Haluan

Rambut itu sama,
Kulit itu sama,
Pakaian itu sama,
Rumpun itu sama,
Tapi,
Mestikah hati dan akalnya juga sama?
Kenalkah kau akan Sayyidina Hamzah?
Dan adakah kau kenal siapa Abu Jahal?
Oh, sungguh,
Mereka berasal dari akar-umbi yang sama,
Tapi akal mereka,
Hati mereka,
Ada yang di syurga,
Dan ada pula yang di neraka,
Sama kah haluan mereka?
Tidak,
Itu satu noktah,
Dan satu ketentuan

Advertisements

KELAM

Kawasan itu telah direntang dengan tape kuning yang tertera perkataan ‘Dilarang Masuk’. Pihak polis dan medik kelihatan mundar-mandir di dalam kawasan itu. Ada yang cuba mencari bahan bukti, ada yang menjalankan soal-siasat pada para penghuni flat dan ada yang memeriksa keadaan mayat. Kecoh suasana malam itu, apabila didapati seseorang terjun dari tingkat lima flat.

Ramai penghuni flat itu yang tak menyangka yang dia akan mengakhiri hayatnya sebegitu tragis. Kenapa perlu membunuh diri? Apa masalah dia? Selama ini mereka melihatnya baik-baik saja. Sentiasa ceria. Malahan dia suka menggembirakan hati mereka dan mereka amat menyenanginya. Tiba-tiba saja dia menamatkan nyawanya sendiri malam ini. Mereka seperti tak percaya dengan apa yang mereka saksikan ketika ini. Ada di antara mereka yang sudah teresak kerana kejadian yang menimpa dirinya. Mereka tak lupa akan apa yang telah dilakukannya semasa hayatnya. Tapi sekarang…mungkin dah tak sama lagi dengan sebelumnya. Tak ada lagi pelawak yang sentiasa menceriakan hari mereka. Tak ada. Hanya kesuraman yang akan menyelubungi hari-hari mereka selepas ini. Saat ini pun dah mula terasa kehilangannya.

Sehari sebelum itu…

Aaron dikenali sebagai pelawak di kawasan flat tempat dia tinggal. Dia yang berpersonaliti selamba dan bersahaja menyebabkan ramai yang menyenanginya. Tambahan pula dia seorang yang peramah dan ringan tulang. Aaron, atau nama sebenarnya Muhd Aaron Wilson, seorang pemuda Melayu berdarah kacukan bangsa kulit putih Amerika dan juga Jepun, berkerja di sebuah syarikat perkhidmatan jurugambar sebagai jurugambar profesional. Dia sememangnya meminati bidang fotografi dari sejak kecil lagi dan disebabkan minatnya yang mendalam itu, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian sarjana mudanya di Art Center College of Design di California, Amerika Syarikat dalam kursus Fotografi dan Pengimejan selama empat tahun. Sebaik saja pengajiannya tamat, dia pulang semula ke tanahair. Ya, tanahairnya. Negara Brunei Darussalam. Tanahair ibunya. Walaupun dia dilahirkan di Amerika Syarikat dan negara itu merupakan tempat kelahiran ayahnya, dia tetap memilih Brunei sebagai tempat tinggalnya. Dia mula berhijrah ke Brunei ketika usianya menjangkau tujuh belas tahun. Semuanya bermula kerana titik hitam yang tercalit dalam lipatan sejarah hidupnya sepanjang dia dibesarkan di negara Uncle Sam itu. Kerana sudah tak sanggup menghadapi lagi, dia nekad untuk berpindah ke Brunei dan mahu melepaskan kerakyatannya sebagai warganegara Amerika Syarikat. Keluarganya faham. Mereka tak memaksa dia untuk terus tinggal di situ lalu membenarkan dia pergi. Sehingga kini, keluarganya masih menetap di Amerika Syarikat, manakala dia pula berada di Brunei. Sepanjang keberadaannya di Brunei, dia banyak dibantu oleh keluarga ayah saudaranya, yang merupakan abang kepada ibunya. Walaubagaimanapun, setelah dia berjaya mendapatkan pekerjaan, dia memilih untuk tinggal berasingan dengan ayah saudaranya dan akhirnya membuat keputusan untuk menyewa di sebuah flat yang terletak di kawasan Bandar Seri Begawan. Sekarang sudah masuk dua tahun dia tinggal di situ.

