenakan berbagai cukai sehingga menyusahkan rakyat.

Kesimpulannya, penderhakaan-penderhakaan yang dilakukan itu ada baiknya dan ada juga buruknya. Penderhakaan terhadap kezaliman itu secara tidak langsung merupakan salah satu cara tersirat untuk menyuarakan rasa yang menginginkan keadilan dan kebaikan dalam pemerintahan walaupun ianya nampak kasar. Ketaatan itu pula ada hadnya dan tidak semua perkara yang boleh ditaati, terutama sekali jika ianya membawa kepada keburukan. Ketaatan yang membuta-tuli itu hanya akan membawa padah kepada negara di masa-masa akan datang kerana ia hanya akan membantutkan perkembangan serta kemajuan sesebuah negara. Penderhakaan yang berdasarkan perebutan dan rampasan kuasa itu biasanya didalangi oleh rasa khianat, iri hati dan tamakkan kuasa yang hanya membawa kepada kehancuran demi kehancuran sesebuah kerajaan atau negara dan hanya akan menimbulkan lebih banyak dendam lagi di kalangan ahli-ahli waris keturunan yang dihapuskan sebelumnya.

KESIMPULAN.
Tidak semua rakyat di zaman Melayu tradisi itu benar-benar menjunjung konsep dewaraja dan Khalifah Islam, daulat dan derhaka itu. Ada di antara mereka yang ingkar dan menderhaka kepada pemerintah, sama ada secara terang-terangan atau secara halus. Beberapa faktor yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada penderhakaan-penderhakaan tersebut seperti pemerintahan yang zalim dan tidak adil, perebutan kuasa, rampasan kuasa dan sistem kerajaan yang menyusahkan rakyat. Di sebalik penderhakaan-penderhakaan yang dilakukan, tersirat beberapa iktibar yang perlu diambil oleh generasi-generasi mendatang agar ianya tidak berulang kembali di masa akan datang. Penderhakaan-penderhakaan itu juga tidak semuanya menjurus kepada kejahatan kerana ada di antaranya dilakukan demi keadilan dan kesejahteraan rakyat kerana ketaatan yang membuta-tuli itu hanya akan melahirkan generasi yang kurang cerdik dan lemah.

BIBLIOGRAFI.
[1] Muhammad Yusoff Hashim, 1989. Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Prof. Madya Dr. Haji Asbol bin Mail, 2011. Kesultanan Melayu Brunei Abad ke-19: Politik dan Struktur Pentadbiran, Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[3] Ishak Saat dan Adnan Jusoh, 2011. Isu-Isu Terpilih Sejarah Alam Melayu: Sumbangsih Kepada Profesor Madya Dr. Hj. Ahmad Jelani Halimi, Johor Darul Ta’zim: Penerbit UTHM.
[4] Shellabear, W.G., 1979. Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[5] Zainal Abidin Abdul Wahid, 1966. Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[6] Ismail Ahmad, 2005. Cerita-Cerita Sejarah Melayu, Pahang: PTS One Sdn. Bhd.
[7] Mansur Hidayat, 2012. Sejarah Lamajang: Melacak Ketokohan Arya Wiraraja dan Keemasan Lamajang Tigang Juru, Denpasar: Cakra Press.
[8] Prof. Dr. Slamet Muljana, 1983. Pemugaran Persada Sejarah Leluhur Majapahit, Jakarta: Inti Idayu Press.
[9] A. Bakar Hamid, 1983. Peristiwa-Peristiwa Dari Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
[10] Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Hj. Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, 1995. Sultan Tengah: Sultan Sarawak Pertama dan Terakhir dlm. Jurnal Darussalam, Bil.2, No. 4.

Dewaraja, Daulat & Derhaka : Raja & Rakyat, Zalim & Ingkar

Ketiga-tiga konsep yang disebutkan di atas secara tidak langsung berkaitan antara satu sama lain. Konsep yang disebut sebagai “dewaraja” tersebut bermula dari Zaman Pengindiaan (yang sebelumnya dipanggil ‘Zaman Hindu-Buddha) di mana para raja dipandang suci oleh rakyat jelata sehinggakan mereka (raja-raja) disanjung dan disembah serta digalati oleh rakyat. Kerana itu rakyat pada ketika itu tidak ada yang berani membantah atau menentang para raja kerana takut akan ‘tulah’ yang akhirnya membawa bencana kepada mereka. Dari rasa ‘galat’ itulah timbulnya lagi dua konsep seterusnya, iaitu “daulat” dan “derhaka”.

Tapi apakah benar raja-raja itu mesti sentiasa didaulatkan sehingga mereka di’dewa’kan oleh rakyat jelata? Apa buktinya rakyat tidak pernah menderhaka/melawan/menentang raja? Semua itu hanyalah asas dalam institusi beraja, terutama di dalam kerajaan-kerajaan di Zaman Pengindiaan (Sri Wijaya/Srivijaya & Majapahit) tapi hakikatnya terdapat bukti sejarah yang menyatakan adanya unsur-unsur penentangan dari rakyat terhadap raja.

Apa contohnya? Ambil satu kisah di zaman Kerajaan Majapahit. Temasek, atau kemudiannya dikenali sebagai Singapura ketika itu diperintah oleh Parameswara, cicit kepada Sang Nila Utama, pembuka Singapura dan juga seorang yang berketurunan keluarga diraja Kerajaan Sri Wijaya. Rakyat baginda yang juga seorang bendahara, Sang Rajuna Tapa telah membelot baginda dengan membukakan jalan kepada Kerajaan Majapahit untuk menyerang Singapura seterusnya menghancurkan kerajaan yang diperintah oleh Parameswara. Kenapa? Semuanya bermula kerana Parameswara telah menjatuhkan hukuman ke atas puteri Sang Rajuna Tapa tanpa usul periksa sehingga membawa kepada sebuah dendam yang digenggam oleh Sang Rajuna Tapa.

Berdasarkan contoh di atas, dapat dikatakan tidak semua rakyat di zaman itu sama akalnya seperti yang digambarkan secara meluas dalam sejarah yang selalu kita baca dan/atau dengar. Walaupun ketika itu ramai yang memegang prinsip bahawa raja itu adalah suci yang mesti dipatuhi dan melanggar perintahnya akan mendapat bala, tetapi masih ada yang ingkar sehingga ke tahap menderhaka apabila mereka merasa tidak berpuas hati dan teraniaya.

Kesimpulannya, raja yang zalim dan tidak mahu mendengar suara rakyat itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya didaulatkan, apatah lagi di’dewa’kan. Bagi yang tidak berani menentang kerana takutkan derhaka atau ‘tulah’ mungkin hanya akan memendam rasa tapi bagi mereka yang berani ingkar, ianya hanya akan mencetuskan perbalahan seterusnya memungkinkan terjadinya peperangan sesama sendiri disebabkan ketidakpuasan hati, seperti akan halnya antara Parameswara dan Sang Rajuna Tapa di mana Sang Rajuna Tapa sudah kehilangan rasa hormat dan daulatkan Parameswara yang menzalimi puterinya.

