Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 17

Kuarters Bujang bagi Pegawai Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei, Flat Kampong Anggerek Desa, 0015 Jam.

‘Ya Allah…apa yang telah ku buat hari ni?’

Hatinya menyesali akan keterlanjuran sikapnya malam itu. Dia menekup wajahnya lama. Dadanya terasa sesak mengenangkan apa yang telah berlaku. Saat itu dia merasakan dia adalah seorang lelaki yang tak berguna.

Adegan itu masih jelas bermain di mindanya. Bagaimana dia begitu tergamak menyentuh seorang wanita yang bukan mahramnya? Dia tahu ketika itu tahap kesabarannya sudah sampai ke kemuncak dan dia bertindak mengikut rasa hati yang panas membara. Kesabaran yang jitu runtuh dek sikap wanita itu sendiri. Tetapi itu bukan bermakna dia boleh bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesan negatifnya di kemudian hari. Nafsu jangan dituruti kata orang. Dia gelisah.

Rakannya yang memerhatikan sikapnya itu sejak dari tadi kini melangkah menghampirinya. “Dah la tu Zan. Benda dah jadi tu biarlah. Lagipun bukannya kau terlanjur dengan dia. Yang penting lain kali jangan hilang akal waras kau tu, bila-bila masa sekalipun”.

Ezan bersandar ke dinding dengan mata terpejam rapat. “Aku faham Di. Tapi aku masih tak mampu membuang rasa bersalah dari dalam hatiku. Aku rasa aku seperti orang lain ketika ni. Aku macam tak kenal  siapa aku sebenarnya”. Dia mengetap bibirnya.

Adi menepuk bahunya lalu turut melabuhkan punggung di sisinya. “Kau manusia biasa, Zan. Begitu juga aku. Kita bukannya Tuhan, malaikat atau nabi yang sentiasa perfect dalam apa jua yang dilakukan. Kita tetap tak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada dengan sengaja atau tanpa kita sedari” Adi cuba menasihatinya seterusnya secara tidak langsung, menyuntik kembali semangat yang luntur di dalam diri Ezan.

“Kalau tersalah jalan atau tersilap langkah, kembalilah kepada Allah, itu yang terbaik. Dia dah berjanji, walaupun dosa kita sebanyak buih di lautan, Dia tetap akan maafkan kita jika kita bertaubat dengan hati yang ikhlas. Pergilah memohon keampunan daripadaNya” Adi menyambung nasihatnya yang kedengaran seperti sebuah tazkirah.

Ezan diam membisu. Hatinya membenarkan kata-kata rakannya itu dan itulah juga yang dilakukannya sebaik sahaja dia sampai di sini tadi. Apapun, rasa bersalahnya masih belum hilang sepenuhnya.

“Kau rehatlah dulu di sini. Aku nak keluar sekarang. Kalau kau perlukan apa-apa, jangan segan-segan call aku, okey?”. Adi menepuk bahunya sekali lagi. Ezan mengangguk lemah.

Separuh tubuh Adi sudah pun berada di luar bilik yang didiami Ezan apabila dia menghentikan langkahnya dan berpaling semula kepada Ezan.

“Bro, aku percaya kau tak akan buat perkara tu kalau bukan wanita tu yang buat hal kan? Kalau kau suruh aku pilih antara dia dengan Inspektor tu, sah aku pilih yang kedua, siap angkut rombongan meminang sekali”.

Adi berlalu dari situ setelah dia menyudahkan kata-katanya dan memberi salam kepada Ezan sebagai pengganti ucapan ‘selamat malam’. Kata-kata Adi itu sedikit sebanyak mampu mengukirkan sebuah senyuman di wajah suramnya. Adi sempat berseloroh sebelum beredar dari bilik itu. Dia sememangnya seorang penghibur yang juga adakalanya digelar ‘pak ustaz’ disebabkan suka ber’tazkirah’ di masa-masa lapangnya.