Hari itu Hari Ahad. Dia diminta oleh bosnya untuk menjadi jurugambar bagi sebuah majlis perkahwinan di Daerah Tutong, seperti yang dipinta oleh salah seorang pelanggan mereka. Ramai pelanggan syarikat yang tertarik dengan hasil kerjanya dan kerana itu, tempahan perkhidmatan dari para pelanggan menimbun. Kualiti gambar yang diambil, ditambah lagi dengan harga perkhidmatan yang berpatutan menjadikan syarikat di tempat Aaron berkerja semakin laris. Minggu itu saja jadualnya padat kerana dia ditugaskan untuk menggambar berbagai acara, bukan setakat majlis perkahwinan saja. Tapi untuk hari itu, dia bertugas di luar daerah.

Semasa dia melangkah keluar dari rumahnya, kelihatan pasangan warga emas berada di lorong flat sedang rancak bercerita sambil mengambil angin. Sebaik Aaron melintas di depan mereka, Aaron menyapa mereka berdua.

“Wah…romantik pula makcik dan pakcik berdua ni. Nak mengingatkan nostalgia di zaman masih bercouple ke makcik, pakcik?” Sapa Aaron dengan sengihnya yang seperti kerang busuk.

“Kamu ni, Aaron. Tak mengusik sehari memang tak sah!” Balas wanita warga emas itu seraya mencubit lengan Aaron.

Aaron mengusap-usap lengannya yang terada pedih dicubit oleh warga emas tersebut. Dia masih tersengih seperti tadi. Sengih nakal.

“Laa. Mana lah tahu makcik.” Giat Aaron lagi.

“Betul lah tu, Aaron. Makcik kamu ni tengah mengenang semula pertemuan kami semasa muda-muda dulu.” Sampuk lelaki warga emas itu pula.

Isterinya menjeling padanya.

“Hah, mulalah tu, paknya. Paknya dengan Aaron ni, kurang lebih je, suka usik orang.” Bebel wanita yang digelar ‘makcik’ oleh Aaron itu.

Tawa Aaron dan lelaki warga emas itu terburai. Makcik itu cuma menjuihkan bibirnya melihatkan kelakuan mereka berdua.

“Okeylah pakcik, makcik. Saya nak pergi dulu. Ada tugas kat Tutong hari ni.” Dia meminta diri sambil menghulurkan tangan kepada kedua-dua warga emas tersebut untuk bersalam.

“Hati-hati memandu tu, Aaron. Jangan nak jadi pemandu macam yang kat Litar Sepang tu.” Nasihat makcik tersebut kepada Aaron.

“Formula One, maknya.” Sampuk pakcik tersebut pula.

“Ya, betul tu pakcik.” Sokong Aaron.

“Alaa. Apa-apa je lah namanya,” balas makcik tersebut, “Ingat tu, Aaron. Bawak kereta tu biar cermat.”

“Ya makcik, saya ingat. Mesti bawak kereta macam pemandu Formula One tu.” Sakat Aaron lagi.

“Kamu ni kan, Aaron.” Lalu makcik tersebut cuba untuk mencubit lengan Aaron lagi tapi kali ini dia sempat mengelak.

Aaron tergelak lagi lalu mula melangkah pergi.

“Pergi dulu ya, makcik, pakcik!” Aaron meminta izin lagi dan melambai mereka berdua lalu berpaling dan melangkah menuju ke tangga flat itu.

Kedua-dua warga emas itu mengekori langkahnya dengan ekor mata mereka sehingga kelibatnya hilang.

“Aaron macam arwah Arman kan, paknya?” Soal makcik itu. Kedengaran jelas nada sayu ada suaranya ketika menuturkan soalan itu.

Pakcik itu menghempaskan keluhan halus.

