On Short Hiatus

There will be no update on the Malay novel-like story “Kiss From A Rose” for a week or two due to the examination period that will be started from this week till next week. Those who have followed and read every episode/chapter, I apologize for such inconvenience

Posted from WordPress for Android

Advertisements

KISS FROM A ROSE – Bhg 18

Batu Satu Apartment, Jalan Laksamana Abdul Razak, Batu Satu, Bandar Seri Begawan, 0015 Jam.

Matanya masih terbuka luas ketika ini. Belum ada sebarang tanda yang dia akan terlena sebentar lagi. Dia belum mengantuk. Untuk sementara waktu, dia terpaksa menumpang di apartment sewa sepupunya atas nasihat pihak Jabatan Siasatan Jenayah. Nasib baik sepupunya ini masih bujang jadi taklah dia merasa janggal untuk tinggal bersamanya buat sementara ini. Tambahan pula sepupunya ini adalah di antara yang dia agak rapat berbanding dengan sepupu-sepupunya yang lain. Dan mujur juga dia tinggal di kawasan bandar, sekurang-kurangnya tak lah jauh sangat dari tempat kerjanya. Ketika ini dia terpaksa turun-naik pejabat walaupun masih dalam percutian. Anna telah menjumpainya di rumah keluarganya pada pagi kelmarin untuk memberitahu kejadian di rumah sewa mereka tempoh hari. Perkhabaran itu amat mengejutkannya.

Suasana tengahmalam di kawasan itu sunyi. Kedai-kedai berdekatan telah pun tutup sejak jam 10 malam tadi dan kini hanya kedengaran bunyi kenderaan yang lalu-lalang di jalanraya. Itupun jarang-jarang bunyinya. Sepupunya pula bertugas pada malam itu memandangkan dia adalah seorang jururawat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Tinggallah dia seorang sahaja di apartment.

Dia berbaring di atas katil sambil matanya memandang ke siling. Mindanya masih terarah kepada peristiwa di ibu pejabat tadi. Dia masih belum dapat melupakan apa yang telah disaksikannya waktu itu. Betulkah tak seperti apa yang difikirkannya? Betulkah lelaki itu benar-benar innocent? Ye la. Tentera lagi. Sukar rasanya hendak mempercayai golongan ini. Tapi riak wajahnya seperti mempamerkan berbagai reaksi. Sedih, kecewa, menyesal, marah dan terkilan, semuanya terserlah di wajahnya yang suram malam itu. Apa sebenarnya yang terjadi? Adakah wanita yang dilihatnya itu telah melukakan hatinya? Mungkinkah wanita itu teman istimewanya? Timbul berbagai soalan di benaknya. Pening juga kepalanya memikirkan hal itu. Dan dalam waktu yang sama, dia sendiri pun tak faham kenapa dia begitu mengambil tahu akan lelaki itu. Dia mendengus.

Dia tidak pasti berapa lama dia berkeadaan sebegitu bilamana dia tiba-tiba terdengar satu bunyi seperti seseorang memulas tombol pintu di ruang tamu. Dia yang ketika itu berada di dalam bilik tidur hanya diam mendengar bunyi tersebut. Adakah sepupunya yang pulang waktu itu? Mungkin dia terlupa sesuatu? Tapi mustahil juga. Sepupunya tak pernah buat sebegitu. Selalunya sepupunya itu akan menghubunginya terlebih dulu sebelum masuk ke apartment sama ada menelefonnya atau sekadar menghantar mesej sebagai pemberitahuan bahawa dia sudah pulang.

Untuk memuaskan hatinya, dia berdiri dan melangkah ke jendela bilik tidurnya untuk memeriksa jikalau kereta sepupunya ada di tempat letak kereta yang berdepanan dengan bilik tidur memandangkan dia selalu meletakkan keretanya di situ. Kosong! Tak ada pun kereta sepupunya di situ. Dia mulai curiga dan berwaspada. Dia sudah mula merasa tidak sedap hati akan kemungkinan adanya ‘tetamu yang tidak diundang’ ketika ini. Dia tahu, orang-orang yang dikenalinya tak akan membuat sebegitu sebaliknya dia akan diberitahu lebih awal sebelum mereka datang, termasuklah sepupunya itu.

Bunyi itu masih kedengaran. Masih terkial-kial nampaknya. Di kesempatan itu, dia memikirkan tindakan yang akan diambil untuk meloloskan diri. Dia cuma ada dua pilihan; cari jalan untuk melarikan diri tanpa perlu bedepan dengan ‘tetamu’ itu atau terpaksa berdepan dengan siapa pun yang berada di luar sana. Dia membuat keputusan untuk mencari jalan yang pertama. Dengan sepantas mungkin, dia mengira-ngira ketinggian dari tempat kediamannya sehingga ke tingkat bawah sekali. Sebatang pokok kayu yang agak rendang berada tidak jauh dari biliknya. Dahannya yang besar dan panjang hanya berada dalam jarak 2 meter dari jendela bilik.

Pintu ruang tamu kedengaran seperti dibuka dengan perlahan. Nampaknya ‘tetamu’ tersebut sudah pun berjaya memecah masuk ke dalam. Tanpa berlengah lagi, dia mencapai dan memakai tudungnya lalu berjalan menuju ke jendela dengan langkah yang amat berhati-hati dan tanpa mengeluarkan bunyi. Dia membuka jendela itu dengan perlahan sehingga terbuka luas dan memuatkan seluruh tubuhnya. Dia memanjat jendela tersebut. Sesudah dia berada di pinggir jendela, dengan sekuat tenaga dia melakukan lompatan ke dahan pokok kayu berkenaan. Sebaik sahaja dia berpaut pada dahan tersebut, dia pun turun dari pokok itu dengan melompat dan berpaut pada dahan-dahan pokok yang jaraknya agak berdekatan antara satu sama lain. Tiba di satu dahan yang berdepanan dan tidak jauh dari sebuah balkoni, sekali lagi dia melakukan lompatan dari dahan ke balkoni tersebut. Dia memanjat pagar balkoni lalu mencapai sebatang besi yang mengunjur ke bawah dan turun menggelungsur sehingga ke tingkat bawah sekali.

Tiba di tingkat bawah, dia melangkah laju menuju ke keretanya. Namun sebaik sahaja dia semakin menghampiri keretanya, dia ternampak dua orang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan berada tidak jauh dari keretanya. Melihatkan itu, dia menukar haluannya menuju ke pintu pagar masuk ke apartment tersebut. Lelaki-lelaki terbabit yang terperasan akan kehadirannya di situ mula membuka langkah mengekorinya. Dia tahu dirinya sekarang sedang diekori lalu mempercepatkan langkahnya sehingga akhirnya dia berlari. Lelaki-lelaki itu bergegas berpatah balik ke dalam kawasan apartment dan masuk ke dalam kereta mereka lalu memandu keluar dari sana untuk mengejarnya.

Dengan langkah yang pantas, dia memasuki kawasan kompleks membeli-belah Kompleks Abdul Razak yang terletak bersebelahan apartment tersebut. Dari situ, dia berlari menuju ke kawasan depan Kompleks Athirah lalu memanjat pagar sebuah flat yang terletak tidak jauh dari bangunan kompleks tersebut. Seterusnya dia melintas simpang jalan yang menuju ke kompleks membeli-belah Emporium Pertama setelah berlalu dari flat tersebut dan berlari ke pintu pagar yang terbuka di sebuah lagi flat yang terletak berdekatan dengan lampu trafik di jalan utama. Di belakang flat tersebut, dia terpaksa memanjat pagar sekali lagi untuk meloloskan diri dari sana. Tiba di tepi jalan, dia melintas secepat mungkin menuju ke bahu jalan seberang.

Setelah dia berada di sana, tiba-tiba dia ternampak kereta lelaki-lelaki tersebut memecut laju mengekorinya dari belakang. Dia mula membuka langkah semula dan berlari menghala ke sebuah pos polis yang terletak tidak jauh dari situ. Kereta itu semakin menghampirinya. Dengan pantas, dia membelok ke kiri dan menggunakan jalan kecil di sebelah atas yang menuju ke pejabat pos sebagai jalan pintas. Kedengaran bunyi tayar berdecit yang datangnya dari kereta tersebut. Pemandunya telah membrek kereta secara mengejut. Mungkin tidak menyangka yang dia akan menggunakan jalan lain selain jalan utama itu. Tadi pun mereka seperti mengalami kesukaran untuk menjejakinya memandangkan dia lebih banyak menggunakan jalan pintas yang sukar untuk dilalui oleh sebuah kereta.

Sebaik sahaja dia sampai di depan pos polis, dia mengetuk kuat pintu pos tersebut. Pintu pos dibuka. Seorang anggota polis tersembul dari dalam dan menjenguk ke luar. Sebaik sahaja anggota tersebut mengenali orang yang berdiri didepannya sekarang, dia dengan serta-merta memberi tabik hormat kepadanya.

“Assalamu’alaikum Puan”.

“Wa’alaikumussalam. Awak seorang saja Koperal?” tanyanya sambil matanya meliar melihat sekeliling.

“Tak Puan. Sarjan Haris ada di dalam sekarang. Puan ada apa-apa masalah?” tanya koperal itu kepadanya. Koperal itu seperti dapat menangkap sesuatu yang tak kena pada riak wajahnya.

“Saya akan bercakap kemudian setelah saya masuk ke dalam” tegasnya.

Koperal tersebut tanpa banyak soal terus membenarkannya masuk ke dalam pos tersebut. Sarjan Haris yang berada di dalam lantas berdiri dan memberi tabik kepadanya. Sejurus kemudian dia mengarahkan mereka berdua untuk duduk dan meminta mereka menayangkan semula visual terbaru dalam beberapa minit lalu yang dirakam dari kamera litar pintas yang dipasang di atas lampu trafik berdekatan. Beberapa saat kemudian, dia meminta visual tersebut dipause seketika. Imej sebuah kereta pacuan 4 roda jenis Toyota Land Cruiser berwarna hitam yang membelok menuju ke Bandar Seri Begawan dari Jalan Kubah Makam DiRaja kelihatan di skrin. Dia mengarahkan koperal tersebut membesarkan imej kereta itu. Kini nombor pendaftaran kereta tersebut dapat dilihat dengan jelas. Dia meminta pen dan kertas dari koperal itu untuk mencatit keterangan-keterangan kereta tersebut sebagai peringatannya.

Apabila koperal itu dan Sarjan Haris bertanya tentang kereta tersebut, dia lantas menjelaskan tentang insiden kejar-mengejar antara lelaki-lelaki di dalam kereta itu dengan dirinya. Mereka begitu terkejut mendengarkan cerita itu. Sarjan Haris mencapai buku laporan serta sebatang pen lalu turut mencatit segala apa yang telah diperkatakan olehnya kepada mereka sebentar tadi. Ini memang sudah menjadi tugasan anggota tersebut untuk mengambil statement yang dilaporkan tidak kira siapa pun orang itu walaupun sesama anggota polis.

Setelah dia pasti lelaki-lelaki itu telah beredar dari kawasan sana, dia mengambil keputusan untuk pulang semula ke apartment tersebut untuk menyiasat sendiri apa yang telah lelaki-lelaki itu lakukan, motif mereka serta mencari jika ada sebarang tanda atau barang yang boleh menjadi bukti. Sarjan Haris menawarkan diri untuk membantu dan juga turut menghubungi Balai Polis Bandar Seri Begawan untuk menghantar sepasukan dari unit siasatan jenayah bagi melakukan siasatan ke atas kejadian di apartment itu.

“Puan. Saya telah meminta bantuan daripada pihak polis bandar untuk menghantar anggota-anggota di unit siasatan jenayah dan sekarang mereka dalam perjalanan menuju ke apartment Puan. Saya sendiri juga akan turut membantu Puan” ujar Sarjan Haris.

“Baik Sarjan. Terima kasih” balasnya pendek.

Dia bertolak ke apartment sewa sepupunya itu menggunakan kenderaan pasukan bersama-sama Sarjan Haris. Dia tidak sempat menggunakan keretanya sendiri memandangkan lelaki-lelaki tersebut sudah pun berada berdekatan dengan keretanya tadi.

Semasa kenderaan yang dinaikinya bersama Sarjan Haris berhenti dekat lampu trafik kerana isyarat telah bertukar ke merah, telefon bimbit Sarjan Haris berdering lalu dijawabnya selekas mungkin sebelum isyarat bertukar ke hijau. Sebaik sahaja panggilan tersebut tamat, Sarjan Haris memandangnya sekilas.

“Puan. Tuan Ilham meminta Puan menghubunginya secepat mungkin. Tak tahulah kenapa dia hubungi saya pula untuk menyampaikan pesanannya kepada Puan”.

Dia mendengus. Apa pula kali ini yang Ilham nak?

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 2315 Jam.

Sebaik sahaja dia selamat sampai di rumahnya sejak setengah jam yang lalu, dia lebih banyak berdiam daripada berkata-kata. Apabila ibunya menyoalnya, dia hanya mengangguk atau menggeleng sebagai jawapan. Risau ibunya melihat perubahan dirinya malam itu. Sudahlah keluar rumah tak beritahu mereka, kini pulang ke rumah dengan wajah yang sugul pula. ‘Kenapa sebenarnya dengan darling ni?’.

