NYAWA YANG TERTINGGAL (Short Story)

“Itu tempatku, di situ nyawaku berakhir. Jangan ada yang mengganggu-gugat rumahku, kerana di situ nyawaku tertinggal”.

Sudah berminggu rasanya aku mencari sebuah rumah untuk dijadikan tempat kediaman sementara selama aku berkerja di daerah ini. Puas aku mencari dan bertanya dari satu tempat ke satu tempat, hanya ini sajalah yang aku dapat. Kawasannya agak terpencil dari rumah-rumah lain cukup pula diselubungi oleh pokok-pokok kayu yang tinggi dan rendang. Tapi seperkara yang aku suka tempat ini, dibelakang rumah ini ada sebuah tasik yang menghijau airnya. Cukup indah pemandangannya dan mendamaikan jiwa.

Aku dah buat keputusan. Aku akan tinggal di sini. Aku bersetuju untuk menyewa rumah ini dan aku dah pun menyatakan persetujuanku itu kepada tuan punya rumah sewa tersebut. Setelah selesai menguruskan semuanya, aku pun mula mengangkut segala barang-barang keperluan termasuk perabot dan set televisyen ke rumah yang baruku sewa itu. Aku meminta pertolongan dari sepupuku untuk menguruskan pengangkutan khas untuk membawa barang-barang yang besar dan berat. Sememangnya hari ini adalah hari yang begitu sibuk dan amat meletihkan bagiku. Sebaik saja semuanya telah diletakkan di dalam rumah, aku dan sepupu-sepupuku mula mengatur dan mengemas rumah tersebut sehinggalah ke larut malam. Sekarang barulah seluruh tubuh badanku terasa lenguh hasil dari kerja yang sambung-menyambung dari siang tadi.

Bilikku berada di tingkat atas. Aku mendaki setiap anak tangga untuk menuju ke bilikku. Tubuhku terasa melekit kerana cucuran peluh yang tak henti-henti mengalir semasa berkerja tadi. Sesampainya aku di dalam bilikku, aku terus mencapai tualaku lalu keluar semula untuk turun ke bawah, hendak menuju ke bilik mandi untuk menyegarkan diri. Semasa aku berada di luar bilikku, aku ternampak salah seorang sepupuku berdiri seorang diri di beranda luar yang menghala ke tasik. Dia berdiri tegak membelakangi aku. Aku tak tahu kenapa tiba-tiba dia menyendiri di situ dan aku tak rasa hendak mengganggunya yang mungkin saja tengah melayan perasaan. Aku hanya menggelengkan kepalaku lalu terus menuruni anak tangga.

Di bawah, aku melihat kesemua sepupu-sepupuku berkumpul di ruang tamu, bercerita dan bergelak ketawa melepaskan kelelahan yang dirasai. Tiba-tiba…

“Aik? Bila masa kau pergi kat atas, Kim?” tegur salah seorang sepupuku, Azrimin.

Pelik. Aku merasa sungguh pelik mendengarkan pertanyaannya. Bagaimana mereka tak perasan aku berlalu ke atas sekejap tadi, sedangkan aku sememangnya melintas depan mereka? “Aku melintas depan kau pun kau tak perasan eh? Khusyuk betul kau bercerita” aku membalas kembali. Aku rasa sepertinya dia bergurau saja.

Mereka semua terdiam tiba-tiba dan kesemua mata memandang tepat ke wajahku. Apa pula kali ni? Aku hanya mampu mengangkat kening dan kedua bahuku.

“Eh, Kim. Tadi kami nampak kau duduk diam-diam sorang diri kat hujung sana tu, ha” sampuk seorang lagi sepupuku, Azim sambil jari telunjuknya menunjukkan ke satu sudut berhampiran dengan pintu masuk. “Tak pula kami nampak kau melintas depan kami, apatah lagi naik ke atas”.

Mereka yang lain hanya mengangguk tanda mengiyakan kata-kata Azim. Aku merasa terkejut bukan kepalang mendengarkan penjelasan sepupuku itu. Tak semena-mena, aku terkenang kembali akan sepupuku yang ku lihat berdiri di luar beranda atas tadi lantas aku mencari kelibatnya diantara mereka yang berada di sana. Sekali lagi aku terkejut. Dia ada di sana bersama mereka. Jadi? Yang di atas tu siapa? Aku merasakan peluh dingin mula bercucuran di dahiku.

“Kau okey ke Hakim?” tanya Amar, sepupuku yang ku lihat berada di beranda itu.

“Hmmm. Ya, aku okey. Aku mandi dulu eh. Kau orang tidur kat sini ke malam ni?”. Sempat aku bertanyakan mereka sebelum berlalu ke bilik mandi.

“Dah jauh malam ni takkan kita orang nak pi balik lagi. Takkan tak biasa kot kita orang tinggal satu bumbung dengan kau bro. Takdenya kes khalwat ni”. Rafi sempat bergurau lalu disambut dengan gelak tawa mereka yang lain.

“Ye lah, ye lah. Suka hati kau orang lah”. Aku tersenyum lalu terus beredar ke bilik mandi. Mereka memang begitu bila dah bertemu. Aku tak hairan.

Di dalam bilik mandi, aku termangu seketika sebelum mencurahkan air dingin ke tubuhku. Aku masih tertanya-tanya siapa gerangan yang berada di beranda itu? Dan siapa pula yang dilihat mereka tadi? Mereka melihat itu ‘aku’ sedangkan aku pada saat itu berada di tingkat atas. Aku mula merasa tak sedap hati. Aku terfikir kalau-kalau rumah ini…

“Praaakkkkkk!”.

Aku tersentak mendengarkan bunyi seperti dahan kayu patah itu. Begitu dekat dengan bilik mandi, cuma saja ianya di luar rumah. Kencang terasa degupan jantungku selepas mendengar bunyi itu. Memandangkan kawasan rumah ini dikelilingi oleh pokok-pokok kayu yang besar, aku tak pelik kalau ada diantara dahan pokok kayu tersebut yang patah. Tambahan pula kalau pokok-pokok tersebut dah berusia beberapa abad, sudah setentunya ada diantaranya yang akan reput. Setelah degupan jantungku kembali normal, aku meneruskan mandianku sehingga selesai.

Sebaik aku melangkah keluar dari bilik mandi tersebut, sekali lagi aku terdengar bunyi dahan patah. Kali ini bunyinya betul-betul berada di depan pintu dapur di sebelah luar, memandangkan bilik mandi itu terletak tidak jauh dari situ. Kali ini aku terasa seperti ada sesuatu yang ganjil. Dahan patah depan pintu? Aku tak menunggu lama. Aku terus melangkah menuju ke ruang tamu lalu naik ke atas menuju ke bilikku. Aku sudah tak menghiraukan lagi ekspresi wajah sepupu-sepupuku yang jelas seperti tertanya-tanya akan kelakuanku itu. Sebaik aku berada di tingkat atas, aku langsung tak menoleh ke beranda tersebut sebaliknya terus masuk ke dalam bilikku. Aku terasa seperti seluruh tulang-temulangku menggigil. Peluh dingin tak henti-henti mengalir dan kali ini bukan setakat di dahi tetapi seluruh tubuh. Ada apa sebenarnya dengan rumah ini? Baru hari pertama berada di dalam rumah ini, aku sudah mula merasakan sesuatu yang tidak elok.

Aku terus menyarung pakaianku dengan pantas. Tuala mandiku aku campak saja ke atas katil tanpa sempat menyidainya lalu aku terus meluru keluar menuju ke ruang tamu di tingkat bawah. Semasa aku sudah berada berdekatan dengan tangga, telingaku sempat menangkap bunyi seperti derap kaki orang berjalan di atas bumbung rumah itu. Langkah kakiku semakin laju untuk menuruni anak-anak tangga tersebut. Di bawah, tanpa berlengah lagi, aku pun terus duduk dan mengambil tempat di sisi Amar. Mereka semua memandang wajahku.

“Kau ada dengar atau nampak apa-apa ke Kim?” Amar menyoalku.

Aku terdiam. Aku tak tahu apa yang hendak ku jawab. Aku seperti kehilangan kata-kata untuk menceritakan apa yang berlaku. Aku juga tak tahu, patutkah aku mengangguk saja atau menggeleng sebagai tanda menafikan atau menidakkan. Tapi itu bermakna aku menipu mereka. Dan juga menipu diri sendiri.

“Kami rasa macam tak sedap hati Kim. Tadi masa kau kat bilik mandi, kami terdengar bunyi dahan patah kat luar pintu tu. Tapi kalau difikirkan semula, bagaimana pula boleh ada dahan tepat kat luar pintu tu? Kat sini memang banyak pokok-pokok kayu yang besar tapi takkan pula sampai patah depan pintu?” terang Amar lagi dengan panjang lebar.

“Masa kau kat atas tadi lepas kau dari bilik mandi, kami terdengar seperti seseorang sedang membaca sesuatu. Sayup bunyinya. Mulanya kami sangkakan kau yang membaca tu tapi bila kami dengar betul-betul, bunyinya seperti seorang perempuan pula. Aku rasa ada yang tak kena kat sini ni Kim. Dari kawasan rumah ni pun dah nampak yang tempat ni seperti ada ‘penghuni’ lain yang dah bertapak awal” jelas Azrimin pula.

Seperti tadi, aku masih membatukan diri. Semasa aku di dalam bilik mandi, mereka terdengar bunyi dahan patah tepat di luar pintu ruang tamu tersebut sedangkan dalam masa yang sama, aku juga terdengar dahan patah di luar bilik mandi. Semasa aku di atas pula, mereka seperti terdengar sayup-sayup seorang perempuan sedang membaca sesuatu dan aku pula terdengar bunyi derap kaki di atas bumbung rumah ini. Aku sudah mula merasa resah. Kalau beginilah yang akan terjadi di hari-hari seterusnya, nampaknya aku tak akan menunggu lama di sini. Sekarang pun sudah mula terjadi perkara-perkara yang aneh.

Aku mengangkat kepalaku untuk melihat jam yang telah digantung di dinding. Sudah hampir masuk jam 1 pagi. Tubuh sudah merasa penat tapi kerana kejadian-kejadian yang mengganggu ketenteraman jiwa, rasa penat itu ditolak ke tepi. Biarlah, sampai-sampai mana kepenatan itu boleh bertahan. Aku yakin, bila sampai masanya aku akan terlena juga. Begitu juga mereka yang lain. Tambahan pula aku mengambil cuti ketika ini seperti juga mereka berempat jadi kami tak risau kalau pun bangun akhir. Apa yang penting saat ini, hati kami galau dan merasa tak senang duduk bila mengenangkan semua yang berlaku dalam sekelip mata.

Dalam aku melayan perasaan sendiri, tiba-tiba pintu dan jendela ruang tamu tersebut diketuk dengan kuat dan serentak. Kami yang berada di ruang tamu itu tersentak. Ketukan-ketukan itu menggegarkan pintu dan jendela tersebut, sepertinya mahu tercabut dan pecah berderai dibuatnya. Kami yang melihatkan situasi tersebut berpandangan sesama sendiri. Habis baju kami basah lencun oleh peluh dingin yang mengalir. Kami merapatkan tubuh kami antara satu sama lain sambil mata kami tak lepas memandang pintu dan jendela tersebut. Azrimin dan Azim ku lihat terkumat-kamit seperti membaca sesuatu dan bagai tersedar dari mimpi, aku pun turut serta membaca beberapa potong ayat-ayat suci Al-Quran yang aku hafal walaupun hatiku sudah bergetar hebat. Bukan getaran cinta tapi getaran ketakutan.

Ketukan-ketukan tersebut dirasakan semakin kuat sehingga dirasakan gegarannya bagai terasa di seluruh penjuru rumah. ‘Benda’ yang mengetuk itu seperti berkeras mahu melawan sebaik saja kami membacakan ayat-ayat suci tersebut. Walaupun dalam ketakutan, kami tetap menggagahkan diri kami untuk membaca segala kalimah-kalimah agung yang kami ingat tanpa henti, sehingganyalah reda setelah beberapa lama kemudian. Setelah itu keadaan kembali menjadi tenang. Awal pagi itu kami membuat keputusan untuk tidur bersama-sama di ruang tamu itu. Masing-masing tidak berani untuk tidur bersendirian di dalam bilik tidur. Akhirnya kami tetap berkumpul di ruang tamu itu tanpa bergerak ke mana-mana lagi kecuali ke tandas. Itupun mesti berteman.

Aku pasti, jam ketika itu sudah menghampiri 2.15 pagi bilamana tiba-tiba aku berdiri betul-betul menghadap sebuah tasik yang airnya berwarna hijau. Tasik ini…bukankah ini tasik yang berada di belakang rumah tersebut? Memang cantik kawasannya. Tenang mata memandangnya dan aku merasakan jasadku seperti melayang jauh di awangan bila melihat pemandangan indah yang tersaji di depanku ketika ini. Tempat yang sesuai untuk membawa hati yang lara seperti apa yang ku alami ketika ini. Genap sebulanlah sudah aku ditinggalkan tunangku dan kini, aku hanya menjalani hari-hariku seorang diri. Kedua orang tuaku telah kembali menghadap Sang Pencipta 3 tahun yang lalu dan kakakku kini telah meninggalkan negara ini untuk tinggal bersama suaminya di Kanada. Tinggallah aku sebatang kara di sini. Hanya sepupu-sepupuku yang sudi menemankan aku di kala aku susah dan senang. Hanya mereka tempatku menumpang kasih.

Sedang aku bersendirian di kawasan tasik itu, tiba-tiba kelihatan kelibat seorang perempuan berbaju kurung hijau muda dan berselendang hitam berjalan perlahan menuju ke tepi tasik. Dia berhenti sebaik saja berada betul-betul di tepi tasik tersebut sambil matanya merenung jauh ke hujung tasik. Aku anggarkan usianya dalam awal 20-an begitu. Berkulit cerah dan mempunyai paras wajah yang jelita. Tetapi wajahnya kelihatan mendung saat ini. Dan matanya…mata itu…mata itu seperti tiada cahaya. Kelam. Seperti terluka sehingga menyebabkan kesakitan yang amat dalam tetapi sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Keadaannya itu membuatkan hatiku bagai digaru-garu untuk menghampirinya. Ingin aku bertanya kepadanya apa yang menyebabkan dia menjejakkan kakinya ke sana di saat itu. Tak takutkah dia berjalan seorang diri ke situ? Tambahan pula dia seorang perempuan.

Setelah aku menimbang-nimbang keputusanku, akhirnya aku memberanikan diri untuk menghampirinya. Aku hanya ingin tahu kenapa dia ke situ. Di pertengahan jalan, belum pun sempat aku menemuinya tiba-tiba saja dia terjun ke dalam tasik dengan tidak disangka-sangka. Aku tergamam melihatkan situasi yang berlaku di depan mata itu. Apa?? Dia membunuh diri??

Dengan tidak semena-mena, timbul kekuatanku untuk menyelamatkannya dari terus lemas. Itu nyawa. ITU NYAWA!! Anugerah Tuhan yang tidak terhingga, kenapa harus mencabutnya sebelum tiba masanya?? Sebagai seorang anggota bomba dan penyelamat, aku telah terlatih untuk menghadapi kejadian-kejadian sebegini. Tanpa berlengah lagi, aku pun terus terjun ke dalam tasik tersebut lalu mencari perempuan tersebut untuk diselamatkan. Aku pasti dia berada tidak jauh dari situ. Aku mencari di kawasan tidak jauh dari tempatnya terjun tadi tapi hampa. Aku tak terjumpa pun di mana perempuan itu berada. Aku naik ke atas dan mengapungkan diri seketika untuk mengambil nafas sebelum menyelam kembali ke dasar tasik. Kali ini aku jauhkan sedikit kawasan pencarianku dari tempat perempuan itu terjun tadi. Aku merasa hairan, bagaimana boleh dia menghilang begitu saja? Kalau pun dia mati lemas, pasti jasadnya tenggelam tidak jauh dari tempatnya terjun tadi. Adakah dia masih hidup lalu menyelam ke tempat lain? Adakah dia melakukan terjunan itu saja-saja? Sekadar hendak berenang atau menyelam di tasik itu? Semasa dia hendak terjun tadi, aku tak nampak pun tanda-tanda yang dia sekadar nak berenang atau menyelam suka-suka tapi dia menunjukkan tanda sebaliknya.

Aku teruskan usaha mencari tapi jawapannya masih sama; aku tak jumpa dia. Akhirnya aku memutuskan untuk berpatah balik menuju ke tempat aku mula-mula, yang juga tempatnya terjun tadi. Sebaik aku berpaling untuk menuju ke tempat tadi, aku merasakan nyawaku hampir tercabut melihatkan benda yang timbul tiba-tiba di depanku. Betul-betul berada di depanku. Kelibat seorang wanita yang sangat buruk rupanya. Kelopak matanya kosong kedua-duanya tanpa biji mata, pipinya berlubang-lubang dan berulat, rambutnya pula putih-kelabu dan panjang menggerbang manakala giginya dipenuhi dengan taring yang tajam. Pakaiannya koyak-rabak dan berdarah. Aku cuba untuk melarikan diri dengan menyelam ke arah lain tetapi kakiku terasa berat untuk mengayuh sehingga aku tak mampu untuk bergerak. Nafasku sudah naik sesak kerana terlalu lama berada di dalam air ditambah pula dengan ‘pertemuan’ yang tidak disangka-sangka ini menyebabkan nafasku semakin sempit kerana ketakutan. Akhirnya aku lihat tangan-tangannya yang berkuku panjang dan tajam meruncing itu hampir menjangkau leherku, menunggu masa untuk menamatkan riwayat hidupku. Di kesempatan itu aku cuba untuk berteriak sekuat hati sambil memejamkan mata biarpun aku tahu, aku tak akan mampu mengeluarkan suara bila berada di dalam air. Tapi aku tetap mencuba.