“Sedikit sebanyak tu…ya. Takpelah maknya. Kita kirimkan Al-Fatihah buat arwah anak kita tu. Walau menangis air mata darah sekalipun, dia tetap takkan kembali lagi. Syukurlah, ada Aaron menjadi jiran dan penghibur kita.” Balas pakcik tersebut.

Sebenarnya, dia sendiri pun turut merasa sebak bila mengenangkan arwah anaknya, Arman yang telah tiada. Satu-satunya anak mereka. Kembali menghadap Illahi ketika bertugas dalam pasukan misi pengaman Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan. Dari laporan yang diterima, arwah terkorban ketika terjadinya kekacauan di wilayah itu sebelum ini. Dia ditembak oleh pengganas dan tepat mengenai jantungnya. Arwah gagal diselamatkan lalu meninggal pada waktu itu juga. Sejak itu, hidup kedua pasangan warga emas itu terasa suram. Arwah Arman lah yang selalu menceriakan suasana mereka sebelum ini dengan keletah nakalnya yang suka menggiat mereka berdua, terutama sekali makcik. Setelah anak mereka itu dijemput Illahi, suasana menjadi sunyi sepi sehinggalah Aaron datang dan mendiami rumah sebelah. Kadangkala mereka terfikir, kiranya Aaron itu adalah jelmaan arwah anak mereka. Perangai Aaron dan arwah Arman memang serupa sehingga mereka berdua mula jatuh sayangkan Aaron dan menganggapnya sebagai anak mereka. Malah, Aaron juga disenangi oleh jiran-jiran mereka yang lain. Pantang terdengar ada yang dalam kesusahan, Aaron cepat menghulurkan bantuan semampunya. Dia juga suka berlawak sehingga dia digelar ‘Maharaja Lawak’ oleh penghuni flat tersebut.

Hari itu Aaron pulang lewat. Jam sebelas malam baru dia sampai di flatnya. Ketika dia melangkah keluar dari keretanya, dia nampak muram dan seperti tak bermaya. Ekspresi itu berjaya disembunyikannya apabila dia terserempak dengan beberapa orang jirannya. Dia akan berlakon seolah-olah dia benar-benar gembira dan segalanya baik-baik saja. Apabila dia sampai si rumahnya, dia terus masuk dan mengunci pintu lalu berjalan menuju ke bilik tidurnya.

Dia menutup pintu biliknya lalu terduduk bersandar di pintu. Mindanya saat itu terasa bercelaru. Berbagai rasa yang dirasakannya saat itu. Dia cuba menyeluk beg sandangnya yang berada di sisinya. Setelah tangannya mencapai satu botol yang berisi pil ubat, dia cuba untuk mengeluarkan beberapa biji dari dalamnya. Malangnya, pil-pil itu sudah habis. Dadanya terasa meruap lalu botol ubat itu dibalingnya ke dinding sehingga pecah berderai. Tak lama kemudian, emosinya bertukar. Jika sebentar tadi dia merasa marah, kini hatinya terasa pilu bagai disiat-siat. Sedihnya menggunung. Dalam masa yang sama dia terasa hidupnya bagaikan sunyi sepi dan tiada erti. Hati dan akalnya ketika ini terasa seperti tak tentu arah. Kisah-kisah hitam di dalam hidupnya dulu terlayar kembali di minda, ditambah lagi dengan sebuah berita yang baru diterimanya sejam yang lalu. Dia tertekan. Amat tertekan. Dahlah selama ini dia tak mampu melupakan peristiwa hitam itu sehingga jiwanya sentiasa merasa tertekan, kini dia terpaksa berhadapan dengan satu lagi detik hitam di dalam hidupnya. Kini dia terasa dia adalah insan yang paling malang. Hidupnya sentiasa dihantui oleh kisah-kisah yang menyakitkan. Dia merasakan dia adalah manusia yang sial. Dia terfikir, apa gunanya dia hidup jika sentiasa dirundung duka?