Ayahnya masih belum pulang lagi setelah dihubungi oleh ibunya tadi. Ketika ini ibunya masih belum mahu mengalah untuk memujuknya.

Darling kenapa tak nak berterus-terang saja dengan mummy? Mummy risau sangat tau bila darling menghilang begitu saja dan pulang dalam keadaan begini. Ceritalah kat mummy ye darling?” pujuk ibunya.

Ibunya membelai rambutnya perlahan dan lembut lalu dipautnya bahu anak kesayangannya itu.

“Liz darling. Kalau darling tak nak cerita, nanti darling akan sentiasa merasa tertekan dan muram sampai bila-bila. Kalau darling bermuram saja nanti, hancurlah hati mummy dan daddy tengok darling dah berubah menjadi orang yang mummy dan daddy tak kenali. Darling pun tahu betapa sayangnya mummy dan daddy terhadap darling” sambung ibunya lagi.

Saat ini air mata Liz tumpah lagi mendengarkan pujukan ibunya itu. Dia merasa serba salah sama ada hendak bercerita atau diamkan saja. Dia tahu, kalau pun dia tak dimarahi oleh kedua orang tuanya, pasti Ezan pula yang akan jadi mangsa mereka berdua. Silap-silap, seluruh keluarganya ‘menyerang’ Ezan. Dia tak mahu perkara sebegitu terjadi. Tetapi untuk mendiamkan terus…dia buntu. Fikirannya kusut dan bercelaru waktu ini. Terasa seperti hendak meraung.

Akhirnya dia memecahkan kebisuan yang membelenggu dirinya. “Mummy, please berikan darling masa. Tunggulah bila sampai masa yang sesuai nanti”.

Ibunya mengeluh perlahan mendengar permintaan Liz itu tetapi dia tak membantah. Mungkin juga ada baiknya jika dia memberi Liz ruang dan masa yang sesuai untuknya bercerita akan perihal sebenar.

“Okey. Tapi darling janji tau cerita dengan mummy nanti?”.

Liz hanya mengangguk lemah. Air matanya masih mengalir sehingga membasahi kedua belah pipinya. Ibunya lantas menyapu mutiara jernih yang turun itu dengan hatinya yang dipagut rasa bimbang.

Tidak lama kemudian kedengaran deruman enjin kereta masuk ke dalam garaj di luar rumah. Ayah Liz sudah sampai. Ibunya tahu.

Liz yang mendengarnya hanya mendiamkan diri dan berterusan menangis mengenangkan kejadian-kejadian yang telah berlaku dan memikirkan reaksi keluarganya, terutama sekali kedua orang tuanya itu sebaik mereka mengetahui akan kisah sebenar.

Dia bingung. Dia dalam dilema. Luahkan saja atau pendam terus?

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 17

Kuarters Bujang bagi Pegawai Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei, Flat Kampong Anggerek Desa, 0015 Jam.

‘Ya Allah…apa yang telah ku buat hari ni?’

Hatinya menyesali akan keterlanjuran sikapnya malam itu. Dia menekup wajahnya lama. Dadanya terasa sesak mengenangkan apa yang telah berlaku. Saat itu dia merasakan dia adalah seorang lelaki yang tak berguna.

Adegan itu masih jelas bermain di mindanya. Bagaimana dia begitu tergamak menyentuh seorang wanita yang bukan mahramnya? Dia tahu ketika itu tahap kesabarannya sudah sampai ke kemuncak dan dia bertindak mengikut rasa hati yang panas membara. Kesabaran yang jitu runtuh dek sikap wanita itu sendiri. Tetapi itu bukan bermakna dia boleh bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesan negatifnya di kemudian hari. Nafsu jangan dituruti kata orang. Dia gelisah.

Rakannya yang memerhatikan sikapnya itu sejak dari tadi kini melangkah menghampirinya. “Dah la tu Zan. Benda dah jadi tu biarlah. Lagipun bukannya kau terlanjur dengan dia. Yang penting lain kali jangan hilang akal waras kau tu, bila-bila masa sekalipun”.

Ezan bersandar ke dinding dengan mata terpejam rapat. “Aku faham Di. Tapi aku masih tak mampu membuang rasa bersalah dari dalam hatiku. Aku rasa aku seperti orang lain ketika ni. Aku macam tak kenal  siapa aku sebenarnya”. Dia mengetap bibirnya.

Adi menepuk bahunya lalu turut melabuhkan punggung di sisinya. “Kau manusia biasa, Zan. Begitu juga aku. Kita bukannya Tuhan, malaikat atau nabi yang sentiasa perfect dalam apa jua yang dilakukan. Kita tetap tak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada dengan sengaja atau tanpa kita sedari” Adi cuba menasihatinya seterusnya secara tidak langsung, menyuntik kembali semangat yang luntur di dalam diri Ezan.

“Kalau tersalah jalan atau tersilap langkah, kembalilah kepada Allah, itu yang terbaik. Dia dah berjanji, walaupun dosa kita sebanyak buih di lautan, Dia tetap akan maafkan kita jika kita bertaubat dengan hati yang ikhlas. Pergilah memohon keampunan daripadaNya” Adi menyambung nasihatnya yang kedengaran seperti sebuah tazkirah.

Ezan diam membisu. Hatinya membenarkan kata-kata rakannya itu dan itulah juga yang dilakukannya sebaik sahaja dia sampai di sini tadi. Apapun, rasa bersalahnya masih belum hilang sepenuhnya.

“Kau rehatlah dulu di sini. Aku nak keluar sekarang. Kalau kau perlukan apa-apa, jangan segan-segan call aku, okey?”. Adi menepuk bahunya sekali lagi. Ezan mengangguk lemah.

Separuh tubuh Adi sudah pun berada di luar bilik yang didiami Ezan apabila dia menghentikan langkahnya dan berpaling semula kepada Ezan.

“Bro, aku percaya kau tak akan buat perkara tu kalau bukan wanita tu yang buat hal kan? Kalau kau suruh aku pilih antara dia dengan Inspektor tu, sah aku pilih yang kedua, siap angkut rombongan meminang sekali”.

Adi berlalu dari situ setelah dia menyudahkan kata-katanya dan memberi salam kepada Ezan sebagai pengganti ucapan ‘selamat malam’. Kata-kata Adi itu sedikit sebanyak mampu mengukirkan sebuah senyuman di wajah suramnya. Adi sempat berseloroh sebelum beredar dari bilik itu. Dia sememangnya seorang penghibur yang juga adakalanya digelar ‘pak ustaz’ disebabkan suka ber’tazkirah’ di masa-masa lapangnya.

Ezan mengekori langkah Adi dengan pandangan mata sehinggalah kelibatnya hilang di sebalik pintu bilik yang ditutup. Fikiran Ezan melayang, mengimbas kembali apa yang telah terjadi. Hatinya saat ini menyeru nama insan yang disukainya dalam diam. Ataukah dia sudah jatuh cinta ketika ini? Cintakan insan itu? ‘Zahra!’.

Imbas Kembali…

Ibu Pejabat Polis, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong, 2145 Jam.

Mereka mempunyai bukti kerana itu mereka tak ragu untuk ke sini. Mereka sempat melihat dari jauh lelaki-lelaki yang tidak dikenali itu naik ke flat tersebut dan menuju ke bilik yang disewanya sejurus rakan-rakan mereka, Mir, Wan dan Iz selesai melakukan tugasan mereka. Mereka ke sini untuk melaporkan perkara tersebut seterusnya berkongsi maklumat terbaru bersama pihak polis dan pertemuan mereka adalah di tempat ini.

Setelah Adi meletakkan keretanya di kawasan tempat letak kereta berdepanan dengan ibu pejabat, dia sempat membelek-belek dirinya sebelum keluar. Keadaannya ketika itu agak tidak terurus bilamana butang-butang bajunya terbuka sehingga mendedahkan dadanya yang bidang. Dia memperbetulkan pakaiannya dan mengemaskan dirinya. Di bahagian penumpang belakang, dia ternampak Liz merenungnya. Dia membalas renungan itu sehingga Liz membuang pandang ke arah lain. Dia terperasan, sejak kejadian itu tadi, Liz lebih senang berdiam diri. Di wajahnya terpancar, Liz seperti meragui dirinya di saat ini. Takut, sedih, tidak percaya, rasa sayang, semuanya bersatu di dalam diri Liz dan kesemua itu dapat dibaca olehnya melalui riak wajah wanita itu. Malam itu juga, buat pertama kalinya dia melihat Liz tak seperti Liz yang dikenalinya sebelum ini, yang manja dan menggedik. Dia mengeluh untuk ke sekian kalinya.
“Sudah-sudahlah berangan tu Zan. Cepat keluar sekarang”. Kedengaran suara Adi memintanya keluar segera dari kereta itu. Dia mahu mereka masuk ke bangunan ibu pejabat itu sama-sama. “Kau bawalah buah hati kau tu juga. Takkan nak suruh dia memerap sorang kat dalam kereta tu”.

Tanpa sepatah kata, Ezan keluar dari kereta itu dan terus membuka pintu penumpang belakang. Dia menatap seketika wajah itu sebelum bersuara. “Liz. Mari ikut I” ajaknya dengan suara yang agak perlahan.

Liz terasa berat hendak menerima ajakan itu namun digagahinya jua untuk menuruti lelaki di sisinya ini. Ezan berjalan beriringan bersamanya ketika melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Di dalam ibu pejabat itu, beberapa orang pegawai serta anggota polis berpangkat rendah dari Skuad Gerakan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah yang berpakaian biasa berdiri berdekatan dengan kaunter pertanyaan. Turut berada di sana adalah beberapa orang pegawai perisikan tentera dan dari Rejimen Pasukan Khas yang juga merupakan rakan-rakan sepasukan mereka berlima. Semasa Ezan dan Liz memasuki ruang tersebut, semua mata terarah kepada mereka berdua. Kenapa pula dia bawa orang awam ke sini?

Ezan faham akan maksud renungan itu. Dia dapat membaca apa yang mereka fikirkan di waktu itu. Dia beralih memandang Adi yang berada di sebelah kanannya. Adi mengangguk selepas itu.

“Ezan dan rakannya berada di flat tadi sewaktu kejadian itu berlaku. Kami terpaksa membawanya sekali ke sini. Dia juga merupakan salah seorang saksi kejadian itu” terang Adi ringkas bagi pihak Ezan.

Kesemua mereka yang berada di situ  memandang mereka berdua silih berganti.

“Apa yang telah terjadi? Dan siapa yang melakukannya?” seorang pegawai polis yang berada di situ bertanya.

Adi terus memberitahu sepenuhnya tentang kejadian yang telah berlaku di flat tadi tanpa meninggalkan barang satu detail pun. Tiada kurang, tiada tokok-tambah dalam ceritanya. Semuanya diceritakan menurut apa yang telah disaksikannya. Salah seorang anggota polis berpangkat sarjan kelihatan mencatit segala apa yang telah diceritakan oleh Adi di dalam buku catitannya. Keterangan-keterangan saksi juga diambil termasuklah Liz.

“Baiklah. Keterangan sudah diambil dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Untuk seterusnya, kita mahu membincangkan sesuatu mengenai perkara besar tersebut, khas untuk pendengaran pihak tentera dan polis yang ada di sini sahaja” jelas pegawai polis tersebut.

Mendengarkan kata-kata pegawai polis itu, lantas Ezan memberi isyarat kepada Adi dan juga Iz, meminta mereka keluar dari sana sebentar. Mereka berdua faham akan isyarat yang diberi lalu meminta izin dari mereka untuk beredar sebentar ke tempat lain. Begitu juga Ezan yang membawa Liz bersamanya.

Sewaktu mereka keluar, mereka terserampak dengan seorang wanita yang dilihat berjalan menuju ke dalam bangunan tersebut. Apabila wanita itu semakin menghampiri tempat mereka berdiri, Ezan mulai kenal akan wanita itu. ‘Zahra!’ hati Ezan menjerit nama itu.

Zahra yang pada mulanya tertunduk membaca dan membalas sebuah mesej di telefon bimbitnya kini mendongak memandang ke depan. Pada awalnya dia merasa hairan melihat beberapa orang manusia berkumpul di luar bangunan itu. ‘Kenapa pula mereka kat luar ni? Masuknya tidak?’.

“Assalamu’alaikum Inspektor” sapa mereka serentak setelah Zahra berselisih dengan mereka.

“Wa’alaikumussalam” jawab Zahra pendek sahaja tanpa berbasa-basi lagi.

Zahra baru sedar akan kehadiran Ezan di situ. Dia menoleh kepada Ezan yang berdiri di samping seorang wanita. Siapa wanita tu? Wajahya nampak suram. Begitu juga Ezan tetapi lelaki itu seperti berusaha menyembunyikan galau hatinya. Dan apa yang lebih penting, dia merasakan seperti ada sesuatu yang tak kena pada pakaian mereka dalam pandangannya. Tiba-tiba saja dia merasa curiga dan menyangka yang bukan-bukan. Dalam masa yang sama, dia terasa ada satu perasaan halus timbul di dalam hatinya bila melihatkan Ezan bersama wanita itu. Terasa sakit dan perit. ‘Kenapa dengan aku ni?’. Dia tak menunggu lama di situ lalu terus masuk ke dalam ibu pejabat. Dia mencuba sedaya upaya untuk tidak memandang Ezan.