Akhir sekali, ketiga-tiga konsep tersebut (dewaraja, daulat dan derhaka) hanyalah sekadar di mulut orang-orang di zaman berkenaan tetapi tidak semua mengamalkannya. Ianya bukanlah mitos tapi ianya juga bukannya sebuah garispandu yang diikuti sepenuhnya oleh rakyat jelata, termasuklah pembesar-pembesar negeri.

*Bersumber dari kuliah modul “AH-3402: Kesultanan Melayu Tradisional – Kepimpinan & Kuasa”

KISS FROM A ROSE – Bhg 23

Beberapa hari kemudian…

Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, 2230 jam.

Suasana malam di hospital itu sungguh sunyi. Waktu melawat pun sudah habis sejak sejam yang lalu. Ilham  terlentang di atas katil dalam bilik khas dalam sebuah wad di hospital tersebut. Matanya masih merenung siling bilik, mengimbas kembali kisah beberapa hari yang lalu dan pagi tadi. Dia masih belum mengantuk. Mugkin jua kerana dia sudah puas tidur lewat petang tadi akibat dari kesan ubat yang diberi jururawat kepadanya. Akhirnya dia melepaskan satu keluhan berat. Dalam sekelip mata, bermacam-macam kejadian sudah menimpa. Tangan kanannya digerakkan lalu meraba dahinya yang berbalut. Masih terasa berdenyut dan sakit akibat serangan bertalu-talu itu tapi sedikit sebanyak sudah ada kurangnya. Dia cuba menggerakkan tubuhnya pula untuk bangun. Rusuk kirinya terasa pedih seperti ditusuk benda yang tajam tapi tidak seperit beberapa hari yang lalu. Dia menggagahi dirinya untuk bangun walaupun terasa berat dan payah. Akhirnya dia berjaya jua bangun dari pembaringannya dan kini duduk bersandar di hujung katil. Dia cuba menggerakkan kaki kanannya pula. Syukur. Sudah boleh digerakkan dengan baik walaupun masih terasa sakit.

Setelah dia duduk dengan tenang, mindanya kembali terarah kepada pertemuannya dengan rakannya, Arm, beberapa hari yang lalu dan pada pagi ini. Pertemuan pertama adalah ketika dia baru dikejarkan ke hospital ini dan diberikan rawatan intensif oleh pihak hospital. Arm bersama dua lagi anggota peringkat rendah datang menemuinya untuk mengambil statement tentang kejadian malam itu. Akan tetapi dia tidak mampu memberikan penerangan secara terperinci ketika itu memandangkan dia masih belum berdaya untuk bersuara. Pihak hospital pun menasihatkan mereka untuk memberinya masa untuk berehat sebelum diambil statement. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menemuinya hari ini setelah mereka mendapat tahu keadaannya sekarang sudah beransur pulih. Dia diajukan pertanyaan demi pertanyaan oleh dua anggota peringkat rendah yang sekali-sekala disampuk oleh Arm sendiri. Bagaimana pertemuan pada malam itu berlangsung? Bagaimana dia kenal lelaki itu? Apa hubungkait mereka berdua? Bagaimana rupa lelaki tersebut? Apa? Kenapa? Bagaimana? Di mana? Adakalanya dia terasa jenuh ditanya sebegitu rupa tapi dia tak dapat buat apa-apa. Ini merupakan salah satu prosedur yang mesti dilaluinya dan dia sebagai salah seorang pegawai polis, dia patut bersikap profesional kerana dia sepatutnya lebih tahu akan skop-skop tugasan seorang anggota polis.

Mengenangkan lelaki tidak dikenali tersebut, dia masih belum dapat cam rupa lelaki itu sepenuhnya. Apa yang dia ingat, lelaki itu bertubuh sasa dan tinggi, lebih kurang dalam 183 sentimeter. Wajahnya…dia hanya ingat lelaki itu seperti seorang lelaki Inggeris. Bagaimana bentuk rupanya yang sebenar, dia tak pasti sangat memandangkan waktu itu, keadaan sekelilingnya agak suram. Tapi apa yang dia yakin, lelaki itu rasanya bukannya lelaki Inggeris. Mungkin sekali dia cuma berdarah kacukan bangsa Inggeris memandangkan pertuturan Melayunya tak kedengaran janggal. Cuma…dari mana lelaki itu tahu tentang dia? Tahu yang  dia adalah salah seorang pegawai polis? Tahu namanya berserta pangkatnya sekali? Dia merasa pelik bagaimana lelaki itu tahu serba sedikit tentang dirinya. Dia menyandarkan kepalanya di bucu katil. Belakang tapak tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Pening rasanya memikirkan semua itu. Terlalu banyak teka-teki yang masih belum terjawab dengan baik. Sedang dia memikirkan tentang lelaki itu, dia teringat akan kes laman web rahsia mereka yang diceroboh oleh seseorang dari luar pasukan. Setahu dia, laman web tersebut mempunyai security yang cukup kuat. Tidak mudah diceroboh oleh penggodam-penggodam luar kecuali dari anggota-anggota pasukan itu sendiri. Lalu, siapa yang menceroboh laman web itu sebenarnya? Dia mengeluh untuk ke sekian kalinya. Tetapi dia mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan lelaki tersebut.

Dia tidak sedar untuk berapa lama dia berkeadaan sebegitu bilamana dia terdengar pintu bilik itu dibuka perlahan oleh seseorang. Dia diam membatu. Dia terasa seperti ada yang tidak kena dengan pergerakan tersebut. Nampak mencurigakan. Jika yang datang itu jururawat atau mana-mana petugas kesihatan, mereka tidak akan membuka pintu itu sebegitu perlahan. Pasti mereka membukanya seperti biasa. Hendak dikatakan ada orang yang melawatnya ketika ini…mustahil! Waktu ini bukan lagi waktu melawat.

Dengan segala kudrat yang ada dalam dirinya, dia bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi seterusnya. Dia berbaring semula atas katil dan memejamkan matanya rapat-rapat seolah-olah dia masih tidur. Kedengaran bunyi derapan kasut seseorang yang melangkah perlahan menuju ke arahnya. Sebaik saja bunyi itu berhenti tepat di sisi katilnya, tiba-tiba wajahnya ditekup dengan sesuatu sehingga menyukarkannya untuk bernafas. Mujur tenaganya masih bersisa. Dia berusaha sedaya upaya untuk menggerakkan kaki kirinya lalu menendang orang yang cuba membunuhnya. Kedengaran bunyi erangan seorang lelaki yang sedang kesakitan seterusnya meleraikan tekupan di wajahnya. Kelihatan seorang lelaki yang memakai pakaian serba hitam dan bertopeng tertunduk memegang perutnya. Tanpa berlengah lagi, Ilham menggagahi dirinya untuk bangkit dari katil tersebut lalu mengambil peluang untuk menyerang lelaki itu lagi. Kali ini dia menendang wajah lelaki yang sedang tertunduk itu. Lelaki itu kini terundur ke belakang lalu terduduk di atas lantai. Tidak cukup dengan tendangan, disikunya pula wajah lelaki itu sekuat hati sehingga terteleng ke kanan. Kesempatan yang ada digunakan Ilham dengan baik. Dengan sepantas mungkin, dia meluru menuju ke tandas yang berada di dalam bilik tersebut. Sebuah jendela kelihatan dan tanpa membuang masa, dia membuka jendela itu seluas-luasnya. Dia bernasib baik kerana tidak jauh dari jendela itu terdapat saluran paip. Dia memanjat jendela tersebut dengan sedikit kepayahan lalu kedua-dua tangannya pantas memaut saluran paip dan turun menggelongsor sehingga ke tingkat bawah sekali.

