Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 15

Lebuhraya Muara-Tutong, 0400 Jam.

Sebuah arahan dari pengarah jabatannya yang menghendakinya ke Balai Polis Labi sebelum jam 5.30 pagi atas satu tugas khas telah diterimanya pada lewat petang kelmarin. Awal pagi ini dia terpaksa bersiap seawal jam 3.15 pagi untuk bertolak ke Labi yang terletak di Daerah Belait memandangkan perjalanan dari rumahnya ke destinasi yang dituju memakan lebih kurang sejam ke atas.

Jam sekarang telah beralih ke angka 4 pagi. Suasana di lebuhraya masih lengang, hanya kelihatan beberapa buah kenderaan sahaja yang melintas terutama sekali tank trailer dari Brunei Shell Petroleum yang membawa minyak untuk diisikan di stesyen-stesyen minyak yang ada di negara ini. Pagi ini udara terasa dingin dan nyaman. Kerana itulah dia memilih untuk menggunakan motor Kawasaki Ninja Z1000SXnya sebagai kenderaannya kali ini. Dia mahu merasakan kesegaran angin pagi kerana sudah jarang dia berpeluang menikmati seperti ini. Tambahan pula, sudah lama dia tak menunggang motor memandangkan dia lebih kerap menggunakan kereta untuk pergi ke tempat kerja selama ini.

Ketika itu dia sudah pun berada agak jauh daripada pos polis lebuhraya bilamana dia merasa curiga akan sebuah kereta serba hitam yang terasa seperti mengekorinya. Semasa kereta itu mula-mula bergerak keluar dari simpang Kampong Lugu seterusnya menuju ke lebuhraya tersebut, dia tidak mengesyaki apa-apa. Tetapi setelah sekian lama, dia merasakan seperti ada yang tidak kena pada kereta tersebut. Kereta itu mengekorinya terlalu dekat. Bila dia memperlahankan kelajuan motornya, kereta itu juga turut melakukan perkara yang sama dan begitulah sebaliknya. Dia terperasan akan semua itu.

Sebaik sahaja dia semakin menghampiri kawasan Kampong Bukit Penggal, dia melajukan motornya secara mengejut. Dia sempat mengerling kereta tersebut melalui cermin sisi motornya dan dia mendapati kereta itu turut melajukan kelajuannya sehinggalah terjadi insiden kejar-mengejar secara tidak langsung antara dia dan kereta itu. Tiba di sebuah persimpangan menuju ke Kampong Bukit Penggal, dia membelok masuk ke simpang tersebut dengan pantas. Kereta tersebut masih mengejarnya sehingga keluar dari simpang perkampungan itu menuju ke jalan utama di Kampong Sinaut.

Semasa dia berada berdekatan dengan simpang masuk menuju ke Kampong Penanjong, dia hampir-hampir dilanggar oleh kereta tersebut dari belakang. Dia bertindak pantas dengan melakukan countersteer sehingga motornya berpaling ke haluan yang bertentangan. Setelah dia berada di lorong sebelah kanan, dia memecut motornya dengan segera lalu membelok ke simpang keluar menuju lebuhraya. Kali ini kereta tersebut terlepas jejak memandangkan motor yang dikejar sudahpun berada di lebuhraya sedangkan kereta itu masih berada di kawasan Kampong Penanjong.

Apabila dia melihat kelibat kereta tersebut sudah tiada, dia mengeluh kelegaan. ‘Siapa mereka? Dan apa motif mereka mengejar aku?’. Otaknya ligat memikirkan identiti serta sebab-musabab kenapa dia menjadi sasaran kereta tersebut. Lebih tepat lagi, orang-orang yang berada di dalam kereta itu. Dia sempat melihat sepintas lalu nombor pendaftaran serta jenis kereta dan dia masih ingat keterangan-keterangan kereta yang mengejarnya itu. Dia juga sempat mengerling ke dalam kereta tetapi tidak berapa jelas berapa ramai yang berada di dalamnya. Wajah-wajah mereka juga tidak jelas kelihatan memandangkan hari masih gelap.

Sewaktu berada di kawasan Kampong Telisai, telefon bimbitnya berdering. Nasib saja dia ingat menggunakan wireless headphonenya, jadi tak perlulah dia bersusah-payah berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan.

“Helo”.

“Ilham! Kau tak apa-apa?” suara itu terus bertanya tanpa membalas sapaan Ilham.

“Arm? Kau cakap apa ni?” dia agak bingung mendengar pertanyaan tiba-tiba Arm itu.

“Hei, aku nampak kau dikejar tadi semasa kau berada dekat simpang Kampong Penanjong tu. Kebetulan aku kat luar rumah dan nampak kejadian tu, tahu? Kau kenal siapa yang kejar kau tu?” Arm mengajukan pertanyaan lagi.

“Arm, kau bagi aku masa 30 minit dari sekarang. Lepas tu aku hubungi kau semula, okey? Talk to you later“. Tanpa menunggu balasan dari Arm, dia terus memutuskan talian dan menumpukan semula sepenuh perhatian pada pemanduannya. Dia mesti sampai sesegera mungkin ke destinasi yang dituju. Dia tak mahu bertembung lagi dengan kejadian seperti itu di saat-saat dia bergegas untuk menunaikan tugasannya. Bukan dia takut untuk berhadapan dengan situasi sebegitu tetapi dia paling pantang kalau timbul sebarang masalah ketika dia begitu berkehendakkan masa, tambahan lagi jika masalah itu ditimbulkan oleh orang lain seperti yang dia alami tadi.

