Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 14

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 1905 Jam.

Kalau diikutkan hati, memang berat rasanya kaki hendak melangkah ke rumah ini. Tetapi disebabkan desakan demi desakan yang diasak oleh wanita tersebut, terpaksalah dia menerimanya walaupun hatinya terasa separuh ikhlas. Berkali-kali dia menolak ajakan wanita itu dengan berbagai cara dan alasan tetapi wanita itu tetap berkeras mahu dia datang juga malam itu. Dia bukanlah jenis lelaki yang suka bertekak walaupun hatinya sudah terasa panas membahang. Lagipun dia masih belum tergamak untuk memutuskan hubungan persahabatan dengan wanita itu walaupun wanita tersebut menganggapnya sebaliknya. Dan kerana itulah dia kadangkala mengalah dengan permintaan wanita itu.

Sampai di depan pintu rumah besar dan mewah tersebut, tangannya teragak-agak untuk menekan loceng rumah. Dia masih ragu. Setelah berfikir untuk beberapa ketika, akhirnya dia meringankan tangannya untuk menekan loceng tersebut. Bukan dia tak pernah singgah ke rumah ini tapi hanya setakat di kawasan luar sahaja. Itupun kerana menjemput wanita itu yang seringkali mengusutnya, meminta ditemankan berjalan-jalan.

Kedengaran bunyi derap kaki seseorang di dalam rumah berjalan menghampiri pintu tersebut. Tidak lama selepas itu, seorang wanita dalam usia lingkungan awal 40-an tersembul di muka pintu.

“Assalamu’alaikum” sapanya kepada wanita itu.

“Wa’alaikumussalam. Iya, tuan cari siapa?” wanita itu lantas bertanya kepadanya.

“Saya rakan Liz. Saya dijemput ke mari” balasnya ringkas sambil tersenyum memandang wanita itu yang juga merupakan seorang pembantu rumah keluarga itu.

“Oh, tuan Ezan ya? Silakan masuk tuan, nanti sebentar saya panggil neng Liz yah”. Wanita itu pun bergegas masuk ke ruang tengah rumah itu.

Ezan menanggalkan kasutnya lalu masuk ke dalam rumah itu. Buat seketika dia membelek-belek ruang tamu rumah bahagian luar. Segala perhiasan dan perabot yang ada di ruang itu sememangnya mewah, cukup dengan susun aturnya yang nampak kemas. Memanglah rumah golongan elit. Tak seperti rumahnya yang serba-serbi sederhana walaupun jika diikutkan gaji yang diterimanya bulan-bulan sekarang ini mampu untuk mengubahsuai rumahnya menjadi seperti ini. Tambahan lagi ayahnya juga menerima gaji pencen perkhidmatan dan pencen tua setiap bulan serta adik-beradiknya kesemuanya telah berkerja. Tetapi dia dan adik-beradiknya yang lain telah dididik oleh kedua orang tuanya sejak kecil lagi untuk sentiasa bersederhana dalam kehidupan. Mereka tidak pernah dimanjakan dengan segala kemewahan sebaliknya diajar untuk berdikari dan berusaha mencari rezeki sendiri. Kerana itu Ezan pernah mengambil upah mencuci dan membaiki kereta di sebuah bengkel kenderaan serta berkerja separuh masa semasa dia masih di bangku sekolah menengah lagi sehinggalah dia menjadi seorang mahasiswa.

“Hai sayanggg. Dah lama sampai eh? Jom masuk”. Kemunculan dan teguran Liz menghancurkan lamunannya. Tangan kanannya ditarik oleh Liz lalu diseret sama menuju ke ruang tengah rumah itu. Belum sempat Ezan membuka mulut membantah tindakan Liz yang  menarik tangannya itu. Dia merasakan perbuatan Liz itu adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi di depan keluarga Liz.

Sebaik saja masuk ke ruang tengah yang terletak bersebelahan dengan dapur, kelihatan kesemua ahli keluarga termasuk kedua ibubapa Liz sudah pun berada di situ. Kesemua mata memandang tepat ke arah mereka berdua, Liz dan Ezan, lebih-lebih lagi ibubapa Liz.

Mummy, daddy and everyone, please meet this charming guy,Ezan” Liz memperkenalkan Ezan kepada ahli keluarganya dengan perasaan yang girang.