Sebaik saja dia berada di bawah, lelaki yang menyerangnya tadi merenungnya melalui jendela itu. Dia ternampak satu benda yang dipegang oleh lelaki tersebut. Spontan Ilham berlari meninggalkan tempat itu walaupun langkahnya dirasakan berat. Dia tahu apakah benda di tangan lelaki itu; selaras pistol! Sebaik saja dia berada di tempat letak kereta hospital berkenaan, dia ternampak seorang lelaki yang kelihatan masih muda sedang rancak berbual di telefon bimbitnya. Tidak jauh dari kedudukan pemuda berkenaan, sebuah kereta jenis Mazda RX-8 masih hidup enjinnya. Ilham yakin kereta itu kepunyaan pemuda tersebut. Dengan pantas dan berhati-hati, Ilham menyelinap masuk ke dalam kereta tersebut lalu memecut pergi dari situ. Pemuda itu yang tadinya rancak berbual kini berlari dan menjerit untuk mendapatkan semula keretanya tetapi terhenti setelah kereta itu jauh meninggalkannya.

Lelaki yang hendak membunuh Ilham tadi kini menanggalkan topengnya setelah berjaya meloloskan diri dari jendela tandas tersebut. Dia berjalan menuju ke tempat letak kereta dengan selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia sempat menoleh ke arah seorang pemuda yang keretanya telah di’curi’ oleh Ilham. Pemuda itu berlari menuju ke depan pintu masuk utama hospital dan mendapatkan beberapa orang pengawal keselamatan di situ. Mungkin untuk melaporkan tentang kejadian sebentar tadi. Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke dalam keretanya yang terletak di belakang sekali. Setelah dia duduk di tempat pemandu, dia memegang perutnya yang masih terasa sakit akibat ditendang oleh Ilham. Wajahnya juga terasa pedih akibat tendangan dan pukulan Ilham tadi. Dahinya berkerut dan berpeluh menahan kesakitan.

“Arrgghhhhh!”.

Dia kemudiannya menghempas steering keretanya berkali-kali menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap apa yang telah berlaku. Rancangannya untuk menamatkan riwayat Ilham pada malam itu menemui kegagalan. Ilham telah berjaya melarikan diri dan sebaliknya dia pula yang dibelasah oleh Ilham. Dia tidak dapat menerima kegagalan itu. Dia mesti mencari Ilham sampai dapat dan membunuhnya.

“Binatang!!”.

Sumpahnya kuat sebelum dia keluar dari perkarangan hospital itu.

Balai Polis Kuala Belait, Kuala Belait, 2340 jam.

Mujurlah jarak antara hospital dan balai polis tidak sejauh mana. Dan nasib juga dia masih ingat jalan menuju ke balai itu. Jika tidak, alamat dia tersesat di pekan itu.

Sebaik saja dia melarikan diri dari hospital, dia terus memecut kereta tersebut menuju ke Balai Polis Kuala Belait. Dia mesti cepat sampai ke sana sebelum lelaki tersebut berjaya menjejakinya semula. Tambahan pula tubuhnya sudah mula terasa sakit kembali setelah bergelut dengan lelaki itu tadi. Dia merasakan denyutan di kepalanya kembali menyerang dan rusuk kirinya yang cedera terasa menusuk. Begitu juga kaki kanannya. Sempat diliriknya sekilas keadaan baju pesakit yang disarungnya ketika itu bila dia merasakan seperti ada cecair hangat yang membasahi bajunya. Dia sudah dapat mengagak. Rusuk kirinya kembali berdarah dan kerana itulah terasa sakit yang teramat. Dia mempercepatkan kelajuan kereta supaya lekas sampai di balai.

Setelah beberapa minit dalam perjalanan, kini dia sudah pun berada di depan balai tersebut. Tanpa mematikan enjin kereta, dia terus keluar dan berjalan menuju ke dalam balai. Kakinya terasa lemah dan longlai sehingga dia terjelopok semasa melangkah ke dalam. Digagahinya langkahnya sehingga akhirnya dia rebah tepat di dalam balai. Suasana yang hening ketika itu bertukar menjadi kecoh. Anggota-anggota polis yang sedang bertugas bergegas mendapatkan Ilham yang rebah di lantai.

“Encik! Encik kenapa ni, encik?”, tegur salah seorang anggota polis yang mendapatkan Ilham. Dia nampaknya masih belum mengenali Ilham.

“Bawak dia ke dalam sekarang!”, arah seorang anggota berpangkat koperal.

Mereka yang lain menganggukkan kepala mendengar arahan itu. Baru saja mereka hendak mengangkat Ilham, seorang pegawai polis muncul di ruang itu menegur mereka semua.

“Apa yang riuh-riuh ni?”.

“Tuan”, jawab koperal tadi lalu menuding jarinya kepada Ilham.

Pegawai tadi bingkas mendapatkan Ilham lalu merangkak, memandang wajahnya.

“Ini kan pegawai polis juga? Pegawai dari ibu pejabat Gadong dalam unit khas. Bagaimana dia lepas ke mari? Bukankah dia ketika ini sepatutnya berada di hospital sini?”, soal pegawai itu bertalu-talu sambil telunjuknya menunjuk ke arah kedudukan Hospital Suri Seri Begawan. Dia turut memeriksa keadaan Ilham ketika itu.

Mereka yang mendengarkan kata-kata pegawai itu agak terkejut mendengarkannya. Baru mereka perasan yang orang itu adalah pegawai polis juga.

“Kami tidak tahu tuan. Tiba-tiba saja dia datang ke sini dan…”.

Belum sempat koperal itu menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran suara Ilham seperti mengerang kesakitan. Cepat-cepat mereka menghampirinya semula. Mereka melarang Ilham dari melakukan sebarang pergerakan apabila Ilham kelihatan berusaha untuk menggerakkan tubuhnya. Gerun juga mereka melihat kecederaan Ilham itu. Mereka mengangkat dan membawanya ke bilik rehat yang terletak di belakang ruang kaunter balai. Peti pertolongan cemas dibawa bersama lalu pembalut luka dikeluarkan. Ilham diberikan rawatan asas oleh anggota-anggota polis tersebut.

Pegawai polis tersebut yang sedari tadi memerhatikan anak-anak buahnya merawat Ilham melangkah menghampiri Ilham.

