Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 4

Unit Skuad Gerakan Khas, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong, 1000 Jam.

Segar rasanya selepas melakukan fatigue pagi, tambahan lagi selepas sekujur tubuh disirami dengan air dingin. Kini dia sudah pun lengkap memakai pakaian yang serba formal memandangkan hari itu adalah Hari Sabtu, yang mana para pegawai dikehendaki untuk memakai pakaian pejabat sahaja dan bersiap untuk melakukan tugasan seterusnya. Dia harus menyiapkan segala urusan dalam pejabatnya sebelum menyertai latihan sepadu yang akan diadakan selama seminggu mulai minggu hadapan. Segala fail yang bertimbun diatas mejanya pada ketika ini harus diselesaikan secepat mungkin.

Sebelum dia meneruskan langkah menuju ke bilik pejabatnya, dia singgah sebentar ke pantri pejabat untuk membancuh secawan kopi panas. Tekaknya terasa hendak minum minuman panas walaupun baru sahaja selesai melakukan aktiviti fizikal awal pagi ini tadi. Setelah membancuh kopi, dia menarik sebuah kerusi dan duduk sambil menikmati kopi panasnya. Tiba-tiba dia terkenangkan lelaki yang melanggar bahunya kelmarin. Mengenangkan itu hatinya kembali panas, sepanas kopi yang dihirupnya ketika ini. Apa yang membuatkan dia teramat bengang dengan lelaki tersebut, riak wajahnya yang begitu selamba semasa meminta maaf sepertinya dia tidak serius menuturkannya. Ditambah pula dengan mulutnya yang lancang mengutuk dirinya.

‘Harapkan raut wajah saja bukan main handsome, tapi lagak dia, hmmm!’ rungut hatinya. Dia mendengus geram mengingatkan peristiwa itu terutama sekali lelaki tersebut yang baginya tidak waras. Seramai-ramai lelaki yang pernah dia jumpa, inilah satu-satunya yang sangat menyakitkan hatinya. Tapi dalam dia merasakan lelaki tersebut ‘sengal’ orangnya, hatinya terdetik memuji kekacakan wajah lelaki tersebut. Memang tidak dapat dinafikan. Cukup dengan tubuhnya yang tinggi dan sasa, rasanya dia boleh agak yang lelaki tersebut mesti punya ramai peminat di kalangan wanita. ‘Kecuali aku lah’ getus hatinya lagi.

“Hoi! Berangan pula kau kat dalam pantri ni. Kerja-kerja kau tu dah selesai ke belum?” Satu suara menegurnya sehingga mengejutkannya. Berkecai segala ingatannya terhadap lelaki tersebut.

Dia menoleh kepada tuan punya suara tersebut. “Ala, relaks la sikit Tuan. Tuan tak nampak ke saya tengah minum ni?” balasnya sambil mengangkat cawannya sebagai pemberitahuan kepada ketua unitnya itu.

“Mak aih, Inspektor Zahra. Sejak bila pula Inspektor ni minum slow sangat? Tengah minum kopi ke hitung air kopi?” Sambil bersandar di muka pintu, ketua Zahra tersebut berterusan mengajukan soalan kepadanya.

“Tengah tanam kopi, Tuan” Dengan selambanya, Zahra menjawab pertanyaan-pertanyaan ketuanya itu dengan sebuah gurauan secara tidak langsung. Ketuanya yang mendengarkan gurauan tersebut sengaja memasamkan wajahnya dan berpeluk tubuh.

“Dah pandai nak berloyar buruk eh?”

“Tak lah Tuan. Saya tak berloyar, saya bergurau saja” Usikan Zahra semakin menjadi-jadi. Ilham yang merenung Zahra sejak dari tadi hanya menahan hati. Bukan geram tapi tercuit rasa hatinya dengan gelagat Zahra hari ini. Terasa segenap jiwanya diselubungi rasa bahagia. Bukannya mudah nak melihat Zahra sebegini selalu. Dia tersenyum sendiri sambil matanya tak lepas memandang Zahra.

Zahra yang terperasan akan kelakuan ketuanya itu merasa pelik. ‘Apasal pula dia tiba-tiba senyum lebar sorang diri ni? Okey ke tak otak dia ni?’ hati Zahra tertanya-tanya sambil mengerutkan keningnya melihatkan karenah Ilham yang secara mendadak dan tidak disangka itu. Belum pernah dia melihat Ilham sebegitu sebelum ini. Seram juga Zahra memikirkan kelakuan Ilham itu.

“Okeylah Inspektor Zahra. Aku tak nak ganggu kau bertanam kopi tu so aku chow dulu lah, masuk ofis aku eh. Bye darl” Ilham sempat mengenyitkan matanya kepada Zahra sebelum berlalu pergi lalu menghamburkan ketawa kecil. Zahra yang melihat perbuatan Ilham itu terpana seketika.

“Buang tabiat ke apa dia tu?” Zahra menyoal dirinya sendiri. Sesungguhnya dia merasa hilang punca memikirkan karenah ketuanya itu lalu mengeluh perlahan. Sungguh haru!

Bilik Ketua Unit Skuad Gerakan Khas, Polis DiRaja Brunei, Gadong, 1025 Jam.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik pejabatnya, dia terus membetulkan tali lehernya dan meletakkan beg sandangnya diatas meja kerjanya. Beg komputernya pula diletakkan diatas meja komputernya. Selesai semuanya dia terus menghenyakkan punggung ke atas kerusi lantas membuka suis komputer.