Ezan mengangguk dan tersenyum. “Assalamu’alaikum” sapa Ezan lalu menghulurkan tangan bersalam dengan kesemua ahli keluarga Liz yang lelaki. Selesai bersalaman, dia mengambil tempat duduk berhampiran dengan ayah Liz dan tunang kepada salah seorang kakak Liz yang juga hadir di sana pada malam itu.

Sempat juga dia memerhatikan setiap seorang ahli keluarga Liz berserta pasangan-pasangan mereka yang ada di situ. Nampaknya pasangan-pasangan mereka itu juga bukan orang-orang yang ‘sembarangan’. Dari cara dan gaya mereka dia sudah dapat mengagaknya. Ada pangkat. Ada harta. Ada darjat. Walau bagaimanapun, dia tak merasa tergugat berada di dalam golongan itu pada waktu ini kerana dia tahu, dia hanyalah rakan Liz bukannya teman istimewa mahupun tunangnya. ‘Dia saja yang lebih-lebih menganggap aku teman istimewanya’ getus hatinya.

Cuma dia tak menyangka bahawa malam itu sebenarnya ada sebuah majlis kecil-kecilan yang mengumpulkan kesemua ahli keluarga Liz berserta pasangan masing-masing. Semasa Liz menghubunginya pada pagi ini, Liz hanya memberitahu yang Liz ingin mengajaknya makan malam bersama kedua orang tuanya di rumah itu. Tak pula dia menyatakan tentang perkara ini. Tahulah dia sekarang. Liz setentunya tak mahu ketinggalan hendak memperkenalkan dirinya kepada mereka semua kerana Liz selama ini menganggapnya sebagai teman istimewa atau dalam erti kata lain, dia adalah boyfriend Liz. Sesungguhnya ini amat memeningkan kepala Ezan. Rasanya dia tak pernah menyatakan apa-apa kepada wanita yang bernama Liz ini. Dia tak pernah menaruh apa-apa perasaan padanya dan dia tak rasa layanannya terhadap wanita itu selama ini melebihi dari apa yang sepatutnya. Dia menemani Liz ke mana-mana selama ini pun disebabkan atas dasar jalinan persahabatan walaupun selalunya dipaksa oleh Liz sendiri.

“Baiklah. Rasanya kesemua anak-anak papa berserta bakal-bakal ahli keluarga ini sudahpun berada di sini. Papa sangat gembira kerana kesemuanya dapat meluangkan masa untuk berkumpul di sini pada malam ini”. Kesemua yang ada di situ terdiam demi sahaja mendengarkan ayah Liz bersuara dan memberikan sepenuh perhatian kepada setiap patah perkataan yang terluah dari bibir lelaki itu. Kelihatan Liz mengambil tempat yang bertentangan dengan Ezan.

So, apa kata kita mulakan sesi perkenalan antara satu sama lain sebelum kita menjamu selera pada malam ini”.

Sesi perkenalan itu dimulai dari abang sulung Liz yang diperkenalkan sendiri oleh ayah Liz. Setiap adik-beradik Liz diperkenalkan berserta dengan pasangan mereka sekali. Ezan yang hanya berdiam diri, memasang telinga mendengar setiap ‘butir peribadi’ mereka. Dia merasakan hanya dia seorang yang out di kalangan mereka. Mana tidaknya, mereka masing-masing mempunyai kerjaya seperti timbalan pengarah syarikat, manager, HR officer di Brunei Shell Petroleum, pemangku pengarah di bahagian kewangan syarikat penerbangan Royal Brunei serta pegawai atasan di sebuah bank terkemuka di negara ini. Hanya dia yang bertugas dengan pasukan berpakaian seragam, itupun baru berpangkat leftenan.

Selepas Liz diperkenalkan, tiba pula giliran Ezan. Kali ini ayah Liz meminta Ezan sendiri yang memperkenalkan dirinya sendiri memandangkan sebelum ini dia tak pernah bersua muka dengannya seperti ini dan dia tak berapa kenal mana akan Ezan. Hanya memandangnya dari jauh sahaja selama ini. Ibu Liz yang berada di sebelah kiri ayahnya hanya mencebik melihat Ezan. Dia tahu Ezan hanyalah seorang pegawai tentera, bukan apa-apa di matanya. Apa yang pasti Ezan bukan ‘menantu’ pilihannya.