Aku terasa tubuhku seperti digoncang-goncang oleh seseorang. Tak cukup digoncang, pipiku pula terasa diusik. Akhirnya aku membuka mataku. Bila saja terbuka sepenuhnya, aku merasa kaget lantas aku bangun dan duduk sambil memandang sekelilingku. Aku di dalam rumah? Bukan di tasik? Aku bermimpi ke?

“Kau mengigau bro. Kami terdengar kau seperti meracau tapi mata kau tertutup. Tahulah kami yang kau sedang mengigau”. Rafi memberitahuku tentang yang apa yang terjadi padaku.

Aku meraup wajahku lalu melihat jam di dinding. 4 pagi. Lama kah aku bermimpi itu? Atau dengan lebih tepat lagi, mengigau? Aku tak pasti. Tapi apa yang aku pasti, mimpi atau igauan itu seperti benar-benar terjadi. Aku masih terasa mengah dan letih walaupun ianya bukan kejadian sebenar. Nasib baik mereka sempat menyedarkan aku, kalau tak…mungkin juga saat ini aku sudah tak bernyawa lagi.

“Kim. Kau tahu ke serba sedikit tentang latarbelakang rumah ni? Kau ada dengar sebarang cerita tak?”. Azim bertanya kepadaku mengenai rumah ini.

“Tak. Aku tak tahu langsung. Kenapa?”.

“Kau tak nak cungkil apa-apa mengenainya? Kot-kot rumah ni ada sejarah. Tak tahulah kenapa tiba-tiba aku terfikir mengenai itu semua tapi tak salahkan kalau kita nak tahu” sambung Azim lagi.

Aku berfikir sejenak mengenai kata-kata Azim itu. Mungkin ada benarnya. Aku kembali teringatkan mimpiku itu tadi. Siapa perempuan muda tu? Dan apa sebenarnya mimpi itu? Aku terfikir kiranya perempuan itu mempunyai kaitan dengan rumah ini. Tapi apa yang terjadi? Itu yang tak pasti.

“Kalau nak tahu mengenai rumah ni, di mana nak mula?” soalku kepada Azim.

“Yang sewakan rumah ni?”.

“Aku tak yakin dia akan menjawab dengan baik kalau kita persoalkan tentang sejarah rumah ini” bidasku.

“Atau mungkin orang-orang kampung ada yang tahu akan sejarah rumah ini. Kita cuba saja” cadang Azim lagi.

Aku terdiam seketika mendengarkan cadangannya sebelum mengangguk bersetuju. “Okey. Kita cuba siang nanti” jawabku ringkas.

Sebaik saja kami selesai menunaikan solat subuh berjemaah, kami memutuskan untuk terus bangun dan menunggu hari siang. Selalunya jarang sekali kami akan terus bangun sebegini apabila selesai bersolat tapi tidak untuk hari ini. Aku baru saja mengetahui selepas diceritakan oleh mereka berempat sebentar tadi. Semasa aku tenggelam dalam mimpiku, dalam masa yang sama tidur mereka berempat telah diganggu. Azim ternampak kelibat hitam yang berjalan merangkak dari tingkat atas menuju ke tingkat bawah di mana tempat kami semua berkumpul. Ketika itu dia baru saja keluar dari tandas dan hendak menyambung semula tidurnya. Azrimin pula ternampak bayangan hitam yang melintas dengan laju di sebelah dapur semasa dia terjaga seketika dari lenanya manakala Amar ternampak seperti bayangan seseorang di luar rumah sedang meninjau ke dalam ruang tamu melalui jendela tersebut apabila dia hendak memalingkan badannya menghadap jendela ruang tamu. Cuma Rafi saja yang terkena gangguan yang agak ‘berat’ bilamana dia terasa kakinya seperti diusik seseorang. Apa yang membuatkannya tak lena tidur, dia ternampak seperti jari telunjuk yang kulitnya kelihatan buruk serta cukup dengan kuku yang panjang dan tajam sedang mengusik kakinya tetapi yang empunya jari itu tidak kelihatan seolah-olah terlindung oleh kerusi sofa tersebut. Hanya aku yang tidak diganggu secara terang-terangan sebegitu sebaliknya aku diganggu melalui mimpi.

Apabila matahari telah naik ke angkasa dan memuntahkan sinaran paginya, kami pun keluar dari rumah tersebut lalu merayau ke kawasan kampung itu dan mencari mana-mana warung atau restoran yang ada di situ. Kami ternampak sebuah restoran yang jaraknya hanya satu kilometer dari simpang menuju ke rumah sewaku itu lalu memutuskan untuk singgah bersarapan di situ. Kami dapati pemilik restoran tersebut yang juga mengusahakannya sendiri adalah seorang lelaki berbangsa Melayu dan berusia dalam lingkungan 60-an. Penduduk kampung itu juga.

“Anak-anak ini dari mana? Baru pernah nampak di kampung ini” sapanya ramah. Dia nampak baik orangnya.

“Kami berempat ni dari Brunei-Muara sebenarnya pak haji kecuali dia ni yang dari Tutong” Amar menepuk perlahan bahu Rafi sebagai pemberitahuan kepada pak haji itu bahawa dialah saja yang satu-satunya berasal dari Tutong.

“Kami ke sini sebab nak menemani sepupu kami ni yang baru saja pindah kelmarin ke sebuah rumah sewa di kampung ini juga. Dia baru ditugaskan di daerah ini sebab tu dia menyewa rumah. Nak memohon barek pula dah penuh tambahan lagi ada diantara blok-blok barek tersebut yang terpaksa ditutup disebabkan menjalani pengubahsuaian ketika ini” jelas Amar lagi bagi pihak aku. Aku hanya tersenyum dan mengangguk kepada pak haji tersebut.

“Oh, begitu. Jauh juga kamu turun ke mari. Boleh pak haji tahu rumah mana yang kamu sewa tu?” dia menyoalku.

“Tak jauh dari sini pak haji, hanya jarak satu kilometer saja. Rumah tu letaknya jauh kat dalam lagi dari simpang masuknya. Yang penting, kat belakang rumah tu ada sebuah tasik berwarna hijau” terangku kepadanya.

Tiba-tiba ku lihat riak wajah pak haji itu berubah. Dia seperti terkejut mendengarkan penjelasan aku itu. Aku pasti ada sesuatu megenai rumah itu yang dia tahu. Melihatkan reaksinya, aku cuba memulakan langkahku.

“Kenapa pak haji? Pak haji tahu apa-apa tentang rumah tu?” soalku.

Ku lihat bibirnya bergerak-gerak, seperti hendak menyatakan sesuatu tetapi terhenti sesaat kemudian. Dia tertunduk seketika dan menarik nafasnya sedalam-dalamnya. Dia mengangkat wajahnya lalu memandang wajah kami satu persatu.

“Kalau rumah itu yang kamu maksudkan, setentunya rumah itu mempunyai sejarahnya tersendiri. Sejarah hitam” jelasnya.

Sejarah hitam? Benakku tertanya-tanya. Aku semakin teruja ingin mengetahui kisah disebaliknya.

“Rumah itu sebelum ini didiami oleh seorang gadis yatim piatu. Ketika itu usianya baru masuk 21 tahun. Kedua ibubapanya  berserta kedua-dua orang kakaknya telah pun meninggal dunia semenjak usianya 12 tahun kerana terlibat di dalam sebuah kemalangan, maka tinggallah dia sebatang kara. Bukanlah dia tak punya sanak saudara tetapi dia berdegil untuk terus menetap di rumah peninggalan ibubapanya walaupun hanya dia seorang saja yang tinggal di sana” cerita pak haji itu. Dia berhenti seketika untuk menghirup kopi panasnya sebelum menyambung semula ceritanya.

“Satu hari tu dia keluar sebentar untuk membeli berapa barang keperluan untuk dirinya tetapi malang tak berbau. Sebaik saja dia kembali ke rumahnya, dia mendapati ada beberapa orang lelaki yang tidak dikenali mengheretnya ke dalam rumahnya lalu dirogol secara bergilir-gilir. Hari itu merupakan detik hitam di dalam hidupnya. Lelaki-lelaki itu, sebaik saja selesai merogolnya, mereka pun lari entah ke mana. Tinggallah dia seorang meratapi nasibnya sendiri”. Pak haji berhenti lagi buat seketika.

“Sejak-sejak tragedi itu, dia keadaannya bertambah murung. Dia semakin memencilkan dirinya dan langsung tak nak bersua muka dengan orang-orang kampung walaupun mereka tak pernah menghinanya. Dia mengurung dirinya di dalam rumah tersebut sehinggalah satu masa penduduk kampung ini mendapati jasadnya berada di dasar tasik di belakang rumahnya. Ketika itu mereka berhajat untuk melawatnya tetapi mereka dapati dia tiada di dalam rumah tersebut. Mereka sangkakan dia pergi ke kedai tapi dia tiada di situ dan dari sanalah mereka mendapati jasadnya setelah mereka membuat operasi pencarian mereka sendiri”. Pak haji meneguk kopi panasnya itu lagi yang kini sudah bertukar menjadi sejuk.

“Bila kisah ni terjadi pak haji?” aku bertanya lagi.

“Kira-kira 40 tahun yang lalu” jawabnya ringkas.

40 tahun yang lalu? Belum lagi aku mahupun sepupu-sepupuku itu lahir ke dunia ini!

“Rumah itu telah dibaiki dan diubahsuai sedikit oleh sepupu gadis itu kerana itu ianya masih bertahan sehingga kini. Tapi tak sangka pula ianya dijadikan rumah sewa” sambung pak haji. “Pak haji masih ingat, ada seorang penduduk kampung ini menceritakan yang dia terbaca beberapa baris ayat-ayat terakhir yang disampaikan oleh gadis itu melalui secebis kertas sebelumnya membunuh diri”.

“Apa dia pak haji?” soal Azrimin pula.

“Pak haji tak berapa ingat ayat-ayatnya tapi yang pak haji ingat kata-katanya itu seperti sebuah amaran. Dia tak mahu tempat kediamannya diganggu oleh siapa-siapa. Sebab itulah pak haji terkejut bila kamu kata kamu menyewa rumah itu. Pak haji tak tahu pun yang ianya telah menjadi rumah sewa”.

Terlopong aku mendengarkan kenyataan pak haji itu. Azim, Azrimin, Amar dan Rafi pula masing-masing membulatkan mata mendengarkan penjelasan pak haji. Sememangnya kami sama sekali tak menyangka akan perihal sebenar rumah itu. Kalau sudah begitu amarannya, maknanya…itu seperti satu sumpahan. Saat itu juga aku terfikir untuk keluar dari rumah itu pada hari itu juga. Aku tak jadi menyewa rumah tersebut.

Sebaik saja selesai bersarapan di restoran tersebut, kami bersalam-salaman dengan pak haji itu lalu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi berkongsi maklumat mengenai rumah itu. Usai itu semua, aku tak berlengah lagi untuk meminta mereka berempat menguruskan semula pengangkutan khas untuk memindahkan barang-barangku dari rumah itu. Aku telah menyatakan keputusanku kepada mereka berempat untuk membatalkan hasrat menyewa rumah itu. Mereka tidak membantah. Aku seterusnya menghubungi tuan punya rumah sewa dan memberitahunya tentang pembatalan tersebut. Syukur semua urusan tersebut berjalan dengan lancar. Kami tidak terus pulang ke rumah sewa tersebut sebaliknya kami berjalan-jalan tanpa arah tujuan di kampung itu sehinggalah kenderaan-kenderaan untuk mengangkut barang-barang aku itu sampai di sana. Pagi itu juga kami memanyap semula segala barang-barang yang telah disusun dan dipasang di rumah tersebut secepat mungkin. Kami tidak mahu segalanya selesai bila malam sudah membuka tiranya tapi kami mahu beredar dari situ sebelum malam menjelma lagi. Nasib baik barang-barang yang aku bawa ke rumah itu tak banyak sangat jadinya itu memudahkan sedikit urusan angkat-mengangkat barang-barang tersebut.

Sekali lagi aku bersyukur kerana semuanya selesai seperti yang dijangkakan. Tepat jam 3 petang, rumah itu sudah dikosongkan semula. Semua barang-barang kepunyaanku selamat diletakkan di atas kenderaan-kenderaan dan tinggal untuk dibawa pergi dari situ saja lagi. Sebelum meninggalkan rumah itu, aku sempat melihat ke kawasan tasik di belakang rumah tersebut. Tiba-tiba aku ternampak seorang gadis muda berbaju kurung hijau muda dan berselendang hitam berdiri hampir tasik tersebut, membelakangi aku. Gadis itu! Seperti yang di dalam mimpiku awal pagi ini tadi. Perlahan-lahan, gadis itu memalingkan tubuhnya sehingga akhirnya menghadap aku. Aku terpana seketika. Matanya jelas memandangku tajam sambil tersenyum sinis. Aku tersedar lalu aku lekas-lekas berpaling dari situ dan seterusnya melangkah menuju ke keretaku. Sebelum aku melangkah masuk ke dalam keretaku, aku sempat mendengar satu suara halus di belakangku berkata-kata sesuatu. Aku tak menahan lama. Aku terus masuk ke dalam keretaku sambil melafazkan kalimah ‘Bismillah’ lalu menekan pedal minyak kereta dan beredar dari situ. Bagus juga aku tergerak hati untuk menghidup dan memanaskan enjin kereta awal tadi, sekurang-kurangnya sekarang aku tak perlu lagi menunggu sampai beberapa minit untuk suhu enjin itu mulai naik hingga ke sekian tahap dan baru boleh dipandu.

Akhirnya kami semua telah pun selamat berlepas dari kawasan rumah sewa tersebut. Hanya sehari aku bertahan di rumah itu, kini aku terpaksa mencari lagi rumah baru yang kosong untuk disewa di daerah itu. Buat sementara waktu ini terpaksalah aku menumpang di rumah Rafi memandangkan hanya rumahnya saja yang agak dekat sedikit menuju ke daerah itu. Mujur saja ibubapanya yang juga merupakan ibubapa saudaraku tak kisah dengan kehadiranku di rumah mereka. Barang-barangku yang telah diangkut menggunakan pengangkutan khas tadi diletakkan buat sementara di dalam stor milik keluarga Rafi memandangkan stor mereka agak besar dan luas. Setelah segalanya selesai, Azrimin, Azim dan Amar meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing di Daerah Brunei-Muara. Tinggallah aku dan Rafi saja di sana.

Malam itu aku dan Rafi berborak-borak seketika selepas makan malam tapi tidak begitu lama kerana masing-masing merasa keletihan dan mahu berehat awal pada malam itu.  Aku terus masuk ke dalam bilik yang telah pun disiapkan untuk aku. Sebaik saja berada di dalam bilik itu, aku merebahkan tubuhku di atas katil berkenaan. Nyaman terasa setelah tubuh memcecah tilam empuk itu. Aku menongkat belakang kepalaku menggunakan kedua-dua belah tanganku lalu memandang siling rumah tersebut.

Aku masih teringat akan setiap butir bicara pak haji di restoran itu pagi tadi. Mengenangkan cerita itu, tiba-tiba aku seperti terperasan bahawa ada sedikit persamaan antara aku dengan gadis yang dimaksudkan itu. Dia seorang anak yatim piatu dan mempunyai kakak seperti juga aku. Bezanya saja, dia mempunyai dua orang kakak dan kedua-duanya turut mati terbunuh dalam sebuah kecelakaan bersama-sama dengan kedua orang tuanya manakala aku hanya mempunyai seorang kakak dan kakakku pula masih hidup cuma dia sudah tiada lagi di negara ini. Tiba-tiba aku merasa sedikit tersentuh dengan kisah tragis gadis itu. Kaum Adam diciptakan sebagai pelindung kepada kaum Hawa, bukan merosakkannya. Tapi apa yang terjadi kepada gadis itu adalah sebaliknya. Sesungguhnya aku amat membenci perbuatan zalim sebegitu walaupun aku sendiri adalah seorang lelaki. Aku tak pernah diajar untuk merosakkan seorang perempuan tetapi aku diajar untuk menjaga hak mereka, menghormati serta melindungi mereka. Dan itulah prinsip yang aku pegang sehingga sekarang. Sampai bila-bila sekalipun.

Kini mataku terasa berat. Bila-bila masa dari sekarang aku akan terlena diulit mimpi, hanya menunggu masa saja. Terakhir sebelum aku melabuhkan tirai untuk hari itu, aku teringat akan kata-kata yang halu yang sempat menyinggah di telingaku sebelum aku berlalu dari rumah itu petang tadi.

‘Itu tempatku, di situ nyawaku berakhir. Jangan ada yang mengganggu-gugat rumahku, kerana di situ nyawaku tertinggal’.

Bunyinya kedengaran seperti beberapa rangkap pantun atau mungkin sajak tetapi aku tahu, itu adalah beberapa rangkap amaran yang cukup jelas bagi mereka yang datang ‘menceroboh’ tempatnya. Aku tak pasti kenapa tapi aku rasa dia mungkin tak mahu orang tahu dengan lebih lanjut lagi akan kisah rumah itu.

