Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 7

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 1900 Jam.

Hatinya merasa girang dan sesekali kedengaran dia menjerit kesukaan. Dibeleknya cincin bertatahkan berlian itu sepuas-puasnya lalu dikucupnya lama. Setelah puas mengucupnya, dibawanya tangannya yang mana jarinya tersarung cincin tersebut ke dadanya dan seterusnya merebahkan tubuhnya ke atas katil empuknya. Dia memandang ke siling sambil tersenyum, mengingati kembali peristiwa tempoh hari.

Imbas Kembali…

Times Square, Berakas, 1230 Jam.

Dia merasa bosan duduk diam di rumah seorang diri pada hari itu. Kesemua ahli keluarganya yang lain berangkat pergi ke majlis perkahwinan saudara mereka kecuali dia. Bila dia hendak dibawa sama oleh ibunya untuk turut serta hadir ke majlis tersebut, dia memberikan seribu satu alasan pula. Jenuh juga ibunya memujuknya akhirnya dia dibiarkan sahaja tinggal seorang diri di rumah sementara adik-beradiknya yang lain pergi bersama ibubapanya.

Dek kerana terlalu bosan itulah yang membawanya ke sini. Di sini dia terjumpa beberapa orang rakannya lalu mereka membuat keputusan untuk makan bersama-sama di Restoran Excapade Sushi. Riuh-rendah juga bunyinya apabila mereka ini bertemu sampai kadangkala menarik perhatian para pengunjung yang lain tetapi mereka tetap begitu tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang mereka. Mereka merasa gembira kerana berpeluang untuk bertemu semula dengan rakan-rakan yang lama tidak ditemui semenjak tamat pengajian.

Selesai makan di restoran tersebut, mereka sempat meronda satu bangunan untuk window shopping. Keluar-masuk dari sebuah ke sebuah kedai dan membelek barang-barang yang ada, begitulah keadaan mereka sepanjang window shopping tersebut. Mereka cuma melihat sahaja tanpa membelinya. Kalau pun ada hati nak membelinya terpaksalah tahan saja memandangkan waktu itu masih di pertengahan bulan.

Setelah puas meronda bersama-sama, rakan-rakannya bercadang hendak beredar dari situ untuk pergi ke tempat lain lagi. Pada mulanya mereka hendak mengajaknya untuk pergi bersama-sama mereka tetapi dia menolak ajakan mereka dengan alasan dia sudah penat dan ingin pulang terus ke rumahnya. Rakan-rakannya hanya mengangguk dan tidak memaksanya. Akhirnya mereka berpisah dan sebelum itu mereka berpelukan antara satu sama lain. Kini tinggallah dia seorang disitu.

Sebaik sahaja dia menghampiri kafe Coffee Bean & Tea Leaf, dia ternampak seseorang yang dikenalinya duduk seorang diri disitu sambil menikmati juadahnya dengan penuh berselera. Tiba-tiba hatinya berbunga riang melihatkan kehadiran lelaki tersebut lantas dia berjalan menghampiri meja lelaki itu.

Dia mengetuk meja lelaki itu. “Hai sayanggg!”

Lelaki tersebut yang pada mulanya begitu khusyuk menikmati makanannya terhenti seketika dan mendongakkan wajah untuk melihatnya. Lelaki itu nampak terkejut melihatkan kehadirannya disitu.

You terkejut ya?”

“Apa you buat disini?” soal lelaki tersebut tanpa menjawab pertanyaannya.

“Saja je nak lepas tension dan boring. Tak salahkan sayang?” Dia menjawab dengan nada yang kedengaran agak manja.

“Hmm, ye la” balas lelaki tersebut ringkas lalu tunduk semula menikmati makanannya yang tergendala sebentar tadi.

Tanpa diarah dan dijemput, dia terus mengambil tempat duduk bertentangan dengan lelaki tersebut. “Sayang, temankan I jalan-jalan kat sini lepas ni okey? Dah lama kita tak keluar berdua ni tau. You asyik-asyik beri alasan sibuk saja selama ni” rayunya sambil membuat nada merajuk dipenghujung ayatnya.

