Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 11

Seminggu Kemudian…

Markas Rejimen Pasukan Khas, Pengkalan Tentera Laut, Kem Muara, 1000 Jam.

Dia yang duduk diam didalam pejabatnya sejak dari jam 7.45 pagi tadi kini menggeliat semahunya. Penat terasa seluruh tubuhnya selepas 2 jam lebih berkeadaan sebegitu ditambah pula keletihan selepas menjalani latihan sepadu belum pun surut. Memandangkan dia baru sahaja masuk bertugas kembali, dia tidak dibenarkan mengambil cuti sehari yang mana ianya diberikan kepada mereka yang lain yang juga terlibat didalam latihan tersebut. Terpaksalah dia menggagahi diri untuk menunaikan tugasannya pada hari itu. Rakan-rakannya pada ketika ini berkemungkinan besar masih enak diulit mimpi sampai meninggi hari sedangkan dia seawal jam 6 pagi lagi sudah pun terpacak diperkarangan markas.

Dia mengeluh perlahan sambil membuang pandang keluar jendela pejabatnya. Tugasan seterusnya yang lebih besar sudah pun menantinya didepan. Maklumat yang diterimanya baru-baru ini memang membuatkan tidurnya saban malam tak lena. Jiwanya diamuk resah dan amarah mengenangkan bumi Darussalam telah dirancang oleh para penjenayah asing tersebut untuk dijadikan sasaran bagi melakukan kekacauan. Sehingga kini, sebarang pergerakan dan aktiviti mereka di negara ini masih belum dapat dikesan sepenuhnya. Dan kerana bukti yang masih belum mencukupi itulah menyebabkan pasukan-pasukan khas dan pihak intelligence mula bergerak secepat mungkin untuk membanteras apa jua kegiatan yang bakal dilakukan oleh pihak penjenayah. Mereka mesti dilumpuhkan sebelum negara menjadi huru-hara disebabkan oleh rancangan jahat mereka.

Mesin faksimilinya berbunyi menandakan satu memo atau maklumat masuk. Dia tersentak buat seketika lalu meluruskan atur duduknya dan membetulkan uniformnya. Dengan pantas, dia mencapai kertas dari mesin faksimili tersebut dan membacanya sebaik sahaja kertas tersebut berada di tangannya. Dia memerhatikan setiap patah perkataan yang tercatit didalam kertas itu dengan penuh perhatian dan berhati-hati. Sebaik pembacaannya sampai ke penghujungnya, dia mengulangi sekali lagi untuk mencerna kembali segala maklumat yang diberikan dan memastikan dia benar-benar faham akan apa yang cuba disampaikan melalui kertas itu. Berkerut dahinya setelah dia membacanya buat kali kedua.

“Senjata api? Bahan-bahan explosive? Seludup? Subversif?”. Dia seolah-olah menyoal dirinya sendiri. Dia seperti tidak percaya dengan segala maklumat yang baru diterimanya itu. Sebelum ini dia hanya mengetahui bahawa para penjenayah tersebut merancang untuk melakukan kegiatan-kegiatan haram seperti penyeludupan dadah dan perdagangan manusia yang berkemungkinan besar akan melibatkan penculikan di kalangan warga negara ini seperti yang diketahui pernah terjadi pada beberapa orang penduduk negara-negara jiran. Sekalipun dia tahu yang setiap dari mereka itu sememangnya berbekalkan senjata api tapi dia tidak pernah pun terfikir bahawa ianya sampai ke peringkat ini; penyeludupan senjata api dan bahan-bahan letupan. Dia juga agak terkejut bila mengetahui ada elemen subversif yang terkandung didalam perancangan mereka.

Darahnya terasa mendidih menerima maklumat yang baru itu. Tangannya bergetar menahan badai yang mengganas didalam dadanya lalu digenggam padu menjadi penumbuk. Rona wajahnya sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.

“Ada hati pula nak porak-perandakan kerajaan dan negara ni sekali? Memang dasar kurang ajar!”. Dia mampu bertahan jika dirinya yang diganggu-gugat tetapi tidak bilamana ia melibatkan tanahairnya yang tercinta apatah lagi jika ianya akan mengorbankan nyawa orang ramai. Mustahil baginya untuk terus berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan yang wajar dan pantas. Kerana itu dia mesti bergerak sekarang. Dia mesti melakukan sesuatu bersama-sama dengan mereka yang lain untuk menyelamatkan negara berserta nyawa-nyawa yang berlindung didalamnya. Dia tak sanggup melihat negara ini bertukar menjadi medan perang seperti yang telah disaksikan oleh matanya sendiri di kebanyakan negara blok Timur Tengah.

Pintu pejabatnya diketuk lalu terus dibuka tanpa menunggu keizinannya untuk menyuruh masuk.

“Ezan, kita ada meeting sekarang. We have to go to the conference room now“. Seperti ada hal yang begitu penting bunyinya.

What? Now?“. Ezan mahu memastikan lagi.