Ezan mengekori langkah Adi dengan pandangan mata sehinggalah kelibatnya hilang di sebalik pintu bilik yang ditutup. Fikiran Ezan melayang, mengimbas kembali apa yang telah terjadi. Hatinya saat ini menyeru nama insan yang disukainya dalam diam. Ataukah dia sudah jatuh cinta ketika ini? Cintakan insan itu? ‘Zahra!’.

Imbas Kembali…

Ibu Pejabat Polis, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong, 2145 Jam.

Mereka mempunyai bukti kerana itu mereka tak ragu untuk ke sini. Mereka sempat melihat dari jauh lelaki-lelaki yang tidak dikenali itu naik ke flat tersebut dan menuju ke bilik yang disewanya sejurus rakan-rakan mereka, Mir, Wan dan Iz selesai melakukan tugasan mereka. Mereka ke sini untuk melaporkan perkara tersebut seterusnya berkongsi maklumat terbaru bersama pihak polis dan pertemuan mereka adalah di tempat ini.

Setelah Adi meletakkan keretanya di kawasan tempat letak kereta berdepanan dengan ibu pejabat, dia sempat membelek-belek dirinya sebelum keluar. Keadaannya ketika itu agak tidak terurus bilamana butang-butang bajunya terbuka sehingga mendedahkan dadanya yang bidang. Dia memperbetulkan pakaiannya dan mengemaskan dirinya. Di bahagian penumpang belakang, dia ternampak Liz merenungnya. Dia membalas renungan itu sehingga Liz membuang pandang ke arah lain. Dia terperasan, sejak kejadian itu tadi, Liz lebih senang berdiam diri. Di wajahnya terpancar, Liz seperti meragui dirinya di saat ini. Takut, sedih, tidak percaya, rasa sayang, semuanya bersatu di dalam diri Liz dan kesemua itu dapat dibaca olehnya melalui riak wajah wanita itu. Malam itu juga, buat pertama kalinya dia melihat Liz tak seperti Liz yang dikenalinya sebelum ini, yang manja dan menggedik. Dia mengeluh untuk ke sekian kalinya.
“Sudah-sudahlah berangan tu Zan. Cepat keluar sekarang”. Kedengaran suara Adi memintanya keluar segera dari kereta itu. Dia mahu mereka masuk ke bangunan ibu pejabat itu sama-sama. “Kau bawalah buah hati kau tu juga. Takkan nak suruh dia memerap sorang kat dalam kereta tu”.

Tanpa sepatah kata, Ezan keluar dari kereta itu dan terus membuka pintu penumpang belakang. Dia menatap seketika wajah itu sebelum bersuara. “Liz. Mari ikut I” ajaknya dengan suara yang agak perlahan.

Liz terasa berat hendak menerima ajakan itu namun digagahinya jua untuk menuruti lelaki di sisinya ini. Ezan berjalan beriringan bersamanya ketika melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Di dalam ibu pejabat itu, beberapa orang pegawai serta anggota polis berpangkat rendah dari Skuad Gerakan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah yang berpakaian biasa berdiri berdekatan dengan kaunter pertanyaan. Turut berada di sana adalah beberapa orang pegawai perisikan tentera dan dari Rejimen Pasukan Khas yang juga merupakan rakan-rakan sepasukan mereka berlima. Semasa Ezan dan Liz memasuki ruang tersebut, semua mata terarah kepada mereka berdua. Kenapa pula dia bawa orang awam ke sini?

Ezan faham akan maksud renungan itu. Dia dapat membaca apa yang mereka fikirkan di waktu itu. Dia beralih memandang Adi yang berada di sebelah kanannya. Adi mengangguk selepas itu.

“Ezan dan rakannya berada di flat tadi sewaktu kejadian itu berlaku. Kami terpaksa membawanya sekali ke sini. Dia juga merupakan salah seorang saksi kejadian itu” terang Adi ringkas bagi pihak Ezan.

Kesemua mereka yang berada di situ  memandang mereka berdua silih berganti.

“Apa yang telah terjadi? Dan siapa yang melakukannya?” seorang pegawai polis yang berada di situ bertanya.