Lelaki tersebut sepertinya mahu tercekik mendengarkannya. Tapi dia tetap bertahan dengan riak wajahnya yang nampak selamba supaya wanita ini tidak perasan akan perasaan sebenarnya ketika ini. “Dah tugas I macam tu, apa boleh I buat? I cuma ikut arahan yang diberikan oleh ketua I” jawabnya seringkas mungkin.

You pun satu. Kenapa you suka sangat nak pilih kerja tu? Banyak lagi kerja lain yang menjamin masa depan tau?” rengeknya lagi, tidak berpuas hati.

“Dah minat I kat sana” Pening lelaki tersebut memikirkan karenahnya yang kadangkala dirasakan ‘gedik’.

“Okey, takpe. Yang penting lepas ni you temankan I tau” pintanya lagi.

“Ye la tu. I temankan you lepas ni”

Dia tersenyum gembira mendengarkannya. Terasa seperti kemenangan berpihak kepadanya hari ini. Dan lelaki tersebut sememangnya menunaikan kata-katanya. Puas dia merayap dari hujung ke hujung bersama lelaki tersebut sambil dia mengaitkan tangannya pada lengan lelaki tersebut walaupun lelaki itu kelihatan tidak selesa dibuat begitu. Dia merasa bangga dapat beriringan dengan seorang jejaka kacak ditambah pula dengan dirinya yang jelita dan bergaya. Dia merasakan mereka adalah pasangan yang sangat sesuai dan sepadan. Terdetik juga riak dihatinya.

Tiba di sebuah kedai menjual barang-barang kemas, dia dengan pantas menarik bersama lelaki itu ke dalam kedai tersebut. Dia begitu asyik membelek-belek barangan kemas yang ada terutama sekali cincin. Dia sangat berkenan dengan sebentuk cincin white gold yang bertatahkan berlian.

“Sayang, cantikkan cincin tu?” Dia menunjukkan cincin yang dimaksudkannya itu kepada lelaki tersebut.

“Hmm, cantik” Jawapan yang ringkas ditambah dengan nada yang kedengaran acuh tak acuh itu menandakan lelaki tersebut dilanda kebosanan. Lelaki itu tak berminat dengan benda-benda sebegitu.

Tanpa membuang masa, dia meminta jurujual yang ada disitu untuk mengeluarkan cincin tersebut lalu mencuba memakainya dijari manisnya. Memang muat dan sesuai dengan dirinya.

“Sayanggg. Nak yang ini, boleh eh?” pintanya tanpa segan silu.

Lelaki itu tergamam seketika. Beberapa ketika kemudian barulah dia bersuara. “Harga?” tanyanya.

“$450 je, tak mahal mana pun” Dia tersenyum meleret sambil memaniskan wajahnya.

‘Tak mahal? Ye la, gaji aku lebih dari cukup tapi kalau macam ni selalu, alamat gunung pun boleh runtuh!’ getus hati lelaki tersebut dalam diam. Mahu tak mahu, lelaki itu terpaksa membayarkan harga cincin itu. ‘Takpe. Untuk sekali ini. Lain kali jangan harap lagi!’.

Senyumannya semakin lebar melihatkan lelaki tersebut mahu membelikannya sebentuk cincin kesukaanya itu. Hatinya menjadi girang. “Thank you sayanggg” ucapnya sebaik sahaja cincin tersebut diserahkan kepadanya. Dia tidak tahu bahawa lelaki tersebut rimas bersamanya. Kalaulah dia tahu…

Sebaik sahaja selesai, dia pun membuat keputusan untuk pulang ke rumahnya. Sebelum itu sempat dia memberikan sebuah kucupan di pipi kanan lelaki itu sebelum dia masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi dari situ. Lelaki itu yang langsung tidak menyangka akan perbuatan tersebut, merasa terperanjat yang amat sangat bila pipinya dikucup sebegitu. Terasa panas seluruh wajahnya menahan rasa malu berbaur amarah tapi ditahan hatinya dari melepaskan amarah yang membuak didada ketika ini. Dia bukan mahramnya! Bagaimana pula dia begitu berani membuat perkara sebegitu terhadapnya? Terasa dunianya seperti berputar ketika ini.

Bagi si wanita, dia merasa sangat gembira hari ini kerana dia berpeluang lagi untuk menemui jejaka kesayangannya yang menjadi igauannya saban malam. Tambahan pula dia mendapat sebuah ‘hadiah’ yang merupakan sebentuk cincin dari lelaki itu, bertambahlah kegirangannya hari ini serta makin sayanglah dia pada lelaki tersebut. Dia tersenyum lebar sepanjang perjalanan balik tersebut.