Dan kerana itulah dia memberi sebuah amaran dan seolah-olah memberitahu sesiapa saja yang berada di sana bahawa ada nyawa yang tertinggal di situ.

                                 SELESAI.

Posted from WordPress for Android

Advertisements

KISS FROM A ROSE – Bhg 12

Perairan Laut China Selatan, 2000 Jam.

Kelihatan sebuah kapal persiaran mewah milik persendirian bersaiz sederhana besar sedang berlabuh di tengah-tengah laut. Terang bergemerlapan cahaya yang dipancarkan dari kapal tersebut. Di hujung dek, seorang lelaki berusia pertengahan 40-an dan berpakaian pijama berwarna perang sedang berdiri sambil meghisap rokok. Matanya terarah jauh ke dalam kepekatan malam di permukaan laut. Dia melirik jam tangannya untuk ke sekian kalinya dan kelihatan resah seperti menunggu sesuatu.

“Bos, bot dah nak datang”. Seorang lelaki yang agak muda dan berpakaian serba hitam datang memberitahunya.

Bos itu berpaling dan memandang lelaki tersebut. “Kalau diorang dah sampai, suruh diorang naik ke mari” arah bos.

“Ya, bos”. Lelaki itu mengangguk lalu beredar ke bahagian belakang kapal untuk menjalankan arahan bos tersebut.

Bos mencampak puntung rokoknya ke dalam laut lalu melangkah menuju ke sebuah kerusi rehat yang terletak tidak jauh dari hujung dek berkenaan. Dia menghenyakkan punggungnya diatas kerusi itu. Kepalanya disandarkan pada hujung penyandaran kerusi dan perlahan-lahan, dia memejamkan matanya. Malam itu dia akan berurusan lagi mengenai ‘benda’ yang menjadi sumber pendapatannya selama ini dengan pembekal yang juga merupakan ‘rakan niaga’nya dari Thailand. Dia tersenyum lebar mengenangkan wang beratus-ratus ribu malahan kadangkala menjangkau berjuta akan masuk ke dalam akaun simpanannya tidak lama lagi. Dan apa yang paling penting, dia akan pastikan segala rancangan yang telah dirancang dengan rapi selama ini berjalan dengan lancar. Kini dia berada di perairan berhampiran dengan sempadan kawasan maritim negara yang ingin ditujunya. Negara di mana dia akan menjalankan segala rancangannya.

Kedengaran beberapa bunyi derap kasut menghampirinya. Bos membuka matanya lalu memalingkan sedikit wajahnya, melihat siapakah gerangan mereka yang melangkah menuju ke arahnya. Apabila dia mengenali kelibat-kelibat yang datang itu, dia lantas bangun dan berdiri menghadap mereka. Dia tersenyum memandang tetamu-tetamu tersebut seterusnya merasa lega kerana penantiannya telah berakhir.

Bos mendepakan tangannya. “Welcome my friends, welcome!  It’s been a while since the last time we met“. Bos mengalu-alukan kedatangan mereka lalu memeluk tetamu-tetamu itu seorang demi seorang.

Salah seorang dari tetamu itu tersenyum senang memandangnya sambil kedua-dua belah tangannya memegang kedua-dua bahu bos. “You still look great, my friend. How are you?“.

I’m good. So how is it going for you, Mr Khorn?“.

“Aku baik-baik saja, seperti kau juga. Bisnes semua berjalan dengan lancar” Khorn menjawab pertanyaan bos dalam bahasa Inggeris.

Bos mengangguk-anggukkan kepalanya sebelum mempelawa mereka untuk duduk di atas kerusi yang terletak di tengah dek, dilengkapi dengan sebuah meja yang berpayung besar. Sebaik sahaja mereka semua mengambil tempat duduk yang telah disediakan, perbincangan mereka dimulakan.

So, bagaimana dengan urusan jualbeli tu? Beres semuanya?” bos memulakan bicaranya.

Khorn, selaku wakil para tetamu tersebut bersuara. “Itu kau jangan risau. Semua aku tanggung beres. Stok baru pun baru saja sampai 2 hari lalu so tak ada masalah shortage punya”.

Bos tersenyum gembira mendengarnya. “Bila boleh sampai sini barang-barang tu? Berapa semua?” soalnya lagi.

“Aku kasi kau seminggu untuk angkut semua barang tu ke sini. Semuanya $450 ribu. Kau okey dengan jumlah tu?”.

“Aku takde masalah dengan harga tu. Kau boleh kasi berapa yang kau nak, aku boleh beri. Yang penting rancangan aku tak hancur punya” bos cuba meyakinkan Khorn supaya dia tidak merasa ragu dengannya. Khorn tersengih mendengarkannya.

“Bila kau nak jalankan rancangan kau tu?”. Khorn inginkan kepastian mengenai rancangan bos itu.

“Bila sampai masanya dan bila semuanya dah ready. Orang-orang aku time ni dah lepas ke negara tu” beritahu bos kepada Khorn.

So how is it?“.

“Aku masih menunggu berita dari diorang. Kalau dah beres semuanya, aku dan yang lain masuk sana nanti. Aku dengar ramai betina-betina yang fresh dan ‘nyaman’ punya kat sana” terang bos lalu ketawa terbahak-bahak bersama Khorn dan konco-konconya.

“Hei, kalau kau nak merasa yang fresh tu, jangan lupa kongsi juga dengan aku. Jangan pula syok sendiri” tambah Khorn. Berderai lagi tawa mereka. Mereka merasa seronok membayangkan diri mereka berbuat onar terhadap wanita-wanita di negara yang hendak mereka jelajah itu.

Telefon bimbit bos berdering. Serentak itu tawanya terhenti mendengar deringan itu lalu dengan pantas, dia menjawab telefonnya.

“Hei, kau buat apa hubungi aku malam-malam buta ni hah?? Jangan sampai aku sibai kepala kau kalau kau setakat nak cakap hal yang kecil!”. Bos marah perbualannya bersama Khorn dan yang lain terhenti seketika disebabkan telefon tersebut.

“Err…sorsorry bos tapi aku ada satu berita nak kasi bos tau” jawab suara itu, tergagap-gagap.

“Baik. Cakap cepat! Aku ada tetamu time ni, kau faham??” sergah bos.

“O…okey, okey bos” lalu suara itu pun menyampaikan apa yang ingin disampaikannya kepada bos itu. Bos yang mendengarkan berita baru disampaikan kepadanya saat itu bertukar riak. Wajahnya menjadi merah padam dan dadanya berombak kencang, menahan marah.

Sebaik sahaja talian diputuskan, dia terus memcampakkan telefon bimbitnya ke atas lantai dek sehingga mengejutkan mereka yang ada di situ. Bos gagal mengawal emosinya saat itu. Dia begitu sakit hati mendengarkan perkhabaran yang baru disampaikan kepadanya sebentar itu tadi.

‘Pasukan-pasukan keselamatan negara tu dah mula bertindak?? Bagaimana mereka tahu??’ benaknya tertanya-tanya. Tiba-tiba dia merasa sedikit takut dan cemas. Takut dan cemas jikalau ada diantara orang-orangnya yang cuba membelot kepadanya. Atau mungkin ada diantara sekutu-sekutunya yang hendak menjatuhkannya kerana mahu berebut kuasa.

Malam itu juga dia bertekad, dia akan menyiasat siapa dalang disebalik terbongkarnya rahsia rancangan mereka.

Petani Mall, Tutong, 2000 Jam.

Dia berjalan-jalan tanpa arah tujuan sementara menunggu kedua ibubapanya yang sedang membeli-belah di dalam pasaraya Hua Ho. Dia tak tahu apa yang hendak dibelinya jadi dia mengambil keputusan untuk merayap ke sana ke mari di luar pasaraya tersebut, kebetulan di luar itu ada beberapa buah lagi kedai yang lain serta gerai-gerai jualan kecil-kecilan didirikan. Senanglah dia cuci mata melihat barang-barang yang dijual tapi setakat itu sahaja. Tak pula dia berhajat untuk membelinya.

Sedang dia begitu khusyuk membelek-belek barang-barangan yang dijual itu, tiba-tiba dia terdengar seseorang berdehem dibelakangnya. Tergelincir juga nyawanya sesaat mendengar deheman tersebut lalu dia berpaling melihat siapakah orang itu. Sekali lagi dia terkejut melihatkan insan-insan yang berada di depannya sekarang.

“Apa Tuan berdua buat kat sini malam-malam ni?” soalnya. Matanya memandang mereka berdua silih berganti.

“Jumpa kau”. Ringkas sahaja jawapannya. Yang seorang lagi hanya tersenyum.

Berkerut dahinya mendengarkan jawapan itu. “Jumpa saya? Biar betul Tuan. Dan Leftenan Ezan?”. Matanya terhenti kepada Ezan.

“Seperti ASP Ilham, saya juga nak jumpa awak, Inspektor Zahra”. Bertambah pelik dia mendengarkan jawapan Ezan.

“Zahra, kami baru saja menghadiri emergency meeting antara pasukan-pasukan yang akan terlibat di dalam operasi besar yang akan datang siang ini tadi. Aku hubungi kau beberapa kali pagi tadi tapi handphone kau tak dapat dihubungi, begitu juga talian telefon rumah kau. Kami tak dapat buat apa-apa dan meeting tetap diteruskan seperti biasa” terang Ilham panjang lebar.

Zahra mengangkat keningnya. “I’m sorry Tuan, kat kampung saya tak ada service. Talian rumah saya pula dah diputuskan beberapa bulan yang lalu. So Tuan berdua nak buat apa sekarang ni?”.

“Inspektor Zahra, can you spare some time with us sekarang? Ada perkara penting yang hendak kami sampaikan kepada awak” giliran Ezan pula bersuara.

Zahra merenungnya seketika sebelum melepaskan keluhan. “Baiklah. Di mana kita nak discuss? I need to tell my parents first“.

“Kat kawasan letak kereta saja. Di situ agak jauh sedikit dari pendengaran ramai”.

Zahra mengangguk. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar jeansnya lalu mengirimkan satu mesej kepada ayahnya, memaklumkan kepada kedua orang tuanya tentang keberadaannya ketika itu.

Ezan sempat memerhatikan perlakuan Zahra lalu mendekatinya. “Puan Zahra ni anak emas eh?” dia cuba mengusik Zahra.

Zahra mencebik mendengar kata-kata Ezan itu. “Tuan Ezan, kalau saya ni anak emas saya takkan berkerja, tahu? Pasti dah lama saya memerap kat dalam rumah saja, minta itu ini dari kedua orang tua saya tanpa berikhtiar sendiri”.

Ketawa Ezan terhambur mendengarkan penjelasan Zahra itu. “Relaks la, Puan Zahra. Jangan la marah-marah, susah nanti saya masuk meminang awak” usiknya lagi.

“Zap!”. Zahra terkedu mendengarkannya lalu dia berpaling ke sisinya, memandang tepat ke dalam anak mata Ezan. Seperti Zahra, Ezan juga memberikan reaksi yang sama lantas menguntumkan sebuah senyuman dibibirnya.

Tiba-tiba Zahra merasakan dadanya bergetar saat merenung Ezan sedalam begitu. Dengan cepat, dia mengalihkan pandangannya ke arah lain sedangkan Ezan masih merenungnya. Zahra merasakan pipinya begitu hangat dan degupan jantungnya kedengaran berdegup laju. Sungguh aneh perasaannya ketika ini tapi dia tidak mengerti.

Ilham melirik mereka berdua melalui ekor matanya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan cuba membuang pandang ke arah lain. Hatinya bagai disiat-siat melihatkan situasi itu tetapi dia tak dapat berbuat apa-apa. Dan dia juga tidak akan menyalahkan jauh sekali mendendami siapa-siapa diantara mereka berdua walaupun hatinya remuk pada ketika ini kerana dia juga sedar, ajal dan jodoh itu di tangan Tuhan. Bagaimana sekalipun kuatnya cintanya pada wanita itu tapi sekiranya itu bukan takdirnya, mereka tetap tidak akan bertemu sampai bila-bila pun. Kerana itu dia tetap berdiam diri.

Sedar tak sedar, mereka telah pun berada di kawasan letak kereta.

“Kita dah sampai. Shall we begin now?”.

Dengan berhati-hati, mereka berdua menyampaikan perkara tersebut kepada Zahra. Zahra terkejut buat ke sekian kalinya apabila dia mendengarkan informasi terbaru yang baru didengarnya itu.

‘Penyeludupan senjata api? Elemen subversif? Memang dah melampau!’.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 11

Seminggu Kemudian…

Markas Rejimen Pasukan Khas, Pengkalan Tentera Laut, Kem Muara, 1000 Jam.

Dia yang duduk diam didalam pejabatnya sejak dari jam 7.45 pagi tadi kini menggeliat semahunya. Penat terasa seluruh tubuhnya selepas 2 jam lebih berkeadaan sebegitu ditambah pula keletihan selepas menjalani latihan sepadu belum pun surut. Memandangkan dia baru sahaja masuk bertugas kembali, dia tidak dibenarkan mengambil cuti sehari yang mana ianya diberikan kepada mereka yang lain yang juga terlibat didalam latihan tersebut. Terpaksalah dia menggagahi diri untuk menunaikan tugasannya pada hari itu. Rakan-rakannya pada ketika ini berkemungkinan besar masih enak diulit mimpi sampai meninggi hari sedangkan dia seawal jam 6 pagi lagi sudah pun terpacak diperkarangan markas.

Dia mengeluh perlahan sambil membuang pandang keluar jendela pejabatnya. Tugasan seterusnya yang lebih besar sudah pun menantinya didepan. Maklumat yang diterimanya baru-baru ini memang membuatkan tidurnya saban malam tak lena. Jiwanya diamuk resah dan amarah mengenangkan bumi Darussalam telah dirancang oleh para penjenayah asing tersebut untuk dijadikan sasaran bagi melakukan kekacauan. Sehingga kini, sebarang pergerakan dan aktiviti mereka di negara ini masih belum dapat dikesan sepenuhnya. Dan kerana bukti yang masih belum mencukupi itulah menyebabkan pasukan-pasukan khas dan pihak intelligence mula bergerak secepat mungkin untuk membanteras apa jua kegiatan yang bakal dilakukan oleh pihak penjenayah. Mereka mesti dilumpuhkan sebelum negara menjadi huru-hara disebabkan oleh rancangan jahat mereka.

Mesin faksimilinya berbunyi menandakan satu memo atau maklumat masuk. Dia tersentak buat seketika lalu meluruskan atur duduknya dan membetulkan uniformnya. Dengan pantas, dia mencapai kertas dari mesin faksimili tersebut dan membacanya sebaik sahaja kertas tersebut berada di tangannya. Dia memerhatikan setiap patah perkataan yang tercatit didalam kertas itu dengan penuh perhatian dan berhati-hati. Sebaik pembacaannya sampai ke penghujungnya, dia mengulangi sekali lagi untuk mencerna kembali segala maklumat yang diberikan dan memastikan dia benar-benar faham akan apa yang cuba disampaikan melalui kertas itu. Berkerut dahinya setelah dia membacanya buat kali kedua.

“Senjata api? Bahan-bahan explosive? Seludup? Subversif?”. Dia seolah-olah menyoal dirinya sendiri. Dia seperti tidak percaya dengan segala maklumat yang baru diterimanya itu. Sebelum ini dia hanya mengetahui bahawa para penjenayah tersebut merancang untuk melakukan kegiatan-kegiatan haram seperti penyeludupan dadah dan perdagangan manusia yang berkemungkinan besar akan melibatkan penculikan di kalangan warga negara ini seperti yang diketahui pernah terjadi pada beberapa orang penduduk negara-negara jiran. Sekalipun dia tahu yang setiap dari mereka itu sememangnya berbekalkan senjata api tapi dia tidak pernah pun terfikir bahawa ianya sampai ke peringkat ini; penyeludupan senjata api dan bahan-bahan letupan. Dia juga agak terkejut bila mengetahui ada elemen subversif yang terkandung didalam perancangan mereka.

Darahnya terasa mendidih menerima maklumat yang baru itu. Tangannya bergetar menahan badai yang mengganas didalam dadanya lalu digenggam padu menjadi penumbuk. Rona wajahnya sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.

“Ada hati pula nak porak-perandakan kerajaan dan negara ni sekali? Memang dasar kurang ajar!”. Dia mampu bertahan jika dirinya yang diganggu-gugat tetapi tidak bilamana ia melibatkan tanahairnya yang tercinta apatah lagi jika ianya akan mengorbankan nyawa orang ramai. Mustahil baginya untuk terus berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan yang wajar dan pantas. Kerana itu dia mesti bergerak sekarang. Dia mesti melakukan sesuatu bersama-sama dengan mereka yang lain untuk menyelamatkan negara berserta nyawa-nyawa yang berlindung didalamnya. Dia tak sanggup melihat negara ini bertukar menjadi medan perang seperti yang telah disaksikan oleh matanya sendiri di kebanyakan negara blok Timur Tengah.

Pintu pejabatnya diketuk lalu terus dibuka tanpa menunggu keizinannya untuk menyuruh masuk.

“Ezan, kita ada meeting sekarang. We have to go to the conference room now“. Seperti ada hal yang begitu penting bunyinya.

What? Now?“. Ezan mahu memastikan lagi.