Ezan tak lepas memandang Zahra. Dia tak peduli dengan mereka yang ada di situ sekalipun Liz yang di sisinya. Dia terperasan akan perubahan riak wajah Zahra sebentar tadi bila memandangnya. Marahkah Zahra kepadanya? Tapi kenapa? Dadanya dirasakan berkocak hebat. Buat pertama kali dalam jangka masa 28 tahun, baru inilah dia merasakan sesuatu terhadap seorang wanita. Dan wanita yang berjaya membuatkan hatinya berubah 360 darjah itu adalah Zahra. Liz sendiri pun tak mampu membuatkan dia merasa sebegini.

“Zan. Kau nak buat apa sekarang?”. Pertanyaan itu memyebabkan Ezan spontan menoleh kepada yang bertanya. Iz rupanya.

“Aku nak minta tolong sikit” jawab Ezan. Dia menoleh kepada Liz yang berada di sisinya sebelum kembali memandang rakan-rakannya itu. “Aku nak kau orang tolong bawa Liz pulang sekarang. Keretanya ada kat flat tu”.

Liz yang mendengar permintaan Ezan itu hanya tertunduk diam. Dia berharap Ezan yang akan melakukannya sebaliknya Ezan hanya mengharapkan rakan-rakannya untuk menghantarnya pulang. Saat ini dia merasa kecil hati dan matanya terasa panas. Ezan masih tak mahu memahami rasa cinta yang dihamparkannya buat Ezan. Sebentar tadi dia dapat melihat mata Ezan tidak lepas merenung pegawai polis wanita itu dan pandangan mata Ezan saat itu tak seperti ketika Ezan memandangnya. Berlainan sama sekali. Pandangan Ezan nampak kosong sewaktu memandang dirinya. Hati Liz terasa bagai disiat-siat. Dia cemburu.

“Okey la bro. Kau tak join sekali?” Adi pula menyoalnya kali ini. Ezan hanya menggeleng sebagai jawapan.

Sebaik mereka berdua masuk semula ke dalam untuk memaklumkan tentang hal itu kepada mereka yang berada di di situ, Ezan berpaling menghadap Liz. Seketika renungan mata mereka bertaut. Dia tergamam melihat mata itu berkaca.

“Liz? Kenapa ni?”. Bila saja air mata Liz mengalir ke pipinya, jari Ezan pantas menyekanya. Dia tak tahu punca kenapa Liz tiba-tiba saja menangis kembali setelah tangisannya reda sepanjang dalam perjalanan tadi.

Liz tidak menjawab pertanyaan Ezan itu sebaliknya terus-menerus berendam dengan air mata. ‘You tak pernah mahu memahami perasaan I‘ rintih hatinya.

“Maafkan I. I terpaksa meminta rakan-rakan I yang hantar you pulang. I tak mahu mengapa-apakan you lagi malam ni” bisik Ezan.

Air mata Liz mengalir deras mendengarkan kata-kata Ezan itu. Ezan memegang bahu kanannya lalu menepuknya perlahan. Dia tak berani melakukan apa-apa yang lebih selain daripada itu. Cukuplah dia terlepas laku dengan wanita itu semasa di flat tadi. Dia membiarkan wanita itu meluahkan tangisnya sepuas-puasnya malam itu. Ketika itu mereka sudah berada berdekatan dengan kereta Adi yang terletak di hujung sebelah kanan kawasan tempat letak kereta.

Ezan menurunkan tangannya setelah Ezan melihat kelibat Adi yang menuju ke keretanya diikuti oleh Iz di belakang. Adi memandang mereka berdua yang berdiri tercegat di situ. Dia dapat melihat dengan jelas air mata yang mengalir di pipi Liz. ‘Apa yang Ezan dah buat kat anak dara orang ni?’. Berkerut dahinya melihat keadaan mereka berdua.

“Kita orang nak pergi ni. Kau boleh masuk ke dalam sekarang” dia memberitahu Ezan.

Ezan menganggukkan kepalanya kepada Adi dan Iz sebelum beralih kepada Liz. “Jaga diri baik-baik”. Hanya itu pesannya kepada Liz lalu berpaling dan melangkah menuju ke ibu pejabat tersebut.

Liz hanya menuruti langkahnya dengan pandangan mata yang berbalam sebelum masuk ke dalam perut kereta. Tidak lama selepas itu, dia dan dua orang rakan Ezan meninggalkan tempat itu. Liz masih tak berkalih memandang ibu pejabat itu sebaik sahaja kereta Adi sudah berada di jalan utama depan ibu pejabat. Sehinggalah lepas dari sana barulah dia mengalihkan pandangannya ke depan dengan sebuah pandangan kosong. Adi dan Iz masing-masing mendiamkan diri. Rasa segan menguasai diri masing-masing dan kerana itulah mereka mengambil keputusan untuk membisu sahaja di sepanjang perjalanan itu.

Di dalam ibu pejabat, Ezan kembali menyertai mereka bersama 2 orang lagi rakannya, Mir dan Wan. Kini mereka sudah berada di tingkat atas di dalam bilik persidangan. Dia lantas mengambil tempat di sisi Zahra sebaik sahaja dia melihat sebuah kerusi kosong di sebelah Zahra. Zahra yang sedar akan kehadiran Ezan di sisinya segera menjarakkan diri dari lelaki itu. Entah, kenapa dia merasa geram dengan lelaki itu tetapi dia berjaya menyembunyikan apa yang dirasakannya ketika itu dengan menayang wajah selambanya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cukuplah sekejap tadi dia gagal menyembunyikan riak wajah sebenarnya semasa dia hendak memasuki bangunan itu.

“Emira Zahra” panggil Ezan perlahan dan menggunakan nama penuh Zahra. Zahra seakan kaku mendengar panggilan tersebut. Dia langsung tidak menoleh kepada lelaki itu mahupun menyahut panggilannya.

“Zahra, tolonglah pandang saya. Awak marahkan saya?”. Ezan masih belum berputus asa.

Akhirnya Zahra memandangnya dengan perasaan berbuku di dada. “Awak, kita dah nak start ni. Tolong berikan sepenuh perhatian kepada apa yang hendak disampaikan oleh mereka” ujar Zahra selamba. Sengaja dia berkata begitu walaupun dia tahu sesi itu sebenarnya masih ada beberapa minit lagi untuk dimulakan. Ezan sebenarnya masih ada peluang untuk menyampaikan apa yang hendak disampaikannya tetapi dia sengaja tak memberinya peluang.

“Zahra, saya…”.

“Tuan Ezan, kalau Tuan bermaksud hendak memujuk rayu saya atau apa sekalipun, Tuan rasanya tersilap orang. Saya bukanlah wanita yang sesuai untuk diperlakukan sebegitu. Saya juga bukannya wanita pemuas nafsu kaum Adam. Saya ada maruah. Saya tak rela disentuh sebelum masanya dan diperlakukan seperti binatang”. Terluah jua akhirnya apa yang hendak diperkatakan oleh Zahra sebelum ini.

Ezan terdiam seketika dan memejamkan matanya lalu terluah satu keluhan dari mulutnya. Apa yang membuatkan Zahra berkata begitu kepadanya?

Sesi tersebut hendak bermula. Sebelum itu, Ezan sempat membisikkan sesuatu kepada Zahra. “Tak seperti yang awak sangkakan, Zahra..” lalu membetulkan kedudukannya.

Zahra termangu seketika mendengarkan ayat-ayat itu. ‘Tak seperti yang disangka?’ Dia mendengus perlahan.

Kembali Semula…

Kuarters Bujang bagi Pegawai Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei, Flat Kampong Anggerek Desa, 0050 Jam.

‘Zahra…maafkan aku. Tapi aku bukan seperti yang kau sangka. Aku tak pernah berniat untuk mencabuli seorang wanita apatah lagi mempermainkannya’ luah hatinya. Dia takut. Dia takut Zahra hilang kepercayaan terhadapnya. Dan dia tak rela kehilangan Zahra kerana semua itu.

Dalam dia merintih, dia menyoal hatinya sendiri. Sayangkah dia kepada wanita itu? Lebih dari itu, cintakah dia? Bibirnya masih belum mahu mengakui akan perkara itu. Dia sebenarnya masih ragu akan perasaannya sendiri. Dia masih keliru apa sebenarnya yang dirasakannya ketika ini. Tapi apa yang pasti dia tak mahu wanita itu hilang dari dalam hidupnya. Dia perlukan wanita itu untuk menemani perjalanannya.

‘Ya Allah…berikanlah aku kekuatan, tiupkanlah semangat ke dalam diriku. Janganlah Engkau biarkan aku rapuh dan lemah dalam menghadapi ujianMu. Teguhkanlah hatiku, kukuhkanlah imanku, ya Allah…’.

Tanpa dipinta, akhirnya dia dibuai mimpi setelah letih dan lelah memikirkan kejadian-kejadian yang telah berlaku sepanjang malam itu.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 16

Flat Tasek Lama, Bandar Seri Begawan, 2030 Jam.

Dia sedang asyik menikmati suasana malam di kawasan bandar. Matanya begitu liar memerhati keadaan sekeliling flat tersebut. Buat beberapa lama, dia terpaksa menyewa sebuah bilik di flat itu sementara menunggu permohonannya untuk mendapatkan kuarters pegawai diluluskan. Dia merasa senang hati apabila dia diberikan tempat di tingkat atas sekali di saat ramai orang yang tidak bersetuju. Ketika ini pun hanya 2 penghuni saja yang tinggal di tingkat itu termasuk dirinya, dan penghuni yang satu itu tinggal di sebelah hujung sekali. Kebanyakan penghuni-penghuni flat tersebut adalah berbangsa Cina.

Sudah 3 hari dia tinggal di flat itu dan meninggalkan rumah keluarganya di Kampong Beribi. Sebelum dia berpindah ke flat itu, kedua orang tuanya sempat berpesan kepadanya supaya menjaga diri baik-baik dan menjaga tata tertib sebagai seorang jiran yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Dia ingat semua itu.

Bunyi ketukan kedengaran. Dia memasang telinga mencari arah datangnya bunyi tersebut. Setelah diteliti, ternyata pintunya yang diketuk oleh seseorang. ‘Hmmm. Bapa agaknya’.

Tanpa berlengah lagi, dia membuka pintu tersebut dengan perlahan. Kelibat yang berdiri di depannya ketika ini amat mengejutkannya. Dia tak pernah menyangka yang insan ini akan dapat menjejaki keberadaannya di sana sedangkan dia tidak pernah diberitahu tentang tempat ini. Dia masih belum dapat mengagak tujuan sebenar insan itu ke flat tersebut. Dan dia juga terpana melihat wajah suram insan itu.

“Liz…? You buat apa kat sini? Bagaimana you tahu yang I…”. Liz tiba-tiba meluru masuk ke dalam bilik sewanya itu tanpa menunggunya menghabiskan kata-katanya dan terus duduk di atas sofa berdekatan dengan pintu menuju ke balkoni luar. Liz menekup wajahnya dan kedengaran esakan tangis terluah dari bibirnya. Bingung dia melihatkan kelakuan Liz yang tidak semena-mena itu.

Dalam dia merasa serba salah, dia akhirnya memberanikan diri menghampiri Liz lalu duduk di sisinya. “Liz, you kenapa ni?”. Bimbang juga dia melihatkan keadaan Liz itu.

Liz mendongakkan wajahnya memandang lelaki di depannya itu. Sedu-sedannya masih jelas kedengaran. “Ezan. Mummy dan daddy I mahu kita putuskan perhubungan walaupun sekadar persahabatan. Mereka tak mahu melihat I bersama you lagi. Tapi…I tak sanggup!”. Sejurus itu esakannya kedengaran semula.

Mendengarkan cerita Liz itu, Ezan tertunduk dan menggeleng perlahan. ‘Ini rupanya kisah di sebaliknya’ keluh hatinya.

“Liz, antara I dengan parents you, I hanyalah orang luar sedangkan parents you adalah keluarga you sendiri, yang telah membesarkan you sejak dari kecil lagi. Pilihlah mereka, Liz. Mereka mahukan yang terbaik untuk you sebenarnya” Ezan menasihati Liz.

Liz memandang tepat wajah Ezan. “You nak I pergi dari hidup you kan? You memang tak sudi bersama I lagi!” Liz tiba-tiba menjerit kepadanya. Dia berdiri dan dengan langkah yang agak cepat, dia berjalan menuju ke balkoni tersebut.

Ezan seperti dapat meneka apa yang mahu dilakukan oleh Liz. Dengan pantas, dia melangkah mendapatkannya. Liz mengamuk seperti orang hilang akal apabila Ezan cuba menarik tangannya dan menepis tangan Ezan kasar. Ezan tiada pilihan lain, lantas memaut erat pinggang Liz dari belakang sebaik sahaja Liz berpaling semula menghadap balkoni tersebut. Liz meronta hendak melepaskan diri tetapi tidak berjaya memandangkan pautan Ezan begitu kejap. Akhirnya rontaannya mulai kendur, hanya diiringi dengan esak tangis yang belum berhenti sejak dari tadi.

I’m sorry. I’m truly sorry“. Ezan tak henti-henti membisikkan kata maaf di telinga Liz.

