Monde Obscur

Ezry merasa sangat letih ketika itu. Dah lah terpaksa kerja lebih masa disebabkan ada kes rompakan berlaku di sebuah pasaraya di Pekan Muara semalam, kini dia pula ditugaskan untuk handle kes itu. Baru saja selesai satu masalah, kini timbul pula masalah lain. Ketua seksyennya pula sibuk-sibuk jugalah bercuti di saat-saat genting itu. Maka terpaksalah dia yang memangku jawatan sebagai ketua seksyen, seterusnya mengambil alih kes itu.

Tok! Tok!

Kedengaran pintu pejabatnya diketuk oleh seseorang.

“Masuk.” Arahnya ringkas.

Tombol pintu dipulas dan kelihatan seorang lelaki dalam usia pertengahan 20an yang lengkap berpakaian seragam biru tua masuk ke dalam.

“Assalamualaikum, tuan.” Sapanya sambil memberi tabik hormat.

Ezry membalas tabik yang diberikan oleh anggota polis itu.

“Waalaikumussalam, kopral. Ada apa berjumpa saya ni?” Tanya Ezry yang nampak kehairanan.

Anggota polis yang berpangkat kopral itu tersengih.

“Errr, tak adalah yang penting sangat tuan. Cuma saya nak sampaikan pesanan Tuan Hamidon saja yang menyuruh tuan ke pantri. Dia suruh tuan berehat dan isi perut dulu. Dia kata tuan masih belum makan lagi dari semalam, berehat pun tidak.” Jawab kopral itu panjang lebar.

Ezry tersenyum. Dia tahu, Tuan Hamidon dan juga staf-staf dalam seksyen mahupun jabatannya itu semuanya peramah serta mengambil berat antara sama lain. Inilah satu-satunya yang dia suka tentang jabatannya ini.

“Takpelah kopral. Tolong sampaikan kepada Tuan Hamidon yang saya akan ke pantri nanti. Saya nak rehat sekejap kat sini.” Jelas Ezry.

“Kalau begitu, baiklah tuan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum, tuan.” Ujarnya ringkas sambil memberi tabik hormat sekali lagi kepada Ezry, lalu meninggalkan pejabat Ezry.

Ezry memerhatikan kopral itu sehingga hilang dari pandangan matanya. Setelah itu dia berjalan menuju ke mejanya lalu menghenyakkan punggung ke atas kerusi pejabatnya. Kepalanya diampai malas di atas penyandar kerusi. Nyaman sungguh rasanya setelah hampir semalaman tak berehat. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam kocek seluarnya, lalu memasang sebuah lagu berbahasa Inggeris yang bertajuk ‘Passive’, nyanyian kumpulan A Perfect Circle. Setelah lagu itu dimainkan, telefon bimbit itu pun diletakkan di atas mejanya. Matanya sempat merenung gambar yang juga terletak di atas meja itu, tidak jauh dari tempat di mana telefon bimbitnya diletakkan. Gambar sewaktu dia menamatkan kursus asas kadet penolong penguasa polis Pasukan Polis DiRaja Brunei dua tahun yang lalu. Kini dia sudah pun secara rasminya berpangkat penolong penguasa polis atau singkatannya ‘ASP’, yang merupakan singkatan dari perkataan berbahasa Inggeris, Assistant Superintendent of Police.

Entah, berapa lama dia berkeadaan sebegitu sehinggalah dia tersedar dan mendapati dirinya sudah pun berada di dalam bilik tidur di rumahnya. Eh? Sejak bila pula dia pulang ke rumah? Bukankah dia berada di pejabat tadi? Sekejap pula dia sampai ke rumahnya sedangkan rumahnya terletak di Kampong Labi dan pejabatnya pula di Gadong. Dia merenung komputer ribanya yang masih terpasang di atas meja tulisnya. Nampaknya dia tertidur atas mejanya ketika dia sedang menyiapkan kerja. Dia tak rasa ingin menyambung untuk menyiapkan tugasannya saat itu lalu dia logout dan menutup komputer riba tersebut. Setelah dia mengemas mejanya, dia berdiri lalu beredar ke luar bilik, seterusnya keluar rumahnya. Apa yang dilihatnya saat ini membuatkannya terpaku dan kehilangan kata-kata. Seingatnya, depan rumahnya tiada sungai. Dari mana pula datangnya sungai ni? Ada orang yang menggali dan cuba menjadikannya sebagai sebatang sungai kah? Mengarutlah pula rasanya. Walaubagaimanapun, dia tetap menggagahkan dirinya untuk melangkah turun dan melihat sungai itu dengan lebih dekat walaupun dalam hatinya terdetik sejuta pertanyaan.

