Posted on

KISS FROM A ROSE – Bhg 18

Batu Satu Apartment, Jalan Laksamana Abdul Razak, Batu Satu, Bandar Seri Begawan, 0015 Jam.

Matanya masih terbuka luas ketika ini. Belum ada sebarang tanda yang dia akan terlena sebentar lagi. Dia belum mengantuk. Untuk sementara waktu, dia terpaksa menumpang di apartment sewa sepupunya atas nasihat pihak Jabatan Siasatan Jenayah. Nasib baik sepupunya ini masih bujang jadi taklah dia merasa janggal untuk tinggal bersamanya buat sementara ini. Tambahan pula sepupunya ini adalah di antara yang dia agak rapat berbanding dengan sepupu-sepupunya yang lain. Dan mujur juga dia tinggal di kawasan bandar, sekurang-kurangnya tak lah jauh sangat dari tempat kerjanya. Ketika ini dia terpaksa turun-naik pejabat walaupun masih dalam percutian. Anna telah menjumpainya di rumah keluarganya pada pagi kelmarin untuk memberitahu kejadian di rumah sewa mereka tempoh hari. Perkhabaran itu amat mengejutkannya.

Suasana tengahmalam di kawasan itu sunyi. Kedai-kedai berdekatan telah pun tutup sejak jam 10 malam tadi dan kini hanya kedengaran bunyi kenderaan yang lalu-lalang di jalanraya. Itupun jarang-jarang bunyinya. Sepupunya pula bertugas pada malam itu memandangkan dia adalah seorang jururawat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Tinggallah dia seorang sahaja di apartment.

Dia berbaring di atas katil sambil matanya memandang ke siling. Mindanya masih terarah kepada peristiwa di ibu pejabat tadi. Dia masih belum dapat melupakan apa yang telah disaksikannya waktu itu. Betulkah tak seperti apa yang difikirkannya? Betulkah lelaki itu benar-benar innocent? Ye la. Tentera lagi. Sukar rasanya hendak mempercayai golongan ini. Tapi riak wajahnya seperti mempamerkan berbagai reaksi. Sedih, kecewa, menyesal, marah dan terkilan, semuanya terserlah di wajahnya yang suram malam itu. Apa sebenarnya yang terjadi? Adakah wanita yang dilihatnya itu telah melukakan hatinya? Mungkinkah wanita itu teman istimewanya? Timbul berbagai soalan di benaknya. Pening juga kepalanya memikirkan hal itu. Dan dalam waktu yang sama, dia sendiri pun tak faham kenapa dia begitu mengambil tahu akan lelaki itu. Dia mendengus.

Dia tidak pasti berapa lama dia berkeadaan sebegitu bilamana dia tiba-tiba terdengar satu bunyi seperti seseorang memulas tombol pintu di ruang tamu. Dia yang ketika itu berada di dalam bilik tidur hanya diam mendengar bunyi tersebut. Adakah sepupunya yang pulang waktu itu? Mungkin dia terlupa sesuatu? Tapi mustahil juga. Sepupunya tak pernah buat sebegitu. Selalunya sepupunya itu akan menghubunginya terlebih dulu sebelum masuk ke apartment sama ada menelefonnya atau sekadar menghantar mesej sebagai pemberitahuan bahawa dia sudah pulang.

Untuk memuaskan hatinya, dia berdiri dan melangkah ke jendela bilik tidurnya untuk memeriksa jikalau kereta sepupunya ada di tempat letak kereta yang berdepanan dengan bilik tidur memandangkan dia selalu meletakkan keretanya di situ. Kosong! Tak ada pun kereta sepupunya di situ. Dia mulai curiga dan berwaspada. Dia sudah mula merasa tidak sedap hati akan kemungkinan adanya ‘tetamu yang tidak diundang’ ketika ini. Dia tahu, orang-orang yang dikenalinya tak akan membuat sebegitu sebaliknya dia akan diberitahu lebih awal sebelum mereka datang, termasuklah sepupunya itu.