Liz melepaskan pautan Ezan yang dirasakan semakin kendur lalu menghadapnya dalam jarak yang begitu dekat. Dia yang kedengaran masih tersedu-sedan, memandang Ezan untuk beberapa saat sebelum melakukan perkara yang membuatkan Ezan benar-benar tersentap. Dia merangkul tubuh Ezan lalu mengucup pipi kanannya. Ezan terasa bagaikan terkena renjatan elektrik diperlakukan sebegitu lantas meleraikan rangkulan Liz dan menjarakkan tubuh Liz darinya.

Ezan menatap wajah Liz seketika. “Liz, tolong jangan buat I begini. I tak biasa dan tak suka” tegurnya.

“Ezan. Tak adakah ruang di hati you buat I walaupun sedikit? I cintakan you, Ezan. I rela buat apa saja demi you, asalkan I dapat bersama dengan you. I really love you!” dia merayu Ezan.

“Liz, I betul-betul tak dapat jadikan you sebagai kekasih I. I hanya dapat menerima you sebagai seorang rakan saja. Please Liz, I beg you tolong fahami perasaan I“.

Demi sahaja mendengarkan penjelasan Ezan, Liz kembali membentak dan mengalirkan airmatanya. “You kejam! You memang lelaki kejam!” jeritnya sambil memukul dada Ezan bertalu-talu, melepaskan rasa amarah, kecewa dan sedih yang bercampur-baur di dalam dadanya ketika ini.

Ezan cuba memujuknya untuk bertenang dari terus-menerus menghamburkan kemarahan tetapi Liz langsung tidak mahu mendengar. Akhirnya Ezan menahan tangan Liz lalu dicempungnya tubuh ramping itu dan dibaringkannya di atas sebuah kerusi sofa yang panjang di ruang tamu kecil itu. Liz menjerit kecil. Ezan meletakkan kedua belah tangannya di sebelah kiri dan kanan berhampiran kepala Liz yang tersandar di tempat letak tangan kerusi tersebut. Dia merenung Liz tajam dan mendalam. Liz yang begitu agresif sebentar tadi kini terdiam kaku. Tiba-tiba timbul rasa kecut di hatinya melihatkan perubahan sikap Ezan secara mendadak itu. Beberapa saat kemudian, Ezan mengucup bibir Liz rakus sehingga Liz menolak dan memukul tubuh sasa Ezan berkali-kali.

Seperti baru tersedar dari mimpi, Ezan terundur setelah dia menyedari apa yang telah dilakukannya kepada Liz lantas melangkah menuju ke jendela berdekatan dan berdiri di situ. Dia tertunduk sambil memejamkan matanya sementara tangan kanannya diletakkan di dinding. Liz masih berada di atas kerusi sofa tersebut, duduk sambil memaut lututnya. Sedu-sedannya kedengaran semula tetapi tidak sehebat tadi. Tubir matanya yang berkaca tidak lepas dari memandang Ezan yang telah membelakanginya.

Ezan melepaskan satu keluhan berat. “Maafkan I. I tahu I gagal mengawal perasaan I“.

Liz masih berdiam diri. Sebaik sahaja Ezan berpaling menghadapnya, dia tertunduk dan berundur sedikit sehingga tidak ada lagi ruang untuknya bergerak. Pautan di lututnya makin kejap. Hatinya dipagut resah, bimbang sekiranya Ezan akan membuat onar terhadap dirinya malam itu.

Ezan bergerak menghampirinya lalu duduk di hujung sofa itu. Dia meraup wajahnya sebelum beralih memandang Liz yang sudah tertunduk, tidak berani mengangkat wajah.

I sayangkan you. I sayangkan you sebagai rakan I. Seperti parents you, I juga mahukan yang terbaik buat you dan I bukanlah lelaki yang terbaik, Liz. I hampir punahkan you dan seluruh kehidupan you malam ni” luah Ezan.

Liz yang mendengar luahan Ezan itu, menekup wajahnya. Dia kembali teresak. Terasa seluruh jantungnya bagai direntap dengan kasar malam itu. Dia amat menyayangi Ezan. Bukan sayang sebagai rakan tapi lebih dari itu. Dalam erti kata lain, dia amat mencintai lelaki yang berada di depannya sekarang ini walaupun lelaki itu hampir meragut kehormatan dirinya malam itu. Luluh terasa jiwanya apabila cintanya tidak berbalas.

Ezan merasa tersepit. Dia tak tahu sama ada dia patut mententeramkan wanita di sisinya ini atau biarkan saja dia meluahkan kesedihannya sepuas-puasnya. Dia masih terasa bersalah dengan apa yang telah dilakukannya terhadap wanita itu tadi. Dia menyumpah dirinya sendiri namun dia beristighfar berkali-kali seketika kemudian.

Deringan telefon bimbit Ezan memecah suasana yang dirasakan suram itu. Ezan mencapai telefon bimbitnya lalu melihat identiti pemanggil tersebut. ‘Adi?’.

Dia lantas menjawab panggilan dari Adi itu. “Helo. Ada apa kau call aku malam-malam ni?” dia terus bertanya tanpa menunggu rakannya itu bersuara.

Bro, aku on the way ke flat kau sekarang nak sambut kau dari flat kau tu. Tolong tinggalkan flat tu sekarang tanpa meninggalkan sebarang bekas yang kau chow dalam keadaan tergesa-gesa, okey? Ada T’s yang sedang menuju ke flat kau waktu ni. Kemungkinan sekali dah berada area sana” Adi menjelaskan dengan panjang lebar.

Terkejut bukan kepalang Ezan mendengar berita yang baru diterima dari rakannya itu. Ada T’s yang menuju ke flatnya ketika ini?

“Kau biar betul?”.

I’m serious bro. Come on, bergerak sekarang. Aku sarankan jangan turun pakai tangga takut nanti terserampak dengan mereka kat situ. Aku tak nak mendengar kau cari hal sorang diri against the T’s so get your commando skill ready” arah Adi.

Nampaknya ada masalah besar yang akan mereka hadapi tak lama lagi. Setelah perbualan di antara mereka berdua tamat, Ezan menarik nafas sedalam-dalamnya dan perlahan. Dia mengerling ke sisinya. ‘Mampukah wanita ini menghadapi apa yang akan dilakukan sebentar lagi?’ dia berfikir. Jika yang di sisinya ini adalah Zahra, dia yakin dia tak akan menghadapi sebarang masalah memandangkan Zahra adalah seorang wanita yang sememangnya lasak dan juga merupakan salah seorang anggota terlatih Skuad Gerakan Khas Polis DiRaja Brunei.

Dia bangun dari tempat duduknya lalu beredar ke bilik tidur yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu itu. Dia hendak mengambil barang-barang yang diperlukan untuk rappelling yang disimpannya di dalam bilik tidur itu kerana sememangnya dia terdapat kesemua perkakas yang diperlukan untuk kegiatan sebegitu. Liz yang terkunci mulutnya sedari tadi hanya mengekori langkah Ezan melalui pandangan matanya. Dia juga terdengar Ezan berbual dengan rakannya melalui handphone tetapi tidak jelas butir-butir bicara antara mereka.

Setelah Ezan keluar dari bilik tidur tersebut, dia terus memadamkan kesemua lampu di bilik sewanya itu sehingga menjadi gelap gelita. Liz terkejut melihatkan suasana gelap tersebut. Dia menjadi cemas dan takut. Dia tercari-cari akan kelibat Ezan di dalam gelap itu.

“Apa yang you nak…” kata-katanya terputus apabila lengannya direntap oleh Ezan.

“Ikut I sekarang” arah Ezan.

Tubuh Liz terdorong mengikuti langkah Ezan. Kekuatan lelaki itu jauh lebih kuat dari kudratnya. Dia bingung tidak tahu apa sebenarnya yang hendak dilakukan oleh Ezan. Sebaik sahaja mereka berada di balkoni luar bilik itu, dia tergamam melihatkan Ezan begitu ligat memasang segala perkakas yang dibawanya keluar itu dan seterusnya mengikat tali di sebatang besi yang terletak di antara jendela dan pintu balkoni tersebut. Setelah selesai memasang perkakas-perkakas itu, kini tiba pula giliran untuk memasangkan body harnes pada Liz.

You buat apa ni? Kenapa perlu buat semua ni?”.

“Liz, kita terpaksa sekarang ni. Kita terpaksa”. Hanya itu yang mampu dijawab oleh Ezan. Liz terdiam, tidak bertanya apa-apa lagi selepas itu. Dari riak wajah Ezan, dia seperti dapat meneka sesuatu yang buruk telah terjadi. Atau mungkin juga akan terjadi. Mengenangkan itu hati Liz menjadi gerun.

Telefon bimbit Ezan berbunyi lagi dan kali ini satu mesej masuk yang diterimanya.

T’s are on the way. Lakukan sekarang, in no time. Mir, Wan dan Iz nak clean up jejak kau secepat mungkin lepas tu. Aku tunggu kau dekat parking Jabatan Air 3 minit dari sekarang” bunyi mesej tersebut. Mesej daripada Adi.

Sebaik Ezan selesai memasang body harnes tersebut pada dirinya sendiri dan mencampakkan tali yang selebihnya ke bawah, dia bersedia untuk membuat penerjunan ketika itu. Dia berpaling menghadap Liz seketika.

“Liz, I nak you naik kat belakang I sekarang dan berpaut pada I kuat-kuat. Kalau you takut, you pejamkan saja mata, okey?”. Liz hanya menganggukkan kepalanya.

Apabila Ezan mula menaiki pagar balkoni tersebut, Liz memejamkan matanya dengan rapat. Dia sememangnya takut dengan ketinggian dan ini merupakan kali pertama dalam seumur hidupnya melakukan perkara-perkara merbahaya sebegini. Sesaat kemudian dia dapat merasakan Ezan mula bergerak melakukan penerjunan atau rappelling tersebut. Dia sudah terasa hendak menjerit ketika itu. Nasib baik dia memejamkan matanya, sekurang-kurangnya dia dapat menahan dirinya dari melakukan perkara yang mungkin akan mengganggu Ezan mahupun orang sekeliling.

Let’s go, Liz. Kita pergi kat letak kereta Jabatan Air di seberang sekarang” Ezan bersuara.

Liz terkedu. Rupanya mereka telah pun sampai di tingkat bawah sekali. Sekejap sahaja Ezan melakukan penerjunan tersebut tanpa disedarinya. Kini Ezan menarik tangannya, membawanya lari dari situ.

“Tapi bagaimana dengan kereta kita?”.

“Itu you tak usah risau. Rakan-rakan I akan uruskan semua tu selepas ni”. Dia sempat menoleh kepada Liz yang berada di belakangnya sebelum berpaling semula ke depan.

Di tempat letak kereta itu, kelihatan sebuah kereta parking di sana. Ezan menghampiri kereta tersebut lalu mengetuk jendela kereta di sebelah pemandunya. Pemandu kereta itu menoleh ke sisinya, melihat siapa gerangan yang mengetuk jendela keretanya itu. Setelah mengenalinya, dia memberi isyarat kepada mereka berdua untuk masuk ke dalam kereta. Ezan menarik Liz bersamanya dan masuk ke dalam. Ezan duduk di bahagian penumpang bersebelahan pemandu manakala Liz di bahagian belakang sebelah kiri.

“Bagaimana dengan mereka bertiga?” Ezan bertanyakan tentang Mir, Wan dan Iz kepada Adi.

“Mereka dah masuk kat bilik sewa kau tu sekarang. Iz uruskan kereta kau” jawab Adi. “Apapun, sebelum kau nak bertanya kat aku dengan lebih lanjut, kau tak nak perkenalkan ke wanita yang menemani kau sekarang ni? Kau tak beritahu aku pun yang kau bawa orang”.

Ezan mengerling Liz yang duduk di belakangnya melalui side mirror kereta itu sebelum matanya kembali memandang ke depan. Dia dapat membaca kegelisahan yang bersarang dan menguasai hati wanita itu. Semuanya jelas terpancar di riak wajahnya.

“Kenapa diam?”.

“Dia rakan aku juga” jawab Ezan ringkas. Adi yang mendengarkan jawpan Ezan itu mengangkat keningnya.

“Kita nak pergi mana ni?” tiba-tiba Liz bersuara setelah sekian lama membisu.

“Kita nak pergi balai polis cik” ujar Adi.

Liz membulatkan matanya seperti tidak percaya. Balai polis?

“Siapa sebenarnya T’s yang nak target aku tu?” Ezan menyoalnya lagi.

“Masih belum dapat dikenal pasti lagi. Tapi jikalau menurut spekulasi kami, kemungkinan besar T’s tu adalah orang-orang ‘mereka’ yang mula bergerak di negara ini” jelas Adi. Sengaja dia menggunakan ‘mereka’ memandangkan ada telinga lain lagi yang mendengar perbualan mereka ketika itu.

“Oh” sahut Ezan. Cukup sekadar itu sahaja dulu yang perlu diketahuinya. Selebihnya, dia akan bertanya atau menyiasat sendiri semasa waktu berkerja.

Liz yang mendengar pebualan antara mereka berdua hanya memasang telinga. Dia tak faham apa yang mereka berdua bincangkan.

‘Itukan urusan mereka? Biarlah!’.

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 2140 Jam.

Mereka cuba untuk menghubunginya buat kesekian kali tetapi masih gagal. Kini mereka merasa bimbang tak terhingga. Sudahlah lenyap begitu saja, setiap panggilan yang mereka buat pun tak dijawab. Ke mana sebenarnya dia pergi ketika ini?