Mendengarkan permintaan ayah Liz itu, Ezan dengan teragak-agak, memperkenalkan dirinya kepada mereka yang ada di situ. Ayah Liz yang mendengar keterangan diri Ezan itu mengerutkan dahinya. Tentera? Pegawai tentera? Adik-beradik Liz dan pasangan-pasangan mereka ada yang tersenyum sinis mendengarkan kata-kata Ezan. Pegawai tentera? Tak ada class berbanding mereka.

Ezan dapat melihat reaksi mereka yang memandang sinis terhadapnya. Dia sudah menjangkakan perkara itu. Apapun dia tetap bertenang seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak faham akan maksud pandangan-pandangan itu. Sememangnya dia sudah terlatih dengan ‘penipuan’ sebegitu.

Selepas sesi perkenalan tersebut berakhir, mereka dijemput untuk makan malam bersama-sama. Ezan hanya menjamah sedikit sahaja hidangan yang disajikan. Dia tiada selera untuk makan pada malam itu, tambahan lagi bersama golongan elit seperti mereka ini. Abang sulung Liz yang memerhatikan gerak-geri Ezan itu menjelingnya tajam.

“Takkan sedikit tu saja? Atau tak reti nak makan hidangan sebegini? Ye lah kan, tentera ni selalunya makan yang tak ada taste langsung” sindir abang sulung Liz.

“Tentera ni selalunya hanya tahu berburu kan? Pastilah hanya pandai makan makanan kat hutan tu saja kot” perli kakak kedua Liz pula.

Ezan hanya tersenyum. Belum pun sempat dia menjawab, Liz sudah terlebih dulu bersuara. “Abang dan kakak ni! Dah dia pegawai tentera, of course la dia jaga permakanan dia. Kan ke tentera ni fizikal mesti fit? Liz sendiri pun tak setuju tau kalau dia makan banyak sangat macam abang dan kakak tu!”.

“Oh, sejak bila Liz kenal sangat dengan hal-ehwal tentera ni?” balas abang Liz. Liz hanya menjelingnya geram, tanda tidak berpuas hati dengan tindakan abangnya itu.

Okay guys, jangan bertekak kat sini. Tak manis gaduh-gaduh depan our guests“. Ayah mereka menyampuk, bertindak untuk mententeramkan suasana. Ibu Liz hanya diam dan seperti buat-buat tak tahu dengan kejadian kecil tersebut. Dia menyebelahi anak lelakinya itu sebenarnya. ‘Memang dasar jantan tak tahu malu!’ hatinya menyumpah Ezan.

Usai makan malam, mereka semua dibawa berehat ke ruang tamu luar sambil menikmati hidangan pencuci mulut. Di kesempatan itu kedua orang tua Liz menghampiri Ezan dengan satu tujuan yang sudah terancang kemas di dalam fikiran mereka. Ayah Liz melabuhkan punggung di sebelah kanan Ezan diikuti dengan ibu Liz di sebelah kanan ayah Liz. Liz pula kelihatan sibuk beramah-mesra bersama kakak sulung dan abang iparnya.

So, Ezan. Bagaimana awak kenal anak saya Liz itu sebenarnya? Awak tackle dia ke semasa di UBD dulu?”.

Ezan terkedu mendengarkan pertanyaan ayah Liz itu. ‘Bila masa aku tackle anak dia ni?’ benak Ezan tertanya-tanya.

Ezan menguntumkan senyuman di bibirnya walaupun dia agak terperanjat sebentar tadi. “Tak la pakcik, saya tak pernah tackle dia. Kami pertama kali berjumpa semasa kami sama-sama menyertai acara hari kebangsaan mewakili universiti dulu. Dia rakan saya sehingga sekarang” jelas Ezan. Sengaja dia menekankan perkataan ‘rakan’ tersebut agar kedua orang tua Liz sedar setakat mana perhubungan mereka berdua.

“Oh, rakan ye? Tapi awak bawa Liz berjalan berdua ke sana ke mari tu hanya rakan ke?” sampuk ibu Liz pula. Nampaknya dia tak berpuas hati dengan apa yang Ezan telah katakan.

“Maaf makcik tapi itu atas permintaan Liz sendiri. Saya sebagai rakannya kadangkala tak sampai hati hendak menolak permintaannya bila ada masa terluang seperti sekarang ini” sambung Ezan.

Ayah Liz mengangguk-angguk. Ibu Liz pula hanya menjeling Ezan tajam.