Yes, now. Semua anggota sedang bergerak ke sana sekarang termasuk yang diberikan off-day hari ni. Mereka dikehendaki untuk hadir meeting ini”. Selepas dia menjawab pertanyaan Ezan, dia pun bergerak menuju ke bilik persidangan markas tanpa menunggu Ezan.

Mendengarkan arahan itu, Ezan terus mencapai beret merah yang diletakkan diatas meja kerjanya lalu memakainya. Dia lantas berdiri dan meninggalkan pejabatnya untuk melangkah ke tempat seperti yang diarahkan. Dia pasti ada sesuatu yang teramat penting yang hendak dibincangkan. Masakan tidak bila mesyuarat tersebut diadakan secara mengejut.

‘Sesuatu…ya, sesuatu yang berkaitan dengan masalah sekarang’.

Kampong Sungai Liang, Belait, 1000 Jam.

Rindu juga rasanya setelah seminggu lebih tidak pulang ke kampung halaman. Rasa macam setahun tak pulang ke sini, kini dia merasa damai bila berpeluang lagi untuk menikmati suasana kampung.

‘Eh, dah lebih aku ni. Ada pula seminggu lebih tu macam setahun’ hatinya seperti mengutuk apa yang difikirnya. Dalam diam, dia tertawa sendiri sehingga tidak sedar yang perlakuannya itu diperhatikan oleh ibunya.

“Amboi, amboi. Enak sungguh anak dara sorang ni ketawa sendiri. Dah ke mana angan-angan tu? Melayang kat buah hati kat bandar tu ya?” sergah ibunya seterusnya mematikan segala lamunannya.

Dia hanya tersengih lebar menutup malu bila disergah ibunya sebegitu. “Bila masa pula orang ni terdapat buah hati, bu?” lalu tergelak lagi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Habis tu yang kau ketawa sendiri tu pasal apa? Lagaknya macam orang dah berpunya saja, tahu? Tak pun dah ada yang diidam-idamkan kot kat bandar tu”. Ibunya terus-menerus menyerangnya dengan soalan-soalan yang berbaur peribadi. Pening juga kepalanya memikirkan soalan-soalan itu.

“Tak la, bu. Fikirkan yang lain, bukan benda-benda yang nonsense tu. Tak masuk akal la, bu kalau tentang soal hati semua tu”.

Ibunya yang mendengarkan jawapan anak daranya itu hanya mengeluh perlahan. Soal hati? Nonsense? ‘Sampai bila la agaknya hati anak aku ni terbuka untuk bercinta’ getus hati ibunya.

“Sekarang ni senang la kau kata semua tu nonsense. Tapi kalau kau sendiri dah kena satu masa nanti, hilang semua tu dari mulut kau” bebel ibunya.

Dia yang mendengarkan bebelan ibunya itu hanya tertawa perlahan. “Bapa kat mana sekarang?”. Dia menjengulkan kepalanya ke bawah, tercari-cari kelibat ayahnya seterusnya mengelak dari terus-menerus memperdebatkan tentang soal hati bersama ibunya.

Ibunya menggelengkan kepalanya. Dia tahu anaknya itu cuba untuk mengubah topik perbualan mereka itu. “Bapa kau tu ada kat kebun belakang tu bersama Abang Man dan Abang Ish kau, ha”.

Dia terkebil seketika mendengarkan penjelasan ibunya itu. “Mereka tak kerja ke hari ni?” soalnya lagi.

“Tak. Mereka cuti masa ni”.

‘Ewah, ewah. Pergi kebun tak jemput orang sekali! Tak tahu pula aku mereka cuti. Hisyyy!’ getus hatinya. Geram separuhnya kerana abang-abangnya tak mengajaknya pergi bersama pagi itu. Mereka bertiga sangat rapat dari kecil lagi. Apa jua yang dilakukan oleh abang-abangnya itu, pasti dia ada bersama mereka berdua. Mereka tak pernah melarangnya untuk bergaul rapat bersama mereka walaupun dia seorang wanita, begitu juga ayahnya. Hanya ibunya saja yang kadangkala membebel melihatkan dia begitu rapat dengan abang-abangnya sehingga terikut-ikut membuat berbagai aktiviti-aktiviti lasak bersama mereka. Kerana itulah dia terdorong untuk menjadi seorang pegawai polis seterusnya berkhidmat didalam unit skuad gerakan khas. Abang-abangnya pula masing-masing berkerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Biro Kawalan Narkotik. Tiada seorang pun diantara mereka yang menuruti jejak langkah ayah mereka untuk menjadi anggota tentera. Ayah mereka merupakan bekas tentera yang telah berkhidmat selama 25 tahun. Dia mula berkhidmat dengan angkatan tentera semasa Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei masih lagi menggunakan nama lamanya iaitu Askar Melayu DiRaja Brunei.

“Kau tu jangan duk asyik mengelamun saja kat sana tu. Tolong aku buat kerja dapur tu nanti. Kau tu anak dara, tak manis kalau tak tahu nak buat kerja-kerja orang perempuan. Tak berlaki nanti”. Sempat lagi ibunya berpesan kepadanya sebelum berlalu ke dapur.