Adi terus memberitahu sepenuhnya tentang kejadian yang telah berlaku di flat tadi tanpa meninggalkan barang satu detail pun. Tiada kurang, tiada tokok-tambah dalam ceritanya. Semuanya diceritakan menurut apa yang telah disaksikannya. Salah seorang anggota polis berpangkat sarjan kelihatan mencatit segala apa yang telah diceritakan oleh Adi di dalam buku catitannya. Keterangan-keterangan saksi juga diambil termasuklah Liz.

“Baiklah. Keterangan sudah diambil dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Untuk seterusnya, kita mahu membincangkan sesuatu mengenai perkara besar tersebut, khas untuk pendengaran pihak tentera dan polis yang ada di sini sahaja” jelas pegawai polis tersebut.

Mendengarkan kata-kata pegawai polis itu, lantas Ezan memberi isyarat kepada Adi dan juga Iz, meminta mereka keluar dari sana sebentar. Mereka berdua faham akan isyarat yang diberi lalu meminta izin dari mereka untuk beredar sebentar ke tempat lain. Begitu juga Ezan yang membawa Liz bersamanya.

Sewaktu mereka keluar, mereka terserampak dengan seorang wanita yang dilihat berjalan menuju ke dalam bangunan tersebut. Apabila wanita itu semakin menghampiri tempat mereka berdiri, Ezan mulai kenal akan wanita itu. ‘Zahra!’ hati Ezan menjerit nama itu.

Zahra yang pada mulanya tertunduk membaca dan membalas sebuah mesej di telefon bimbitnya kini mendongak memandang ke depan. Pada awalnya dia merasa hairan melihat beberapa orang manusia berkumpul di luar bangunan itu. ‘Kenapa pula mereka kat luar ni? Masuknya tidak?’.

“Assalamu’alaikum Inspektor” sapa mereka serentak setelah Zahra berselisih dengan mereka.

“Wa’alaikumussalam” jawab Zahra pendek sahaja tanpa berbasa-basi lagi.

Zahra baru sedar akan kehadiran Ezan di situ. Dia menoleh kepada Ezan yang berdiri di samping seorang wanita. Siapa wanita tu? Wajahya nampak suram. Begitu juga Ezan tetapi lelaki itu seperti berusaha menyembunyikan galau hatinya. Dan apa yang lebih penting, dia merasakan seperti ada sesuatu yang tak kena pada pakaian mereka dalam pandangannya. Tiba-tiba saja dia merasa curiga dan menyangka yang bukan-bukan. Dalam masa yang sama, dia terasa ada satu perasaan halus timbul di dalam hatinya bila melihatkan Ezan bersama wanita itu. Terasa sakit dan perit. ‘Kenapa dengan aku ni?’. Dia tak menunggu lama di situ lalu terus masuk ke dalam ibu pejabat. Dia mencuba sedaya upaya untuk tidak memandang Ezan.

Ezan tak lepas memandang Zahra. Dia tak peduli dengan mereka yang ada di situ sekalipun Liz yang di sisinya. Dia terperasan akan perubahan riak wajah Zahra sebentar tadi bila memandangnya. Marahkah Zahra kepadanya? Tapi kenapa? Dadanya dirasakan berkocak hebat. Buat pertama kali dalam jangka masa 28 tahun, baru inilah dia merasakan sesuatu terhadap seorang wanita. Dan wanita yang berjaya membuatkan hatinya berubah 360 darjah itu adalah Zahra. Liz sendiri pun tak mampu membuatkan dia merasa sebegini.

“Zan. Kau nak buat apa sekarang?”. Pertanyaan itu memyebabkan Ezan spontan menoleh kepada yang bertanya. Iz rupanya.

“Aku nak minta tolong sikit” jawab Ezan. Dia menoleh kepada Liz yang berada di sisinya sebelum kembali memandang rakan-rakannya itu. “Aku nak kau orang tolong bawa Liz pulang sekarang. Keretanya ada kat flat tu”.