Dia berdiri perlahan-lahan dan memutar tombol pintu bilik lalu melangkah keluar dari bilik tidurnya dan menuju ke arah pintu sliding yang memisahkan ruang tamu dan beranda luar. Perlahan, dia membuka pintu itu lalu menapak ke luar beranda.. Buat seketika, dia bersiri kaku di situ sehinggalah beberapa saat kemudian, dia mula bergerak memanjat pagar beranda. Dia memandang ke bawah flat. Hilang sudah rasa gayatnya. Kosong terasa di jiwanya. Yang ada, cumalah rasa kecelaruan dan kacau. Tidak lama kemudian…

Bukkkkk!

“Ahhhhhhhhhh!!!!!” Kedengaran jeritan kuat seorang di bawah flat berkenaan. Kebetulan wanita itu baru saja sampai di flat setelah selesai waktu berkerjanya.

Beberapa orang penghuni flat yang masih bangun dan terdengar jeritan tersebut, bergegas melihat ke bawah untuk melihat apa yang telah terjadi. Alangkah terkejutnya mereka bila sekujur jasad terbaring berlumuran darah di tingkat bawah flat itu, lalu mereka bergegas menuruni anak tangga flat dan menghampiri jasad tersebut. Sekali lagi mereka dikejutkan dengan apa yang mereka lihat. Aaron! Aaron, seorang pemuda yang selalu menceriakan hari-hari mereka! Suasana di kawasan bawah flat itu mulai kecoh. Ada di antara mereka yang menghubungi pihak polis dan juga medik.

“Ada apa kecoh-kecoh ni?” Tanya seseorang kehairanan. Pertanyaan itu datangnya daripada pakcik sebelah rumah Aaron itu. Pakcik yang menganggap Aaron seperti anaknya.

Semua yang ada di sana menoleh ke arahnya ketika itu. Salah seorang dari mereka berjalan menghampiri pakcik itu. Isterinya berada di belakangnya.

“Pakcik. Makcik. Saya harap pakcik dan makcik jangan terkejut, ya.” Ujar lelaki yang kelihatan dalam lingkungan umur pertengahan tiga puluhan itu, lalu dia membawa mereka melihat sendiri jasad Aaron yang terkujur kaku tidak jauh dari situ.

Pasangan warga emas itu langsung terdiam. Mata mereka membulat sebaik melihatkan jasad Aaron yang sudah tak bernyawa itu. Isterinya sudah tak mampu menahan rasa lalu terduduk di situ juga. Esak tangisnya mulai bergema. Beberapa orang penghuni flat wanita yang ada di situ terus menerpa ke arahnya dan mendakapnya erat, serta menenangkannya. Dia seperti tak percaya apa yang dilihatnya saat ini. Baru pagi tadi dia bergurau mesra bersama mereka suami-isteri. Kini dia pergi meninggalkan mereka berdua selamanya. Dia menurut jejak arwah anak mereka. Mengenangkan itu, hatinya semakin rawan dan tangisannya semakin kuat. Suaminya pula kehilangan kata-kata. Matanya masih tertancap pada jasad arwah. Seperti isterinya, dia juga bagai tak percaya apa yang dilihatnya. Gurauan mesra pagi tadi masih segar lagi dalam ingatannya. Akhirnya, terhembus satu keluhan berat dari mulutnya yang dihembus perlahan. Ya Allah…kenapa jadi begini? Dia memejamkan matanya. Terasa ada air hangat yang tertumpah perlahan dari takungan matanya. Dia tak mengerti, kenapa Aaron tergamak mengakhiri hidupnya dengan cara begini. Dia masih muda lagi. Ada masalahkah dia? Jika ada pun, kenapa tak kongsi saja dengan mereka?

Lima belas minit kemudian, polis dan medik tiba di kawasan flat. Ayah saudara Aaron juga turut hadir ke lokasi berkenaan setelah dihubungi oleh pihak polis. Wajahnya kelihatan sugul. Dia amat kesal, anak saudaranya itu tak mampu melawan tekanan yang dihadapinya selama ini. Puas dia dan keluarganya menasihati Aaron dan memujuknya untuk berkongsi apa jua yang terpendam di hatinya tapi dia degil. Dia tak mampu meluahkan apa jua yang dirasanya sebaliknya berterusan memendam sendiri segala kesedihan dan keperitan yang dialaminya.