Bunyi itu masih kedengaran. Masih terkial-kial nampaknya. Di kesempatan itu, dia memikirkan tindakan yang akan diambil untuk meloloskan diri. Dia cuma ada dua pilihan; cari jalan untuk melarikan diri tanpa perlu bedepan dengan ‘tetamu’ itu atau terpaksa berdepan dengan siapa pun yang berada di luar sana. Dia membuat keputusan untuk mencari jalan yang pertama. Dengan sepantas mungkin, dia mengira-ngira ketinggian dari tempat kediamannya sehingga ke tingkat bawah sekali. Sebatang pokok kayu yang agak rendang berada tidak jauh dari biliknya. Dahannya yang besar dan panjang hanya berada dalam jarak 2 meter dari jendela bilik.

Pintu ruang tamu kedengaran seperti dibuka dengan perlahan. Nampaknya ‘tetamu’ tersebut sudah pun berjaya memecah masuk ke dalam. Tanpa berlengah lagi, dia mencapai dan memakai tudungnya lalu berjalan menuju ke jendela dengan langkah yang amat berhati-hati dan tanpa mengeluarkan bunyi. Dia membuka jendela itu dengan perlahan sehingga terbuka luas dan memuatkan seluruh tubuhnya. Dia memanjat jendela tersebut. Sesudah dia berada di pinggir jendela, dengan sekuat tenaga dia melakukan lompatan ke dahan pokok kayu berkenaan. Sebaik sahaja dia berpaut pada dahan tersebut, dia pun turun dari pokok itu dengan melompat dan berpaut pada dahan-dahan pokok yang jaraknya agak berdekatan antara satu sama lain. Tiba di satu dahan yang berdepanan dan tidak jauh dari sebuah balkoni, sekali lagi dia melakukan lompatan dari dahan ke balkoni tersebut. Dia memanjat pagar balkoni lalu mencapai sebatang besi yang mengunjur ke bawah dan turun menggelungsur sehingga ke tingkat bawah sekali.

Tiba di tingkat bawah, dia melangkah laju menuju ke keretanya. Namun sebaik sahaja dia semakin menghampiri keretanya, dia ternampak dua orang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan berada tidak jauh dari keretanya. Melihatkan itu, dia menukar haluannya menuju ke pintu pagar masuk ke apartment tersebut. Lelaki-lelaki terbabit yang terperasan akan kehadirannya di situ mula membuka langkah mengekorinya. Dia tahu dirinya sekarang sedang diekori lalu mempercepatkan langkahnya sehingga akhirnya dia berlari. Lelaki-lelaki itu bergegas berpatah balik ke dalam kawasan apartment dan masuk ke dalam kereta mereka lalu memandu keluar dari sana untuk mengejarnya.

Dengan langkah yang pantas, dia memasuki kawasan kompleks membeli-belah Kompleks Abdul Razak yang terletak bersebelahan apartment tersebut. Dari situ, dia berlari menuju ke kawasan depan Kompleks Athirah lalu memanjat pagar sebuah flat yang terletak tidak jauh dari bangunan kompleks tersebut. Seterusnya dia melintas simpang jalan yang menuju ke kompleks membeli-belah Emporium Pertama setelah berlalu dari flat tersebut dan berlari ke pintu pagar yang terbuka di sebuah lagi flat yang terletak berdekatan dengan lampu trafik di jalan utama. Di belakang flat tersebut, dia terpaksa memanjat pagar sekali lagi untuk meloloskan diri dari sana. Tiba di tepi jalan, dia melintas secepat mungkin menuju ke bahu jalan seberang.

Setelah dia berada di sana, tiba-tiba dia ternampak kereta lelaki-lelaki tersebut memecut laju mengekorinya dari belakang. Dia mula membuka langkah semula dan berlari menghala ke sebuah pos polis yang terletak tidak jauh dari situ. Kereta itu semakin menghampirinya. Dengan pantas, dia membelok ke kiri dan menggunakan jalan kecil di sebelah atas yang menuju ke pejabat pos sebagai jalan pintas. Kedengaran bunyi tayar berdecit yang datangnya dari kereta tersebut. Pemandunya telah membrek kereta secara mengejut. Mungkin tidak menyangka yang dia akan menggunakan jalan lain selain jalan utama itu. Tadi pun mereka seperti mengalami kesukaran untuk menjejakinya memandangkan dia lebih banyak menggunakan jalan pintas yang sukar untuk dilalui oleh sebuah kereta.