Yes, now. Semua anggota sedang bergerak ke sana sekarang termasuk yang diberikan off-day hari ni. Mereka dikehendaki untuk hadir meeting ini”. Selepas dia menjawab pertanyaan Ezan, dia pun bergerak menuju ke bilik persidangan markas tanpa menunggu Ezan.

Mendengarkan arahan itu, Ezan terus mencapai beret merah yang diletakkan diatas meja kerjanya lalu memakainya. Dia lantas berdiri dan meninggalkan pejabatnya untuk melangkah ke tempat seperti yang diarahkan. Dia pasti ada sesuatu yang teramat penting yang hendak dibincangkan. Masakan tidak bila mesyuarat tersebut diadakan secara mengejut.

‘Sesuatu…ya, sesuatu yang berkaitan dengan masalah sekarang’.

Kampong Sungai Liang, Belait, 1000 Jam.

Rindu juga rasanya setelah seminggu lebih tidak pulang ke kampung halaman. Rasa macam setahun tak pulang ke sini, kini dia merasa damai bila berpeluang lagi untuk menikmati suasana kampung.

‘Eh, dah lebih aku ni. Ada pula seminggu lebih tu macam setahun’ hatinya seperti mengutuk apa yang difikirnya. Dalam diam, dia tertawa sendiri sehingga tidak sedar yang perlakuannya itu diperhatikan oleh ibunya.

“Amboi, amboi. Enak sungguh anak dara sorang ni ketawa sendiri. Dah ke mana angan-angan tu? Melayang kat buah hati kat bandar tu ya?” sergah ibunya seterusnya mematikan segala lamunannya.

Dia hanya tersengih lebar menutup malu bila disergah ibunya sebegitu. “Bila masa pula orang ni terdapat buah hati, bu?” lalu tergelak lagi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Habis tu yang kau ketawa sendiri tu pasal apa? Lagaknya macam orang dah berpunya saja, tahu? Tak pun dah ada yang diidam-idamkan kot kat bandar tu”. Ibunya terus-menerus menyerangnya dengan soalan-soalan yang berbaur peribadi. Pening juga kepalanya memikirkan soalan-soalan itu.

“Tak la, bu. Fikirkan yang lain, bukan benda-benda yang nonsense tu. Tak masuk akal la, bu kalau tentang soal hati semua tu”.

Ibunya yang mendengarkan jawapan anak daranya itu hanya mengeluh perlahan. Soal hati? Nonsense? ‘Sampai bila la agaknya hati anak aku ni terbuka untuk bercinta’ getus hati ibunya.

“Sekarang ni senang la kau kata semua tu nonsense. Tapi kalau kau sendiri dah kena satu masa nanti, hilang semua tu dari mulut kau” bebel ibunya.

Dia yang mendengarkan bebelan ibunya itu hanya tertawa perlahan. “Bapa kat mana sekarang?”. Dia menjengulkan kepalanya ke bawah, tercari-cari kelibat ayahnya seterusnya mengelak dari terus-menerus memperdebatkan tentang soal hati bersama ibunya.

Ibunya menggelengkan kepalanya. Dia tahu anaknya itu cuba untuk mengubah topik perbualan mereka itu. “Bapa kau tu ada kat kebun belakang tu bersama Abang Man dan Abang Ish kau, ha”.

Dia terkebil seketika mendengarkan penjelasan ibunya itu. “Mereka tak kerja ke hari ni?” soalnya lagi.

“Tak. Mereka cuti masa ni”.

‘Ewah, ewah. Pergi kebun tak jemput orang sekali! Tak tahu pula aku mereka cuti. Hisyyy!’ getus hatinya. Geram separuhnya kerana abang-abangnya tak mengajaknya pergi bersama pagi itu. Mereka bertiga sangat rapat dari kecil lagi. Apa jua yang dilakukan oleh abang-abangnya itu, pasti dia ada bersama mereka berdua. Mereka tak pernah melarangnya untuk bergaul rapat bersama mereka walaupun dia seorang wanita, begitu juga ayahnya. Hanya ibunya saja yang kadangkala membebel melihatkan dia begitu rapat dengan abang-abangnya sehingga terikut-ikut membuat berbagai aktiviti-aktiviti lasak bersama mereka. Kerana itulah dia terdorong untuk menjadi seorang pegawai polis seterusnya berkhidmat didalam unit skuad gerakan khas. Abang-abangnya pula masing-masing berkerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Biro Kawalan Narkotik. Tiada seorang pun diantara mereka yang menuruti jejak langkah ayah mereka untuk menjadi anggota tentera. Ayah mereka merupakan bekas tentera yang telah berkhidmat selama 25 tahun. Dia mula berkhidmat dengan angkatan tentera semasa Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei masih lagi menggunakan nama lamanya iaitu Askar Melayu DiRaja Brunei.

“Kau tu jangan duk asyik mengelamun saja kat sana tu. Tolong aku buat kerja dapur tu nanti. Kau tu anak dara, tak manis kalau tak tahu nak buat kerja-kerja orang perempuan. Tak berlaki nanti”. Sempat lagi ibunya berpesan kepadanya sebelum berlalu ke dapur.

“Hisyyy! Asyik-asyik nak bangkitkan tentang soal hati saja” rungutnya setelah ibunya beredar dari situ. Dia sememangnya  tak suka berbicara tentang perkara yang melibatkan cinta. Baginya cinta itu tidak ada sebarang makna dan hanya sebuah ilusi yang dicipta oleh minda manusia.

Tapi benarkah begitu? Benarkah telahannya itu? Bagaimana pula tentang hatinya yang terganggu ketenteramannya semasa berlangsungnya latihan selama seminggu baru-baru ini? Mengenangkan itu dia menjadi bingung. Entah, kenapa dia merasa begitu terganggu bila sahaja dia melihat lelaki itu. Bukan terganggu kerana benci atau apa-apa yang sewaktu dengannya tetapi apa yang dirasakannya itu berlainan sama sekali. Dia tak tahu dan tak faham bagaimana untuk menjelaskannya dengan kata-kata. Apa yang penting, dia tak pernah merasakan rasa itu sebelum ini.

‘Apa dah jadi dengan aku ni sebenarnya?’ hatinya menyoal dirinya. Dia memejamkan matanya lalu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya perlahan.

Masih terbayang dimatanya akan segala tindak-tanduk lelaki itu. Dia dapat merasakan bahawa lelaki itu seperti mencuba untuk menarik perhatiannya secara tidak langsung walaupun dia kelihatan begitu serius sepanjang latihan tersebut. Tapi dia tidak dapat menafikan, ada sesuatu pada diri lelaki itu yang amat dikaguminya. Lelaki itu baginya merupakan seorang ketua yang benar-benar berjiwa ketua. Dia tidak hanya tahu memerintah orang-orang bawahannya tetapi dia sendiri turut serta melaksanakannya bersama-sama mereka. Dia mampu mengetuai pasukannya secara baik dan teratur dan apa yang lebih penting, dia begitu matang dalam berfikir. Dia begitu tenang dalam apa jua tindakan yang diambilnya. Selain itu, dia juga seorang yang bertanggungjawab dan amanah orangnya.

Dan dia juga terpaksa mengakui, segala apa yang pernah diperkatakan oleh rakannya tentang lelaki itu seminggu yang lalu sememangnya benar. Kini buktinya telah disaksikan oleh mata kepalanya sendiri, bagaimana lelaki itu begitu senang menyendiri. Bukanlah tidak suka bergaul dengan anggota-anggota yang lain tetapi dia kelihatan lebih suka membuat hal sendiri bila tiba waktu rehat. Semasa latihan itu juga terdapat beberapa orang medik wanita dari kedua-dua buah pasukan keselamatan itu yang turut serta. Jelasnya mereka seperti mahu mendekati lelaki itu tetapi dia tidak pernah ambil pusing akan karenah mereka dan kelihatan tidak berminat. Semua itu didalam perhatiannya dan tak terlepas dari pandangannya. Sebaliknya lelaki itu seolah-olah sentiasa mencari peluang untuk mendekati dirinya. Pernah semasa dia memasang salah satu peralatan elektronik yang akan mereka gunakan sepanjang latihan tersebut, lelaki itu yang pada mulanya hanya sekadar berdiri tidak jauh dari situ, datang membantunya tanpa diarah dan dipinta. Dia tergamam seketika pada ketika itu sebelum menyambung semula kerjanya dan lelaki itu pula hanya serius seperti tiada apa-apa.

Dia mengeluh. Terasa dadanya menjadi begitu sempit. Lelaki itu, yang pernah dibencinya sebelum ini, kini dikaguminya. Sesungguhnya kehadiran lelaki itu amat menyesakkan jiwanya ketika ini. Lelaki itu membuatkannya merasakan sesuatu yang tidak pernah hadir dalam dirinya sebelum ini. Dia membuka matanya perlahan lalu mendongakkan wajahnya ke langit yang membiru dan cerah-ceria pada pagi itu.

‘Kau sukakan dia, Zahra’.

Untuk seketika, Zahra membatukan diri sebelum menggeleng perlahan, menidakkan kata-kata hati kecilnya. “Tak. Aku tak sukakan dia. Tak mungkin!”. Dia tak mahu tewas dengan perasaan sendiri. Baginya itu hanya mainan perasaan yang harus dihapuskan.

Untuk mengelak dari terperangkap lebih jauh didalam perasaan sendiri, Zahra membuat keputusan untuk turun ke bawah dan hendak berjalan menuju ke kebun dimana ayah dan abang-abangnya berada ketika ini apabila dia terdengar satu suara memanggilnya dari dapur.

“Zahra! Cukup-cukup la mengelamun kat luar tu. Masuk, tolong masakkan udang ni untuk makan tengahari karang”. Kedengaran ibunya menyuruhnya memasak untuk juadah tengahari itu.

Zahra hampir terlupa. Nasib baik dia belum sempat turun tadi, kalau tak, tentu saja ibunya berleter lagi.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 10

Kampong Lambak Kanan, 1900 Jam.

Masa untuk berehat lebih awal. Mulai esok dia akan terlibat sama didalam latihan sepadu diantara Pasukan Polis DiRaja Brunei dengan Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei. Ianya akan melibatkan pasukan-pasukan khas dari kedua-dua buah institusi keselamatan dan dia dikehendaki untuk berada di ibu pejabat seawal jam 3 pagi esok.

Sebaik saja dia selesai membersihkan diri dan menyarung pakaian, dia terus merebahkan diri diatas katilnya. Seharian berkerja terasa lenguh seluruh tubuhnya ketika ini. Nyaman terasa bila tubuh mencecah tilam ditambah pula suasana yang agak sunyi didalam rumah sewanya, hanya kedengaran bunyi kenderaan yang lalu-lalang didepan rumah. Sudah beberapa bulan dia menyewa rumah itu untuk kemudahan sepanjang hari-hari berkerja. Selalunya dia hanya akan pulang ke kampung halamannya di Sungai Liang, Daerah Belait pada hujung minggu atau pada Hari Khamis memandangkan keesokannya tidak berkerja. Tetapi untuk minggu ini, dia tidak akan pulang ke kampung memandangkan dia akan mengikuti latihan sepadu tersebut. Sibuklah nampaknya dalam seminggu ini.

Pintu biliknya kedengaran diketuk dari luar. Dia yang sedang asyik mengelamun tersentak seketika mendengarkan bunyi ketukan tersebut.

“Oi, cik Zahra. Kau nak join tak makan malam ni? Nasi ayam penyet kegemaran kau dah ada kat bawah tu” panggil satu suara dari luar biliknya.

Zahra yang mendengarkan suara itu lantas membuka pintu biliknya dan seorang wanita sebayanya tersembul didepan pintu.

“Ha, dah puas mengelamun cik Zahra? Kalau dah, sekarang kita turun sama-sama kat bawah” tegurnya lagi.

Zahra tersengih seperti kerang busuk. “Ye la mak nenek. Aku pun nak turunlah ni. Dah lapar gila perut aku ni tau” balas Zahra sambil menggosok-gosok perutnya.

“Oi, cik Zahra. Aku ni bukan mak nenek, tahu? Masih muda lagi nak dipanggil mak nenek ni”. Lalu dia berpura-pura memasamkan wajahnya sambil memuncungkan mulutnya. Berderai ketawa Zahra melihatkan sikapnya itu.

“Ye la cik Anna oi. Kau memang masih muda lagi tapi sikap kau tu ha, tak ubah macam mak nenek. Bagaimana aku tak samakan kau dengan mak nenek kalau kau dah macam tu?”. Zahra menyambung semula ketawanya.

Anna yang melihat Zahra sedang mengekek ketawa itu pantas menampar lengan Zahra. Dia menjuihkan bibirnya sambil memandang rakannya itu. Zahra menggosok lengannya yang ditampar oleh Anna tadi dan mengesat air matanya disebabkan ketawanya yang berterusan buat beberapa lama.

“Dah, dah. Cepat turun. Aku pun dah lapar tahap kebulur ni” arah Anna bagai seorang ketua lalu turun bersama-sama memandangkan dapur rumah itu berada di tingkat bawah.

Sampai sahaja didapur, mereka mengambil tempat duduk masing-masing. Juadah malam itu, nasi ayam penyet yang dibeli oleh Anna di gerai malam tadi sudah terhidang diatas meja. Baunya sungguh menggegarkan iman, lebih-lebih lagi bagi Zahra yang sememangnya menggemari menu tersebut. Tanpa berlengah lagi, dimulakan dengan doa agama anutan masing-masing, mereka pun menikmati juadah tersebut dengan penuh selera. Anna atau Adrianna, rakan setugas Zahra merupakan seorang pegawai polis berketurunan Murut dan beragama Kristian tetapi mereka berdua tetap rapat walaupun berlainan bangsa atau puak, agama dan juga berlainan unit. Semua itu tidak menghalang mereka dari menjadi rakan baik.

“Kau dah ready ke untuk latihan esok?”. Adrianna memecah keheningan.

Zahra mengangguk. “Memang aku dah ready. Dari awal dulu lagi aku dah bersedia” jawab Zahra mudah.

“Wahhh. Betul-betul la kau ni berjiwa skuad khas eh. Kalau aku, awal-awal lagi aku dah give up, tak sanggup join unit tu” Anna memberitahu sambil mengangkat kedua belah tangannya seperti orang menyerah diri. Zahra tersengih melihatkan gelagat rakannya itu.

“Oh ya, aku dengar latihan tu nanti melibatkan pasukan khas dari ABDB juga kan? Rejimen Pasukan Khas kalau tak silap?” sambung Anna lagi yang lebih menjurus kepada pertanyaan sebenarnya.

“Hmm, ya. Kenapa?”

Anna tiba-tiba tersenyum lebar. “Kau tak tahu Zahra?”

Dahi Zahra berkerut seribu, tak faham apa yang dimaksudkan oleh Anna itu. “Tahu apa pula?”.

“O…key. Sebelum tu aku nak tanya kau tapi kau jangan marah eh?”. Anna menuturkan ayat-ayat tersebut dengan perlahan. Zahra hanya mengangguk-angguk bak burung belatuk. Masih tak faham.

“Kau kenal ke lelaki yang menghampiri kau semasa kat Pantai Seri Kenangan tu?” soal Anna.

Hampir saja tersembur nasi dari mulut Zahra sebaik sahaja mendengarkan soalan Anna itu. Zahra memandang tepat wajah Anna dengan rasa terperanjat. Bagaimana dia tahu?

Anna ketawa perlahan melihat reaksi rakannya itu. “Kebetulan aku pun pergi kat sana hari tu. Aku nampak kereta kau so aku bercadang nak approach kau la masa tu. Alih-alih aku tengok kau dengan mamat tu kat situ. Aku batalkan la rancangan aku. Tak nak ganggu privacy kau dengan mamat tu”. Kali ini giliran Anna pula yang tersengih seperti kerang busuk.

Privacy? Privacy apa pula ni? Aku takde apa-apa hubungan dengan mamat tu pun. Dia yang tup-tup terhegeh-hegeh dekat aku, ha” balas Zahra. Panas juga rasanya wajahnya ketika ini. Panas tahap rasa nak sorokkan wajah.

“Tapi kau kenal ke tak mamat tu?”. Anna masih belum berpuas hati apabila soalannya masih tergantung belum dijawab oleh Zahra.

“Tak”. Hanya sepatah perkataan itu yang dijawab oleh Zahra.

Anna mengangkat keningnya. “Aku kenal rakan dia yang juga rakan setugasnya. Kalau kau nak tahu, esok dia akan turut sama terlibat dalam latihan sepadu tu. Kau akan menghadap dia lagi, tahu?”.

Kali ini Zahra terperanjat bukan kepalang sehinggakan air kopinya tersembur dari mulutnya. Nasib baik tak terkena rakannya. Demi sahaja melihatkan reaksi spontan rakannya, Anna ketawa semahu-mahunya. Hatinya betul-betul seperti digeletek melihat keletah rakannya itu.

“Kau ni biar betul Anna? Kau tahu ke budak-budak tu semua? Bagaimana pula kau kenal rakannya tu?” soal Zahra bertubi-tubi.

“Rakan mamat tu rakan satu course aku juga semasa aku kat US dulu. Kebetulan pula tak lama sebelum ni aku pernah terjumpa dia bersama-sama dengan mamat tu sekali semasa kat Kiulap, tu sebab aku kenal mamat tu” jelas Anna. “Mamat tu sebenarnya seorang pegawai tentera tau. Baru berpangkat leftenan dan bertugas didalam Rejimen Pasukan Khas. Tu sebab aku kata kau akan meghadap dia lagi esok dan sepanjang latihan tu dijalankan. Dah dia memang terlibat sama”.