“Bagaimana ASP boleh terlepas dari hospital? Kenapa pergi sini?”, soalnya perlahan dan berhati-hati setelah dilihatnya Ilham menggerakkan kepalanya sedikit. Tubuh sasa Ilham yang kini tidak berbaju dibalut di bahagian rusuk kirinya untuk menghentikan pendarahan.

Bibir Ilham kelihatan bergerak. “Di…dia…”, katanya tersekat-sekat.

Pegawai itu mendengar dengan penuh perhatian. Dia?

“Siapa ‘dia’?”. Pegawai itu ingin memastikan siapa ‘dia’ yang dimaksudkan Ilham.

“Dia…dia…ma…mahu aku…mati…”, jawab Ilham.

Pegawai itu tersentak. Semua yang ada di situ turut terkejut mendengarkan jawapan Ilham itu.

“ASP. Siapa ‘dia’ tu?”, pegawai itu bertanya lagi. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan Ilham. Dia mahukan kepastian siapa ‘dia’ yang hendak membunuh Ilham itu.

Ilham termengah.

“A..aku…ta…tak…tahu…”, jawabnya perlahan dan tersekat.

Mendengarkan jawapan Ilham itu, pegawai itu segera mengarahkan seramai lima orang anggotanya pergi ke tempat kejadian untuk membuat siasatan awal. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Nampaknya kawalan keselamatan di hospital berkenaan agak loose sehinggakan penjenayah senang meloloskan diri ke dalam wad.

Di luar bilik rehat berkenaan, kedengaran bunyi riuh-rendah seperti orang yang sedang marah. Dia diam mendengar bunyi tersebut sebelum keluar dari bilik itu, meninggalkan Ilham seorang untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi di luar. Anggota-anggota lain sudah pun meninggalkan bilik rehat usai memberikan rawatan kepada Ilham. Seorang lelaki muda kelihatan sedang marah. Bersamanya ialah dua orang pengawal keselamatan.

“Ada apa ni?”, tanya pegawai berkenaan.

“Kereta saya dicuri!”, jawab pemuda tersebut kasar.

“Encik. Boleh kami tahu keterangan kereta encik?”, tanya salah seorang anggota polis yang berpangkat lans koperal.

Mazda RX-8 warna hitam!”, terangnya ringkas.

“Kereta itu?”, anggota polis berkenaan menunjuk ke arah sebuah kereta yang terletak di depan balai.

Pemuda dan pengawal-pengawal keselamatan tersebut serentak menoleh ke arah yang ditunjuk oleh anggota polis itu. Pemuda itu terkejut. Bagaimana keretanya boleh berada di situ? Adakah pihak polis telah menangkap pencuri itu? Tapi bagaimana pula mereka tahu sedangkan dia baru saja melaporkan perkara tersebut?

Pegawai polis itu menyembunyikan senyumannya setelah dia melihat reaksi pemuda tersebut. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Tapi curious juga dia bagaimana kereta pemuda itu boleh terdampar di depan balai berkenaan.

“Maaf encik. Rasanya kereta encik bukannya dicuri, sebaliknya digunakan untuk ke sini. Kami tahu ia adalah menjadi satu kesalahan menggunakan kereta seseorang tanpa keizinan tuan punya kereta tapi dalam kes ini, orang yang menggunakan kereta encik berada dalam bahaya yang boleh mengancam nyawanya. Apapun, kami akan siasat lagi hal ini. Kami akan ambil tindakan sewajarnya jika ianya tidak dapat dipertimbangkan”, jelas anggota polis tersebut panjang lebar.

‘Berada dalam bahaya?’. Pegawai itu lantas menoleh ke arah Ilham yang sedang berbaring di dalam bilik rehat. ‘Dia yang membawa kereta itu?’, mindanya bermonolog sendiri.

“Ahhh!!! Jangan beralasan! Sejak bila negara ini ada pembunuh?! Korang tak payah bagi alasan tak masuk akal! Terus terang sajalah yang korang ni pemalas nak buat kerja! Nak goyang kaki saja! Makan gaji buta! Polis memang tak guna!!””, pemuda itu membidas dengan kata-kata kesat.

Mendengarkan kata-kata pemuda itu, pegawai polis tersebut terasa darahnya menyirap ke kepalanya namun cepat dia mengingatkan dirinya supaya bersabar.

“Encik. Encik kata tiada pembunuh di negara ini. Boleh encik terangkan pada saya, apa yang sudah terjadi di negara ini beberapa hari lepas? Ketika itu heboh satu negara memperkatakannya. Tapi saya tak tahulah jika encik bukan seorang yang suka ambil tahu hal-hal dalam negara sendiri”, jawab pegawai itu tenang walaupun hatinya panas.

Pengawal-pengawal keselamatan yang menemankan pemuda tersebut ke balai hanya mengulum senyum mendengarkan kata-kata pegawai itu. Pemuda itu merenung tajam pegawai berkenaan lalu merengus kasar. Baru saja dia hendak membuka mulut membalas kata-kata pegawai itu, dua dari lima orang anggota polis yang dikerahkan untuk membuat siasatan di tempat kejadian kembali semula ke balai. Kelihatan seorang anggota berpangkat sarjan berjalan mendahului yang seorang lagi.

Sebaik saja dia melihat pegawai itu, dia memberikan tabik hormat. Pegawai tersebut membalas tabik hormatnya.

“Mana yang lain, sarjan?”, pegawai itu bertanya.

“Masih di tempat kejadian, tuan, untuk membuat siasatan lanjut”, jelas sarjan itu. “Tuan…”.

Dia tak menyambung terus kata-katanya sebaliknya menyuakan satu benda yang berbungkus di dalam beg plastik tanpa warna kepada pegawai itu. Bulat mata pegawai tersebut sebaik saja dia melihat benda di dalam plastik itu. Senjata api. Pistol setepatnya.

“Dari mana kamu dapat benda ini?”.

“Di tempat letak kereta hospital, tuan”, jawab sarjan berkenaan.

Pengawal-pengawal keselamatan yang masih berada di sana masing-masing terkedu mendengarkan penerangan sarjan tersebut. Pemuda itu yang tadinya ‘kencang’ kini hanya diam membungkam. Pegawai polis tersebut menoleh kepadanya.

“Negara ini tiada pembunuh kan?”.

Kata-kata pegawai itu kedengaran amat sinis.

Kampong Lambak Kanan, 0000 jam.

Puas dia mencuba untuk melelapkan mata tapi tak berjaya. Tak tahu kenapa dia merasa gelisah ketika ini. Dikatakan suhu bilik itu panas…kalau panas, takkan dia tarik selimut sampai hampir kepalanya. Tapi jika dikatakan terlalu sejuk pun mustahil. Dia takkan membiarkan kedua belah tangannya terunjur di luar selimut sekiranya suhu bilik itu terlalu sejuk. Suhunya biasa-biasa saja. Tak terlalu panas dan tak terlalu sejuk tapi dia tetap gelisah tak tentu pasal. Jam sudah pun menunjukkan angka 12 tengahmalam. Ada beberapa jam saja lagi untuk dia bersiap sedia tapi sampai ke saat ini dia masih berjaga. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bangun dan duduk di atas katilnya. Dia mengusap-usap rambutnya yang panjang paras belakang itu.