Ayah saudara Aaron tahu akan masa lalu Aaron. Dia pernah dibuli semasa zaman sekolah rendahnya di Amerika Syarikat sehingga dia terlantar koma sebulan lebih. Tak cukup dengan itu, ayah saudaranya sebelah ayahnya pula pernah meliwatnya secara paksa ketika dia berusia tiga belas tahun. Waktu itu, keluarganya berada di luar bandar Marietta, Daerah Cobb di Georgia. Ayahnya dikehendaki untuk bertugas di Atlanta selama sebulan oleh ketua jabatannya dan ibu serta adiknya yang masih kecil turut pergi bersama. Memandangkan ketika itu dia masih dalam penggal persekolahan, maka dia terpaksa tinggal bersama ayah saudaranya yang masih bujang di kawasan kejiranan Forest Avenue Street, tidak jauh dari kawasan kediaman keluarganya di Blackwell Lane Northeast. Keluarga Aaron amat mempercayainya kerana apabila dia berada bersama keluarga Aaron, dia tak pernah menunjukkan sikap negatif. Tapi mereka tak tahu bahawa itu hanyalah lakonannya semata-mata. Setelah Aaron ditinggalkan bersamanya, dia berubah menjadi seperti seekor binatang buas. Dah lah pemabuk dan kaki judi, dia juga merupakan merupakan seorang lelaki yang panas baran serta homoseksual. Hampir setiap hari Aaron dipukul dan diliwat. Hidup Aaron penuh dengan penderitaan selama sebulan itu. Hendak diadukan ke pihak polis, dia telah diberi amaran oleh ayah saudaranya itu untuk tidak mengadukan sikapnya itu kepada sesiapa, walau keluarganya sekalipun. Jika tidak, nyawanya akan melayang. Kerana itulah Aaron hanya mampu memendam rasa. Walaupun detik hitamnya telah lama berlalu, tapi kesannya masih melekat di hati dan mindanya sehingga ke hari ini. Kisah hitam Aaron tak ada sesiapa yang tahu kecuali dirinya. Keluarga Aaron sendiri tak tahu tentang hal itu

Hari ini kira-kira sejam lebih yang lalu, dia telah menerima satu lagi perkhabaran yang memilukan. Mungkin perkhabaran yang diterima itu juga menambahkan lagi tekanan kepada diri Aaron yang sememangnya sudah sedia tertekan selama ini. Keluarga Aaron terlibat di dalam sebuah kemalangan yang dahsyat di California, Amerika Syarikat. Ketika itu keluarganya sedang bercuti dan bercadang hendak menziarahi salah seorang sepupu ayah Aaron yang berada di Pasadena. Dalam kemalangan itu, ayah dan ibu Aaron telah terkorban manakala adiknya mengalami cedera parah dan kini diberikan rawatan intensif di Cedars-Sinai Medical Center. Keadaannya agak kritikal saat ini.

Dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu menghembuskannya perlahan. Dadanya terasa sesak. Belum lama adik perempuan dan suaminya meninggal dunia, kini dikejutkan pula dengan kematian anak sulung mereka. Tinggallah adik Aaron sebatang kara di benua Amerika Utara itu. Itupun dalam keadaan kritikal ketika ini. Sungguh berat ujiannya kali ini.

Matanya menangkap kelibat seorang wanita warga emas yang kelihatan meratapi kematian Aaron dan ditenangkan oleh seorang lelaki yang juga warga emas. Perlahan dia mengorak langkah menuju ke arah mereka.

“Maaf, tuan haji. Tuan haji ini jiran arwah Aaron?” Tanyanya tanpa berdolak-dalik.

Mereka berdua mengangkat wajah memandangnya.

“Ya. Kami jirannya. Encik ini siapa?” Soal pakcik tersebut.

“Saya ayah saudara arwah Aaron, abang kepada ibunya.” Balas ayah saudara Aaron.

“Oh,” ujar pakcik itu.