Apapun, dia akan menyerahkan keterangan tentang kereta itu dan insiden kejar-mengejar tersebut kepada Arm kemudian. Dia juga akan pastikan yang dia sendiri akan turut sama menyiasat siapa mereka yang mengejarnya itu dan apa motif mereka sebenarnya. Juga seperkara lagi yang menjadi tanda-tanya kepadanya; tajam sungguh mata Arm melihat dirinya dikejar oleh kereta tersebut. Betulkah dia nampak? Persoalan demi persoalan menerjah fikirannya ketika ini.

Tanpa dia sedari, dia sudah berada di simpang masuk ke Kampong Labi. Sedikit masa lagi dia akan sampai ke balai polis di kampung itu.

‘Patutkah aku settlekan perkara ini dengan mereka juga?’

Dia mengeluh berat.

Ibu Pejabat Polis, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong, 0930 Jam.

‘Kumpulan samseng? Berkaitan dengan penjenayah-penjenyah yang tertangkap?’. Dia nampak gelisah sejak dari sejam tadi. Pening sungguh kepalanya mendengar penjelasan tersebut sebaik sahaja keputusan kesan cap jari berjaya diperolehi. Dan entah, sudah berapa kali dia mencuba menghubungi Zahra tetapi masih juga gagal. Dia sememangnya pernah mendengar cerita tentang Zahra bergelut dengan 6 orang penjenayah di sebuah lorong kecil di kawasan bandar tetapi dia tak menyangka bahawa mereka berenam itu ada backup sehingga terjadi kes sebegini.

Bila dia mengetahui akan perkara itu, dia menjadi begitu risau. Dia bimbang akan keselamatan Zahra walaupun dia tahu Zahra bukanlah calang-calang orang. Dia, Zahra, memang patut diberi amaran awal tentang hal ini kerana dari kejadian pencerobohan itu, berkemungkinan besar berkait-rapat dengan kes Zahra sebelum ini. Dan memandangkan backup tersebut masih bebas, dia yakin mereka akan terus mencari keberadaan Zahra ketika ini. Mengenangkan itu, nyawanya terasa sesak dan otaknya terasa kusut. ‘Arrgghhhh!! Zahra!! Aku nak hubungi kau, tau tak??’ jerit benaknya, seolah-olah memanggil Zahra. Jiwanya menggerusuh ketika ini.

Deringan telefon pejabatnya kedengaran seterusnya mematikan segala perkara yang difikirkannya pada waktu ini. Dia mengangkat gagang telefon.

“Helo” sahutnya.

“Helo. Inspektor Adrianna?” balas suara tersebut.

Anna mengiyakannya lalu mendengar dengan berhati-hati segala apa yang ingin disampaikan oleh pemanggil tersebut.

“Baik tuan. Saya akan pergi ke sana sekarang”. Setelah beberapa ketika, dia pun meletakkan gagang telefon tanda perbualan sudah tamat.

Sebaik sahaja dia menerima panggilan itu tadi, dia dengan cepat mengemas segala fail dan barang-barang lain yang berselerak di atas mejanya. Dia mendapat arahan dari ketuanya untuk pergi menemui seseorang di satu tempat.

“Kampong Sungai Liang. Aku nak cakap sesuatu kat kau nanti” dia berkata kepada dirinya sendiri.

Akhirnya dia boleh menarik nafas lega.

Kampong Penanjong, Tutong, 0445 Jam.

Berkali-kali dia menghempas steering kereta itu, meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya. Berkali-kali juga dia menyumpah sehingga naik gerun rakan-rakannya yang lain melihat keadaannya itu.

Relax man. Tak dapat saat ni tak semestinya kita takkan dapat dia langsung di lain waktu” tegur salah seorang rakannya.

“Kau cakap senang lah! Bukan kau yang susah payah kejar dia!” balasnya sakit hati.

“Woh, woh. Sebelum kau nak naik gila, kau betul-betul pasti ke itu orangnya ha??” sampuk rakannya yang seorang lagi.

Dia memandang tajam rakannya itu. Sesaat kemudian dia mendengus kasar.

“Ya, memang aku pasti! Dia tu salah sorang bangsat dari pasukan sial tu, kau tahu??”.

“Bagaimana kau tahu?” soal rakannya yang lain pula.

“Aku tahu sebab ada orang yang aku harapkan yang beritahu aku, kau  faham???” dia berterusan ‘menyembur’ rakan-rakannya.

Mereka terdiam seketika sambil berpandangan antara satu sama lain tanpa disedarinya.

“Baiklah. Kalau begitu apa kata kita cari dia lagi sampai dapat? Kita nak tahu sejauh mana kebenarannya. Dan kalau ianya benar, kita sibai dia sampai tak bernyawa lagi” cadang seorang rakan.

Mendengar cadangan itu, dia tersenyum. Begitu juga dengan rakan-rakannya yang lain. Itulah yang dia nak dengar. Itulah juga yang dia mahu buat.

‘Ya, aku nak tamatkan nyawa dia’.

Posted from WordPress for Android

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s