“Hisyyy! Asyik-asyik nak bangkitkan tentang soal hati saja” rungutnya setelah ibunya beredar dari situ. Dia sememangnya  tak suka berbicara tentang perkara yang melibatkan cinta. Baginya cinta itu tidak ada sebarang makna dan hanya sebuah ilusi yang dicipta oleh minda manusia.

Tapi benarkah begitu? Benarkah telahannya itu? Bagaimana pula tentang hatinya yang terganggu ketenteramannya semasa berlangsungnya latihan selama seminggu baru-baru ini? Mengenangkan itu dia menjadi bingung. Entah, kenapa dia merasa begitu terganggu bila sahaja dia melihat lelaki itu. Bukan terganggu kerana benci atau apa-apa yang sewaktu dengannya tetapi apa yang dirasakannya itu berlainan sama sekali. Dia tak tahu dan tak faham bagaimana untuk menjelaskannya dengan kata-kata. Apa yang penting, dia tak pernah merasakan rasa itu sebelum ini.

‘Apa dah jadi dengan aku ni sebenarnya?’ hatinya menyoal dirinya. Dia memejamkan matanya lalu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya perlahan.

Masih terbayang dimatanya akan segala tindak-tanduk lelaki itu. Dia dapat merasakan bahawa lelaki itu seperti mencuba untuk menarik perhatiannya secara tidak langsung walaupun dia kelihatan begitu serius sepanjang latihan tersebut. Tapi dia tidak dapat menafikan, ada sesuatu pada diri lelaki itu yang amat dikaguminya. Lelaki itu baginya merupakan seorang ketua yang benar-benar berjiwa ketua. Dia tidak hanya tahu memerintah orang-orang bawahannya tetapi dia sendiri turut serta melaksanakannya bersama-sama mereka. Dia mampu mengetuai pasukannya secara baik dan teratur dan apa yang lebih penting, dia begitu matang dalam berfikir. Dia begitu tenang dalam apa jua tindakan yang diambilnya. Selain itu, dia juga seorang yang bertanggungjawab dan amanah orangnya.

Dan dia juga terpaksa mengakui, segala apa yang pernah diperkatakan oleh rakannya tentang lelaki itu seminggu yang lalu sememangnya benar. Kini buktinya telah disaksikan oleh mata kepalanya sendiri, bagaimana lelaki itu begitu senang menyendiri. Bukanlah tidak suka bergaul dengan anggota-anggota yang lain tetapi dia kelihatan lebih suka membuat hal sendiri bila tiba waktu rehat. Semasa latihan itu juga terdapat beberapa orang medik wanita dari kedua-dua buah pasukan keselamatan itu yang turut serta. Jelasnya mereka seperti mahu mendekati lelaki itu tetapi dia tidak pernah ambil pusing akan karenah mereka dan kelihatan tidak berminat. Semua itu didalam perhatiannya dan tak terlepas dari pandangannya. Sebaliknya lelaki itu seolah-olah sentiasa mencari peluang untuk mendekati dirinya. Pernah semasa dia memasang salah satu peralatan elektronik yang akan mereka gunakan sepanjang latihan tersebut, lelaki itu yang pada mulanya hanya sekadar berdiri tidak jauh dari situ, datang membantunya tanpa diarah dan dipinta. Dia tergamam seketika pada ketika itu sebelum menyambung semula kerjanya dan lelaki itu pula hanya serius seperti tiada apa-apa.

Dia mengeluh. Terasa dadanya menjadi begitu sempit. Lelaki itu, yang pernah dibencinya sebelum ini, kini dikaguminya. Sesungguhnya kehadiran lelaki itu amat menyesakkan jiwanya ketika ini. Lelaki itu membuatkannya merasakan sesuatu yang tidak pernah hadir dalam dirinya sebelum ini. Dia membuka matanya perlahan lalu mendongakkan wajahnya ke langit yang membiru dan cerah-ceria pada pagi itu.

‘Kau sukakan dia, Zahra’.

Untuk seketika, Zahra membatukan diri sebelum menggeleng perlahan, menidakkan kata-kata hati kecilnya. “Tak. Aku tak sukakan dia. Tak mungkin!”. Dia tak mahu tewas dengan perasaan sendiri. Baginya itu hanya mainan perasaan yang harus dihapuskan.

Untuk mengelak dari terperangkap lebih jauh didalam perasaan sendiri, Zahra membuat keputusan untuk turun ke bawah dan hendak berjalan menuju ke kebun dimana ayah dan abang-abangnya berada ketika ini apabila dia terdengar satu suara memanggilnya dari dapur.

“Zahra! Cukup-cukup la mengelamun kat luar tu. Masuk, tolong masakkan udang ni untuk makan tengahari karang”. Kedengaran ibunya menyuruhnya memasak untuk juadah tengahari itu.

Zahra hampir terlupa. Nasib baik dia belum sempat turun tadi, kalau tak, tentu saja ibunya berleter lagi.

Posted from WordPress for Android

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s