Dia melangkah perlahan dan berhati-hati ketika menghampiri sungai tersebut. Di kiri kanan jalan menuju ke sungai itu begitu semak dengan rimbunan lalang yang menjulang tinggi. Air sungai itu kelihatan hitam pekat, tak seperti air sungai yang kebiasaannya. Tenangnya juga agak luarbiasa. Tersangat tenang, seolah-olah air sungai tersebut langsung tak mengalir. Ketika dia berada hanya beberapa meter saja lagi dari sungai tersebut, telinganya menangkap satu bunyi yang datangnya tidak jauh dari semak di sebelah kanannya. Bunyinya seperti binatang yang merayap sedang menuju ke arahnya. Ezry berundur beberapa tapak perlahan-lahan. Dia mengambil langkah berwaspada dan bersiap-sedia jika terjadinya sebarang perkara yang tidak diingini. Bunyi itu bergerak semakin laju sebaik saja semakin menghampirinya. Ezry meraba kocek seluarnya jika ada benda yang boleh dijadikan senjatanya ketika itu. Malangnya hanya gugusan kunci saja yang tinggal dalam kocek seluarnya. Perasaan cemas sedikit sebanyak bertandang di dadanya walaupun dia telah dilatih untuk bertenang dalam menghadapi situasi getir sebelum ini.

Tidak semena-mena, ada sesuatu yang menerjah keluar dari arah semak yang datangnya bunyi tadi. Allah…buaya rupanya! Ini bukan lagi sekadar anak buaya atau mak buaya, tapi bapak buaya! Sempat juga Ezry mengagak kepanjangan buaya tersebut. Mungkin dalam enam ke tujuh meter lebih. Memang buaya tersebut begitu besar, dengan kulitnya yang kehitaman, seakan warna air sungai itu. Sebaik saja buaya itu menjengahkan dirinya sepenuhnya, ia terus mengejar Ezry tanpa berlengah walau sesaat pun. Ezry berpatah balik seterusnya membuka langkah seribu. Cepat juga pergerakan buaya tu. Terasa lain daripada buaya yang lain, walaupun dia telah mencuba membuat pergerakan zig-zag seperti yang telah diajar.

Sebaik menghampiri kawasan rumahnya, dia terlanggar sangkar kucingnya yang diletakkan tidak jauh dari tempat letak kereta. Pintu sangkar itu terbuka lalu kucing itu terlepas dari sangkar dan cuba melarikan diri. Baru saja Ezry hendak mengejar dan menangkapnya untuk dimasukkan semula ke dalam sangkar, buaya yang mengejarnya tadi terlebih dulu membaham kucing tersebut, lalu dijadikan santapannya. Ezry yang menyaksikan kejadian itu tiba-tiba merasa marah. Hatinya terasa meruap, lebih-lebih lagi kucing itu adalah satu-satunya kucing kesayangannya. Kerana membawa rasa marah yang muncul tiba-tiba dalam dirinya, dia bertekad mahu membunuh buaya itu. Kebetulan sebilah besi yang tajam diletakkan tidak jauh dari tempatnya berdiri. Dia lantas mencapainya lalu melangkah berani menuju ke arah buaya tersebut, yang masih rakus meratah mangsanya. Ketika berada dalam jarak lebih kurang lima meter dari buaya tersebut, Ezry melemparkan besi tajam yang dibawanya ke arah buaya itu. Lemparan Ezry tepat mengenai kawasan organ penting reptilia itu. Buaya itu menggelupur lalu lari menuju ke arah semak, dimana ia keluar mula-mula tadi. Ezry masih merasa tak puas hati lalu mengejar buaya tersebut. Entah, dari mana datangnya kekuatan dan keberaniannya itu. Mungkin juga disebabkan kucingnya mati, lalu dia semacam berdendam dengan buaya itu. Setelah sekian lama mengejar, buaya itu hilang tiba-tiba dari pandangan matanya dan tak semena-mena, dia berada di sebuah tempat yang lain.