“Kenapa dengan aku ni?”, Zahra menyoal dirinya sendiri yang masih belum mahu tidur itu.

Selalunya dia sudah pun melelapkan mata dalam jam itu. Malah dalam jam 10 malam lagi dia sudah pun masuk tidur jika tiada tugas di sebelah malam. Tapi malam itu matanya masih segar sehingga ke lewat malam.
Telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja berdekatan katilnya bergegar menandakan satu mesej atau panggilan masuk diterima.

“Siapa pula yang texting aku malam-malam buta ni?”, rungutnya sendirian, lantas mencapai telefon bimbitnya untuk melihat pengirim mesej tersebut.

Setelah dia mengetahui siapa pengirim mesej itu, tanpa berlengah lagi dia membaca isi mesej yang dikirimkan kepadanya. Sebaik saja dia selesai membaca mesej tersebut, dia mengeluh kasar lalu tersandar di hujung katil dan memejamkan matanya.

Meeting lagi!”, gumamnya sendiri.

Sejak-sejak dia menjadi pemangku ketua unit, dia menjadi begitu sibuk. Lebih sibuk dari sebelum ini. Dialah yang menguruskan segala hal-hal unit, dari perkara kecil sehingga ke perkara yang lebih besar. Sebelum ini, Ilhamlah yang menguruskan hal-hal ‘atasan’ dan dia hanya melakukan tugasan seperti yang diarahkan oleh Ilham. Tapi kini, dia turut mengerjakan tugas dan tanggungjawab yang dipikul Ilham.

Mengenangkan Ilham, dia terfikir bagaimana perkhabaran Ilham ketika ini. Ada juga dia bertanyakan khabar Ilham pada rakan-rakan dan anggota-anggota lain tapi tak berkesempatan untuk bersembang dengan lebih lama memandangkan masih banyak lagi tugasannya yang perlu diselesaikan. Dalam dia merasa rimas terhadap Ilham, terasa juga dia mengambil berat akan lelaki itu. Masakan tidak. Ilham itu ketuanya yang juga rakannya sewaktu sama-sama dalam pengajian dulu. Memang patut jugalah dia mengambil berat. Dia cuma tak berapa berkenaan dengan sikap Ilham yang ingin menghampiri dirinya. Pernah sekali dia mendapati Ilham merenungnya penuh asyik. Seriau juga dia melihat pandangan mata Ilham ketika itu. Hampir tercekik pun ada rasanya. Tapi dia tetap berlagak biasa bila berada depan Ilham. Lama-kelamaan dia naik lali dengan situasi begitu.

Dia melirik jam loceng hampir katilnya. Sudah 12 lebih! Risau juga dia matanya masih belum mahu mengantuk. Dia tak tahu apa puncanya. Adakah disebabkan malam ini merupakan yang pertama kali selepas beberapa lama dia meninggalkan rumah ini? Ya, selepas kejadian rumah ini digeledah, agak lama dia dan Anna meninggalkan rumah ini buat sementara waktu sehingga siasatan yang dijalankam selesai. Kini dia kembali semula mendiami rumah ini. Anna pula masih tinggal di rumah sepupunya. Tinggallah dia seorang saja di situ malam itu.

Dia tak mahu fikirannya terganggu ketika mesyuarat pagi nanti. Dia mesti memaksa dirinya untuk tidur juga saat itu. Dia bebaring semula lalu menarik selimutnya sehingga ke kepala. Setelah agak lama dia berkeadaan sebegitu, akhirnya berjaya juga dia melelapkan matanya.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 22

Kementerian Pertahanan, Kem Bolkiah, 0500 jam.

Keadaan pejabat masih lengang. Tidak ada satu pun kelibat manusia yang lalu-lalang dan berkeliaran di dalam pejabat tersebut kecuali dirinya. Kalau ada pun hanyalah polis-polis tentera yang berkawal di luar bangunan dan di tempat masuk ke setiap tingkat bangunan tersebut. Matanya meliar, memeriksa keadaan pejabat berkenaan untuk memastikan bahawa tiada seorang pun yang berada disana ketika itu kecuali dirinya. Setelah dia pasti dan berpuas hati, dengan pantas dia meluru masuk ke dalam sebuah bilik penyimpanan data-data rahsia pasukan dan negara. Bilik tersebut sebenarnya di handle oleh seorang pegawai bahagian IT dan mempunyai sistem kawalan yang sangat ketat untuk memasukinya. Tetapi dia telah berjaya menceroboh masuk tanpa diketahui oleh anggota-anggota lain, termasuklah pegawai IT. Apa yang orang tak tahu, dia juga mempunyai kebolehan yang tinggi di dalam bidang IT terutama sekali godam atau hack. Sebelum dia memasuki bilik tersebut, dia terlebih dahulu memastikan segala rangkaian kamera litar tertutup yang ada telah digodam supaya tidak berfungsi dengan baik ketika keberadaannya di sana.

Setelah dia berada di dalam bilik tersebut, dia terus mendapatkan sebuah komputer yang diletakkan tidak jauh dari pintu bilik. Dia perlu bertindak secepat mungkin sebelum anggota-anggota lain mula memasuki pejabat berkenaan dalam jam enam lebih nanti. Matanya ralit mencari sesuatu di dalam komputer tersebut tanpa berkalih sedikit pun. Dia berterusan sebegitu dalam masa setengah jam sehinggalah ke satu saat, wajahnya tiba-tiba berubah. Khusyuk dia membaca segala maklumat yang terkandung di dalam data yang baru dijumpainya itu. Dan wajah yang terpampang di dalam data itu…ya, wajah itulah yang dia nampak sewaktu bertembung dengannya di Kuala Belait kelmarin.

“Bekas pegawai polis? Mana rekodnya yang seterusnya?”, dia menyoal dirinya sendiri.

Rekod tentang bekas pegawai polis yang dimaksudkannya itu terhenti setakat kes pemecatannya saja. Apa yang terjadi dan apa jua kegiatannya selepas itu langsung tidak diketahui. Tidak ada pemantauan susulan dari pihak berkuasa terhadapnya.

‘Atau mungkin tidak direkodkan? Ataupun dia seorang yang licik dan sukar dijejaki? Atau…atau…arrggghhhhh!!!’, mindanya bermonolog.

Apa yang pasti, dia merasa tidak berpuas hati terhadap data tersebut. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang bekas pegawai polis berkenaan, tambahan pula mempunyai rekod jenayah sebelum dipecat. Dia yakin, ada sesuatu yang ‘hilang’ dari data berkenaan. Amat yakin.

Jam ketika itu telah pun menunjukkan lima minit lagi ke angka enam. Dia bingkas bangun dan menutup semula komputer tersebut, seterusnya memulihkan semula keadaan kamera litar tertutup seperti sediakala. Dia berjalan keluar dari bilik dan pejabat tersebut seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Dalam masa yang sama, di tempat lain…

Ibu Pejabat Polis, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong.