“Arwah seorang yang baik sebenarnya. Dialah menjadi penghibur kami di sini dan juga kami berdua setelah kami kehilangan anak kami. Kini arwah dah tiada. Kami telah menganggapnya seperti anak kami sendiri.” Sampuk isteri pakcik tersebut, lalu teresak semula.

“Saya sendiri tak menyangka yang riwayat hidupnya akan berakhir sebegini. Kami tak tahu apa masalahnya sehingga dia mencabut nyawanya sendiri sebelum sampai masanya. Dia pandai menyembunyikan apa jua masalahnya dari kami semua, encik.” Jelas pakcik pula kepada ayah saudara Aaron.

“Itulah juga yang dia lakukan kepada kami, tuan haji. Walaupun kami ni punya pertalian darah, dia tak pernah membuka mulut untuk bercerita apa jua masalahnya selama ini. Saya tahu, mungkin dia tak pernah melupakan peristiwa hitam di dalam hidupnya, tapi amat sukar baginya untuk meluahkan apa yang ada di dalam hati dan mindanya.” Luah ayah saudara Aaron.

Dahi pakcik itu sedikit berkerut apabila mendengarkan perkataan ‘peristiwa hitam’ yang disebut oleh ayah saudara Aaron itu, tapi dia tak bertanya dengan lebih lanjut. Baginya, ini bukanlah masa yang sesuai untuk bertanyakan hal sedemikian. Tunggulah. Tunggu bila ada masa yang sesuai nanti, barulah dia bertanya.

Jasad Aaron dibawa ke hospital untuk dibedah siasat bagi memastikan lagi bahawa tiada unsur jenayah yang terjadi kepadanya semasa dia masih hidup. Setelah segala prosedur keselamatan selesai dijalankan, barulah jasad arwah dibenarkan untuk dibawa pulang dan diuruskan. Jenazah Aaron dibawa ke Masjid Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah di Kampong Kiarong untuk dimandikan, dikafankan, seterusnya disolatkan. Dia disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampong Kiarong. Usai urusan pengebumian, kesemua yang hadir mulai meninggalkan tanah perkuburan, kecuali seseorang yang masih setia menanti di pusara Aaron.

Seorang wanita muda dalam lingkungan pertengahan dua puluhan yang berkerudung dan berpakaian serampun hitam, berdiri di tepi pusara. Matanya tak henti-henti menitiskan mutiara jernih. Terasa berat kakinya hendak melangkah pergi. Hatinya bagai dihiris sembilu saat ini. Dia merasakan seolah-olah semua ini adalah mimpi ngerinya. Insan yang selama ini menjadi pujaannya di dalam diam, kini telah kembali menghadap Penciptanya. Dia tahu dan dia dapat merasakan, bahawa lelaki itu bagai menyimpan seribu satu cerita pedih yang tak terlihatkan oleh mata kasar sebelum ini. Tapi dia tak berani meluahkan semua itu. Dia seorang wanita yang masih punya rasa malu. Lagipun, dia juga takut kalau-kalau apa yang diagaknya itu meleset. Tapi telahannya itu rupanya benar. Dia sempat memasang telinga ketika ayah saudara arwah membuka mulut untuk menceritakan hal sebenar Aaron kepada pasangan warga emas yang pernah menjadi jiran Aaron itu. Waktu itu cuma ada mereka bertiga saja di kawasan itu, dan dia tanpa sengaja telah terdengar cerita mereka sewaktu dia hendak melintas ke ruang solat di masjid semasa jenazah hendak disolatkan. Ketika itulah dia tahu bahawa telahannya terhadap pemuda itu selama ini adalah benar.

‘Aaron…kalaulah kau tahu aku tahu akan apa yang kau sembunyikan selama ini…’

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” – Surah Al-Baqarah, ayat 153.

“Depression is a common mental disorder. Globally, more than 300 million people of all ages suffer from depression. Depression is the leading cause of disability worldwide, and is a major contributor to the overall global burden of disease. At its worst, depression can lead to suicide” – World Health Organization.

-TAMAT-