Liz yang mendengar permintaan Ezan itu hanya tertunduk diam. Dia berharap Ezan yang akan melakukannya sebaliknya Ezan hanya mengharapkan rakan-rakannya untuk menghantarnya pulang. Saat ini dia merasa kecil hati dan matanya terasa panas. Ezan masih tak mahu memahami rasa cinta yang dihamparkannya buat Ezan. Sebentar tadi dia dapat melihat mata Ezan tidak lepas merenung pegawai polis wanita itu dan pandangan mata Ezan saat itu tak seperti ketika Ezan memandangnya. Berlainan sama sekali. Pandangan Ezan nampak kosong sewaktu memandang dirinya. Hati Liz terasa bagai disiat-siat. Dia cemburu.

“Okey la bro. Kau tak join sekali?” Adi pula menyoalnya kali ini. Ezan hanya menggeleng sebagai jawapan.

Sebaik mereka berdua masuk semula ke dalam untuk memaklumkan tentang hal itu kepada mereka yang berada di di situ, Ezan berpaling menghadap Liz. Seketika renungan mata mereka bertaut. Dia tergamam melihat mata itu berkaca.

“Liz? Kenapa ni?”. Bila saja air mata Liz mengalir ke pipinya, jari Ezan pantas menyekanya. Dia tak tahu punca kenapa Liz tiba-tiba saja menangis kembali setelah tangisannya reda sepanjang dalam perjalanan tadi.

Liz tidak menjawab pertanyaan Ezan itu sebaliknya terus-menerus berendam dengan air mata. ‘You tak pernah mahu memahami perasaan I‘ rintih hatinya.

“Maafkan I. I terpaksa meminta rakan-rakan I yang hantar you pulang. I tak mahu mengapa-apakan you lagi malam ni” bisik Ezan.

Air mata Liz mengalir deras mendengarkan kata-kata Ezan itu. Ezan memegang bahu kanannya lalu menepuknya perlahan. Dia tak berani melakukan apa-apa yang lebih selain daripada itu. Cukuplah dia terlepas laku dengan wanita itu semasa di flat tadi. Dia membiarkan wanita itu meluahkan tangisnya sepuas-puasnya malam itu. Ketika itu mereka sudah berada berdekatan dengan kereta Adi yang terletak di hujung sebelah kanan kawasan tempat letak kereta.

Ezan menurunkan tangannya setelah Ezan melihat kelibat Adi yang menuju ke keretanya diikuti oleh Iz di belakang. Adi memandang mereka berdua yang berdiri tercegat di situ. Dia dapat melihat dengan jelas air mata yang mengalir di pipi Liz. ‘Apa yang Ezan dah buat kat anak dara orang ni?’. Berkerut dahinya melihat keadaan mereka berdua.

“Kita orang nak pergi ni. Kau boleh masuk ke dalam sekarang” dia memberitahu Ezan.

Ezan menganggukkan kepalanya kepada Adi dan Iz sebelum beralih kepada Liz. “Jaga diri baik-baik”. Hanya itu pesannya kepada Liz lalu berpaling dan melangkah menuju ke ibu pejabat tersebut.

Liz hanya menuruti langkahnya dengan pandangan mata yang berbalam sebelum masuk ke dalam perut kereta. Tidak lama selepas itu, dia dan dua orang rakan Ezan meninggalkan tempat itu. Liz masih tak berkalih memandang ibu pejabat itu sebaik sahaja kereta Adi sudah berada di jalan utama depan ibu pejabat. Sehinggalah lepas dari sana barulah dia mengalihkan pandangannya ke depan dengan sebuah pandangan kosong. Adi dan Iz masing-masing mendiamkan diri. Rasa segan menguasai diri masing-masing dan kerana itulah mereka mengambil keputusan untuk membisu sahaja di sepanjang perjalanan itu.