Kecoh! Awal pagi yang sepatutnya aman dan tenang menjadi begitu kecoh dan sibuk. Mereka baru saja menerima laporan dari Balai Polis Panaga 15 minit yang lalu; salah seorang pegawai dari cawangan Ibu Pejabat Polis Gadong mengalami kecederaan serius setelah dijumpai terlantar di tempat letak kereta di Taman Jubli Anduki, Seria lewat tengahmalam semalam dan kini terpaksa dihantar ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait untuk menjalani rawatan. Hasil siasatan awal mendapati pegawai tersebut dipercayai dipukul di bahagian muka dan ditembak di rusuk kiri serta kaki kanannya ditikam bertalu-talu oleh seseorang. Ditembak?

Berkerut dahi Armin atau panggilannya Arm mendengarkan penjelasan tersebut. Bagaimana boleh berlaku tembakan? Dari mana orang tersebut mendapatkan senjata api? Apa sebenarnya yang telah terjadi? Apa motifnya? Siapa orang itu? Apa? Bagaimana? Kenapa? Berbagai persoalan menerjah minda Arm. Sesungguhnya, apa yang terjadi pada awal pagi ini sangat memeningkannya. Serasa berputar dunianya ketika ini. Dan apa yang lebih mengejutkannya lagi, rakan sejawatnya sendiri yang terlibat di dalam kes ini. Dia mahu melihat sendiri keadaan rakannya itu ketika ini dan mendengar penjelasan rakannya dengan telinganya sendiri tentang apa yang terjadi.

Tiba-tiba dia teringat akan Zahra. Adakah dia telah maklum akan kes ini memandangkan Zahra merupakan penolong pegawai tersebut? Tapi jika dia fikirkan semula, seperti mustahil pula jika Zahra belum maklum. ‘Tapi apa pula mustahilnya?’, fikirnya lagi. Dia menjadi serba salah samada hendak menghubungi Zahra ataupun sebaliknya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membiarkan saja. Dia yakin, Zahra telah dimaklumkan melalui pengarah jabatannya.

Seorang anggota berpangkat rendah datang menemuinya beberapa minit kemudian.

“Tuan. Ada call dari Hospital Suri Seri Begawan untuk tuan”, lalu dia menyuakan telefon bimbitnya kepada Arm.

Arm segera menyambut telefon bimbit tersebut.

“Helo, ASP Armin bercakap”, Arm memulakan perbualan.

Lama dia terdiam mendengarkan segala butiran kata yang dicakapkan di talian sebelah sana. Hanya sekali-sekala dia menyampuk.

“Ya, baiklah. Saya akan ke sana sekarang”. Arm seterusnya mematikan talian setelah perbualan tersebut tamat lalu menyerahkan semula telefon bimbit tersebut kepada anggota berpangkat rendah berkenaan.

“Ada apa tuan?”, tanyanya inginkan kepastian.

“Ada tugas di sana, sarjan. Awak dan Koperal Alisham, ikut saya ke Hospital Suri Seri Begawan sekarang”, arah Arm.

Demi mendengarkan arahan tersebut, mereka pun bersiap dalam kadar segera. Mereka harus menyoal siasat pegawai berkenaan mengenai kejadian semalam. Dan Arm sendiri pun sememangnya tak sabar hendak mengetahui kisahnya.

Kejadian semalam…

Taman Jubli Anduki, Seria, 1900 jam.

Dia menghentikan enjin sebaik saja meletakkan keretanya di tempat letak kereta taman berkenaan lalu keluar dari perut kereta dan berdiri tidak jauh dari situ. Matanya meliar memerhatikan sekeliling taman untuk memastikan tiada sebarang pergerakan yang mencurigakan di situ walaupun keadaan waktu itu agak gelap. Dia mengerling jam tangannya. Sudah pun masuk jam 7 malam. Tapi kelibat manusia yang dinantikan nampaknya masih belum kunjung tiba.

Kerana bosan menantikan kehadiran orang yang ditunggu, dia cuba menggagahkan diri untuk berjalan-jalan di sekeliling taman tersebut sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Adakalanya dia duduk di atas pagar penghadang berdekatan tasik taman. Melihatkan jam sudah makin beranjak jauh ke larut malam, dia mula merasakan dirinya seperti ditipu oleh lelaki yang menghubunginya pagi tadi lalu membuat keputusan untuk pulang semula ke Muara. Hatinya ketika itu berbaur antara ingin tahu, letih dan marah kerana merasakan masanya telah terbuang begitu saja.

Baru saja dia berpaling ke belakang dan hendak melangkah menuju ke keretanya semula, tiba-tiba…

Hello ASP Ilham. Nice to see you in person“.

Seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba berdiri betul-betul di depannya dan hanya dalam jarak beberapa meter saja darinya. Dia cuba mengamati wajah lelaki tersebut bilamana kedengaran bunyi tembakan pistol yang menggunakan silencer dilepaskan.

Dia terasa rusuk kirinya tersangat pedih dan perit sehinggakan akhirnya dia tidak mampu lagi untuk menampung kekuatan tubuhnya. Dia rebah di situ juga. Serasa peluhnya bercucuran membasahi pakaiannya dan dalam masa yang sama seperti ada cecair yang pekat dan hangat keluar dengan begitu banyak sehingga membasahi rusuk kirinya yang terasa perit itu. Nafasnya terasa kencang dan tersekat. Dia kesakitan. Dia tahu dia telah ditembak oleh lelaki itu.

Lelaki yang menembaknya tadi, kini berada disisinya yang telah terlentang di atas tempat letak kereta yang tidak jauh dari keretanya.

Well, ASP Ilham. Tell me about something you know regarding the syndicate that you and your team currently pursue. Aku tahu kau mempunyai maklumat yang cukup tentangnya. Just…tell…me…“, dia sengaja meleretkan suaranya ketika dia mengucapkan ayat-ayat yang terakhir tersebut sambil memain-mainkan pistolnya di depan Ilham.

No fucking way!“, balas Ilham kasar dan dalam nada tersekat-sekat. Dia tahu, lelaki ini pasti mempunyai niat jahat.

Lelaki tersebut merenungnya tajam. Beberapa saat kemudian dia melepaskan tawa ‘histeria’nya sebelum melepaskan satu tumbukan ke wajah Ilham. Ilham mengerang kesakitan.

“ASP Ilham. Aku ajukan pertanyaan aku sekali lagi. Tell me everything you know about the syndicate. Apa yang sudah kau ketahui tentangnya? Dari siapa? Dan bagaimana?”, tanyanya sekali lagi dengan nada yang lebih keras.

“Aku takkan beritahu apa-apa kepada manusia bangsat seperti kau”, jawab Ilham perlahan.

Sebaik saja dia mendengarkan jawapan Ilham itu, dia menghentakkan butt pistolnya ke wajah Ilham dengan sekuat hati. Sekali lagi kedengaran erangan Ilham.