“Bagaimana ni bang? Patut ke kita lapor kat polis ni? Darling ni menghilang macam tu aje, tak beritahu kita ke mana” ujarnya. Sesudah dia mengetahui anak kebongsuannya itu tiada di rumah, dia langsung tak senang duduk jadinya.

“Takpe lah. Biar abang yang cari sendiri di mana Liz. Kalau tak dapat juga baru hubungi polis” putus suaminya lalu mencapai kunci keretanya dan bergerak menuju ke pintu utama.

“Beritahu abang sekiranya Liz sudah pulang” pesannya lagi. Isterinya hanya mengangguk sebagai jawapan.

Sejak dari jam 8.30 malam tadi mereka mendapati Liz sudah tiada di dalam biliknya setelah pintu biliknya diketuk berkali-kali tapi tiada sahutan. Dan disebabkan itu mereka cuba memasuki biliknya menggunakan kunci pendua untuk melihat kenapa Liz tidak menyahutnya. Mereka terkejut bukan kepalang apabila mereka mendapati Liz tiada di dalam biliknya. Mereka langsung tidak perasan akan hal itu. Mereka juga yakin Liz sudah pun menyelinap keluar lama sebelum itu. Tanpa memaklumkan atau meninggalkan sebarang pesanan, dia hilang begitu saja. Selalunya dia akan memaklumkan mereka terlebih dulu sebelum keluar tapi tidak buat kali ini. Ke mana sebenarnya arah tujuan Liz ketika ini?

Puas dia membuat andaian ke mana Liz menghilang, tiba-tiba dia seperti terfikir akan sesuatu. ‘Entah-entah dia keluar berjumpa dengan budak Ezan tu!’ monolognya sendiri.

Ya, dia tiba-tiba merasakan yang kehilangan Liz mungkin disebabkan itu. Sejak dari malam itu, mereka telah pun memutuskan supaya itu menjadi malam terakhir pertemuan bagi Liz dan Ezan. Mulai keesokan harinya, mereka melarang Liz dari berjumpa dengan Ezan lagi. Sememangnya Liz kecewa mendengarkan arahan yang tegas itu tetapi mereka tak terfikir pun yang Liz akan boleh bertindak senekad ini.

Memikirkan hal itu, dia menghempaskan keluhan berat. Apa yang patut dia buat sekarang? Tidak lama kemudian, kedengaran telefon bimbitnya berdering. Dengan pantas, dia mencapai telefon bimbitnya dan melihat siapakah yang membuat panggilan tersebut. Tiba-tiba dia mengeluh kelegaan apabila nama yang tertera di skrin telefon bimbit tersebut adalah nama yang sememangnya dikenalinya.

“Syukur!”.

Hanya itu yang terluah dari bibirnya.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 15

Lebuhraya Muara-Tutong, 0400 Jam.

Sebuah arahan dari pengarah jabatannya yang menghendakinya ke Balai Polis Labi sebelum jam 5.30 pagi atas satu tugas khas telah diterimanya pada lewat petang kelmarin. Awal pagi ini dia terpaksa bersiap seawal jam 3.15 pagi untuk bertolak ke Labi yang terletak di Daerah Belait memandangkan perjalanan dari rumahnya ke destinasi yang dituju memakan lebih kurang sejam ke atas.

Jam sekarang telah beralih ke angka 4 pagi. Suasana di lebuhraya masih lengang, hanya kelihatan beberapa buah kenderaan sahaja yang melintas terutama sekali tank trailer dari Brunei Shell Petroleum yang membawa minyak untuk diisikan di stesyen-stesyen minyak yang ada di negara ini. Pagi ini udara terasa dingin dan nyaman. Kerana itulah dia memilih untuk menggunakan motor Kawasaki Ninja Z1000SXnya sebagai kenderaannya kali ini. Dia mahu merasakan kesegaran angin pagi kerana sudah jarang dia berpeluang menikmati seperti ini. Tambahan pula, sudah lama dia tak menunggang motor memandangkan dia lebih kerap menggunakan kereta untuk pergi ke tempat kerja selama ini.

Ketika itu dia sudah pun berada agak jauh daripada pos polis lebuhraya bilamana dia merasa curiga akan sebuah kereta serba hitam yang terasa seperti mengekorinya. Semasa kereta itu mula-mula bergerak keluar dari simpang Kampong Lugu seterusnya menuju ke lebuhraya tersebut, dia tidak mengesyaki apa-apa. Tetapi setelah sekian lama, dia merasakan seperti ada yang tidak kena pada kereta tersebut. Kereta itu mengekorinya terlalu dekat. Bila dia memperlahankan kelajuan motornya, kereta itu juga turut melakukan perkara yang sama dan begitulah sebaliknya. Dia terperasan akan semua itu.

Sebaik sahaja dia semakin menghampiri kawasan Kampong Bukit Penggal, dia melajukan motornya secara mengejut. Dia sempat mengerling kereta tersebut melalui cermin sisi motornya dan dia mendapati kereta itu turut melajukan kelajuannya sehinggalah terjadi insiden kejar-mengejar secara tidak langsung antara dia dan kereta itu. Tiba di sebuah persimpangan menuju ke Kampong Bukit Penggal, dia membelok masuk ke simpang tersebut dengan pantas. Kereta tersebut masih mengejarnya sehingga keluar dari simpang perkampungan itu menuju ke jalan utama di Kampong Sinaut.

Semasa dia berada berdekatan dengan simpang masuk menuju ke Kampong Penanjong, dia hampir-hampir dilanggar oleh kereta tersebut dari belakang. Dia bertindak pantas dengan melakukan countersteer sehingga motornya berpaling ke haluan yang bertentangan. Setelah dia berada di lorong sebelah kanan, dia memecut motornya dengan segera lalu membelok ke simpang keluar menuju lebuhraya. Kali ini kereta tersebut terlepas jejak memandangkan motor yang dikejar sudahpun berada di lebuhraya sedangkan kereta itu masih berada di kawasan Kampong Penanjong.

Apabila dia melihat kelibat kereta tersebut sudah tiada, dia mengeluh kelegaan. ‘Siapa mereka? Dan apa motif mereka mengejar aku?’. Otaknya ligat memikirkan identiti serta sebab-musabab kenapa dia menjadi sasaran kereta tersebut. Lebih tepat lagi, orang-orang yang berada di dalam kereta itu. Dia sempat melihat sepintas lalu nombor pendaftaran serta jenis kereta dan dia masih ingat keterangan-keterangan kereta yang mengejarnya itu. Dia juga sempat mengerling ke dalam kereta tetapi tidak berapa jelas berapa ramai yang berada di dalamnya. Wajah-wajah mereka juga tidak jelas kelihatan memandangkan hari masih gelap.

Sewaktu berada di kawasan Kampong Telisai, telefon bimbitnya berdering. Nasib saja dia ingat menggunakan wireless headphonenya, jadi tak perlulah dia bersusah-payah berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan.

“Helo”.

“Ilham! Kau tak apa-apa?” suara itu terus bertanya tanpa membalas sapaan Ilham.

“Arm? Kau cakap apa ni?” dia agak bingung mendengar pertanyaan tiba-tiba Arm itu.

“Hei, aku nampak kau dikejar tadi semasa kau berada dekat simpang Kampong Penanjong tu. Kebetulan aku kat luar rumah dan nampak kejadian tu, tahu? Kau kenal siapa yang kejar kau tu?” Arm mengajukan pertanyaan lagi.

“Arm, kau bagi aku masa 30 minit dari sekarang. Lepas tu aku hubungi kau semula, okey? Talk to you later“. Tanpa menunggu balasan dari Arm, dia terus memutuskan talian dan menumpukan semula sepenuh perhatian pada pemanduannya. Dia mesti sampai sesegera mungkin ke destinasi yang dituju. Dia tak mahu bertembung lagi dengan kejadian seperti itu di saat-saat dia bergegas untuk menunaikan tugasannya. Bukan dia takut untuk berhadapan dengan situasi sebegitu tetapi dia paling pantang kalau timbul sebarang masalah ketika dia begitu berkehendakkan masa, tambahan lagi jika masalah itu ditimbulkan oleh orang lain seperti yang dia alami tadi.

Apapun, dia akan menyerahkan keterangan tentang kereta itu dan insiden kejar-mengejar tersebut kepada Arm kemudian. Dia juga akan pastikan yang dia sendiri akan turut sama menyiasat siapa mereka yang mengejarnya itu dan apa motif mereka sebenarnya. Juga seperkara lagi yang menjadi tanda-tanya kepadanya; tajam sungguh mata Arm melihat dirinya dikejar oleh kereta tersebut. Betulkah dia nampak? Persoalan demi persoalan menerjah fikirannya ketika ini.

Tanpa dia sedari, dia sudah berada di simpang masuk ke Kampong Labi. Sedikit masa lagi dia akan sampai ke balai polis di kampung itu.

‘Patutkah aku settlekan perkara ini dengan mereka juga?’

Dia mengeluh berat.

Ibu Pejabat Polis, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong, 0930 Jam.

‘Kumpulan samseng? Berkaitan dengan penjenayah-penjenyah yang tertangkap?’. Dia nampak gelisah sejak dari sejam tadi. Pening sungguh kepalanya mendengar penjelasan tersebut sebaik sahaja keputusan kesan cap jari berjaya diperolehi. Dan entah, sudah berapa kali dia mencuba menghubungi Zahra tetapi masih juga gagal. Dia sememangnya pernah mendengar cerita tentang Zahra bergelut dengan 6 orang penjenayah di sebuah lorong kecil di kawasan bandar tetapi dia tak menyangka bahawa mereka berenam itu ada backup sehingga terjadi kes sebegini.

Bila dia mengetahui akan perkara itu, dia menjadi begitu risau. Dia bimbang akan keselamatan Zahra walaupun dia tahu Zahra bukanlah calang-calang orang. Dia, Zahra, memang patut diberi amaran awal tentang hal ini kerana dari kejadian pencerobohan itu, berkemungkinan besar berkait-rapat dengan kes Zahra sebelum ini. Dan memandangkan backup tersebut masih bebas, dia yakin mereka akan terus mencari keberadaan Zahra ketika ini. Mengenangkan itu, nyawanya terasa sesak dan otaknya terasa kusut. ‘Arrgghhhh!! Zahra!! Aku nak hubungi kau, tau tak??’ jerit benaknya, seolah-olah memanggil Zahra. Jiwanya menggerusuh ketika ini.

Deringan telefon pejabatnya kedengaran seterusnya mematikan segala perkara yang difikirkannya pada waktu ini. Dia mengangkat gagang telefon.

“Helo” sahutnya.

“Helo. Inspektor Adrianna?” balas suara tersebut.

Anna mengiyakannya lalu mendengar dengan berhati-hati segala apa yang ingin disampaikan oleh pemanggil tersebut.

“Baik tuan. Saya akan pergi ke sana sekarang”. Setelah beberapa ketika, dia pun meletakkan gagang telefon tanda perbualan sudah tamat.

Sebaik sahaja dia menerima panggilan itu tadi, dia dengan cepat mengemas segala fail dan barang-barang lain yang berselerak di atas mejanya. Dia mendapat arahan dari ketuanya untuk pergi menemui seseorang di satu tempat.

“Kampong Sungai Liang. Aku nak cakap sesuatu kat kau nanti” dia berkata kepada dirinya sendiri.

Akhirnya dia boleh menarik nafas lega.

Kampong Penanjong, Tutong, 0445 Jam.

Berkali-kali dia menghempas steering kereta itu, meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya. Berkali-kali juga dia menyumpah sehingga naik gerun rakan-rakannya yang lain melihat keadaannya itu.

Relax man. Tak dapat saat ni tak semestinya kita takkan dapat dia langsung di lain waktu” tegur salah seorang rakannya.

“Kau cakap senang lah! Bukan kau yang susah payah kejar dia!” balasnya sakit hati.

“Woh, woh. Sebelum kau nak naik gila, kau betul-betul pasti ke itu orangnya ha??” sampuk rakannya yang seorang lagi.

Dia memandang tajam rakannya itu. Sesaat kemudian dia mendengus kasar.

“Ya, memang aku pasti! Dia tu salah sorang bangsat dari pasukan sial tu, kau tahu??”.

“Bagaimana kau tahu?” soal rakannya yang lain pula.

“Aku tahu sebab ada orang yang aku harapkan yang beritahu aku, kau  faham???” dia berterusan ‘menyembur’ rakan-rakannya.

Mereka terdiam seketika sambil berpandangan antara satu sama lain tanpa disedarinya.

“Baiklah. Kalau begitu apa kata kita cari dia lagi sampai dapat? Kita nak tahu sejauh mana kebenarannya. Dan kalau ianya benar, kita sibai dia sampai tak bernyawa lagi” cadang seorang rakan.

Mendengar cadangan itu, dia tersenyum. Begitu juga dengan rakan-rakannya yang lain. Itulah yang dia nak dengar. Itulah juga yang dia mahu buat.

‘Ya, aku nak tamatkan nyawa dia’.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 14

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 1905 Jam.