Di sebuah lorong kecil, Bandar Seri Begawan, 1900 Jam.

Dia sengaja menghayunkan langkahnya ke situ untuk mengambil jalan short-cut menuju ke destinasi yang hendak ditujunya. Sunyi juga lorong tu kalau malam-malam begini tapi dia tak hiraukan semua itu. Dia tetap meneruskan perjalanannya melalui lorong tersebut.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba dia merasakan sesuatu yang ganjil. Dia terasa seperti ada orang yang mengekorinya dan dia dapat merasakannya. ‘Lebih dari sorang agaknya’ mindanya sempat meneka jumlah yang mengekorinya. Dia memperlahankan sedikit langkahnya sambil pandangannya meliar melihat sekelilingnya melalui ekor matanya.

Dalamnya memerhati dan berkira-kira tersebut, tiba-tiba tersembul 3 orang lelaki tidak dikenali yang berkemeja-t dan berseluar jeans lusuh dihadapannya, menghadang laluannya. Melihatkan itu, dia berpaling semula ke belakang tetapi seperti juga dijalan bertentangan tadi, ada 3 orang lagi yang menghadangnya. Dia sekarang terkepung. Dia memerhatikan sekelilingnya lagi dengan lebih teliti, kiranya ada jalan lain untuk melepaskan diri. Malangnya tidak ada jalan lain lagi. Dia melangkah dengan perlahan dan berhati-hati sambil memerhatikan gerak-geri keenam-enam lelaki tersebut. Mereka semakin bergerak menghampirinya. Mata mereka tajam memandangnya dan ada diantara mereka yang memberikan senyuman sinis kepadanya. Mereka menyangka, dia seorang wanita tentu saja dia senang ditewaskan tambahan pula hanya dia seorang sahaja yang ada disitu.

Dia mula membongkokkan sedikit badannya dan menundukkan sedikit bahunya bila melihatkan lelaki-lelaki tersebut semakin hampir. Dia bersedia. Bila jarak mereka hanya beberapa langkah sahaja lagi, salah seorang dari lelaki tersebut bertindak menyerangnya. Dia dengan pantas menepis tangan lelaki tersebut lalu memulasnya ke belakang sehingga kedengaran seperti bunyi tulang patah. Lelaki tersebut menjerit kesakitan. Melihatkan itu, mereka mula bertindak menyerangnya secara serentak dari semua arah.

Sungguh malang sekali. Walau ramai bilangannya, tapi sebaliknya mereka dengan mudahnya dapat ditewaskan olehnya seorang. Ada yang tak mampu berdiri lagi selepas belakang lutut ditendang dengan satu tendangan maut, ada yang patah jari-jemari selepas dikerjakannya, tak kurang juga yang patah tangan dan seterusnya ada yang tidak sedarkan diri selepas satu penendang mengena belakang kepala salah seorang dari mereka. Habis kesemua keenam-enam mereka lumpuh dikerjakannya. Dia terus menghubungi Balai Polis Bandar Seri Begawan dan melaporkan kejadian tersebut. Dalam beberapa minit kemudian, beberapa orang anggota polis datang ke tempat kejadian dan menahan mereka untuk dibawa ke hospital untuk dirawat sebelum dibawa ke balai untuk disoal siasat.

Dia berpuas hati kerana berjaya menumpaskan para penjenayah tersebut. Dia sememangnya bukan calang-calang wanita untuk ditumpaskan dengan begitu mudah. Sudahlah dia seorang anggota terlatih dalam unit gerakan khas, tambahan pula dia sememangnya seorang penggiat tegar seni beladiri. Kalau setakat silat, karate, taekwondo, wushu dan mixed martial art memang sudah menjadi permainan rutinnya.

Dia hendak berlalu pergi bilamana dia terdengar namanya dipanggil seseorang. “Inspektor Emira Zahra”.

Dia menoleh ke arah suara itu. Berkerut dahinya melihatkan orang itu.

‘Kenapa dia ada disini?’

Dia sungguh tak menduga.

Posted from WordPress for Android

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s