Sekali lagi dia dikejutkan dengan pemandangan di depan matanya. Barek? Dia seperti mengenali barek itu. Ah. Barek pasukan kadet tentera? Bagaimana dia boleh berada di sini??? Dia bingung untuk ke sekian kalinya. Namun dia tetap memberanikan dirinya untuk menjejakkan kaki ke kawasan barek itu. Dia bagaikan termasuk semula ke dalam nostalgia lamanya, semasa dia masih menyertai platun kadet tentera di sebuah institusi pengajian tinggi tempat dia melanjutkan pengajiannya dulu.

Dia melangkah dengan berhati-hati ketika menuju ke kawasan barek tersebut, ditakuti ada perangkap lain lagi yang sedang menunggu. Apabila dia berada berdekatan dengan kawasan barek berkenaan, dia mendapati bangunan-bangunan tersebut berpenghuni. Dia memberanikan diri untuk menaiki salah sebuah blok yang berada di kirinya. Dia mendaki setapak demi setapak tangga yang berada di tengah blok tersebut sehinggalah dia berada di tingkat atas sekali, iaitu di tingkat dua, lalu dia membelok ke kiri. Suasananya sama seperti ketika dia berada dalam kadet tentera dulu. Cuma dia tak kenal ahli-ahli kadet yang mendiami blok itu ketika ini. Mungkin saja ahli-ahli baru. Dan mungkin juga ketika ini mereka sedang menjalani kursus kadet memandangkan mereka berada di barek itu. Kalau tak ada apa-apa acara atau hanya setakat menjalani latihan mingguan, takkan pula mereka tinggal di sana. Semasa dia berjalan di beranda tingkat kedua blok itu, dia dapat rasakan kesemua penghuni yang ada di sana memandangnya kehairanan. Kedengaran juga bisik-bisik di antara mereka yang bertanya antara satu sama lain tentang dirinya, tapi dia tak mengendahkan bisikan-bisikan itu. Langkahnya terhenti ketika berada dipertengahan beranda bahagian kiri blok itu, apabila dia terdengar bunyi kecoh di blok sebelah, yang berhadapan dengan blok di mana dia berada ketika ini. Semua ahli kadet yang sedang bersantai-santai di luar bilik masing-masing, meluru menuju ke pagar beranda.

Sungguh aneh. Setahu Ezry, barek ini bukannya terletak di kawasan hutan belantara. Yang ada cumalah hutan biasa. Entahlah. Dia tak rasa pun kawasan di sekeliling barek itu diiktiraf hutan melainkan hanyalah kawasan perkebunan orang-orang di kampung sana, atau mungkin juga tanah yang direserve oleh pihak Jabatan Pertanian. Lalu, bagaimana pula singa boleh lepas ke sini? Eh, nanti dulu; kat Brunei ni ada singa kah? Rasanya dia bukan lagi setakat menjadi bingung, tapi dah naik tahap bengang dengan apa yang dilihatnya hari ini. Mula-mula buaya, kini singa pula. Lepas ni, apa pula yang akan muncul? Tiba-tiba kedengaran suara seseorang menjerit dari tingkat dua di blok sebelah.

“Hei, korang semua kat sana! Cepat, tutup pintu pagar tingkat korang tu! Nanti melepas binatang tu kat tingkat korang!”, jeritnya mengingatkan Ezry dan yang lain.

Di bawah, kelihatan singa tersebut sudah pun menuju ke blok mereka setelah gagal memasuki blok sebelah disebabkan pintu pagar kesemua tingkat sudah ditutup dan dikunci dengan pantas. Ezry yang cemas melihat situasi itu terus meluru ke bahagian tengah blok berkenaan dan bercadang hendak menutup pintu pagar di bahagian kiri blok, tetapi malangnya dia tak sempat menutupnya. Singa itu sudah pun berjaya membolosi kawasan mereka. Semua yang ada di situ bertempiaran lari ke kawasan tengah di bahagian kiri blok tersebut dan masing-masing berebut hendak masuk ke bilik masing-masing untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa singa itu. Ezry juga turut berlari melarikan diri sehingga ke penghujung blok berkenaan. Sangkanya di hujung blok tersebut ada tangga, atau sekurang-kurangnya sebuah pintu yang akan menghubungkannya ke dalam sebuah bilik di tingkat itu. Rupa-rupanya meleset sama sekali. Jantungnya berdegup kencang, bagaikan baru saja lepas membuat basic fitness test atau ringkasannya BFT. Peluhnya semakin lebat bercucuran. Nafasnya terasa tak teratur. Nampaknya dia terpaksa mencari akal untuk meloloskan diri dari sini. Kalau dia tak dapat jalan keluar, alamatlah dia akan menjadi mangsa singa tersebut, sepertimana kucingnya diratah oleh buaya tadi.