Kalau diikutkan hati, memang berat rasanya kaki hendak melangkah ke rumah ini. Tetapi disebabkan desakan demi desakan yang diasak oleh wanita tersebut, terpaksalah dia menerimanya walaupun hatinya terasa separuh ikhlas. Berkali-kali dia menolak ajakan wanita itu dengan berbagai cara dan alasan tetapi wanita itu tetap berkeras mahu dia datang juga malam itu. Dia bukanlah jenis lelaki yang suka bertekak walaupun hatinya sudah terasa panas membahang. Lagipun dia masih belum tergamak untuk memutuskan hubungan persahabatan dengan wanita itu walaupun wanita tersebut menganggapnya sebaliknya. Dan kerana itulah dia kadangkala mengalah dengan permintaan wanita itu.

Sampai di depan pintu rumah besar dan mewah tersebut, tangannya teragak-agak untuk menekan loceng rumah. Dia masih ragu. Setelah berfikir untuk beberapa ketika, akhirnya dia meringankan tangannya untuk menekan loceng tersebut. Bukan dia tak pernah singgah ke rumah ini tapi hanya setakat di kawasan luar sahaja. Itupun kerana menjemput wanita itu yang seringkali mengusutnya, meminta ditemankan berjalan-jalan.

Kedengaran bunyi derap kaki seseorang di dalam rumah berjalan menghampiri pintu tersebut. Tidak lama selepas itu, seorang wanita dalam usia lingkungan awal 40-an tersembul di muka pintu.

“Assalamu’alaikum” sapanya kepada wanita itu.

“Wa’alaikumussalam. Iya, tuan cari siapa?” wanita itu lantas bertanya kepadanya.

“Saya rakan Liz. Saya dijemput ke mari” balasnya ringkas sambil tersenyum memandang wanita itu yang juga merupakan seorang pembantu rumah keluarga itu.

“Oh, tuan Ezan ya? Silakan masuk tuan, nanti sebentar saya panggil neng Liz yah”. Wanita itu pun bergegas masuk ke ruang tengah rumah itu.

Ezan menanggalkan kasutnya lalu masuk ke dalam rumah itu. Buat seketika dia membelek-belek ruang tamu rumah bahagian luar. Segala perhiasan dan perabot yang ada di ruang itu sememangnya mewah, cukup dengan susun aturnya yang nampak kemas. Memanglah rumah golongan elit. Tak seperti rumahnya yang serba-serbi sederhana walaupun jika diikutkan gaji yang diterimanya bulan-bulan sekarang ini mampu untuk mengubahsuai rumahnya menjadi seperti ini. Tambahan lagi ayahnya juga menerima gaji pencen perkhidmatan dan pencen tua setiap bulan serta adik-beradiknya kesemuanya telah berkerja. Tetapi dia dan adik-beradiknya yang lain telah dididik oleh kedua orang tuanya sejak kecil lagi untuk sentiasa bersederhana dalam kehidupan. Mereka tidak pernah dimanjakan dengan segala kemewahan sebaliknya diajar untuk berdikari dan berusaha mencari rezeki sendiri. Kerana itu Ezan pernah mengambil upah mencuci dan membaiki kereta di sebuah bengkel kenderaan serta berkerja separuh masa semasa dia masih di bangku sekolah menengah lagi sehinggalah dia menjadi seorang mahasiswa.

“Hai sayanggg. Dah lama sampai eh? Jom masuk”. Kemunculan dan teguran Liz menghancurkan lamunannya. Tangan kanannya ditarik oleh Liz lalu diseret sama menuju ke ruang tengah rumah itu. Belum sempat Ezan membuka mulut membantah tindakan Liz yang  menarik tangannya itu. Dia merasakan perbuatan Liz itu adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi di depan keluarga Liz.

Sebaik saja masuk ke ruang tengah yang terletak bersebelahan dengan dapur, kelihatan kesemua ahli keluarga termasuk kedua ibubapa Liz sudah pun berada di situ. Kesemua mata memandang tepat ke arah mereka berdua, Liz dan Ezan, lebih-lebih lagi ibubapa Liz.

Mummy, daddy and everyone, please meet this charming guy,Ezan” Liz memperkenalkan Ezan kepada ahli keluarganya dengan perasaan yang girang.

Ezan mengangguk dan tersenyum. “Assalamu’alaikum” sapa Ezan lalu menghulurkan tangan bersalam dengan kesemua ahli keluarga Liz yang lelaki. Selesai bersalaman, dia mengambil tempat duduk berhampiran dengan ayah Liz dan tunang kepada salah seorang kakak Liz yang juga hadir di sana pada malam itu.

Sempat juga dia memerhatikan setiap seorang ahli keluarga Liz berserta pasangan-pasangan mereka yang ada di situ. Nampaknya pasangan-pasangan mereka itu juga bukan orang-orang yang ‘sembarangan’. Dari cara dan gaya mereka dia sudah dapat mengagaknya. Ada pangkat. Ada harta. Ada darjat. Walau bagaimanapun, dia tak merasa tergugat berada di dalam golongan itu pada waktu ini kerana dia tahu, dia hanyalah rakan Liz bukannya teman istimewa mahupun tunangnya. ‘Dia saja yang lebih-lebih menganggap aku teman istimewanya’ getus hatinya.

Cuma dia tak menyangka bahawa malam itu sebenarnya ada sebuah majlis kecil-kecilan yang mengumpulkan kesemua ahli keluarga Liz berserta pasangan masing-masing. Semasa Liz menghubunginya pada pagi ini, Liz hanya memberitahu yang Liz ingin mengajaknya makan malam bersama kedua orang tuanya di rumah itu. Tak pula dia menyatakan tentang perkara ini. Tahulah dia sekarang. Liz setentunya tak mahu ketinggalan hendak memperkenalkan dirinya kepada mereka semua kerana Liz selama ini menganggapnya sebagai teman istimewa atau dalam erti kata lain, dia adalah boyfriend Liz. Sesungguhnya ini amat memeningkan kepala Ezan. Rasanya dia tak pernah menyatakan apa-apa kepada wanita yang bernama Liz ini. Dia tak pernah menaruh apa-apa perasaan padanya dan dia tak rasa layanannya terhadap wanita itu selama ini melebihi dari apa yang sepatutnya. Dia menemani Liz ke mana-mana selama ini pun disebabkan atas dasar jalinan persahabatan walaupun selalunya dipaksa oleh Liz sendiri.

“Baiklah. Rasanya kesemua anak-anak papa berserta bakal-bakal ahli keluarga ini sudahpun berada di sini. Papa sangat gembira kerana kesemuanya dapat meluangkan masa untuk berkumpul di sini pada malam ini”. Kesemua yang ada di situ terdiam demi sahaja mendengarkan ayah Liz bersuara dan memberikan sepenuh perhatian kepada setiap patah perkataan yang terluah dari bibir lelaki itu. Kelihatan Liz mengambil tempat yang bertentangan dengan Ezan.

So, apa kata kita mulakan sesi perkenalan antara satu sama lain sebelum kita menjamu selera pada malam ini”.

Sesi perkenalan itu dimulai dari abang sulung Liz yang diperkenalkan sendiri oleh ayah Liz. Setiap adik-beradik Liz diperkenalkan berserta dengan pasangan mereka sekali. Ezan yang hanya berdiam diri, memasang telinga mendengar setiap ‘butir peribadi’ mereka. Dia merasakan hanya dia seorang yang out di kalangan mereka. Mana tidaknya, mereka masing-masing mempunyai kerjaya seperti timbalan pengarah syarikat, manager, HR officer di Brunei Shell Petroleum, pemangku pengarah di bahagian kewangan syarikat penerbangan Royal Brunei serta pegawai atasan di sebuah bank terkemuka di negara ini. Hanya dia yang bertugas dengan pasukan berpakaian seragam, itupun baru berpangkat leftenan.

Selepas Liz diperkenalkan, tiba pula giliran Ezan. Kali ini ayah Liz meminta Ezan sendiri yang memperkenalkan dirinya sendiri memandangkan sebelum ini dia tak pernah bersua muka dengannya seperti ini dan dia tak berapa kenal mana akan Ezan. Hanya memandangnya dari jauh sahaja selama ini. Ibu Liz yang berada di sebelah kiri ayahnya hanya mencebik melihat Ezan. Dia tahu Ezan hanyalah seorang pegawai tentera, bukan apa-apa di matanya. Apa yang pasti Ezan bukan ‘menantu’ pilihannya.

Mendengarkan permintaan ayah Liz itu, Ezan dengan teragak-agak, memperkenalkan dirinya kepada mereka yang ada di situ. Ayah Liz yang mendengar keterangan diri Ezan itu mengerutkan dahinya. Tentera? Pegawai tentera? Adik-beradik Liz dan pasangan-pasangan mereka ada yang tersenyum sinis mendengarkan kata-kata Ezan. Pegawai tentera? Tak ada class berbanding mereka.

Ezan dapat melihat reaksi mereka yang memandang sinis terhadapnya. Dia sudah menjangkakan perkara itu. Apapun dia tetap bertenang seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak faham akan maksud pandangan-pandangan itu. Sememangnya dia sudah terlatih dengan ‘penipuan’ sebegitu.

Selepas sesi perkenalan tersebut berakhir, mereka dijemput untuk makan malam bersama-sama. Ezan hanya menjamah sedikit sahaja hidangan yang disajikan. Dia tiada selera untuk makan pada malam itu, tambahan lagi bersama golongan elit seperti mereka ini. Abang sulung Liz yang memerhatikan gerak-geri Ezan itu menjelingnya tajam.

“Takkan sedikit tu saja? Atau tak reti nak makan hidangan sebegini? Ye lah kan, tentera ni selalunya makan yang tak ada taste langsung” sindir abang sulung Liz.

“Tentera ni selalunya hanya tahu berburu kan? Pastilah hanya pandai makan makanan kat hutan tu saja kot” perli kakak kedua Liz pula.

Ezan hanya tersenyum. Belum pun sempat dia menjawab, Liz sudah terlebih dulu bersuara. “Abang dan kakak ni! Dah dia pegawai tentera, of course la dia jaga permakanan dia. Kan ke tentera ni fizikal mesti fit? Liz sendiri pun tak setuju tau kalau dia makan banyak sangat macam abang dan kakak tu!”.

“Oh, sejak bila Liz kenal sangat dengan hal-ehwal tentera ni?” balas abang Liz. Liz hanya menjelingnya geram, tanda tidak berpuas hati dengan tindakan abangnya itu.

Okay guys, jangan bertekak kat sini. Tak manis gaduh-gaduh depan our guests“. Ayah mereka menyampuk, bertindak untuk mententeramkan suasana. Ibu Liz hanya diam dan seperti buat-buat tak tahu dengan kejadian kecil tersebut. Dia menyebelahi anak lelakinya itu sebenarnya. ‘Memang dasar jantan tak tahu malu!’ hatinya menyumpah Ezan.

Usai makan malam, mereka semua dibawa berehat ke ruang tamu luar sambil menikmati hidangan pencuci mulut. Di kesempatan itu kedua orang tua Liz menghampiri Ezan dengan satu tujuan yang sudah terancang kemas di dalam fikiran mereka. Ayah Liz melabuhkan punggung di sebelah kanan Ezan diikuti dengan ibu Liz di sebelah kanan ayah Liz. Liz pula kelihatan sibuk beramah-mesra bersama kakak sulung dan abang iparnya.

So, Ezan. Bagaimana awak kenal anak saya Liz itu sebenarnya? Awak tackle dia ke semasa di UBD dulu?”.

Ezan terkedu mendengarkan pertanyaan ayah Liz itu. ‘Bila masa aku tackle anak dia ni?’ benak Ezan tertanya-tanya.

Ezan menguntumkan senyuman di bibirnya walaupun dia agak terperanjat sebentar tadi. “Tak la pakcik, saya tak pernah tackle dia. Kami pertama kali berjumpa semasa kami sama-sama menyertai acara hari kebangsaan mewakili universiti dulu. Dia rakan saya sehingga sekarang” jelas Ezan. Sengaja dia menekankan perkataan ‘rakan’ tersebut agar kedua orang tua Liz sedar setakat mana perhubungan mereka berdua.

“Oh, rakan ye? Tapi awak bawa Liz berjalan berdua ke sana ke mari tu hanya rakan ke?” sampuk ibu Liz pula. Nampaknya dia tak berpuas hati dengan apa yang Ezan telah katakan.

“Maaf makcik tapi itu atas permintaan Liz sendiri. Saya sebagai rakannya kadangkala tak sampai hati hendak menolak permintaannya bila ada masa terluang seperti sekarang ini” sambung Ezan.

Ayah Liz mengangguk-angguk. Ibu Liz pula hanya menjeling Ezan tajam.

“Sejauh mana sebenarnya perhubungan kamu berdua?” soal ayah Liz lagi.

Ezan menarik nafas dalam-dalam dan perlahan sebelum menjawab soalan cepu emas itu. Rasanya inilah masanya untuk dia menerangkan hubungan mereka berdua yang sebenar. Terima atau tidak, kenyataan tetap kenyataan.

“Sebenarnya antara saya dan Liz tak ada apa-apa hubungan istimewa pakcik. Dia sememangnya hanya seorang rakan. Maafkan saya jika kenyataan ini akan membuatkan pakcik dan makcik terasa seperti ditipu dan dipermainkan tetapi saya hanya ingin menyatakan perkara yang sebenar. Saya tak pernah menganggap mahupun meluahkan apa-apa padanya dan hati saya tak pernah ada rasa yang lain terhadapnya” ujar Ezan panjang lebar. Dia berharap kedua-dua mereka akan dapat memahami penjelasannya itu dengan baik.