“Kau memang hebat tuan ASP. Masih belum mahu membuka mulut ya? Aku mahu bertanya sekali lagi. Apa yang kau tahu tentang sindiket itu? Where did you know it? Who told you about it? How?“. Dia bertanyakan soalan yang sama kepada Ilham untuk ke sekian kalinya.

“Kau tak perlu tahu apa-apa tentang yang aku tahu. Itu bukan urusan kau!”. Ilham tetap tidak memberikan kerjasama kepada lelaki itu.

Lelaki itu sudah naik berang dengan jawapan Ilham. Kali ini dia memukul wajah Ilham bertubi-tubi sehinggakan darah banyak mengalir dari bibir dan hidungnya. Dia dibelasah teruk oleh lelaki itu sehinggakan dia menjadi semakin lemah. Setelah lelaki itu puas memukulnya, dia cuba bersuara lagi.

“ASP Ilham! Aku akan tanya kau lagi buat kali terakhir. Where…“.

Belum pun sempat dia menyudahkan pertanyaannya, Ilham terlebih dulu membalasnya.

“Aku tetap…tak akan…beritahu…apa-apa…kepada kau!”, ujarnya tersekat-sekat.

Fine, ASP. Kalau begitu jawapan kau…”, dia terhenti seketika dan meraba saku tepi seluarnya lalu mengeluarkan sebilah pisau komando. “…Aku akan berikan kau hadiah istimewa sebelum aku mengucapkan selamat tinggal pada kau”, sambungnya.

Sebaik saja dia menyudahkan kata-katanya, dia terus menusuk kaki kanan Ilham dengan pisau komando tersebut.

“Arrggghhhhhhh!!”, jeritan Ilham memecah kesunyian di taman tersebut.

Tidak cukup sekali, dia menusuk kaki kanan Ilham bertalu-talu sehingga darah membasahi seluarnya dan tar jalan di tempat letak kereta berkenaan. Setelah dia berpuas hati, dia bangkit meninggalkan Ilham dan tempat itu dengan segera.

Ilham sudah tidak berupaya memandang lelaki tersebut, jauh sekali hendak menahannya dalam keadaan sebegitu. Apa yang dia tahu, seluruh tubuhnya berasa kesakitan yang teramat sangat dan semakin lama. Lama-kelamaan pandangannya semakin kelam sehingga akhirnya dia langsung tidak sedarkan diri lagi.

Kementerian Pertahanan, Kem Bolkiah, 1000 jam.

Dia melangkah dengan perlahan menuju ke mess di dalam kem tersebut. Hari ini merupakan hari pertamanya bertugas di sana atas arahan pegawai memerintahnya. Dia meninggalkan Kem Muara buat sementara waktu sehingga tugas-tugasnya di Kementerian Pertahanan selesai.

Rasanya perutnya masih belum terlalu lapar. Masih boleh tahan lagi hingga tengahari tapi dia cuma mahukan kopi panas. Sampai di mess, dia mengambil tempat tidak jauh dari pintu masuk. Senanglah dia keluar nanti. Tak jauh. Sebelum itu, dia sempat mengambil senaskah surat khabar tempatan untuk mengisi masa rehat selama setengah jam itu. Dia membelek muka surat belakang surat khabar tersebut. Perlawanan bolasepak diantara DPMM FC dan Tampines Rovers FC di Clementi Stadium, Singapura berakhir dengan kemenangan pasukan DPMM FC. Segar matanya membaca berita tentang kemenangan pasukan kegemarannya itu. Dah nasib perlawanan tersebut diadakan di negara seberang. Kalaulah ianya diadakan di negara ini…hmmm! Memang dia takkan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri perlawanan tersebut.

Dia membelek lagi muka surat seterusnya sehinggalah sampai ke satu muka surat yang membuatkan dahinya berkerut seribu. ‘Pegawai polis cedera parah dalam satu kejadian disyaki kes jenayah’. Tajuk artikel berkenaan begitu menarik minatnya untuk terus membaca keseluruhan isi artikel tersebut. Setelah dia selesai membacanya, dia menghempaskan satu keluhan berat. Dia segera menutup surat khabar tersebut dan mengembalikan ke tempat asalnya sebelum kembali ke tempat duduknya.

Kopi yang dipesannya tadi telah pun sampai. Dia menghirup perlahan kopi tersebut. Mindanya masih berlegar mengingati berita yang sungguh mengejutkannya itu. Rasanya mungkin bukan dirinya saja tapi seluruh negara. Dia dapat merasakan yang penjenayah-penjenayah di negara ini sudah semakin berani bertindak agresif sehingga melibatkan nyawa penguatkuasa undang-undang.

Tiba-tiba dia teringatkan kes jenayah berprofil tinggi yang sedang mereka buru sekarang. Saat itu juga dia seperti mengesyaki bahawa kejadian yang melibatkan pegawai polis berkenaan ada kaitan dengan kes tersebut. Seingatnya, belum pernah ada kes-kes jenayah yang begitu berani seperti ini. Paling berani pun hanya melibatkan senjata tajam. Tapi yang ini? Pegawai tersebut disyaki ditembak di bahagian rusuk kirinya. Apa maksudnya jika sudah sampai ke tahap itu? Dan yang lebih penting lagi, dari mana penjenayah tersebut mendapatkan senjata api? Setakat ini, hanya kes yang mereka siasat saja yang terlibat dengan penyeludupan senjata api. Kerana itulah pihak tentera berganding bahu dengan pihak polis dalam menyelesaikan kes ini memandangkan ianya benar-benar boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. Ianya bukan setakat penyeludupan senjata api tapi lebih dari itu. Tamak dan rakus, itulah yang mendorong mereka melakukan kerja-kerja kotor tersebut.

Sedar tak sedar, kopinya sudah pun habis dihirupnya. Fikirannya kembali memikirkan maklumat yang didapatinya awal pagi ini tadi. Dia memang yakin. Teramat yakin yang itulah orangnya yang dia terserampak kelmarin. Yang gerak-gerinya nampak sungguh mencurigakan. Semalaman dia memikirkan tentang lelaki yang mencurigakan itu sehingga dia mengambil keputusan untuk melakar wajah lelaki itu di atas sehelai kertas.

Malam itu juga dia menghubungi rakannya yang bertugas di bahagian intelligence untuk meminta bantuan tentang lelaki berkenaan. Dia menghantar lakaran tersebut kepada rakannya melalui faks. Kebetulan rakannya itu ada tugas pada sebelah malam, jadi senanglah rakannya membantunya secepat mungkin. Itupun dalam jam 3 pagi baru dia menerima balasan dari rakannya. Rakannya hanya menghantar maklumat asas mengenai lelaki berkenaan tetapi tidak secara detail. Serabut juga fikirannya memikirkan maklumat yang sedikit itu kerana baginya itu masih belum mencukupi. Kerana itulah dia membuat keputusan untuk menyelinap masuk ke dalam pejabat IT awal pagi tadi. Berpandukan maklumat yang sedikit itu, dari situlah dia dapat membongkar segala maklumat yang lebih banyak tentang lelaki itu yang tersimpan di dalam komputer penyimpanan data-data rahsia di sebuah bilik dalam pejabat IT berkenaan. Tetapi dia tetap masih tak berpuas hati. Apa yang terjadi pada lelaki tersebut selepas pemecatannya dari pasukan polis? Adakah dia telah didakwa di mahkamah? Terlepas begitu saja kerana tiada bukti kukuh? Ataupun dia baru saja lepas dari menjalani hukuman yang telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah? Kalau tidak, bagaimana dia boleh lepas begitu saja? Bahagian intelligence pun nampaknya seperti kekurangan maklumat mengenainya. Pening juga kepalanya memikirkan hal itu.