Habis panas, kelat pula yang timbul di ekspresi wajah Zahra selepas mendengar penjelasan Anna itu. Huh, tentera? Pegawai tentera? Patut la miang keladi.

Anna seperti dapat mengagak apa yang bermain di minda Zahra ketika ini. “Tak semua la anggota tentera ni gatal kan. Ada juga yang jujur dan berkeperibadian baik tu. Mamat yang mendekati kau tu pun sebenarnya sorang yang amat sukar didekati oleh mana-mana wanita. Dia tu jenis yang keras hati dan sukar sangat nak jatuh hati apatah lagi jatuh cinta. Dia tu bukan jenis playboy seperti kebanyakan anggota tentera yang lain. Rakan dia tu cakap dia tu jenis yang lebih suka bersendirian sebenarnya” terang Anna panjang lebar dan secara tidak langsung seperti mempertahankan lelaki tersebut.

“Hmm, ye la”. Zahra seperti tidak berminat terhadap penerangan tersebut.

“Tapi tak sangka pula eh, dia boleh approach kau pula. Emmm! Selalunya kalau lelaki jenis begitu tiba-tiba berkeinginan nak mendekati sorang wanita, tu tandanya hati dia dah terbuka untuk menerima sorang wanita dalam hidupnya. Dan wanita itu setentutnya la wanita yang didekatinya itu. Mungkin wanita tu ada sesuatu keistimewaan di pandangan matanya”. Selepas Anna menghabiskan ayat-ayatnya, dia menekup mulutnya lalu tertawa perlahan tanpa bunyi sambil memandang rakannya itu.

Zahra menjeling Anna. “Hai cik Anna. Sejak bila pula cik Anna ni jadi pakar psikologi? Ke dah ada experience ni?”.

“Ala, cik Zahra. Kalau dah rajin sangat tengok dan memahami ragam-ragam manusia ni, tak payah belajar psikologi atau tunggu mendapat experience, cukup setakat pengetahuan dan pemahaman sendiri untuk memahami gerak-geri orang tau”. Anna menerangkan teorinya bagai seorang pensyarah lagaknya.

Zahra hanya tersenyum sumbing mendengarnya. “Ye la cikgu Anna. Betul la tu apa yang cikgu cakapkan tu”.

Usai berceloteh, Zahra mengambil kesempatan untuk menjentik hidung Anna. Anna menjerit kecil lalu penyepit ketamnya mencubit lengan Zahra. Untuk kesekian kalinya, tawa mereka berdua terhambur lagi, meriuhkan suasana dapur mereka yang sederhana besar itu.

Kampong Beribi, 1900 Jam.

Esok dia akan kembali semula bertugas. Cutinya sekarang dengan rasminya telah pun berakhir. Asalnya dia memohon untuk bercuti selama 3 minggu tetapi memandangkan dia akan terlibat sama didalam sebuah operasi yang akan dijalankan kemudian, dia mengambil keputusan untuk memendekkan tempoh cutinya menjadi seminggu. Tambahan pula dia merasa tak senang hati mendengarkan berita tentang rancangan jahat tersebut.

Sekembalinya bertugas esok, dia dikehendaki untuk menyertai latihan bersepadu di antara Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei dengan Pasukan Polis DiRaja Brunei yang akan diadakan selama seminggu. Ini bermakna dia mesti merehatkan diri seawal mungkin pada malam ini agar dia merasa segar pada keesokan hari memandangkan dia terpaksa bangun seawal jam 2 pagi untuk bersiap sedia menuju ke markas.

Dia berbaring diatas katilnya sambil kedua-dua tangannya diletakkan dibelakang kepala. Tak semena-mena, ingatannya terlayah kepada peristiwa pagi tadi, perbualan antara dia dan rakannya, Adi. Sukar juga dia membayangkan apa yang diperkatakan Adi itu. Dia sendiri turut terkejut dan tidak menyangka akan kekuatan Zahra yang mampu menumbangkan kesemua penjenayah tersebut. Dia bertambah teruja untuk mengenali Zahra dengan lebih dekat sebaik sahaja dia menerima berita tersebut. Hebat! Sungguh hebat! Sesungguhnya inilah kali pertama dalam seumur hidupnya dia pernah berjumpa dengan wanita yang begitu kuat dan agresif. Selain itu dia juga seorang wanita yang lain daripada yang lain, sukar didekati dan difahami serta keras hati. Tak pernahnya dia berjumpa dengan wanita sebegini sebelum ini.

Mengingatkan kembali akan tugasnya esok, tiba-tiba dia merasa bersemangat untuk menjalaninya. Apa tidaknya, unit gerakan khas polis juga terlibat dalam latihan sepadu itu, bermakna Zahra juga akan turut serta didalam latihan tersebut. Mengenangkan itu, terasa berbunga-bunga didalam dadanya. Tak sabar juga rasanya hendak menatap wajah wanita itu lagi. Dia tersenyum sendiri.

Selepas beberapa ketika, dia menguap dan matanya mula terasa berat. Dia baru sahaja bercadang hendak menutup radio disebelah katilnya apabila telinganya menangkap sebuah lagu Inggeris yang kedengaran agak romantik tapi sedap didengar. Tangannya tertahan seketika dari menswitch-off radio tersebut lalu cuba untuk menghayati bait-bait lirik lagu tersebut.

There used to be a graying
tower alone on the sea.
You became the light on the
dark side of me.
Love remained a drug that’s the
high and not the pill.
But did you know,
That when it snows,
My eyes become large and
The light that you shine can be
seen.
Baby,
I compare you to a kiss from a
rose on the gray.
Ooh,
The more I get of you,
The stranger it feels, yeah.
And now that your rose is in
bloom.
A light hits the gloom on the
gray.

Mendengarkan setiap rangkap lagu tersebut, dia merasakan seolah-olah lagu tersebut ditujukan untuk dirinya memandangkan situasinya ketika ini hampir sama dengan apa yang diperkatakan didalam lagu tersebut.

Sebaik sahaja lagu tersebut sampai ke penghujung, dia memasang telinga untuk mendengar nama tajuk lagu tersebut yang akan diberitahu oleh deejay radio itu.

Kiss From A Rose‘ nyanyian seorang penyanyi berketurunan Inggeris-Afrika, Seal. Itulah dia tajuk lagunya berserta dengan nama penyanyinya sekali. Selesai itu, dia pun menswitch-off radio tersebut dan menutup lampu tidurnya.

Kiss From A Rose. Ya, aku telah dikiss oleh sekuntum bunga mawar secara tak langsung’. Serentak dengan itu, dia pun terlelap sehingga ke sekian jam.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 9

Restoran Sepadu, Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis DiRaja Brunei, Gadong, 1230 Jam.

Tengahari itu nampaknya tidak ramai yang makan disana. Hanya beberapa kerat manusia sahaja yang kelihatan bersantai di restoran tersebut dan dapat dihitung dengan jari-jemari tangan. Kemungkinan mereka lebih selesa makan diluar atau malas hendak keluar makan tengahari.

Dia pula lebih selesa memilih tempat yang tidak ramai pengunjung kerana dia amat sukakan suasana yang agak sunyi dan tenang. Dan kerana itulah juga di masa-masa lapangnya dia lebih suka duduk dirumah daripada merayap ke tempat-tempat awam seperti shopping mall dan sebagainya. Kalau pun dia terasa hendak berjalan-jalan, dia akan pastikan kakinya melangkah ke tempat-tempat riadah yang penuh dengan suasana alam semulajadi seperti pantai atau taman rekreasi. Dia hanya akan menjejakkan kaki ke shopping mall atau shopping complex apabila dia benar-benar berkehendakkan sesuatu yang sangat perlu baginya.

Sementara menunggu pesanannya sampai, dia sempat mengelamun buat seketika. Fikirannya kembali menerjah peristiwa yang telah berlaku baru-baru ini. Masih terbayang di tubir matanya akan adegan-adegan yang disaksikan oleh matanya sendiri semasa di pantai itu. Tiba-tiba dia merasakan dadanya sesak dan sakit lalu dia memegang perlahan dadanya. Sakit? Ya, sakit. Sakit kerana melihatkan insan yang dicintai bersama dengan orang lain. Sungguh menghampakan. Namun dia tak berhak untuk menghalang mereka kerana dia tahu, antara dia dan insan itu, mereka tidak punya apa-apa hubungan apatah lagi hubungan yang sah. Dia terpaksa menerima hakikat yang sungguh pahit untuk ditelan itu.

Dalam dia melayani perasaannya, terasa seperti ada orang yang sedang bergerak menghampiri mejanya. Dengan pantas, dia menoleh untuk melihat siapakah gerangan orang itu.

“Hai, Ilham. Sorang nampak kat sini?” sapa orang itu.

“Hmm. Kau pun tentu faham kenapa aku pilih tempat ni” balas Ilham, tersenyum. “Jarang aku nampak kau kat sini Arm. Apa mimpi kau hari ni?”.

Rakannya yang dipanggil Arm itu tersengih mendengarkan soalan Ilham. Dia tahu sememangnya dia jarang menjejakkan kaki ke restoran itu memandangkan dia selalu makan diluar. Boleh dihitung hanya beberapa kali saja dia ke sana, itupun atas sebab-sebab tertentu.

“Aku mimpi nak jumpa kau hari ni, tu sebab aku ke mari” selorohnya. Ilham tertawa perlahan mendengarkannya. Rakannya ini memang kadangkala menghiburkannya.

“Makbul juga mimpi kau eh, kau jumpa aku hari ni”. Kali ini Ilham pula yang cuba berseloroh. Akhirnya berderai juga tawa mereka berdua. Perlahan saja.

Armin Lim Koh Yee atau lebih senang dikenali sebagai Arm merupakan rakan satu intake dengan Ilham semasa menjalani kursus asas pegawai polis. Dia adalah seorang pegawai polis berketurunan Cina-Dusun dan bertugas di bahagian Jabatan Siasatan Jenayah. Walaupun mereka sekarang jarang bertemu tapi mereka tetap masih berhubung antara satu sama lain jika mereka berkesempatan seperti ketika ini.

Disebabkan Ilham lebih bergaul mesra dengan mereka yang berketurunan Cina atau yang berdarah campuran bangsa Cina, dia kadangkala dituduh racist dan hanya mahu berkawan dengan mereka yang berketurunan sepertinya sahaja. Hakikatnya dia tidak memilih rakan berdasarkan bangsa. Dia akui, sememangnya dia agak cerewet dalam memilih rakan tetapi bukan dari segi keturunannya kerana jika benar dia memilih kerana itu, pasti tak ada seorang pun rakannya berbangsa Melayu tulen. Sebaliknya dia menilai seseorang itu dari segi sikapnya sebelum dijadikan rakan. Dia amat pantang dengan manusia yang suka menjaga tepi kain orang dan close-minded dalam berbicara. Dan kerana itulah juga dia tidak mempunyai ramai rakan disebabkan juga oleh sikapnya yang agak complicated untuk difahami.

“Ada apa kau ke sini? Kalau tak ada sebab kau takkan menjejakkan kaki ke mari kan?” Ilham menduga. Dia tahu pasti ada sesuatu yang Arm hendak sampaikan.

“Kau dah tahu yang penolong unit kau semalam bergelut dengan 6 orang penjenayah tu?”. Arm terus meluahkan sebuah pertanyaan kepada Ilham.

Ilham tersentak. Penolong unit? “Maksud kau, Inspektor Emira Zahra?” soalnya kembali. Soalan yang dibalas dengan soalan.

“Aha, ya, dia tu. Semalam dia pergi Balai Polis Bandar bersama Inspektor Hariz, siap angkut sekali budak-budak berenam tu. Kebetulan aku pun ada kerja kat sana semalam so terus la aku korek ceritanya dari orang-orang disana, sekadar nak tahu apa kes” terang Arm panjang.

Ilham merasa sedikit bimbang mendengarkan perkhabaran yang baru diterimanya itu. Tak apa-apakah Zahra? Okey kah dia? Atau mungkin dia mengalami kecederaan saat ini? Tidak! Tak mungkin. Zahra kan anggota terlatih Skuad Gerakan Khas? Mesti dia tahu mempertahankan dirinya! Ilham menggeleng, menepis segala tanggapan negatif dari dalam  fikirannya.

Arm yang melihatkan kelakuan Ilham secara tiba-tiba itu merasa hairan. “Kau okey ke Ham?”.

Ilham yang tersedar akan kelakuannya itu mengangguk. “Hmm, ya, aku okey. Bagaimana dengan Zahra?”.

“Dia okey, tak apa-apa. Budak berenam tu saja yang habis cedera dikerjakan oleh Inspektor Zahra. Pelik tapi benar bunyinya kan? Ye la, sorang wanita boleh menumpaskan 6 orang lawan, lelaki pulak tu. Tak pelik ke namanya tu?”. Dia tak sedar bahawa pegawai wanita yang diperkatakannya itu adalah pujaan hati Ilham. Ilham hanya membisukan diri mendengar komen rakannya itu. Dia tak ambil hati kerana baginya komen rakannya tersebut bukanlah merupakan sebuah kutukan. Dia sendiri pun turut mengakui yang Zahra itu ‘pelik’ wanitanya. Lain dari kebanyakan wanita yang lain. Agak unik orangnya. Sukar untuk didekati dan sukar juga difahami sikapnya.

“Kau ni kenapa sebenarnya Ham? Kau demam ke? Asyik-asyik terdiam saja hari ni. Atau kau ambil berat sangat kat Inspektor Zahra tu sampai asyik mengelamun?”

“Zappp!”. Bagai terkena renjatan api elektrik lagaknya bilamana Arm menyuarakan sangkaannya yang akhir sekali itu. Memang betul sebenarnya apa yang diagak oleh Arm.

“Err, takde la. Aku cuma berfikir, siapa penjenayah-penjenayah yang mengganggu dia tu?”. Ilham cuba berdalih, menidakkan kata-kata rakannya itu.

“Itulah yang masih didalam siasatan sekarang ni. Setakat ini kami masih belum mengesyaki mereka itu terlibat sama dalam kes-kes jenayah berat terutama sekali kes yang melibatkan negara ni. Bukti kukuh masih belum ditemui” jelas Arm.

Ilham mengangguk. Kalau bukti kukuh masih belum ditemui adalah sebaiknya jangan membuat sebarang andaian yang mungkin boleh menjejaskan maruah mana-mana pihak, sekalipun ianya seorang penjenayah. Keluar bukti barulah boleh bersuara.

“Kau rasa?”

“Rasa apa?” balas Arm.

“Kau rasa mereka tu betul-betul ‘bersih’ dari kes berat tu?” soal Ilham kembali. Dia menduga Arm.

“Aku tak ada idea. Maybe yes or maybe no. All I can say is just be cautious even if they did not look harmful to us” putus Arm.

Setelah agak lama berbual barulah Ilham mula menjamah menu didepannya. Dan barulah pula dia teringat akan Arm. “Kau tak order apa-apa ke?”.

“Tak lah. Masih kenyang lagi. Budak-budak kat ofis tu rajin sangat bawa bermacam-macam makanan sampai tak larat aku nak bedal semua”. Arm sempat memberitahu Ilham tentang pekerja-pekerja di pejabatnya yang rajin membawa makanan.

“Dah cukup bagus la tu. Kalau macam tu aku makan dulu lah”. Lalu Ilham pun menyuap makanannya tanpa menghiraukan sekelilingnya. Begitulah Ilham ketika menghadap makanan.

Arm yang melihatnya hanya menggelengkan kepalanya. Itulah rakannya, Ilham.

Millennium Fast Food & Restaurant, Beribi, 1000 Jam.

Memang betul-betul berjiwa tentera. Beberapa minit lagi sebelum jam 10 pagi dia dan rakannya sudah terpacak di luar restoran itu. Sebaik sahaja restoran itu buka mereka pun mengambil tempat berhampiran dengan pintu masuk restoran tersebut setelah mereka selesai membuat pesanan di kaunter.

Usai melabuhkan punggung diatas kerusi, dia pun terus membuka bicara. “Apa cerita baru kau bro?”.

“Belum panas punggung aku kat kerusi ni bro, kau pun dah serang. Relaks la. Kau nampak teruja sangat ni, kau tidur tak semalam?”. Dia buat-buat tak dengar apa yang dikatakan oleh rakannya itu. Hentam saja la kau!

“Kau nak cakap sekarang ke tak ni? Aku ada urusan lain lagi lepas ni, kau tahu?” balasnya.

Pusing juga rakannya melihat karenahnya. ‘Ezan, Ezan. Dah degil tu, degil juga’.

“Aku tengah cari ayat yang sesuai la ni supaya kau faham apa yang aku cakapkan selepas ni”. Dia mengangkat kening kanannya melihatkan reaksi Ezan yang nampak tidak sabar. Ezan mengeluh berat.

“Aku dengar kau tengah tangkap syok dengan sorang pegawai polis. Betul?” sambung rakannya lagi lalu melemparkan bom pertanyaaannya ke atas Ezan.

Ezan terkedu mendengarkan pertanyaan itu. Bagaimana dia tahu? Ada pengintip kah?

“Kau bertanya, bagaimana aku tahu kan? Bro, aku ada informer kat polis tu bro. Dia nampak kau dengan sorang pegawai polis kat Pantai Seri Kenangan tempoh hari. Dia kata, kau bukan main lagi suka mendekati pegawai tu”. Rakannya meneruskan kata-katanya setelah melihatkan Ezan terdiam.