Kedua orang tua Liz menatap wajah Ezan tanpa berkerlip. Jadi, dia ni bukannya kekasih Liz??.

“Tetapi kenapa Liz beriya-iya sangat hendak memperkenalkan awak kepada kami? Kenapa dia bersungguh-sungguh menganggap awak kekasihnya?”.

Ezan mengeluh perlahan. Dia mencari kekuatan untuk menyatakan apa yang hendak diperkatakannya selepas ini. “Itu saya tak dapat menjawabnya pakcik. Bagi saya soalan itu patut ditanyakan sendiri oleh pakcik kepada Liz. Apa yang penting saya tak pernah mencintai Liz pakcik. Saya cuma menyayanginya sebagai seorang rakan”.

Selepas mendengarkan penjelasan Ezan itu, ayah Liz tersandar di sofa yang didudukinya. Ibu Liz pula memalingkan wajahnya ke arah lain dengan raut wajah yang masam mencuka. Ezan merasa semakin panas bila dia makin lama duduk di sini. Dia berpura-pura melihat jam tangannya dan merancang untuk beredar dari rumah itu sesegera mungkin.

Dengan pantas, dia meminta izin untuk pulang pada waktu itu juga kepada kedua orang tua Liz. “Maafkan saya pakcik dan makcik. Saya minta diri untuk pulang dulu memandangkan saya ada tugasan lain lagi yang perlu saya selesaikan malam ini”. Ezan lalu berdiri dan bersalam dengan ayah Liz. Ayah Liz menyambutnya dengan baik tetapi bila tiba kepada ibu Liz, dia menyambutnya dingin dan disentaknya tangannya dengan cepat sebaik saja Ezan hendak mencium tangannya. Ezan tak kisah dengan semua itu. Apa yang penting dia menghormati mereka dan seterusnya dia tak sabar hendak berangkat dari situ.

Sebaik sahaja Ezan melangkah keluar dan hendak menuju ke keretanya, dia terdengar satu suara memanggilnya.

“Ezannn!!”.

Langkahnya terhenti lalu menoleh ke arah suara itu. Liz rupanya. Wanita itu melangkah laju menuju kepadanya.

“Liz, ada a…”. Belum sempat Ezan menyudahkan ayatnya, satu tamparan hinggap di pipi kirinya. Wajah Ezan terteleng ke kanan dek tamparan itu. Dia tergamam sebentar. Kenapa Liz ni??.

Bila Ezan memandang semula wajah Liz, sekali lagi dia tergamam apabila dia terlihat airmata berjuraian di pipi wanita itu.

Why Ezan, why?? I love you so much. I cintakan you selama ni tapi youwhy Ezan…”. Dia menekup wajahnya lalu menangis teresak di depan Ezan.

Ezan merasa bingung untuk seketika. Apa yang patut dibuatnya sekarang? Memujuk wanita di depannya ini? Atau biarkan saja? Ezan menarik nafas, mengumpul kekuatan diri.

Dia melangkah menghampiri Liz dan berhenti di depannya sebaik sahaja berada dalam jarak semeter. “Liz…maafkan I. I tak dapat memaksa hati I untuk mencintai you. I tahu ini mungkin menyakiti you tapi I hanya menganggap you tak lebih dari seorang rakan. Lagipun…kiranya I betul-betul kekasih you, I tak jamin I diterima menjadi salah seorang ahli keluarga you Liz. I tak setaraf. I tak sama dengan adik-beradik you mahupun pasangan-pasangan mereka tu. I cuma seorang pegawai tentera Liz”.

Liz mengangkat wajahnya, menatap wajah lelaki di depannya dengan matanya yang berbalam.

“Ezan, you tak usah bagi sebarang alasan yang lain. Cakap saja you memang tak sukakan I. You bencikan I kan? Betul kan??” Liz meninggikan suaranya yang kedengaran tersekat-sekat disebabkan tangisannya yang masih belum berhenti.

Ezan merenungnya lalu memejamkan matanya buat seketika. “Liz, I tak bencikan you. I juga tak pernah tak sukakan you. I cuma tak mencintai you. Liz, kenyataan itu kadangkala pahit tapi walau bagaimanapun kita terpaksa juga menghadapinya. Lagipun hati manusia itu boleh berubah kan? I tak tahu apa yang I rasa di masa akan datang, adakah kekal begini atau…” Ezan tidak meneruskan ayat-ayatnya yang seterusnya. Dibiarkannya tergantung tanpa sambungan.

Liz merenung Ezan. Ezan mengukir sebuah senyuman di wajahnya. Liz kembali teresak. Dia menekup mulutnya lalu tanpa disangka-sangka, dia melentukkan kepalanya ke dada Ezan. Ezan serba salah sama ada dia patut menolak wanita itu perlahan dari dadanya atau…biarkan saja dia begitu untuk beberapa lama? Dia tak biasa diperlakukan sebegitu oleh seorang wanita tetapi untuk menolaknya, masalahnya sekarang wanita itu dalam situasi yang berbeza, di mana emosinya ketika ini sedang terganggu. Akhirnya dia membiarkan Liz rebah di dadanya buat beberapa ketika sebelum memujuknya untuk melepaskannya.

Aksi mereka berdua telah diperhatikan oleh kedua orang tua Liz dari dalam rumah tersebut.

“Betul ke sebenarnya budak Ezan tu takde apa-apa dengan anak kita tu?” ibu Liz menyoal sambil matanya tak lepas dari memandang mereka.

“Tak tahu lah sejauh mana kebenarannya. Tapi nampak macam bukan main mesra lagi saat ni” jawab ayah Liz pula.

“Abang setuju ke kalau budak Ezan tu jadi kekasih Liz? Pah memang langsung tak setuju kalau dia tu yang menjadi kekasih Liz. Pegawai tentera? Tak ada standard langsung. Memalukan keluarga kita aje kalau bermenantukan orang macam dia!” sambung ibu Liz lagi.

Ayah Liz terdiam seketika sebelum bersuara semula. “Hai, bila masa abang bersetuju bermenantukan seorang tentera walaupun dia seorang pegawai? Abang tak mahu dapat menantu yang punya kerjaya tak menjamin masa depan. Abang tak nak tengok kehidupan anak-anak kita tu hancur menjadi papa kedana kemudian hari. Liz tu patut jangan dibiarkan berkawan dengan budak Ezan tu lagi. Biar malam ini menjadi malam terakhir mereka berdua berjumpa. Lain kali jangan harap lagi”. Ibu Liz tersenyum lebar mendengarkan kata-kata suaminya itu.

‘Bagus! Mulai esok aku akan pastikan nama Ezan sudah terpadam dari hati dan ingatan anak aku!’ tekad ibu Liz sambil matanya memandang mereka berdua di perkarangan luar rumah.

Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Jalan Ong Sum Ping, 0800 Jam.

Dia bergegas menuju ke pejabat rakannya itu. Dia telah pun memaklumkan pegawainya yang juga merangkap rakannya itu awal tadi yang dia akan berjumpa dengannya dalam jam 8 pagi. Sekarang jarum jam sudah pun menunjukkan tepat ke jam yang dijanjikannya.

Sebaik dia berada di luar pejabat rakannya itu, tanpa berlengah lagi dia pun terus mengetuk pintu pejabatnya.

“Masuk” kedengaran satu suara menyuruhnya masuk.

Dia membuka pintu pejabat tersebut.

“Selamat pagi tuan”. Dia memberi tabik hormat lalu terus melangkah masuk ke dalam pejabat tersebut.

Rakannya yang sedari tadi tertunduk membuat kerjanya mendongakkan wajahnya melihat siapakah gerangan yang  ingin berjumpa dengannya ketika ini. Sejurus dia melihat kelibat itu, dia tersenyum.

“Awal sangat kau jumpa aku Anna” tegurnya.

“Aku terpaksa. Aku nak selesaikan awal perkara ni sebab lepas ni kerja-kerja aku dah menunggu kat pejabat tu. Kau sibuk ke ni?”, Anna bersuara dan hanya menggunakan ganti nama ‘kau’ dan ‘aku’ sebaik saja dia berada di dalam pejabat rakannya itu. Jika di luar pejabat, dia takkan berpeluang menggunakan perkataan sebegitu memandangkan pangkat rakannya itu lebih tinggi darinya.

“Tak lah. Aku baru saja nak mula membuat ni. So, kau dah catit detail lelaki bertiga tu?” soal Arm kemudian.

Yes. Nah yang aku catit semalam”. Anna mengunjuk sehelai kertas yang berisi keterangan-keterangan mengenai ketiga-tiga lelaki yang menceroboh rumah sewanya itu kepada Arm.

Arm mengambil kertas itu lalu dibacanya kesemua keterangan-keterangan tersebut. “Di mana kau tidur semalam?” soalnya tiba-tiba.

Anna terkejut lalu merenung wajah Arm lama sebelum dia menjawab soalan itu. “Di rumah sepupu aku kat bandar. Kenapa?” soal Anna pula.

Arm tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya dia menanyakan soalan lagi kepada Anna. “Kau pulang ke rumah sewa kau pagi ni tadi?”.

Yes, aku pulang ke sana awal pagi ni tadi sebelum pergi kerja tapi barang-barang kat rumah tu habis berselerak. Aku agak mereka seperti menggeledah sesuatu tapi aku tak tahu apa. Aku tak tahu apa yang mereka cari dan apa motif mereka” jelas Anna.

Arm memberikan sepenuh perhatian kepada keterangan verbal yang diceritakan oleh Anna itu. “Kau dah check sama ada ada barang-barang yang hilang dari rumah tu atau tidak?”.

Anna cuba mengingati semula kalau-kalau ada di antara barang-barangnya atau kepunyaan Zahra yang hilang. Dia sememangnya sempat memeriksa kesemua barang-barang yang ada sebelum bertolak tadi. Tapi seingatnya tiada satu pun barang yang hilang. Zahra pula jarang sekali hendak meninggalkan barang-barang yang berharga di rumah sewa itu bila dia pulang ke kampung halamannya, terutama sekali segala fail-fail yang berisi data-data penting dan peribadi. Mereka berdua memang tak pernah meninggalkan barang-barang sebegitu di rumah bila mereka tiada.

“Tak juga. All the stuffs are there cuma berselerak sahaja” jawab Anna akhirnya.

Arm bersandar di kerusinya dan menatap wajah di depannya. “Bagaimana dengan barang-barang yang berisi segala maklumat peribadi kamu berdua? Kau serumah dengan Zahra kan?” soalnya lagi.

All clear. Aku dan Zahra memang jarang nak tinggalkan benda-benda macam tu kat rumah bila kami tak ada di sana”.

Arm mengangguk perlahan. “Baiklah. Aku harap kau tak menyentuh barang-barang yang digeledah tu tadi. Aku nak bawa orang-orang aku ke rumah kau sekarang” putus Arm.

Anna bersetuju lalu meminta diri untuk beredar dari pejabat Arm dan menunggu di satu ruang khas di ibu pejabat JSJ itu. Dia sendiri pun akan pergi ke sana sebentar lagi bersama-sama mereka. Pagi itu dia terpaksa meminta keizinan untuk masuk ke pejabat lewat dari yang sepatutnya memandangkan dia terpaksa menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Dan bila dia terkenangkan Zahra, baru dia teringat akan niatnya untuk menghubungi Zahra sekali lagi pagi ini memandangkan telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi pada malam tadi.

Dia mesti memaklumkan kepada Zahra tentang kejadian ini secepat mungkin. Entah kenapa, separuh dari hatinya menyatakan kejadian ini kemungkinan sekali ada kaitan dengan Zahra.

‘Adakah Zahra pernah mencari musuh dengan sesiapa? Atau ada yang tak berpuas hati dengannya?’.

Soalan yang tidak dapat dijawab olehnya sendiri.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 13

Imbas Kembali…

Bilik Persidangan, Markas Rejimen Pasukan Khas, Pengkalan Tentera Laut, Kem Muara, 1030 Jam.

Pagi itu juga mesyuarat mengejut diadakan di markas usai sahaja mereka menerima maklumat terbaru tentang rancangan penjenayah-penjenayah itu. Beberapa orang pegawai dari Pasukan Polis DiRaja Brunei juga turut serta menghadiri mesyuarat tersebut memandangkan mereka terlibat sama di dalam operasi yang bakal dijalankan kemudian.

Dia yang baru sahaja dimaklumkan tentang mesyuarat tersebut bergegas menuju ke bilik persidangan dengan langkah yang laju. Beretnya sudah terletak kemas di atas kepalanya. Setibanya di bilik persidangan, Pegawai Pemerintah Rejimen  Pasukan Khas berserta Pengarah Jabatan Gerakan Polis DiRaja Brunei kelihatan telah pun berada di sana bersama beberapa orang pegawai tentera dan polis yang lain. Dia memberikan tabik hormat kepada mereka sebelum mengambil tempat berhampiran dengan seorang pegawai polis yang kelihatan sebayanya. Dia menoleh kepada pegawai polis itu lalu menganggukkan kepalanya dan tersenyum. Pegawai polis itu tersenyum kembali.

“Leftenan Daniel Ezanny?” soal pegawai tersebut.