“Sejauh mana sebenarnya perhubungan kamu berdua?” soal ayah Liz lagi.

Ezan menarik nafas dalam-dalam dan perlahan sebelum menjawab soalan cepu emas itu. Rasanya inilah masanya untuk dia menerangkan hubungan mereka berdua yang sebenar. Terima atau tidak, kenyataan tetap kenyataan.

“Sebenarnya antara saya dan Liz tak ada apa-apa hubungan istimewa pakcik. Dia sememangnya hanya seorang rakan. Maafkan saya jika kenyataan ini akan membuatkan pakcik dan makcik terasa seperti ditipu dan dipermainkan tetapi saya hanya ingin menyatakan perkara yang sebenar. Saya tak pernah menganggap mahupun meluahkan apa-apa padanya dan hati saya tak pernah ada rasa yang lain terhadapnya” ujar Ezan panjang lebar. Dia berharap kedua-dua mereka akan dapat memahami penjelasannya itu dengan baik.

Kedua orang tua Liz menatap wajah Ezan tanpa berkerlip. Jadi, dia ni bukannya kekasih Liz??.

“Tetapi kenapa Liz beriya-iya sangat hendak memperkenalkan awak kepada kami? Kenapa dia bersungguh-sungguh menganggap awak kekasihnya?”.

Ezan mengeluh perlahan. Dia mencari kekuatan untuk menyatakan apa yang hendak diperkatakannya selepas ini. “Itu saya tak dapat menjawabnya pakcik. Bagi saya soalan itu patut ditanyakan sendiri oleh pakcik kepada Liz. Apa yang penting saya tak pernah mencintai Liz pakcik. Saya cuma menyayanginya sebagai seorang rakan”.

Selepas mendengarkan penjelasan Ezan itu, ayah Liz tersandar di sofa yang didudukinya. Ibu Liz pula memalingkan wajahnya ke arah lain dengan raut wajah yang masam mencuka. Ezan merasa semakin panas bila dia makin lama duduk di sini. Dia berpura-pura melihat jam tangannya dan merancang untuk beredar dari rumah itu sesegera mungkin.

Dengan pantas, dia meminta izin untuk pulang pada waktu itu juga kepada kedua orang tua Liz. “Maafkan saya pakcik dan makcik. Saya minta diri untuk pulang dulu memandangkan saya ada tugasan lain lagi yang perlu saya selesaikan malam ini”. Ezan lalu berdiri dan bersalam dengan ayah Liz. Ayah Liz menyambutnya dengan baik tetapi bila tiba kepada ibu Liz, dia menyambutnya dingin dan disentaknya tangannya dengan cepat sebaik saja Ezan hendak mencium tangannya. Ezan tak kisah dengan semua itu. Apa yang penting dia menghormati mereka dan seterusnya dia tak sabar hendak berangkat dari situ.

Sebaik sahaja Ezan melangkah keluar dan hendak menuju ke keretanya, dia terdengar satu suara memanggilnya.

“Ezannn!!”.

Langkahnya terhenti lalu menoleh ke arah suara itu. Liz rupanya. Wanita itu melangkah laju menuju kepadanya.

“Liz, ada a…”. Belum sempat Ezan menyudahkan ayatnya, satu tamparan hinggap di pipi kirinya. Wajah Ezan terteleng ke kanan dek tamparan itu. Dia tergamam sebentar. Kenapa Liz ni??.

Bila Ezan memandang semula wajah Liz, sekali lagi dia tergamam apabila dia terlihat airmata berjuraian di pipi wanita itu.

Why Ezan, why?? I love you so much. I cintakan you selama ni tapi youwhy Ezan…”. Dia menekup wajahnya lalu menangis teresak di depan Ezan.

Ezan merasa bingung untuk seketika. Apa yang patut dibuatnya sekarang? Memujuk wanita di depannya ini? Atau biarkan saja? Ezan menarik nafas, mengumpul kekuatan diri.

Dia melangkah menghampiri Liz dan berhenti di depannya sebaik sahaja berada dalam jarak semeter. “Liz…maafkan I. I tak dapat memaksa hati I untuk mencintai you. I tahu ini mungkin menyakiti you tapi I hanya menganggap you tak lebih dari seorang rakan. Lagipun…kiranya I betul-betul kekasih you, I tak jamin I diterima menjadi salah seorang ahli keluarga you Liz. I tak setaraf. I tak sama dengan adik-beradik you mahupun pasangan-pasangan mereka tu. I cuma seorang pegawai tentera Liz”.