Ezan mendengus perlahan. Nampaknya, rahsianya hampir pecah. Atau sudah pun pecah? Lama dia membisu barulah dia bersuara.

“Siapa informer kau tu bro? Dia kenal aku ke? Pernah lihat aku?” soalnya bertalu-bertalu. Dia merasa tidak berpuas hati dengan kata-kata rakannya tersebut.

“Dia memang pernah nampak kau dari jauh semasa kau berjumpa dengan aku. Sebab tu dia tahu orang yang berada di pantai bersama dengan pegawai polis tu adalah kau” terang rakannya lagi.

“Jadinya, inilah cerita baru yang kau maksudkan?”.

“Tak. Bukan” jawab rakannya itu. Ketika ini, pesanan mereka sudah pun sampai dan seterusnya dihidang atas meja mereka satu persatu. Terhenti seketika perbualan mereka berdua. Setelah pelayan tersebut berlalu, perbualan mereka yang terputus sebentar tadi disambung semula.

So?”. Ezan meminta kepastian topik perbualan mereka yang sebenar.

“Semalam aku mendapat berita yang pegawai polis yang kau admire tu bergelut dengan beberapa orang penjenayah di sebuah lorong kat Bandar”. Dia menceritakan perkara sebenar yang hendak disampaikannya kepada Ezan.

Ezan yang ketika itu sedang menikmati minumannya hampir tersedak mendengarkan berita itu. Dia mengangkat wajahnya dan memandang rakannya dengan riak seperti tidak percaya. “What?? Kau biar betul Di!”.

Hilang bronya sebaik mendengarkan semua itu sebaliknya bertukar pula kepada nama rakannya itu, Adi. Adi mengangkat keningnya lagi sambil menganggukkan kepalanya.

“Kau jangan risau la bro. Dia tak apa-apa punya tapi penjenayah-penjenayah tu pula yang tumbang dia kerjakan. Terror punya pegawai polis. Wanita pula tu. Fuh!”.

Ezan diam mendengar setiap butir bicara Adi. Dia berjaya menewaskan penjenayah-penjenayah itu? Zahra? Dia memikirkan sebuah lojik dimana seorang wanita mampu menewaskan beberapa orang penjenayah. Betul ke ni? Atau sebenarnya ada orang lain yang membantunya?

“Kenapa bro? Kau tak percaya ke?”. Adi menduga Ezan. Dia tahu pasti akal Ezan sukar untuk menerima bulat-bulat berita itu.

“Dia sorang ke yang buat semua tu?”.

Yes, dia sorang bro. Takde orang lain yang tolong dia ketika tu. Hebat kan? Tapi aku tak hairan pun bro kalau dia mampu buat semua tu. Dia kan anggota gerak khas polis? Dah terlatih dengan situasi-situasi sebegitu, macam kita juga. Apa nak dihairankan?”. Adi seolah-olah meniupkan sebuah lojik ke dalam minda Ezan.

“Ah, ye la tu. Tapi, siapa pula penjenayah-penjenayah tu?” soalnya. Tiba-tiba dia merasa ingin tahu akan gerangan penjenayah-penjenayah yang hendak berbuat onar terhadap Zahra itu.

“Tu belum dapat dipastikan lagi. Masih dalam siasatan pihak polis. Tapi aku pelik, bagaimana tiba-tiba timbul pula kejadian sebegini? Tak pernahnya aku mendengar kes sebegitu rupa sebelum ni. Dah macam negara luar pula rasanya. Heh!”. Adi melahirkan rasa kehairanannya mengenai kes tersebut yang tak pernah terjadi di negara ini sebelumnya.

Ezan berfikir sejenak sebelum meneruskan ayat-ayat seterusnya. “Hmm. No comment. Dunia dah berubah bro. Macam-macam boleh terjadi zaman ni. Kau tengoklah sekarang ni, negara kita pula kena target oleh mereka-mereka yang tak bertanggungjawab tu, yang langsung kita tak sangka-sangkakan”. Ezan meneguk minumannya lagi sebelum beralih menikmati makanannya.

“Hmm. Mungkin juga tu bro. Apapun, tunggu dan lihat la jawapannya” putus Adi.

“Kau jumpa aku time ni, kau tak masuk kerja ke bro?”.

“Aku dah start on-leave hari ni bro” Adi memberitahu.

“Ah, berapa lama cuti kau?”. Ezan bertanya sambil mengunyah beef burgernya.

“Seminggu lebih saja la bro. Kan ke kita ada tugas besar lagi lepas ni? Malas pula aku nak apply sampai 2 minggu tu”. Seperti Ezan, Adi juga sedang menikmati chicken burgernya.

“Hmm. Elok la tu”. Lalu Ezan menumpukan sepenuh perhatian kepada makanan didepannya. Apa yang pasti, otaknya masih ligat memikirkan kata-kata Adi mengenai Zahra. Bukan tentang peristiwa di pantai itu tapi pergelutan antara Zahra dan penjenayah-penjenayah tersebut. Banyak perkara sebenarnya yang ingin diketahuinya dengan lebih lanjut.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 8

Kopi Bandar Sandwiches & Coffee, Dermaga DiRaja, Bandar Seri Begawan, 2130 Jam.

Sebaik sahaja mereka berdua melangkah keluar dari balai polis, mereka mengambil keputusan untuk singgah sebentar ke sini. Kini mereka berdua diam dan berbalas pandangan. Masing-masing berusaha keras membaca apa yang ada didalam fikiran masing-masing. Lama juga mereka berkeadaan sebegitu. Akhirnya…

“Kau nak cakap ke tak ni?” soalnya setelah agak lama mereka mendiamkan diri. Sebal pula rasanya menunggu.

Well, aku tak tahu samada aku nak cakap sekarang ni atau tunggu kemudian. Aku tak tahu kalau-kalau tindakan aku menyuarakan hal ni pada saat ini juga adalah satu tindakan yang bijak atau sebaliknya memandangkan apa yang hendak aku inform kat kau ni merupakan classified information. Kau perlu tahu tu” terang lelaki itu sambil menghirup Chocolate Smoothienya.

“Kau tentu tahu maksudku kan Rara?” soalnya lagi.

Zahra yang digelar sebagai ‘Rara’ oleh rakannya mengangkat keningnya mendengarkan penjelasan rakannya itu. Dia merasakan sedikit blur dengan apa yang diperkatakan. ‘Classified information? Rahsia apa dan bagaimana?’ soalnya sendiri tapi tidak diluahkan.

“Kita ada tugas baru. Unit kau dan jabatan aku yang akan terlibat secara langsung dan hundred percents dalam tugas tu nanti. Detail tugasan tersebut akan diberikan kemudian oleh Tuan Hajimi, komandan unit kau. Aku tak tahulah kalau-kalau kau dah kena inform tentang hal ni tapi setakat ni yang aku tahu, hanya komandan, timbalan dan penolong pertama dalam unit kau sahaja yang baru kena inform” sambungnya lagi.

Zahra yang mendengarkannya merasa hairan kenapa dia tidak diberitahu oleh mereka akan hal yang dimaksudkan oleh rakannya itu. Dan apa yang lebih menghairankannya, bagaimana anggota dari bahagian lain tahu terlebih dahulu dari dirinya? Tapi apa sebenarnya? Hal apa? Sulit sangatkah rahsia tersebut? Mengancam nyawa kah? Hati Zahra bagai digaru-garu untuk mengetahui lebih lanjut.

“Kau cakap apa sebenarnya ni Riz? Information apa yang hendak kau sampaikan sebenarnya?” Akhirnya terluah juga apa yang terbuku didalam hati Zahra. Malas dia hendak memikirkan teka-teki saat ini.

Riz meneguk smoothienya lagi sebelum menjawab pertanyaan Zahra. “Rara, there are tangos targeting our country untuk dijadikan port kegiatan haram mereka. Dan hasil daripada risikan pasukan kita serta pasukan tentera, mereka bukannya sembarangan tangos tapi begitu berbahaya since they are also dealing with ‘bunga api’ tu” Sengaja dia menggunakan istilah tangos dan ‘bunga api’ sebagai kata ganti bagi musuh atau penjenayah dan senjata api.

Zahra terlopong mendengarkannya. Matanya membulat seperti tidak percaya mendengarkan perkhabaran itu. ‘What?? Negara ini hendak mereka jadikan port kegiatan-kegiatan haram mereka? Bullshit!!’ Sempat juga Zahra menyumpah didalam hati bila mendengarkan berita tersebut. Bikin hatinya panas dimalam-malam yang sejuk begini.

“Kenapa aku tak diberitahu awal-awal lagi tentang perkara ni?”

“Mungkin kerana kau hanya penolong dan kau pula seorang wanita. Mungkin sebenarnya mereka tak mahu membebankan kau dengan menarik kau terlibat sama dalam tugasan berat dan merbahaya ni. Kau tahu kan yang tugasan ini bakal melibatkan nyawa?” jelasnya menjawab persoalan Zahra. “Tapi mungkin atas sebab-sebab tertentu, mereka terpaksa melibatkan kau dalam tugasan ini. Mereka tak ada pilihan lain lagi”.

Zahra yang mendengarkan jawapan yang diberi oleh Riz merengus kasar. “Aku memang sorang wanita tapi itu tak bermakna aku tak boleh lakukan. Apa pula gunanya aku dilatih selama berbulan-bulan lamanya dalam unit tu kalau tak untuk persediaan menghadapi benda-benda sebegini?” luahnya.

Riz diam lalu menggeleng perlahan. ‘Rara, Rara’ Hati Riz menyeru nama Zahra. Pening juga dia memikirkan jawapan Zahra itu. Degil! Malam ini saja dia sudah menyaksikan sendiri kedegilan Zahra apabila dia mendapati Zahra tetap melalui lorong yang sunyi itu sehingga akhirnya terjadi pergelutan antara Zahra dengan penjenayah-penjenayah tersebut.

“Ye la, ye la. Jangan risau, kau memang akan terlibat sama selepas ni” Lalu Riz menjamah Bandar Roast Beef Sandwichnya.

Zahra yang memerhatikan Riz sedang khusyuk menjamu selera hanya mengetap bibir tanda tidak berpuas hati dengan jawapan Riz. Dia merasa tidak adil diperlakukan sebegitu oleh mereka seolah-olah mereka membelakangi dirinya seterusnya merasakan dirinya bukanlah seorang yang begitu penting didalam unit tersebut.

Ini kalilah! Aku nak buktikan kebolehan aku pada mereka! Tekad Zahra mendalam, tambahan lagi perkara ini melibatkan negaranya. Dia tak akan berdiam diri!

Di sebuah rumah di tempat terpencil, 2130 Jam.

Habis bersepah segala barang-barang yang ada didalam ruangan itu. Tak cukup dibaling ke dinding, ditendang pula sehingga berkecai. Dia mengamuk mendengarkan perkhabaran yang baru diterimanya itu. Sungguh tidak dapat diharap!

Mereka yang melihatkan situasi itu merasa kecut perut. “Err, bos. Kalau bos nak, kami boleh sibai itu betina. Kami boleh cari dia sekarang” cadang salah seorang dari mereka untuk menyamankan hati bos mereka itu.

Bos menentang tajam kepada yang mencadangkan cadangan  tersebut. Lelaki tersebut menelan air liur. “Kau ingat korang bertiga boleh selesaikan betina tu dengan mudah? Ini 6 kepala pun dia sibai dengan mudah, inikan pula cuma korang bertiga?” Dia mendengus lalu menumbuk meja didepannya sekuat hatinya. Hatinya sungguh membara.

“Itu mereka bos. Diorang punya skill tak kencang, tak makan. Lagipun diorang tu budak baru bos, bukan macam kita” Lelaki itu cuba meyakinkan bos mereka itu lagi.

Bos memandang lelaki itu dengan wajah yang serius dan tegang. Dia berfikir sejenak sebelum berkata-kata. “Okey, aku kasi korang buat kali ini. Ingat, kalau korang gagal, aku sibai korang sampai habis. Sebelum korang dapat betina tu, aku tak nak tengok muka korang bertiga pacak disini! Faham??” Dia memberi amaran kepada mereka bertiga.

“Okey bos” Mereka bergegas meninggalkan tempat itu untuk menjalankan tugas mereka seperti yang diarahkan oleh bos mereka itu.

Sebaik sahaja kelibat lelaki bertiga itu hilang dari pandangan mata bos itu, dia merengus kasar lalu memuntahkan kembali amarahnya. “Argghhhhhhh!!! Sialan!!!” Serentak dengan itu dia melemparkan ashtray yang terletak diatas mejanya ke sebuah lukisan yang disimpan didalam sebuah bingkai gambar. Hancur berderai kaca bingkai tersebut.

Dia tertekan mendengarkan 6 orang anak-anak buah kumpulannya telah ditangkap dan disumbat ke dalam lokap atas pertuduhan mengganggu dan percubaan mencabuli seorang wanita. Dia menyumpah mereka berenam dan menganggap mereka bodoh kerana menggagalkan rancangannya hari itu. Dia juga merasa bimbang untuk menghadap bos besar mereka, tidak tahu apa yang hendak diperkatakan kepadanya nanti jika sekiranya mereka bertemu dalam keadaan rancangan kumpulan mereka gagal. Dia merasa terbeban.

‘Tidak! Aku tak boleh biarkan ianya berlaku! Betina tu mesti ditangkap secepat mungkin. Aku tahu, dia bukan sembarangan betina. Kalau dibiarkan, habis segala rahsia terbongkar dan rancangan aku akan musnah!’

Dia menggenggam penumbuknya dan memasang tekad untuk mempertahankan rancangannya dari menemui sebarang kegagalan. Sejurus itu, dia pun meneguk segelas whisky sehingga tidak sedarkan diri.

Perkarangan rumah, Kampong Beribi, 2130 Jam.

Dia duduk bersantai sambil merehatkan diri diatas lantai beranda rumahnya. Masih ada beberapa pergerakan yang perlu diperbaikinya. Malu juga dia mengenangkan sudah ada diantara pergerakan-pergerakan tersebut yang dia lupa sedangkan ayahnya yang jauh lebih tua darinya masih hafal akan semua pergerakan tersebut.

Tiba-tiba dia merasakan bahunya ditepuk oleh seseorang. “Belum mandi lagi Dani?” tegur ayahnya melihatkan dia masih belum berganjak lagi dari tadi.

“Belum pa. Dani masih nak melepaskan keletihan ni” jawabnya sebaik sahaja ayahnya menyoalnya.

“Ye pun nak melepaskan keletihan, mandilah dulu. Tak baik mandi akhir sangat. Lagipun ni baru sedikit. Yang kau keluar masuk hutan, bertugas sampai subuh tu tak letih ke?”

‘Emm. Betul jugalah cakap bapa tu’ Sempat juga dia bermonolog sendiri, mengiyakan kata-kata ayahnya tersebut.

“Dah, dah. Pergi masuk dan mandi. Nak sambung mengelamun tu kemudian” arah ayahnya.

“Hmm, ye la pa. Dani nak masuk la ni. Mama mana?” Sebelum dia masuk ke dalam rumah, sempat dia menyoal keberadaan ibunya ketika itu kepada ayahnya.

“Ada la kat dapur tu, tak hilang ke mana mama kau tu. Jangan risau, belum gamak lagi dia meninggalkan kau” Ayahnya memberitahu sambil diselitkan dengan sedikit gurauan. Dia tersengih mendengarkan kata-kata ayahnya itu lalu beredar masuk ke dalam rumah.

Ezan atau Dani seperti yang digelar oleh ayahnya berpeluang untuk berlatih silat semula bersama ayahnya setelah beberapa lama ditinggalkannya memandangkan kesibukan tempat kerja tidak mengizinkannya untuk berlatih. Kali terakhir dia berlatih semasa dia masih menuntut di Universiti Brunei Darussalam memandangkan dia adalah salah seorang pesilat Kelab Silat Varsiti Gerak 41 Universiti Brunei Darussalam selain dari seorang kadet dalam Platun Kadet Tentera Universiti Brunei Darussalam. Dia sememangnya seorang mahasiswa yang aktif didalam kegiatan-kegiatan fizikal terutama sekali seni beladiri dan juga berpakaian seragam.

Sekian lama ditinggalkan, terasa sumbang kebanyakan pergerakan-pergerakan silat yang dibuatnya malam ini sehingga banyak kali ditegur dan dibetulkan oleh ayahnya yang juga merupakan seorang pesilat veteran serta pesara polis. Kerana itu dia nekad untuk ‘menghidupkan’ semula persilatan tersebut agar tak luput dari ingatannya sampai bila-bila.

Setelah dia selesai mandi dan baru saja hendak menyarungkan pakaian ke tubuhnya, telefon bimbitnya berdering menandakn satu mesej diterima. Lantas dia mencapai telefon bimbitnya dan membaca mesej tersebut.

‘Ada cerita terbaru. Jumpa aku esok jam 1000 hrs di Millennium Fast Food & Restaurant’.

Dia mengulangi membaca mesej tersebut. “Cerita terbaru? Hmm, interesting“.

Lalu dia meletakkan telefon bimbitnya kembali ke atas meja lampu tidurnya dan terus menyarungkan pakaiannya. Esok ada cerita baru dan dia begitu teruja untuk mengetahuinya.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 7

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 1900 Jam.