“Saya. And you sir? How did you know my name?“.

I’m ASP Ilham Waqiuddin. I knew your name from one of my personnel” jawab Ilham. Senyuman masih terukir di bibirnya. Ilham kenal lelaki yang bernama Daniel Ezanny yang berada di sisinya ketika ini. Lelaki yang cuba mendekati dan memenangi hati Zahra beberapa minggu yang lalu.

Ezan mengangkat keningnya. “Nice to meet you, ASP”. Dia agak terperanjat mendengarkan jawapan Ilham itu tetapi dia cuba menyembunyikan rasa itu sebaik mungkin. Bukan kerana terperanjat bagaimana Ilham tahu akan namanya tetapi dia separuh mati menyangkakan Ilham itu seorang pegawai polis berbangsa Cina. Dia tahu, di dalam syarat-syarat kemasukan Pasukan Polis DiRaja Brunei, bangsa Cina adalah dibenarkan untuk menyertainya selagi mana dia merupakan seorang rakyat atau penduduk tetap negara ini.

Nice to meet you too, Leftenan. Saya tahu Leftenan confuse dengan identiti saya. I’m Malay, Leftenan. Saya mixed-blood“. Ilham seperti dapat meneka apa yang bermain di dalam fikiran Ezan dan menjelaskan kepadanya tentang identitinya yang sebenar.

Ezan tersentak lalu tersenyum menutup malu. Panas terasa wajahnya saat ini. Nasib baik sahaja kulitnya tak secerah mana. Kalau tak, sudah tentu wajahnya bertukar kemerah-merahan menahan rasa malu. ‘Hebat juga ASP sorang ni. Pandai baca fikiran orang pula tu’ hati Ezan berkata-kata.

“Dari SOS?”. Ezan menduga. ‘SOS‘ merupakan singkatan bagi Special Operation Squad atau istilah Melayunya Skuad Gerakan Khas. Setahu dia, selalunya anggota-anggota pasukan khas yang mempunyai kemahiran sebegitu, yang mampu membaca reaksi seseorang.

“Ya, saya” jawab Ilham lagi, ringkas.

Mendengarkan itu, Ezan terkenangkan Zahra. Dia mengira-ngira pegawai di sisinya ini adalah superior Zahra. Ligat otaknya berfikir tentang Zahra dan kaitannya dengan pegawai polis yang kacak yang disangkanya berbangsa Cina ini. Melihatkan perwatakan dan fizikal pegawai itu, terusik juga jiwa Ezan. Timbul sedikit cemburu di dalam hatinya bila dia membelek-belek Ilham. Takut-takut juga hati Zahra terpaut pada pegawai seorang ini.

You kenal Inspektor Emira Zahra, Leftenan?”. Tanpa disangka, Ilham bertanyakan soalan yang seperti difikirkan Ezan.

Ezan merenung Ilham lama sebelum menjawab soalan Ilham. “Ah, yes. Kenal begitu saja”.

Ilham tersengih sehingga menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun itu. “Saya pernah nampak Leftenan bersama Inspektor Zahra di pantai sebelum ini so I assume Leftenan kenal dia” selamba sahaja bunyinya Ilham menuturkan kata-kata itu.

Ezan menelan liur mendengarkan penjelasan Ilham itu. Habislah dia kali ini!

Ezan menyandarkan tubuhnya ke kerusi lalu mendengus perlahan. “Ya, saya pernah jumpa dia kat pantai tapi saya masih tak kenal dia sedalam mana. Hanya baru beberapa kali kami bersua” luah Ezan. Ilham hanya mengangguk medengar penerangan Ezan itu.

Belum pun sempat Ilham membuka mulut lagi untuk meneruskan kata-katanya, kedengaran suara Pegawai Pemerintah Rejimen Pasukan Khas, Kolonel Pengiran Zulizam mengarahkan kesemua yang ada di dalam bilik persidangan itu supaya memberikan sepenuh perhatian kepada detail yang akan disampaikan sebentar lagi.

Ilham mendengus. Ezan mengeluh kelegaan

Kampong Sungai Liang, Belait, 2315 Jam.

Ketika ini cuti 2 minggunya sudah pun bermula. Hajat di hati hendak memohon untuk bercuti selama 3 minggu tetapi memandangkan tugasan berat yang akan dipikulnya bermula dalam beberapa minggu lagi, dia terpaksa memendekkan tempoh cutinya itu.

Pertemuan bersama 2 orang pegawai dari 2 buah pasukan keselamatan tersebut pada awal malam ini tadi sungguh tidak diduganya. Dia hairan bagaimana mereka berdua tahu dia berada di sana pada malam itu. ‘Adakah satu kebetulan? Atau acting on instinct? Atau mungkin ada mata-mata lain yang menjadi informer mereka di sana?’ benaknya meluahkan soalan-soalan satu hala yang tidak mungkin ada penjawabnya.

Dia mengeluh perlahan. Mulanya terkejut juga dia melihatkan mereka berdua datang bersama. Tak pernahnya dia mendengar mereka mengenali satu sama lain sebelum ini. Setelah mereka menerangkan segalanya barulah dia faham. Dan juga apa yang memberati fikirannya ketika ini adalah berita yang disampaikan oleh mereka berdua. Kes penyeludupan senjata api berserta elemen subversif yang cuba diapikan oleh penjenayah-penjenayah itu telah meragut ketenangan jiwanya. Terasa semakin panas kepalanya mengenangkan semua itu. Sangkanya mereka hanya sekadar bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan haram yang lain, rupanya mereka juga berniat untuk menjatuhkan kerajaan negara ini. Dia terfikir kenapa mereka mahu menjadikan negara ini sebagai ‘sarang’ mereka? Apa alasan mereka? Dia menghempaskan tubuhnya ke katil lalu menekup wajahnya dengan tangannya. Sesak terasa dadanya ketika ini. Banyak perkara yang tidak disangka berlaku sejak kebelakangan ini.

‘Aku tak akan menyerah kalah. Apapun yang berlaku, aku mesti kuat menghadapinya. Bukankah aku juga salah seorang harapan negara? Aku tak akan memperjudikan nasib negara ini dan mereka yang berlindung di dalamnya’ tekadnya bersungguh-sungguh, meniupkan satu semangat yang luar biasa di dalam dirinya. Jiwa patriotiknya terasa menjulang tinggi saat ini.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu yang hendak dibuatnya ketika itu juga. Dia bingkas bangun lalu melangkah menuju ke meja tulisnya. Dia mengeluarkan sebuah komputer riba dari dalam begnya dan membukanya. Dia hendak mencari satu maklumat penting pada malam itu. Mesti!

Sebaik sahaja komputer riba itu on sepenuhnya, tanpa membuang masa dia terus menghubungkan external hard disk drivenya ke komputer riba lalu membuka satu fail yang telah disimpan di dalam penyimpan data tersebut. Dia meneliti satu persatu maklumat yang ada di dalam fail itu sehingga matanya terhenti kepada satu maklumat yang tertera di skrin komputer riba tersebut. Dia meraup wajahnya sebaik sahaja dia selesai membaca maklumat itu.

‘Ya, memang aku tak silap. Apa yang aku sangka itu sememangnya betul’.

Kampong Lambak Kanan, 0000 Jam.

Mereka bertiga memerhatikan keadaan suasana rumah itu sejak sejam yang lalu. Mereka berharap mereka akan terserampak dengan wanita itu, tetapi sungguh malang. Sampai sekarang mereka langsung tidak melihat kelibat sesiapa pun di rumah itu. Salah seorang dari mereka telah berjaya memecah masuk ke dalam rumah tersebut untuk mencari di mana keberadaan wanita yang dimaksudkan tetapi tetap menghampakan. Pencarian mereka malam itu terasa sia-sia belaka.

“Celaka!! Ke mana betina tu pergi ha?? Aku tau dan aku pasti ini rumahnya!!”. Salah seorang dari mereka sudah naik berang lalu menumbuk meja yang diletakkan di luar rumah itu. Mereka yang lain memerhatikan tingkah lakunya itu.

“Relaks la. Kitorang santai dulu maa. Kalau tak dapat malam ni, kita rembat itu betina esok” sampuk seorang rakannya sambil menghisap rokoknya dan dipersetujui pula oleh seorang lagi rakan mereka.

Dia merengus kasar, sakit hati kerana tidak dapat apa yang dicari. Puas dia berserta rakan-rakannya mencari dan mengumpul maklumat tentang wanita itu selama ini dan berharap malam ini adalah penamat kepada pencarian mereka tapi nampaknya apa yang mereka harapkan tidak menjadi. Dia mendongakkan kepalanya dan menatap tajam rumah tersebut. Dia sedang memikirkan sesuatu.

“Kau orang rasa dia tak tinggal kat lain ke ketika ni?” dia menyoal rakan-rakannya. Rakan-rakannya tersebut berpandangan antara satu sama lain sebelum menjawab pertanyaannya itu.

“Tak tahu. Kau nak cari lagi?”

“Aku rasa baik kita cari lagi sampai dapat. Aku nak sibai betina tu secepat mungkin!” tegasnya dengan sebuah harapan yang menggunung tinggi.

“Whoa~kau bukan main semangat lagi nak sibai itu betina. Dah kau nak sangat kitaorang ikut kepala kau saja lah” rakannya berkata sambil ketawa. Mereka memutuskan untuk mengikut apa saja rancangannya.

Akhirnya dengan kata sepakat dari mereka semua, mereka bergerak meninggalkan rumah itu lalu balik semula menuju ke tempat persembunyian sementara mereka sepanjang usaha pencarian itu. Mereka merancang untuk mencari wanita itu lagi pada keesokan hari.

Di suatu tempat tersembunyi, Kampong Lambak Kanan, 0015 Jam.

Dia memerhatikan segala tingkahlaku lelaki bertiga yang tidak dikenali dan nampak mencurigakan itu sejak 15 minit yang lalu dari dalam keretanya yang telah dipadamkan lampunya. Nasib juga keretanya berwarna hitam, sekurang-kurangnya kehadirannya di sana mungkin tidak disedari oleh mereka.

Dia terkejut melihatkan 3 identiti tidak dikenali menceroboh masuk ke dalam rumah sewanya dan ada yang berlegar-legar di kawasan luar rumah. Siapa mereka itu? Apa mereka mahu? Dia tertanya-tanya sendiri. Puas dia memerah otaknya untuk mengingati semula kalau-kalau dia pernah ternampak wajah-wajah itu di mana-mana tetapi dia gagal. Dia pasti dia tak pernah melihat mereka sebelum ini.

Dia meraba tempat duduk penumpang yang kosong di sebelahnya dan tangannya lantas mencapai sebuah beg yang diletakkannya di situ. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg tersebut lalu menekan virtual keypad telefon bimbit tersebut. Dia mesti melaporkan perkara ini secepat mungkin.

Percubaan pertamanya untuk mendail nombor tersebut gagal. Dia mencuba lagi buat kali kedua tetapi masih sama. Dia mendengus. Oleh kerana orang yang hendak dihubunginya itu tidak dapat menerima sebarang panggilan ketika ini, dia beralih kepada orang yang kedua. Kali ini deringan jelas kedengaran di sebelah sana. Tidak lama selepas itu, kedengaran satu suara menjawab panggilannya.

“Helo. Ada apa ni Anna?”. Suara tersebut kedengaran seperti cemas.

“Aku tak apa-apa Arm, kau jangan risau. Aku cuma nak minta backup dari kau” jelas Anna seterusnya menceritakan tentang kehadiran lelaki-lelaki tersebut di rumah itu.

“Kau catit apa yang kau perhatikan tu Anna. Pagi nanti kau jumpa aku kat headquarter. To be safe, lebih baik kau tumpang kat rumah rakan atau saudara kau kat bandar ni untuk semalam. Jangan berani tinggal sorang kat rumah sewa kau tu walaupun kau tu sorang polis juga” nasihat rakannya Arm.

“Okey Arm. Thanks dengan nasihat kau. I got to go now. Good night Arm. Maaf, aku menyusahkan kau tengahmalam buta ni”.

It’s okay Anna. Good night dan jaga diri baik-baik okey?” Arm mengakhiri perbualan tersebut.

Setelah talian diputuskan, tanpa membuang masa Anna terus mencatit kejadian tersebut di dalam nota telefon bimbitnya sebelum disalin semula ke dalam buku nota khas kemudian. Dia menuruti segala nasihat yang diberikan oleh Arm. Tengahmalam itu juga dia terpaksa menghubungi salah seorang sepupunya yang tinggal di kawasan bandar untuk memaklumkan akan hajatnya untuk menumpang tidur di rumah sepupunya itu selama semalam.

Sebelum dia beredar dari situ, sempat dia meninjau lelaki-lelaki itu sekali lagi. Nampaknya mereka juga seperti hendak beredar dari situ. Tetapi dia tetap tidak berani untuk pulang ke rumah tersebut selepas dinasihati oleh Arm.

Dia tidak tahu kenapa lelaki-lelaki itu menceroboh masuk ke rumah sewanya tapi dia merasakan seperti ada sesuatu yang tak kena tentang mereka. Dia yakin lelaki-lelaki itu bukannya hendak mencuri atau merompak tetapi lebih kepada mencari sesuatu. Cuma dia tak tahu apa.

‘Aku mesti siasat siapa mereka dan apa yang mereka mahu’.

Posted from WordPress for Android