Liz mengangkat wajahnya, menatap wajah lelaki di depannya dengan matanya yang berbalam.

“Ezan, you tak usah bagi sebarang alasan yang lain. Cakap saja you memang tak sukakan I. You bencikan I kan? Betul kan??” Liz meninggikan suaranya yang kedengaran tersekat-sekat disebabkan tangisannya yang masih belum berhenti.

Ezan merenungnya lalu memejamkan matanya buat seketika. “Liz, I tak bencikan you. I juga tak pernah tak sukakan you. I cuma tak mencintai you. Liz, kenyataan itu kadangkala pahit tapi walau bagaimanapun kita terpaksa juga menghadapinya. Lagipun hati manusia itu boleh berubah kan? I tak tahu apa yang I rasa di masa akan datang, adakah kekal begini atau…” Ezan tidak meneruskan ayat-ayatnya yang seterusnya. Dibiarkannya tergantung tanpa sambungan.

Liz merenung Ezan. Ezan mengukir sebuah senyuman di wajahnya. Liz kembali teresak. Dia menekup mulutnya lalu tanpa disangka-sangka, dia melentukkan kepalanya ke dada Ezan. Ezan serba salah sama ada dia patut menolak wanita itu perlahan dari dadanya atau…biarkan saja dia begitu untuk beberapa lama? Dia tak biasa diperlakukan sebegitu oleh seorang wanita tetapi untuk menolaknya, masalahnya sekarang wanita itu dalam situasi yang berbeza, di mana emosinya ketika ini sedang terganggu. Akhirnya dia membiarkan Liz rebah di dadanya buat beberapa ketika sebelum memujuknya untuk melepaskannya.

Aksi mereka berdua telah diperhatikan oleh kedua orang tua Liz dari dalam rumah tersebut.

“Betul ke sebenarnya budak Ezan tu takde apa-apa dengan anak kita tu?” ibu Liz menyoal sambil matanya tak lepas dari memandang mereka.

“Tak tahu lah sejauh mana kebenarannya. Tapi nampak macam bukan main mesra lagi saat ni” jawab ayah Liz pula.

“Abang setuju ke kalau budak Ezan tu jadi kekasih Liz? Pah memang langsung tak setuju kalau dia tu yang menjadi kekasih Liz. Pegawai tentera? Tak ada standard langsung. Memalukan keluarga kita aje kalau bermenantukan orang macam dia!” sambung ibu Liz lagi.

Ayah Liz terdiam seketika sebelum bersuara semula. “Hai, bila masa abang bersetuju bermenantukan seorang tentera walaupun dia seorang pegawai? Abang tak mahu dapat menantu yang punya kerjaya tak menjamin masa depan. Abang tak nak tengok kehidupan anak-anak kita tu hancur menjadi papa kedana kemudian hari. Liz tu patut jangan dibiarkan berkawan dengan budak Ezan tu lagi. Biar malam ini menjadi malam terakhir mereka berdua berjumpa. Lain kali jangan harap lagi”. Ibu Liz tersenyum lebar mendengarkan kata-kata suaminya itu.

‘Bagus! Mulai esok aku akan pastikan nama Ezan sudah terpadam dari hati dan ingatan anak aku!’ tekad ibu Liz sambil matanya memandang mereka berdua di perkarangan luar rumah.

Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Jalan Ong Sum Ping, 0800 Jam.

Dia bergegas menuju ke pejabat rakannya itu. Dia telah pun memaklumkan pegawainya yang juga merangkap rakannya itu awal tadi yang dia akan berjumpa dengannya dalam jam 8 pagi. Sekarang jarum jam sudah pun menunjukkan tepat ke jam yang dijanjikannya.

Sebaik dia berada di luar pejabat rakannya itu, tanpa berlengah lagi dia pun terus mengetuk pintu pejabatnya.

“Masuk” kedengaran satu suara menyuruhnya masuk.

Dia membuka pintu pejabat tersebut.

“Selamat pagi tuan”. Dia memberi tabik hormat lalu terus melangkah masuk ke dalam pejabat tersebut.

Rakannya yang sedari tadi tertunduk membuat kerjanya mendongakkan wajahnya melihat siapakah gerangan yang  ingin berjumpa dengannya ketika ini. Sejurus dia melihat kelibat itu, dia tersenyum.