Hatinya merasa girang dan sesekali kedengaran dia menjerit kesukaan. Dibeleknya cincin bertatahkan berlian itu sepuas-puasnya lalu dikucupnya lama. Setelah puas mengucupnya, dibawanya tangannya yang mana jarinya tersarung cincin tersebut ke dadanya dan seterusnya merebahkan tubuhnya ke atas katil empuknya. Dia memandang ke siling sambil tersenyum, mengingati kembali peristiwa tempoh hari.

Imbas Kembali…

Times Square, Berakas, 1230 Jam.

Dia merasa bosan duduk diam di rumah seorang diri pada hari itu. Kesemua ahli keluarganya yang lain berangkat pergi ke majlis perkahwinan saudara mereka kecuali dia. Bila dia hendak dibawa sama oleh ibunya untuk turut serta hadir ke majlis tersebut, dia memberikan seribu satu alasan pula. Jenuh juga ibunya memujuknya akhirnya dia dibiarkan sahaja tinggal seorang diri di rumah sementara adik-beradiknya yang lain pergi bersama ibubapanya.

Dek kerana terlalu bosan itulah yang membawanya ke sini. Di sini dia terjumpa beberapa orang rakannya lalu mereka membuat keputusan untuk makan bersama-sama di Restoran Excapade Sushi. Riuh-rendah juga bunyinya apabila mereka ini bertemu sampai kadangkala menarik perhatian para pengunjung yang lain tetapi mereka tetap begitu tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang mereka. Mereka merasa gembira kerana berpeluang untuk bertemu semula dengan rakan-rakan yang lama tidak ditemui semenjak tamat pengajian.

Selesai makan di restoran tersebut, mereka sempat meronda satu bangunan untuk window shopping. Keluar-masuk dari sebuah ke sebuah kedai dan membelek barang-barang yang ada, begitulah keadaan mereka sepanjang window shopping tersebut. Mereka cuma melihat sahaja tanpa membelinya. Kalau pun ada hati nak membelinya terpaksalah tahan saja memandangkan waktu itu masih di pertengahan bulan.

Setelah puas meronda bersama-sama, rakan-rakannya bercadang hendak beredar dari situ untuk pergi ke tempat lain lagi. Pada mulanya mereka hendak mengajaknya untuk pergi bersama-sama mereka tetapi dia menolak ajakan mereka dengan alasan dia sudah penat dan ingin pulang terus ke rumahnya. Rakan-rakannya hanya mengangguk dan tidak memaksanya. Akhirnya mereka berpisah dan sebelum itu mereka berpelukan antara satu sama lain. Kini tinggallah dia seorang disitu.

Sebaik sahaja dia menghampiri kafe Coffee Bean & Tea Leaf, dia ternampak seseorang yang dikenalinya duduk seorang diri disitu sambil menikmati juadahnya dengan penuh berselera. Tiba-tiba hatinya berbunga riang melihatkan kehadiran lelaki tersebut lantas dia berjalan menghampiri meja lelaki itu.

Dia mengetuk meja lelaki itu. “Hai sayanggg!”

Lelaki tersebut yang pada mulanya begitu khusyuk menikmati makanannya terhenti seketika dan mendongakkan wajah untuk melihatnya. Lelaki itu nampak terkejut melihatkan kehadirannya disitu.

You terkejut ya?”

“Apa you buat disini?” soal lelaki tersebut tanpa menjawab pertanyaannya.

“Saja je nak lepas tension dan boring. Tak salahkan sayang?” Dia menjawab dengan nada yang kedengaran agak manja.

“Hmm, ye la” balas lelaki tersebut ringkas lalu tunduk semula menikmati makanannya yang tergendala sebentar tadi.

Tanpa diarah dan dijemput, dia terus mengambil tempat duduk bertentangan dengan lelaki tersebut. “Sayang, temankan I jalan-jalan kat sini lepas ni okey? Dah lama kita tak keluar berdua ni tau. You asyik-asyik beri alasan sibuk saja selama ni” rayunya sambil membuat nada merajuk dipenghujung ayatnya.

Lelaki tersebut sepertinya mahu tercekik mendengarkannya. Tapi dia tetap bertahan dengan riak wajahnya yang nampak selamba supaya wanita ini tidak perasan akan perasaan sebenarnya ketika ini. “Dah tugas I macam tu, apa boleh I buat? I cuma ikut arahan yang diberikan oleh ketua I” jawabnya seringkas mungkin.

You pun satu. Kenapa you suka sangat nak pilih kerja tu? Banyak lagi kerja lain yang menjamin masa depan tau?” rengeknya lagi, tidak berpuas hati.

“Dah minat I kat sana” Pening lelaki tersebut memikirkan karenahnya yang kadangkala dirasakan ‘gedik’.

“Okey, takpe. Yang penting lepas ni you temankan I tau” pintanya lagi.

“Ye la tu. I temankan you lepas ni”

Dia tersenyum gembira mendengarkannya. Terasa seperti kemenangan berpihak kepadanya hari ini. Dan lelaki tersebut sememangnya menunaikan kata-katanya. Puas dia merayap dari hujung ke hujung bersama lelaki tersebut sambil dia mengaitkan tangannya pada lengan lelaki tersebut walaupun lelaki itu kelihatan tidak selesa dibuat begitu. Dia merasa bangga dapat beriringan dengan seorang jejaka kacak ditambah pula dengan dirinya yang jelita dan bergaya. Dia merasakan mereka adalah pasangan yang sangat sesuai dan sepadan. Terdetik juga riak dihatinya.

Tiba di sebuah kedai menjual barang-barang kemas, dia dengan pantas menarik bersama lelaki itu ke dalam kedai tersebut. Dia begitu asyik membelek-belek barangan kemas yang ada terutama sekali cincin. Dia sangat berkenan dengan sebentuk cincin white gold yang bertatahkan berlian.

“Sayang, cantikkan cincin tu?” Dia menunjukkan cincin yang dimaksudkannya itu kepada lelaki tersebut.

“Hmm, cantik” Jawapan yang ringkas ditambah dengan nada yang kedengaran acuh tak acuh itu menandakan lelaki tersebut dilanda kebosanan. Lelaki itu tak berminat dengan benda-benda sebegitu.

Tanpa membuang masa, dia meminta jurujual yang ada disitu untuk mengeluarkan cincin tersebut lalu mencuba memakainya dijari manisnya. Memang muat dan sesuai dengan dirinya.

“Sayanggg. Nak yang ini, boleh eh?” pintanya tanpa segan silu.

Lelaki itu tergamam seketika. Beberapa ketika kemudian barulah dia bersuara. “Harga?” tanyanya.

“$450 je, tak mahal mana pun” Dia tersenyum meleret sambil memaniskan wajahnya.

‘Tak mahal? Ye la, gaji aku lebih dari cukup tapi kalau macam ni selalu, alamat gunung pun boleh runtuh!’ getus hati lelaki tersebut dalam diam. Mahu tak mahu, lelaki itu terpaksa membayarkan harga cincin itu. ‘Takpe. Untuk sekali ini. Lain kali jangan harap lagi!’.

Senyumannya semakin lebar melihatkan lelaki tersebut mahu membelikannya sebentuk cincin kesukaanya itu. Hatinya menjadi girang. “Thank you sayanggg” ucapnya sebaik sahaja cincin tersebut diserahkan kepadanya. Dia tidak tahu bahawa lelaki tersebut rimas bersamanya. Kalaulah dia tahu…

Sebaik sahaja selesai, dia pun membuat keputusan untuk pulang ke rumahnya. Sebelum itu sempat dia memberikan sebuah kucupan di pipi kanan lelaki itu sebelum dia masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi dari situ. Lelaki itu yang langsung tidak menyangka akan perbuatan tersebut, merasa terperanjat yang amat sangat bila pipinya dikucup sebegitu. Terasa panas seluruh wajahnya menahan rasa malu berbaur amarah tapi ditahan hatinya dari melepaskan amarah yang membuak didada ketika ini. Dia bukan mahramnya! Bagaimana pula dia begitu berani membuat perkara sebegitu terhadapnya? Terasa dunianya seperti berputar ketika ini.

Bagi si wanita, dia merasa sangat gembira hari ini kerana dia berpeluang lagi untuk menemui jejaka kesayangannya yang menjadi igauannya saban malam. Tambahan pula dia mendapat sebuah ‘hadiah’ yang merupakan sebentuk cincin dari lelaki itu, bertambahlah kegirangannya hari ini serta makin sayanglah dia pada lelaki tersebut. Dia tersenyum lebar sepanjang perjalanan balik tersebut.

Di sebuah lorong kecil, Bandar Seri Begawan, 1900 Jam.

Dia sengaja menghayunkan langkahnya ke situ untuk mengambil jalan short-cut menuju ke destinasi yang hendak ditujunya. Sunyi juga lorong tu kalau malam-malam begini tapi dia tak hiraukan semua itu. Dia tetap meneruskan perjalanannya melalui lorong tersebut.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba dia merasakan sesuatu yang ganjil. Dia terasa seperti ada orang yang mengekorinya dan dia dapat merasakannya. ‘Lebih dari sorang agaknya’ mindanya sempat meneka jumlah yang mengekorinya. Dia memperlahankan sedikit langkahnya sambil pandangannya meliar melihat sekelilingnya melalui ekor matanya.

Dalamnya memerhati dan berkira-kira tersebut, tiba-tiba tersembul 3 orang lelaki tidak dikenali yang berkemeja-t dan berseluar jeans lusuh dihadapannya, menghadang laluannya. Melihatkan itu, dia berpaling semula ke belakang tetapi seperti juga dijalan bertentangan tadi, ada 3 orang lagi yang menghadangnya. Dia sekarang terkepung. Dia memerhatikan sekelilingnya lagi dengan lebih teliti, kiranya ada jalan lain untuk melepaskan diri. Malangnya tidak ada jalan lain lagi. Dia melangkah dengan perlahan dan berhati-hati sambil memerhatikan gerak-geri keenam-enam lelaki tersebut. Mereka semakin bergerak menghampirinya. Mata mereka tajam memandangnya dan ada diantara mereka yang memberikan senyuman sinis kepadanya. Mereka menyangka, dia seorang wanita tentu saja dia senang ditewaskan tambahan pula hanya dia seorang sahaja yang ada disitu.

Dia mula membongkokkan sedikit badannya dan menundukkan sedikit bahunya bila melihatkan lelaki-lelaki tersebut semakin hampir. Dia bersedia. Bila jarak mereka hanya beberapa langkah sahaja lagi, salah seorang dari lelaki tersebut bertindak menyerangnya. Dia dengan pantas menepis tangan lelaki tersebut lalu memulasnya ke belakang sehingga kedengaran seperti bunyi tulang patah. Lelaki tersebut menjerit kesakitan. Melihatkan itu, mereka mula bertindak menyerangnya secara serentak dari semua arah.

Sungguh malang sekali. Walau ramai bilangannya, tapi sebaliknya mereka dengan mudahnya dapat ditewaskan olehnya seorang. Ada yang tak mampu berdiri lagi selepas belakang lutut ditendang dengan satu tendangan maut, ada yang patah jari-jemari selepas dikerjakannya, tak kurang juga yang patah tangan dan seterusnya ada yang tidak sedarkan diri selepas satu penendang mengena belakang kepala salah seorang dari mereka. Habis kesemua keenam-enam mereka lumpuh dikerjakannya. Dia terus menghubungi Balai Polis Bandar Seri Begawan dan melaporkan kejadian tersebut. Dalam beberapa minit kemudian, beberapa orang anggota polis datang ke tempat kejadian dan menahan mereka untuk dibawa ke hospital untuk dirawat sebelum dibawa ke balai untuk disoal siasat.

Dia berpuas hati kerana berjaya menumpaskan para penjenayah tersebut. Dia sememangnya bukan calang-calang wanita untuk ditumpaskan dengan begitu mudah. Sudahlah dia seorang anggota terlatih dalam unit gerakan khas, tambahan pula dia sememangnya seorang penggiat tegar seni beladiri. Kalau setakat silat, karate, taekwondo, wushu dan mixed martial art memang sudah menjadi permainan rutinnya.

Dia hendak berlalu pergi bilamana dia terdengar namanya dipanggil seseorang. “Inspektor Emira Zahra”.

Dia menoleh ke arah suara itu. Berkerut dahinya melihatkan orang itu.

‘Kenapa dia ada disini?’

Dia sungguh tak menduga.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 6

Pantai Seri Kenangan, Tutong, 0800 Jam.

Seronok rasanya apabila berpeluang lagi untuk menghirup udara segar pantai di pagi hari. Jika dulu sememangnya dia rajin singgah ke tempat ini tetapi sekarang hanya sesekali dia lepak ke sini memandangkan kesibukan di tempat kerjanya membataskan masanya untuk bersiar-siar di pantai ini.

Hari ini dia hendak menenangkan fikirannya sepuas-puasnya. Dia tidak mahu memikirkan segala perkara yang mengganggu ketenteraman jiwanya ketika ini termasuklah hal-hal di tempat kerja. Apa yang dia tahu, dia hanya mahu melepaskan kepenatannya seterusnya menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan Yang Maha Agung. Dia duduk memaut kakinya dengan dagunya diletak diatas lututnya sambil merenung jauh ke hujung laut yang tenang. Sungguh mendamaikan hati. Dia tersenyum sendiri. Dia tetap dalam keadaan sebegitu untuk beberapa minit sebelum berdiri dan melangkah menuju ke tepi pantai. Dia bercadang untuk berjalan-jalan disepanjang pantai tersebut.

Entah, sudah berapa jauh jaraknya dia meninggalkan tempat duduknya tadi bila saja tiba-tiba dia terlihat seseorang yang seperti dikenalinya. Orang itu berdiri sambil berpeluk tubuh dan matanya tertancap pada laut yang terbentang di depan mata. Dari raut wajahnya, dia kelihatan begitu serius dan seperti memikirkan sesuatu.

Melihatkan ciri-ciri wajah dan postur tubuh orang tersebut, dia teringat dimana dia melihat orang tersebut. ‘Itukan lelaki yang merempuh bahu aku tempoh hari? Bala apa pula yang datang hari ni?’ hatinya bermonolog sendiri apabila melihatkan orang itu. Dia berpusing semula hendak mengelakkan diri dari lelaki tersebut bilamana kakinya tiba-tiba terlanggar sebiji batu yang bersaiz sederhana besar.

“Ouch!” Dia menjerit kecil tetapi cukup kedengaran pada pendengaran lelaki tersebut. Lelaki itu menoleh kepadanya. Dia yang pada mulanya sedang mengurut-urut kakinya, tersedar akan arah pandangan lelaki tersebut lalu dia cepat-cepat berdiri dan melangkah pergi dari situ. Tetapi kakinya masih terasa sakit untuk melangkah dan hampir saja dia tersungkur ke pasir pantai apabila dia terasa ada satu tangan yang menyambar lengannya dengan cepat seterusnya menahannya dari terjatuh menyembah bumi.

“Tak payahlah nak mengelak dari saya, cik. Sekarang siapa juga yang susah?” lelaki itu membuka bicara. Mendengarkan tutur-kata lelaki itu, dia pantas menepis tangan lelaki tersebut yang masih mencengkam lengannya lalu merenung tajam wajah lelaki tersebut. Mulut lelaki ni nampaknya memang tak pandai diam dari mengutuk orang!

“Suka hati aku lah nak mengelak atau apa sekalipun. None of your business!” balas Zahra dengan suara yang tertahan. Sakit sungguh hatinya mendengarkan kata-kata lelaki tersebut. Dia berpaling dari lelaki tersebut dan dengan susah-payah, dia melangkah perlahan untuk berlalu dari situ.

Lelaki tersebut terdiam seketika memerhatikan karenahnya sebelum bersuara semula. “Kenapa degil sangat, Inspektor Emira Zahra?”

Zahra yang baru melangkah beberapa tapak, terhenti tiba-tiba. Dia tidak menyangka lelaki tersebut tahu akan namanya siap pangkatnya lagi. Bagaimana lelaki itu tahu akan dirinya? ‘Siapa sebenarnya lelaki ni?’ Zahra tertanya sendiri. Dia benar-benar terperanjat dan merasakan seluruh tubuhnya menjadi kaku ketika ini.

Bila melihatkan Zahra diam tak berkutik, lelaki itu melangkah menghampiri Zahra lalu berkata sesuatu kepadanya dengan suara yang agak perlahan. “Maafkan saya, Emira Zahra. Saya tahu saya telah menyakitkan hati awak” Zahra yang kaku di tempatnya, kini berpaling menghadap lelaki tersebut dan merenung wajah lelaki di depannya. Dia hanya mahu memastikan yang lelaki tersebut benar-benar maksudkannya.

Sekali lagi Zahra tergamam melihatkan sebuah senyuman terukir di bibir lelaki tersebut. Zahra kehilangan kata-kata. Dia terasa pening memikirkan situasi yang berlaku ketika ini. Bagaimana pula tiba-tiba keadaan berubah menjadi begini? Buang tabiat ke lelaki ni? Zahra betul-betul buntu.

Zahra mahu beredar dari situ secepat mungkin. Dia berasa rimas berada dalam keadaan sebegitu lebih lama, tambahan pula dengan seorang lelaki yang entah, tidak diketahui dari mana asal-usulnya. Zahra sudah naik seram sejuk.

“Emira Zahra” panggil lelaki tersebut. Sekali lagi Zahra terhenti tetapi dia langsung tidak menoleh.