Di dalam ibu pejabat, Ezan kembali menyertai mereka bersama 2 orang lagi rakannya, Mir dan Wan. Kini mereka sudah berada di tingkat atas di dalam bilik persidangan. Dia lantas mengambil tempat di sisi Zahra sebaik sahaja dia melihat sebuah kerusi kosong di sebelah Zahra. Zahra yang sedar akan kehadiran Ezan di sisinya segera menjarakkan diri dari lelaki itu. Entah, kenapa dia merasa geram dengan lelaki itu tetapi dia berjaya menyembunyikan apa yang dirasakannya ketika itu dengan menayang wajah selambanya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cukuplah sekejap tadi dia gagal menyembunyikan riak wajah sebenarnya semasa dia hendak memasuki bangunan itu.

“Emira Zahra” panggil Ezan perlahan dan menggunakan nama penuh Zahra. Zahra seakan kaku mendengar panggilan tersebut. Dia langsung tidak menoleh kepada lelaki itu mahupun menyahut panggilannya.

“Zahra, tolonglah pandang saya. Awak marahkan saya?”. Ezan masih belum berputus asa.

Akhirnya Zahra memandangnya dengan perasaan berbuku di dada. “Awak, kita dah nak start ni. Tolong berikan sepenuh perhatian kepada apa yang hendak disampaikan oleh mereka” ujar Zahra selamba. Sengaja dia berkata begitu walaupun dia tahu sesi itu sebenarnya masih ada beberapa minit lagi untuk dimulakan. Ezan sebenarnya masih ada peluang untuk menyampaikan apa yang hendak disampaikannya tetapi dia sengaja tak memberinya peluang.

“Zahra, saya…”.

“Tuan Ezan, kalau Tuan bermaksud hendak memujuk rayu saya atau apa sekalipun, Tuan rasanya tersilap orang. Saya bukanlah wanita yang sesuai untuk diperlakukan sebegitu. Saya juga bukannya wanita pemuas nafsu kaum Adam. Saya ada maruah. Saya tak rela disentuh sebelum masanya dan diperlakukan seperti binatang”. Terluah jua akhirnya apa yang hendak diperkatakan oleh Zahra sebelum ini.

Ezan terdiam seketika dan memejamkan matanya lalu terluah satu keluhan dari mulutnya. Apa yang membuatkan Zahra berkata begitu kepadanya?

Sesi tersebut hendak bermula. Sebelum itu, Ezan sempat membisikkan sesuatu kepada Zahra. “Tak seperti yang awak sangkakan, Zahra..” lalu membetulkan kedudukannya.

Zahra termangu seketika mendengarkan ayat-ayat itu. ‘Tak seperti yang disangka?’ Dia mendengus perlahan.

Kembali Semula…

Kuarters Bujang bagi Pegawai Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei, Flat Kampong Anggerek Desa, 0050 Jam.

‘Zahra…maafkan aku. Tapi aku bukan seperti yang kau sangka. Aku tak pernah berniat untuk mencabuli seorang wanita apatah lagi mempermainkannya’ luah hatinya. Dia takut. Dia takut Zahra hilang kepercayaan terhadapnya. Dan dia tak rela kehilangan Zahra kerana semua itu.

Dalam dia merintih, dia menyoal hatinya sendiri. Sayangkah dia kepada wanita itu? Lebih dari itu, cintakah dia? Bibirnya masih belum mahu mengakui akan perkara itu. Dia sebenarnya masih ragu akan perasaannya sendiri. Dia masih keliru apa sebenarnya yang dirasakannya ketika ini. Tapi apa yang pasti dia tak mahu wanita itu hilang dari dalam hidupnya. Dia perlukan wanita itu untuk menemani perjalanannya.

‘Ya Allah…berikanlah aku kekuatan, tiupkanlah semangat ke dalam diriku. Janganlah Engkau biarkan aku rapuh dan lemah dalam menghadapi ujianMu. Teguhkanlah hatiku, kukuhkanlah imanku, ya Allah…’.

Tanpa dipinta, akhirnya dia dibuai mimpi setelah letih dan lelah memikirkan kejadian-kejadian yang telah berlaku sepanjang malam itu.

Posted from WordPress for Android

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s