“Awal sangat kau jumpa aku Anna” tegurnya.

“Aku terpaksa. Aku nak selesaikan awal perkara ni sebab lepas ni kerja-kerja aku dah menunggu kat pejabat tu. Kau sibuk ke ni?”, Anna bersuara dan hanya menggunakan ganti nama ‘kau’ dan ‘aku’ sebaik saja dia berada di dalam pejabat rakannya itu. Jika di luar pejabat, dia takkan berpeluang menggunakan perkataan sebegitu memandangkan pangkat rakannya itu lebih tinggi darinya.

“Tak lah. Aku baru saja nak mula membuat ni. So, kau dah catit detail lelaki bertiga tu?” soal Arm kemudian.

Yes. Nah yang aku catit semalam”. Anna mengunjuk sehelai kertas yang berisi keterangan-keterangan mengenai ketiga-tiga lelaki yang menceroboh rumah sewanya itu kepada Arm.

Arm mengambil kertas itu lalu dibacanya kesemua keterangan-keterangan tersebut. “Di mana kau tidur semalam?” soalnya tiba-tiba.

Anna terkejut lalu merenung wajah Arm lama sebelum dia menjawab soalan itu. “Di rumah sepupu aku kat bandar. Kenapa?” soal Anna pula.

Arm tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya dia menanyakan soalan lagi kepada Anna. “Kau pulang ke rumah sewa kau pagi ni tadi?”.

Yes, aku pulang ke sana awal pagi ni tadi sebelum pergi kerja tapi barang-barang kat rumah tu habis berselerak. Aku agak mereka seperti menggeledah sesuatu tapi aku tak tahu apa. Aku tak tahu apa yang mereka cari dan apa motif mereka” jelas Anna.

Arm memberikan sepenuh perhatian kepada keterangan verbal yang diceritakan oleh Anna itu. “Kau dah check sama ada ada barang-barang yang hilang dari rumah tu atau tidak?”.

Anna cuba mengingati semula kalau-kalau ada di antara barang-barangnya atau kepunyaan Zahra yang hilang. Dia sememangnya sempat memeriksa kesemua barang-barang yang ada sebelum bertolak tadi. Tapi seingatnya tiada satu pun barang yang hilang. Zahra pula jarang sekali hendak meninggalkan barang-barang yang berharga di rumah sewa itu bila dia pulang ke kampung halamannya, terutama sekali segala fail-fail yang berisi data-data penting dan peribadi. Mereka berdua memang tak pernah meninggalkan barang-barang sebegitu di rumah bila mereka tiada.

“Tak juga. All the stuffs are there cuma berselerak sahaja” jawab Anna akhirnya.

Arm bersandar di kerusinya dan menatap wajah di depannya. “Bagaimana dengan barang-barang yang berisi segala maklumat peribadi kamu berdua? Kau serumah dengan Zahra kan?” soalnya lagi.

All clear. Aku dan Zahra memang jarang nak tinggalkan benda-benda macam tu kat rumah bila kami tak ada di sana”.

Arm mengangguk perlahan. “Baiklah. Aku harap kau tak menyentuh barang-barang yang digeledah tu tadi. Aku nak bawa orang-orang aku ke rumah kau sekarang” putus Arm.

Anna bersetuju lalu meminta diri untuk beredar dari pejabat Arm dan menunggu di satu ruang khas di ibu pejabat JSJ itu. Dia sendiri pun akan pergi ke sana sebentar lagi bersama-sama mereka. Pagi itu dia terpaksa meminta keizinan untuk masuk ke pejabat lewat dari yang sepatutnya memandangkan dia terpaksa menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Dan bila dia terkenangkan Zahra, baru dia teringat akan niatnya untuk menghubungi Zahra sekali lagi pagi ini memandangkan telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi pada malam tadi.

Dia mesti memaklumkan kepada Zahra tentang kejadian ini secepat mungkin. Entah kenapa, separuh dari hatinya menyatakan kejadian ini kemungkinan sekali ada kaitan dengan Zahra.

‘Adakah Zahra pernah mencari musuh dengan sesiapa? Atau ada yang tak berpuas hati dengannya?’.

Soalan yang tidak dapat dijawab olehnya sendiri.

Posted from WordPress for Android

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s