“Saya harap kita akan berjumpa lagi di kemudian hari. Saya menunggu”

Mendengarkan kata-kata tersebut, Zahra menjadi tidak keruan. Mahu naik gila Zahra memikirkan kelakuan lelaki tidak dikenali tersebut. Handai taulan bukan, rakan pun bukan, tiba-tiba sahaja ada hati nak berjumpa lagi. Keluar juga peluh dingin Zahra olehnya. Entah betul ke tidak otak lelaki tu? Zahra terus melangkah tanpa berpaling kepada lelaki tersebut, apatah lagi hendak bercakap dengannya. Sedaya upaya dia menjauhkan dirinya dari lelaki itu. Dia berjalan terus menuju ke keretanya.

Lelaki tersebut yang menyaksikan kelakuan Zahra yang nampak tak keruan itu tersenyum lebar. Akhirnya berjaya juga dia menemui wanita tersebut untuk kali kedua. Dan apa yang menggembirakan hatinya, dia berjaya mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tentang wanita tersebut melalui seorang rakannya yang bertugas di Pasukan Polis DiRaja Brunei setelah dia tercari-cari untuk beberapa lama. Inspektor Emira Zahra. Itulah nama wanita yang dicarinya selama ini.

Imbas Kembali…

Hot Point Cafe and Restaurant, Sengkurong, 1525 Jam.

Dia melirik jam tangannya. Jam telah pun menunjukkan angka 3.25 petang. Dia menunggu kehadiran rakannya untuk makan petang bersama-sama. Sementara itu dia memesan makanan dan minuman untuk dirinya dan juga rakannya tersebut. Dia sudah tahu apa yang dihajati rakannya disitu kerana itu dia tidak teragak-agak memesankan untuknya. Tidak lama selepas itu, rakannya pun sampai dan terus mengambil tempat berhadapan dengannya.

“Dah lama sampai ke bro?” soal rakannya.

“Baru 15 minit. Awal kau balik kerja hari ni bro?”

“Aku ada fieldwork la bro, tu sebab la aku awal balik ni” Rakannya menerangkan hal sebenar kenapa dia balik dari jam yang sepatutnya hari itu.

“Cantik la tu. Patut la kau beriya-iya sangat nak ajak aku makan kat sini pada jam ini juga” Serentak itu juga mereka berdua ketawa. Beberapa minit kemudian, pesanan mereka pun sampai. Sedap juga baunya sampai perut mereka berdondang sayang saat itu. Spaghetti Bolognaise, Fish Baked Rice, Grass Jelly dan Ice Lemon Tea sungguh membuka selera mereka.

“Wah, tahu juga kau eh apa yang aku nak”

“Biasa la tu. Macam aku tak tahu pula taste kau kat sini. Selalu kau order benda-benda tu semua. Ha, ni aku pun pesan benda yang sama la untuk kau sekarang ni, nak penuhi hajat kau jangan sampai kempunan pula” terangnya panjang pada rakannya. Mereka ketawa lagi. Untuk seketika, mereka terdiam menikmati juadah didepan mereka.

“Eh, bro. Kau pergi Tasek Lama ke tempoh hari? Aku ternampak kereta kau parking kat sana pagi-pagi tu” rakannya menyoal, memecahkan kebisuan antara mereka berdua.

“Hmmm, ya. Kau kat mana? Aku tak nampak kau pun”

“Aku rasa aku baru sampai time tu bro, tu sebab kau tak nampak aku. Aku cuma nampak kereta kau je berdekatan dengan kereta boss aku tu ha” Rakannya memberi penjelasan.

“Oh. Boss kau tu siapa bro? Lelaki ke wanita?” soalnya lagi. Hentam keromo saja kedengarannya soalan yang diajukannya itu.

“Wanita la bro. Kau tau? Dia tu wanita yang tak macam wanita. Macam tomboy pun ada lagaknya. Keras dan kasar, cukup dengan degil sekali. Tapi dikatakan tomboy, bertudung la pula spesisnya. Aku tak tahulah, spesis apa wanitanya dia tu” Rakannya sempat bercerita tentang bossnya itu kepadanya.

Mendengarkan cerita rakannya itu, tiba-tiba mindanya terfikir akan seseorang. Dari segi penerangan rakannya itu, sepertinya tak ubah dengan wanita yang dirempuhnya tempoh hari. Memang lagaknya seperti lelaki. Atau tomboy. ‘Mungkinkah wanita itu…?’ soal mindanya tak sampai habis.

Melihatkan keadaannya yang terdiam tiba-tiba itu, rakannya pun menyoalnya. “Kau okey ke bro?”

Dia mengangguk perlahan. “Siapa nama boss kau tu bro?”

“Oh, boss aku yang aku ceritakan tu ya? Emira Zahra bro. Berpangkat Inspektor. Dia tu penolong ketua di unit Skuad Gerakan Khas bro. Kiranya kalau dalam tentera, macam unit kau tu lah” jelas rakannya lagi sambil menghirup Grass Jellynya. Dia mengangguk lagi.

“Kau terjumpa dia ke bro masa kat Tasek Lama tu?”

“Tak lah. Aku tak kenal pun siapa boss kau tu. Sekadar bertanya saja. Seram juga ya boss kau tu bro” Lalu mereka berdua ketawa mendengarkan kata-kata yang akhir sekali diluahkan olehnya itu.

Emira Zahra! Inspektor Emira Zahra! Tahulah dia sekarang siapa wanita itu. Dia pasti, wanita itu adalah Inspektor Emira Zahra. Hatinya menjerit kegirangan.

Di Suatu Tempat Tersembunyi…

Pantai Seri Kenangan, Tutong.

Dia melihat semua itu dari jauh. Dia melihat dari awal sehingga akhir. Dia melihat, bagaimana Zahra hampir tersungkur lalu lengannya dipegang oleh lelaki itu. Dan dia melihat bagaimana lelaki itu seperti berbisik mesra kepada Zahra. Siapa gerangan lelaki itu?? Boyfriend Zahra kah? Tiba-tiba hatinya merasa cemburu melihatkan semua itu. Dia merasa tercabar.

“Itukah buah hati kesayanganmu, Zahra?” Ilham bertanya sendiri tanpa sesiapa pun mendengarnya, sekalipun Zahra.

Apa yang pasti, dia sungguh tak lalu melihatkan adegan-adegan tersebut!

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 5

Kampong Beribi, 0915 Jam.

Sedar tak sedar rupanya jam telah pun mencecah angka 9 pagi. Kalaulah jam locengnya tak berbunyi tadi, setentunya dia masih enak dibuai mimpi indah ketika ini. Selesai sahaja dia menunaikan solat fardhu Subuh jam 5.30 pagi tadi, terus dia merebahkan badannya semula ke atas katil dan menarik selimut. Baginya waktu cuti inilah saja masanya untuk memuaskan kehendak matanya dengan lebih lama. Kalau waktu berkerja, jangan harap dia akan berpeluang melakukan perkara sebegini. Dia tak terus bangun dari katilnya sebaliknya mengelamun seketika, memikirkan aktiviti-aktiviti yang akan dibuatnya pada hari itu.

Deringan lagu ‘Radioactive‘ nyanyian kumpulan Imagine Dragon memecahkan suasana sunyi didalam biliknya seterusnya mengusir segala lamunannya dari mindanya.

“Tak dapat nak tengok orang bersenang pula handphone ni! Kacau betul!” rungutnya sambil menutup wajahnya dengan bantal. Dia membiarkan deringan itu tidak berjawab untuk seketika. Dalam masa beberapa saat kemudian barulah dia menjawab panggilan tersebut.

“Helo” Dia menjawab dengan nada yang malas.

“Assalamu’alaikum. Leftenan Daniel Ezanny?” Tanpa membalas ‘helo’, suara tersebut terus memberi salam dan bertanyakan yang empunya suara untuk memastikan samada dialah orangnya atau sebaliknya.

“Wa’alaikumussalam. Saya. Tuan Pengiran Zulizam?”

“Saya. Leftenan, saya meminta agar Leftenan menghadirkan diri ke Markas Rejimen Pasukan Khas sekarang kerana ada perkara yang amat penting yang hendak saya beritahu dan ianya memerlukan penglibatan Leftenan. Ini adalah arahan mandatori. Segala keterangan dan detail akan saya beritahu kemudian sebaik sahaja Leftenan berada di markas” terang pegawai tersebut.

Tangan kanan Ezan sudah pun mengurut-urut dahinya yang tiba-tiba dirasakan berat. “Arahan diterima Tuan. Saya akan bersiap sekarang” balasnya ringkas.

“Teruskan. Saya mahu Leftenan sudah berada di markas sebelum jam 11 pagi nanti. Assalamu’alaikum” Pegawai yang bernama Pengiran Zulizam itu pun menamatkan panggilannya.

Sebaik sahaja panggilan diputuskan, Ezan menghempaskan kembali tubuhnya ke atas katil sambil memejamkan matanya. ‘Apa pula kali ini? Perkara yang amat penting? Habislah cuti aku’ luah hati Ezan. Tersedar akan masa yang berlalu begitu pantas, Ezan bingkas bangun dari katilnya lalu mencapai tuala dan berlalu ke bilik mandi. Dia harus bersiap dengan kadar segera.

Markas Rejimen Pasukan Khas, Pengkalan Tentera Laut, Muara, 1045 Jam.

Kelihatan setiap anggota segak berpakaian seragam DPM atau istilah penuhnya Disruptive Pattern Material ditambah pula dengan beret merah yang tersarung di kepala masing-masing. Mereka semua sudah pun berada didalam bilik gerakan seperti yang diarahkan. Tiba-tiba pintu bilik tersebut dibuka dari luar. Kelihatan Ezan yang baru sahaja sampai melangkah masuk dan terus mengambil tempat duduk tidak jauh dari pintu tersebut.

“Kena cuti kau nampaknya bro?” Tegur salah seorang dari mereka sebaik sahaja melihatkan kelibat Ezan.

Of course. Tak pasal rancangan aku hari ini batal”

“Rancangan apa tu bro? Nak kahwin eh masa engkau cuti ni? Tak kenang rakan langsung” Usikan tersebut disambut dengan gelak tawa yang lain. Ezan sengaja menayangkan penumbuknya pada rakannya itu. Memang tak sah kalau sehari tak usik-mengusik apabila berjumpa.

“Alah, Mir. Bukan kau ke yang nak kahwin ni? Jangan tunggu lama-lama Mir, merana nanti tunang kau” Ezan membalas usikan rakannya yang digelarnya sebagai Mir. Sekali lagi bilik itu riuh dengan hilaian ketawa. Tidak lama kemudian, pintu bilik ditolak dengan kuat dan pantas, lagaknya seperti didalam kecemasan pula. Kelibat seorang pegawai berpangkat Kolonel muncul didalam bilik gerakan tersebut. Pengiran Zulizam, itulah namanya seperti yang tertera pada name tape seragamnya. Sebaik sahaja mereka melihatnya, kesemua mereka yang berada didalam bilik itu secara automatik terdiam dan bingkas berdiri.

“Komando, assalamu’alaikum Tuan” Salah seorang dari mereka memberi salam dan tabik hormat kepadanya manakala yang lain setakat berdiri tegak.

“Wa’alaikumussalam. Duduk” Sebaik mendapat arahan untuk duduk, mereka semua pun terus mengambil tempat masing-masing dan membuka beret mereka. Mereka semua diam untuk menunggu butir-butir bicara yang akan meluncur keluar dari mulut pegawai yang bernama Pengiran Zulizam itu. Dan mereka juga berdebar untuk mengetahui apakah ‘perkara yang amat penting’ yang akan diperkatakan oleh pegawai atasan tersebut.

“Semua ada disini?” soal  Kolonel Pengiran Zulizam.

“Tuan” Mereka semua menyahut.

“Bagus. Kamu semua mungkin tertanya-tanya kenapa saya memanggil kamu ke sini secara mengejut. Ingin saya beritahu kamu bahawa baru-baru ini pihak kita telah menerima satu perkhabaran yang tidak menyenangkan dan berkemungkinan perkara itu akan mendatangkan ancaman kepada mana-mana rakyat negara ini seterusnya melibatkan negara ini sendiri jika ianya dibiarkan begitu sahaja. Ini adalah hasil risikan dari unit perisikan pasukan kita dan juga dari Pasukan Polis DiRaja Brunei” jelas pegawai tersebut panjang lebar. Mendengarkan penjelasan tersebut, mereka menjadi tak senang duduk.

“Jadinya sekarang saya akan memberi detail tugasan yang akan kamu lakukan untuk operasi yang akan dijalankan nanti” Lalu Kolonel Pengiran Zulizam pun menyampaikan segala detail yang akan dibuat oleh setiap seorang dari mereka. Kini tugasan sebenar mereka bermula. Bukan lagi setakat latihan semata-mata.

Bilik Rehat, Markas Rejimen Pasukan Khas, Pengkalan Tentera Laut, Muara, 1315 Jam.

Dahi Ezan berkerut memikirkan hal itu. Sungguh dia tidak menyangka perkara sebegitu boleh terjadi di negara kelahirannya. Apa yang pasti, dia tidak rela melihat ada orang lain yang cuba mengganggu gugat negara ini. Dia tak boleh membiarkan ianya terjadi. Tidak sama sekali! Itulah tekadnya sekarang. Jiwa pejuangnya tiba-tiba terasa membara didalam dadanya. Semangat dan azamnya timbul bersama-sama tekad yang telah dilafazkannya. Ya, dia akan melakukan apa saja demi negaranya yang tercinta.

“Kau okey ke Ezan?” sapa seseorang. Ezan mendongakkan wajahnya.

“Hmm. Ya, aku okey” balas Ezan lalu menongkat dagunya semula. Dia menjadi begitu serius ketika ini.

Rakannya yang melihatkan karenah Ezan itu terus mengambil tempat duduk di sisi Ezan lalu menyandarkan tubuhnya di kerusi. “I feel you, bro. Aku tahu apa yang kau rasakan ketika ini. Kau benci mendengarkan negara ini diganggu oleh setan-setan tu semua dan kau tak rela melihatkan negara ni huru-hara disebabkan orang-orang yang macam mereka tu. Aku tahu engkau ni jenis yang macamana. Begitu jugalah aku. Dan aku tak tahu kenapa pula alih-alih mereka hendak mengacau negara ini? Memang biadab” luah rakannya. Dia, seperti Ezan, juga sangat tidak menyenangi akan perkhabaran sebegitu. Baginya itu satu tindakan yang tidak bertamadun.

“Negara ni mereka nak jadikan port mereka Mir. Disebabkan negara kita ni aman, bersih dari sebarang kekacauan, tambahan pula negara kita ni punya hasil minyak, jadi mereka menyangka apa jua kegiatan gelap mereka yang akan mereka lakukan di negara ini, kita tak akan mampu bertindak mengatasi mereka. Atau mungkin mereka menyangkakan yang kita akan senang ditumpaskan oleh mereka memandangkan mereka sudah lama bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan haram tu semua dan kita pula tak pernah menghadapi sebarang kejadian sebegini. Aku tak akan biarkan mereka sewenang-wenangnya menumpaskan kita!” tegas Ezan. Rakannya, Mir mengangguk mendengarkan penjelasan Ezan.

“Ya, kita akan sama-sama menewaskan mereka demi tanahair kita” Mir sengaja menekankan perkataan ‘kita’ supaya Ezan tersedar akan kesilapan dalam percakapannya tadi, yang mana Ezan hanya menekankan ‘aku’. Ezan terdiam.

“Jadi bagaimana dengan cuti kau sekarang?” Mir terfikir akan status cuti 3 minggu Ezan.

“Aku pendekkan tempoh cuti aku. Ambil seminggu sahaja” jawab Ezan ringkas. Mir mengangguk perlahan.

Rest well bro. Tugas berat sudah pun menunggu kita so berehatlah secukupnya buat masa ni. Kalau tak cukup rehat, susah nanti kita nak buat strategi kalau kesihatan tak memuaskan” Mir menasihati Ezan sambil menepuk bahu rakannya itu.

Ezan mengangguk. “Thanks bro“. Hanya itu yang mampu Ezan ucapkan saat ini.

Mir tersenyum nipis lalu meminta diri untuk beredar dari situ. Ezan hanya mengekori langkah Mir dengan pandangan matanya sehingga kelibat Mir hilang di sebalik pintu bilik rehat tersebut. Mir atau Amirul Mukminin, rakan Ezan sejak dari tahun pertama pengajian di universiti yang juga rakan satu jurusan dalam bidang Sains Komputer, merupakan rakan baiknya dan kini sama-sama pula berkhidmat dalam angkatan tentera dan dalam unit yang sama. Mir yang berwajah iras aktor Channing Tatum itu sudah pun mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis pilihannya. Kerana itu dia terpaksa membahagi masanya antara rakan baiknya Ezan dengan tunangnya. Lain hal lah kalau dia masih single sepenuhnya.

Ezan melepaskan keluhan berat. Terasa sesak dadanya memikirkan apa yang didengarnya hari ini. Antara percaya dengan tidak tapi itulah kenyataannya. Ya, kenyataan. Dan kenyataan itulah yang memercikkan api patriotik dalam dirinya. Dia seorang tentera, menjaga keselamatan negaranya adalah  satu tugas dan amanah yang terletak dibahunya. Dan dia tidak akan mengabaikan amanah tersebut, dia bersumpah.

Posted from WordPress for Android