Sebaik sahaja dia sampai di depan pos polis, dia mengetuk kuat pintu pos tersebut. Pintu pos dibuka. Seorang anggota polis tersembul dari dalam dan menjenguk ke luar. Sebaik sahaja anggota tersebut mengenali orang yang berdiri didepannya sekarang, dia dengan serta-merta memberi tabik hormat kepadanya.

“Assalamu’alaikum Puan”.

“Wa’alaikumussalam. Awak seorang saja Koperal?” tanyanya sambil matanya meliar melihat sekeliling.

“Tak Puan. Sarjan Haris ada di dalam sekarang. Puan ada apa-apa masalah?” tanya koperal itu kepadanya. Koperal itu seperti dapat menangkap sesuatu yang tak kena pada riak wajahnya.

“Saya akan bercakap kemudian setelah saya masuk ke dalam” tegasnya.

Koperal tersebut tanpa banyak soal terus membenarkannya masuk ke dalam pos tersebut. Sarjan Haris yang berada di dalam lantas berdiri dan memberi tabik kepadanya. Sejurus kemudian dia mengarahkan mereka berdua untuk duduk dan meminta mereka menayangkan semula visual terbaru dalam beberapa minit lalu yang dirakam dari kamera litar pintas yang dipasang di atas lampu trafik berdekatan. Beberapa saat kemudian, dia meminta visual tersebut dipause seketika. Imej sebuah kereta pacuan 4 roda jenis Toyota Land Cruiser berwarna hitam yang membelok menuju ke Bandar Seri Begawan dari Jalan Kubah Makam DiRaja kelihatan di skrin. Dia mengarahkan koperal tersebut membesarkan imej kereta itu. Kini nombor pendaftaran kereta tersebut dapat dilihat dengan jelas. Dia meminta pen dan kertas dari koperal itu untuk mencatit keterangan-keterangan kereta tersebut sebagai peringatannya.

Apabila koperal itu dan Sarjan Haris bertanya tentang kereta tersebut, dia lantas menjelaskan tentang insiden kejar-mengejar antara lelaki-lelaki di dalam kereta itu dengan dirinya. Mereka begitu terkejut mendengarkan cerita itu. Sarjan Haris mencapai buku laporan serta sebatang pen lalu turut mencatit segala apa yang telah diperkatakan olehnya kepada mereka sebentar tadi. Ini memang sudah menjadi tugasan anggota tersebut untuk mengambil statement yang dilaporkan tidak kira siapa pun orang itu walaupun sesama anggota polis.

Setelah dia pasti lelaki-lelaki itu telah beredar dari kawasan sana, dia mengambil keputusan untuk pulang semula ke apartment tersebut untuk menyiasat sendiri apa yang telah lelaki-lelaki itu lakukan, motif mereka serta mencari jika ada sebarang tanda atau barang yang boleh menjadi bukti. Sarjan Haris menawarkan diri untuk membantu dan juga turut menghubungi Balai Polis Bandar Seri Begawan untuk menghantar sepasukan dari unit siasatan jenayah bagi melakukan siasatan ke atas kejadian di apartment itu.

“Puan. Saya telah meminta bantuan daripada pihak polis bandar untuk menghantar anggota-anggota di unit siasatan jenayah dan sekarang mereka dalam perjalanan menuju ke apartment Puan. Saya sendiri juga akan turut membantu Puan” ujar Sarjan Haris.

“Baik Sarjan. Terima kasih” balasnya pendek.

Dia bertolak ke apartment sewa sepupunya itu menggunakan kenderaan pasukan bersama-sama Sarjan Haris. Dia tidak sempat menggunakan keretanya sendiri memandangkan lelaki-lelaki tersebut sudah pun berada berdekatan dengan keretanya tadi.