Sementara menantikan komputer tersebut on, dia santai seketika dan menyandarkan tubuh sasanya ke kerusi tersebut. Mindanya terarah kepada perbualannya dengan Zahra sebelum dia melangkah masuk ke biliknya. Zahra! Dia tersenyum mengenangkan pegawai wanita tersebut. Hari ini amat bersejarah baginya kerana inilah kali pertama dia melihat Zahra bergurau. Sebelum ini dia hanya melihat Zahra dalam keadaan serius dan tegas sahaja walaupun dia telah banyak kali mencuba untuk bergurau dengan Zahra. Ilham memejamkan matanya dan cuba menghadirkan wajah Zahra di mindanya. Sesungguhnya dia amat menyayangi wanita itu didalam diam. Lebih dari itu, dia tahu itu bukan setakat sayang. Dia sebenarnya telah jatuh cinta pada Zahra.

Ilham atau ASP Ilham Waqiuddin merupakan salah seorang skuad Zahra ketika mereka menjalani kursus asas pegawai polis, cuma mereka berbeza pangkat saja. Dia juga merupakan bekas rakan satu universiti dengan Zahra di Institut Teknologi Brunei dan mengambil jurusan di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda dalam Sistem Rangkaian Komputer dan Keselamatan, manakala Zahra mengambil jurusan Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Kejuruteraan Komunikasi dan Sistem Komputer. Ilham tertarik dengan personaliti Zahra yang begitu sukar untuk didekati. Amat mencabar baginya. Dan wanita sebegitulah yang menjadi pilihannya kerana hanya wanita sebegitu yang berjaya menawan hatinya.
Ilham yang merupakan anak kacukan Melayu-Cina dan punya rupa paras yang kacak persis aktor Korea Won Bin, tambahan pula tubuhnya tinggi lampai dan bersix-pack sememangnya menjadi kegilaan ramai wanita ketika di zaman pengajiannya. Sampai sekarang pun dia masih menjadi pujaan ramai wanita di tempat kerjanya sehingga ada yang sanggup menghadiahkan iPhone kepadanya semasa harijadinya yang lepas. Kadangkala Ilham sendiri pun naik pening memikirkan situasi begitu. Baginya menjadi orang yang ada rupa pun salah! Tapi diantara semua wanita-wanita tersebut, dia amat mengagumi seseorang yang mana, dia tidak pernah pun turut-turutan menggilai Ilham. Dingin juga wanitanya. Dan wanita itulah Zahra, seorang wanita yang berjaya menambat hati lelakinya sejak di tahun akhir pengajian sehinggalah kini.

Pada mulanya sedih juga dirinya mengenangkan ketika itu mereka sudah pun berada di tahun akhir. Dia tahu, selepas itu mungkin mereka tak akan berjumpa lagi bilamana mereka akan membawa haluan masing-masing selepas menamatkan pengajian kelak. Namun sebaik sahaja dia mengetahui yang Zahra turut memohon untuk menjadi pegawai polis, sinar harapan kembali menerjah sanubarinya. Dia berasa amat bahagia tambahan lagi apabila dia mendengar Zahra lulus menjalani setiap ujian seterusnya diterima untuk mengikuti kursus asas pegawai polis selama 9 bulan. Peluangnya untuk mendekati Zahra dirasakan tinggi bilamana mereka sekarang dalam satu pasukan. Dia amat berharap Zahra akan menerima dirinya satu hari nanti.

Ketukan kuat di pintu bilik pejabatnya menghancurkan lamunannya. Saat itu juga baru dia tersedar yang komputernya sudah pun on sepenuhnya.

“Masuk” arahnya kepada sesiapa sahaja di luar sana yang mengetuk pintunya.

Pintu biliknya dibuka oleh seseorang dari luar. “Assalamu’alaikum tuan!” Seorang anggota polis berpangkat staf sarjan memberi tabik hormat kepadanya.

“Wa’alaikumussalam staf. Ada apa hal jumpa saya?”
“Tuan, saya sekadar ingin menyampaikan pesanan dari Tuan Hafiz buat Tuan” jelas staf sarjan tersebut kepada Ilham.

“Teruskan staf” Staf sarjan tersebut pun terus menyampaikan seperti apa yang telah dipesan oleh pegawai yang bernama Hafiz tersebut. Ilham begitu tekun dan berhati-hati mendengarkan setiap butir bicara staf sarjan tersebut yang juga merupakan anak buah pasukannya. Beberapa saat kemudian, wajah Ilham bertukar riak menjadi tegang. Usai menyampaikan pesanan tersebut, staf sarjan tersebut meminta izin untuk meneruskan tugasannya seterusnya memberi tabik hormat kepada Ilham.

“Baik, teruskan” Ilham memberi keizinan.

“Terima kasih tuan” Staf sarjan tersebut pun beredar dari bilik pejabat Ilham. Setelah staf sarjan tersebut berlalu, Ilham menggenggam tangannya menjadi sebuah penumbuk. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa ada petualang yang cuba merancang hendak berbuat onar di negara tumpah darahnya.

“Ini tak boleh jadi! Aku tak rela negara ini hancur di tangan manusia-manusia yang tak bertanggungjawab!”. Semangat patriotiknya menjulang tinggi di saat ini sehingga dia terlupa seketika akan soal hatinya.

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s