Antara Sistem Demokrasi Dan Majlis Syura

Demokrasi:
Wujudnya sistem demokrasi itu atas dasar pemikiran penggubal undang-undang yang terdiri daripada jama’ah non-Muslim. Sistem ini membuat keputusan melalui suara majoriti tetapi adakalanya suara minoriti yang diguna-pakai dan menolak suara majoriti. Jika dilihat semula tentang sistem ini, adakah ianya benar-benar sebuah sistem yang adil saksama? Secara dasarnya, mungkin ya tetapi bila diperhalusi lagi, tidak ada keadilan dalam sistem ini. Bayangkan jika pilihan majoriti itu adalah pilihan yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan, apa akan terjadi kepada sesebuah negara? Dan di kalangan pihak minoriti pula mungkin ada yang merasa tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, maka terjadilah perbalahan, persengketaan, pembunuhan dan akhirnya, peperangan sesama sendiri. Dan lebih teruk lagi bila suara minoriti yang diguna-pakai disebabkan ideologinya yang kena dengan “selera” pihak tertentu berbanding dengan pihak majoriti. Sistem ini sebenarnya penuh dengan korupsi dan keburukan yang dapat dilihat secara tidak langsung.

Majlis Syura:
Sistem ini wujud sejak lahirnya Islam di mukabumi ini. Dalam majlis syura, beberapa orang yang dipercayai amanah dan adil dilantik untuk menjadi ahli-ahli majlis tersebut bagi membincangkan perihal berkaitan dengan sesebuah pentadbiran termasuk pemilihan dan pencalonan seorang ketua negara. Majlis syura tidak mengenepikan suara rakyat dan tidak ada suara majoriti mahupun minoriti dalam sistem ini, sebaliknya ianya mengambil segenap suara dari dalam sesebuah negara tersebut. Segala pandangan, kritikan dan cadangan yang diterima oleh ahli-ahli majlis tersebut akan dipertimbangkan serta dibincangkan lagi semasa dalam perbincangan majlis syura bagi memastikan baik buruknya satu-satu pandangan, kritikan dan/atau cadangan tersebut demi untuk menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan negara serta ummah. Maka, apa bezanya sistem demokrasi dengan sistem majlis syura? Jawapannya adalah keadilan dan kebenaran. Majlis syura itu mengangkat keadilan serta membenarkan yang haq dan menolak yang bathil sedang demokrasi, keadilan bukanlah subjek utamanya serta ianya tidak membezakan antara yang haq dengan yang bathil memandangkan ianya berlandaskan pilihan ramai tanpa banyak bicara.

Sekadar perkongsian bersama untuk direnungi semula. Wallaahu’alam bisawwab.

Posted from WordPress for Android

Advertisements