Semasa kenderaan yang dinaikinya bersama Sarjan Haris berhenti dekat lampu trafik kerana isyarat telah bertukar ke merah, telefon bimbit Sarjan Haris berdering lalu dijawabnya selekas mungkin sebelum isyarat bertukar ke hijau. Sebaik sahaja panggilan tersebut tamat, Sarjan Haris memandangnya sekilas.

“Puan. Tuan Ilham meminta Puan menghubunginya secepat mungkin. Tak tahulah kenapa dia hubungi saya pula untuk menyampaikan pesanannya kepada Puan”.

Dia mendengus. Apa pula kali ini yang Ilham nak?

Villa Indah, Kampong Tanjung Bunut, 2315 Jam.

Sebaik sahaja dia selamat sampai di rumahnya sejak setengah jam yang lalu, dia lebih banyak berdiam daripada berkata-kata. Apabila ibunya menyoalnya, dia hanya mengangguk atau menggeleng sebagai jawapan. Risau ibunya melihat perubahan dirinya malam itu. Sudahlah keluar rumah tak beritahu mereka, kini pulang ke rumah dengan wajah yang sugul pula. ‘Kenapa sebenarnya dengan darling ni?’.

Ayahnya masih belum pulang lagi setelah dihubungi oleh ibunya tadi. Ketika ini ibunya masih belum mahu mengalah untuk memujuknya.

Darling kenapa tak nak berterus-terang saja dengan mummy? Mummy risau sangat tau bila darling menghilang begitu saja dan pulang dalam keadaan begini. Ceritalah kat mummy ye darling?” pujuk ibunya.

Ibunya membelai rambutnya perlahan dan lembut lalu dipautnya bahu anak kesayangannya itu.

“Liz darling. Kalau darling tak nak cerita, nanti darling akan sentiasa merasa tertekan dan muram sampai bila-bila. Kalau darling bermuram saja nanti, hancurlah hati mummy dan daddy tengok darling dah berubah menjadi orang yang mummy dan daddy tak kenali. Darling pun tahu betapa sayangnya mummy dan daddy terhadap darling” sambung ibunya lagi.

Saat ini air mata Liz tumpah lagi mendengarkan pujukan ibunya itu. Dia merasa serba salah sama ada hendak bercerita atau diamkan saja. Dia tahu, kalau pun dia tak dimarahi oleh kedua orang tuanya, pasti Ezan pula yang akan jadi mangsa mereka berdua. Silap-silap, seluruh keluarganya ‘menyerang’ Ezan. Dia tak mahu perkara sebegitu terjadi. Tetapi untuk mendiamkan terus…dia buntu. Fikirannya kusut dan bercelaru waktu ini. Terasa seperti hendak meraung.

Akhirnya dia memecahkan kebisuan yang membelenggu dirinya. “Mummy, please berikan darling masa. Tunggulah bila sampai masa yang sesuai nanti”.

Ibunya mengeluh perlahan mendengar permintaan Liz itu tetapi dia tak membantah. Mungkin juga ada baiknya jika dia memberi Liz ruang dan masa yang sesuai untuknya bercerita akan perihal sebenar.

“Okey. Tapi darling janji tau cerita dengan mummy nanti?”.

Liz hanya mengangguk lemah. Air matanya masih mengalir sehingga membasahi kedua belah pipinya. Ibunya lantas menyapu mutiara jernih yang turun itu dengan hatinya yang dipagut rasa bimbang.

Tidak lama kemudian kedengaran deruman enjin kereta masuk ke dalam garaj di luar rumah. Ayah Liz sudah sampai. Ibunya tahu.

Liz yang mendengarnya hanya mendiamkan diri dan berterusan menangis mengenangkan kejadian-kejadian yang telah berlaku dan memikirkan reaksi keluarganya, terutama sekali kedua orang tuanya itu sebaik mereka mengetahui akan kisah sebenar.

Dia bingung. Dia dalam dilema. Luahkan saja atau pendam terus?

Posted from WordPress for Android

Advertisements

About shazran

Art lover, science and tech geek

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s