“Hei, Zan. Kau jangan nak mengelamun panjang sana tu. Pukul berapa lagi kau nak masuk ofis, ha?”, sergah seseorang sehingga menghancurkan lamunannya.

Dia menoleh kepada empunya suara. ‘Laa, dia rupanya!’ hatinya berkata-kata.

“Bila kau sampai sini?”, tanyanya pada rakannya yang menegurnya tadi.

Time kau tengah mengelamun. Tu lah kau. Lain kali jangan mengelamun sangat sampai geng datang pun kau tak sedar!”, bebel rakannya lagi.

Dia hanya tersenyum mendengarkan kata-kata rakannya itu lalu bangkit dari tempat duduknya, bersedia untuk meninggalkan mess tersebut.

“Okey. Sekarang kita naik ke pejabat. Kau jugak nanti bertanya pukul berapa lagi nak masuk”, katanya sambil melangkah menuju ke pintu.

“Kau jangan nak tinggalkan aku pula!”, laung rakannya lalu meluru kepadanya.

Dia hanya ketawa melihatkan telatah rakannya itu.

Posted from WordPress for Android

Siapa Dia “Ketua” Dan Siapa Dia “Pemimpin”? (Perkongsian Ringkas)

Definisi “Ketua” dan “Pemimpin”.

·Ketua : Seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah skuad/kumpulan/pasukan/unit/jabatan/organisasi dengan tujuan untuk mengurus dan memberikan sebuah arahan kepada anak-anak buah skuad/kumpula/pasukan/unit/jabatan/organisasi.
·Pemimpin : Seseorang yang memimpin dan melakukan kerja dengan sukarela tanpa arahan dan lantikan. Pemimpin tidak mengarah sebaliknya berkerjasama dengan anak-anak buah yang dipimpinnya serta bertolak ansur dengan mereka.

Kedudukan Raja/Sultan.

·Bagi raja/sultan yang mana menjadi pemerintah tertinggi dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem beraja, raja/sultan itu merupakan seorang ketua dan juga pemimpin kerana raja/sultan mampu mengeluarkan sebuah arahan yang tegas dan dalam masa yang sama juga mencadangkan dengan hemah serta mendengar cadangan rakyat yang mana ianya juga merupakan sebahagian dari sikap seorang pemimpin.

Dua Sikap Ketua Dan Dua Sikap Pengikut (Anak-Anak Buah).

·Ketua Yang Baik : Ketua yang baik itu bukan sekadar mengurus dan mengarah sebaliknya dia juga mampu memimpin para pengikutnya dengan baik. Dia mengarah, memeriksa dan menilai, dan dia juga turut serta melakukan pekerjaan yang dilakukan oleh para pengikutnya serta mendengar apa-apa jua cadangan yang bernas yang dikemukakan oleh pengikut-pengikutnya tanpa menolaknya mentah-mentah. Ketua yang baik itu adalah contoh ikutan bagi para pengikutnya dan sentiasa menjaga disiplin diri.
·Ketua Yang Buruk : Ketua yang buruk itu hanya mengarah tanpa turut serta dalam melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh para pengikutnya. Ketua itu hanya menilai tanpa memeriksa dan mengambil tahu sebarang masalah yang timbul dalam pekerjaan serta yang dihadapi oleh pengikut-pengikutnya. Disiplin diri tidak terjaga menjadikannya contoh yang buruk bagi para pengikutnya.
·Pengikut Yang Baik : Pengikut yang baik itu akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan penuh rasa jujur, amanah serta bertanggungjawab tanpa mengharapkan sebarang imbuhan serta menghormati ketua-ketua, pemimpin-pemimpin dan rakan-rakan di dalam skuad/kumpulan/pasukan/unit/jabatan/organisasi yang dihadirinya. Pengikut yang baik itu berkerja dengan penuh dedikasi tanpa mengira penat-lelah yang dihadapinya serta sentiasa menjaga disiplin diri dan di tempat kerja.
·Pengikut Yang Buruk : Pengikut yang buruk itu lalai dengan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya, berlaku tidak jujur dalam pekerjaan tetapi menghrapkan imbuhan yang tidak setimpal dengan kerjanya. Pengikut tersebut tidak menghormati ketua-ketua, pemimpin-pemimpin serta rakan-rakan dalam skuad/kumpulan/pasukan/unit/jabatan/organisasi yang dihadirinya. Pengikut sebegini cenderung tidak memiliki disiplin diri dan sentiasa ingkar dengan apa jua arahan yang diberikan dalam skuad/kumpulan/pasukan/unit/jabatan/organisasi tersebut.

*Hasil perkongsian daripada: S/Insp Adinin Hj Ahmad, Ketua Bahagian IT, Pasukan Polis DiRaja Brunei. Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana sudi berkongsi ilmu dengan staf-staf IT.

Posted from WordPress for Android

UBD Green Run Registration

Keep your head up runners!

Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD)

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabakatuh and hi dear all UBDians.
 
 
OARA is now organising an event which called as “UBD Green Run”
 
Please add UBD Green Run Fanpage!
 
 
also check the website www.ubdgreenrun.com for the details and registration. Thank you!
 
 
 
Regards,
Majlis Perwakilan Pelajar 2013/2014,
Universiti Brunei Darussalam.
 

View original post

Club Registration for Freshers

ECA clubs registration for UBD freshies! (applicable to seniors as well, no worries)

Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD)

Assalmu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh and good evening dear freshers,

Maybe you’re wondering how to register clubs in UBD?

1) Check updates and posts from clubs on PMUBD Facebook page for any club’s open registrations – wait for each club to post. the time and date they posts are varied.

2) You may register your name to the respective clubs ,

it can be (depends on each clubs) :

Ice breaking for each club

-Join Club’s Facebook group

-Inbox the club’s facebook 

-Email the clubs

-Comment of their posts

3) The clubs available are as per below:

Executive of Arts and Cultures

1- Korean Culture Club

2-—Sawaddee Club 

—3- Brunei Japan Friendship Association -UBD Club 

—4- Dance Culture Club

—5- Fonemic Club

6-— Performing Art Club

—7- KelabPendetaBahasa

—8- Choir Club 

—9-KelabGulingtanganVarsiti

—10- Art Club

Executive of Religious and Spirituality 

—1- UBD Muslim Youth Club

2-…

View original post 162 more words