Nasibnya sungguh malang. Belum sempat dia mencari jalan keluar, singa tersebut sudah pun berada di penjuru hujung beranda dimana dia berada sekarang. Ezry menelan liur. Matilah dia kali ini. Singa itu diam tak berkutik untuk beberapa saat sebelum bergerak semula. Langkahnya perlahan mengarah kepada Ezry. Ezry terundur melihatkan singa itu bergerak menuju ke arahnya. Dalam rasa gerun itu, dia tetap memikirkan rancangan untuk mencari jalan keluar. Dalam tak sedar, tubuhnya tersandar ke dinding. Dia sudah berada di penghujung sekali di blok itu. Arrggghhhhhh! Ini tak boleh jadi ni!

Tiba-tiba satu keajaiban berlaku di depan matanya. Dalam beberapa langkah kemudian, singa tersebut tiba-tiba bertukar menjadi seorang manusia. Seorang lelaki yang lebih tepatnya. Dia terkesima melihatkan keajaiban yang berlaku itu. Dia tak jadi merancang untuk melarikan diri. Dia mahu melihat sendiri siapa lelaki yang berada di depannya saat ini. Lelaki asing itu berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Setelah berada dalam jarak lebih kurang dua meter saja lagi dari Ezry, dia menghentikan langkahnya. Ezry terlopong melihat lelaki itu. Amin? Aminuddin? Seniornya di dalam platun kadet tentera dulu? Seingatnya dia tak pernah langsung mengenang seniornya seorang ni. Dia sendiri tak rapat dengan Amin memandangkan Amin adalah seorang manusia yang agak pendiam dan lebih suka menyendiri, kecuali dengan rakan-rakan rapatnya. Dia tak sombong, cuma memang begitulah sikap semulajadinya.

Setelah dia berhenti buat seketika, dia memberikan sebuah senyuman kepada Ezry tanpa berkata sepatah perkataan pun, lalu dia berpaling dan berjalan menuju ke tengah blok semula. Ezry yang masih merasa tak puas hati, terus mengejar langkah Amin yang sekarang bergerak agak pantas dari sebelumnya. Ingin rasanya dia bertanya khabar seniornya itu, setelah lama menghilang tanpa khabar berita sebaik saja dia menamatkan pengajiannya dulu. Kali terakhir Ezry mendengar perkhabarannya, dia gagal dalam ujian peringkat terakhir dalam proses pemilihan pegawai kadet Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei, iaitu ujian Armed Forces Commissioning Board yang melibatkan ujian-ujian teoritikal seperti command task, leaderless exercise, pembentangan serta temuduga.

Setelah Ezry berada di pertengahan blok itu, kelibat Amin sudah tiada. Langkah Ezry terhenti lalu matanya ligat mencari keberadaan Amin di sekitar tingkat kedua itu. Bagaimana dia boleh lesap dalam sekelip mata? Ezry merasa sangat hairan. Baru sekejap tadi dia melihat Amin masih berada di depannya. Sebaik saja dia membelok ke kiri sedikit di pertengahan blok itu untuk menuju ke tangga, tiba-tiba saja dia sudah tiada. Tak mungkin dia turun sebegitu pantas. Kalau pun langkahnya cepat, sekurang-kurangnya kelibatnya masih kelihatan ketika Ezry berada berdekatan tangga tersebut. Ezry melangkah menuruni anak tangga sehingga berada di tingkat bawah sekali.

Dia terpana lagi kali ini. Apa pula lagi lepas ni?? Mula-mula dia datang, suasananya berbeza dengan apa yang dia saksikan sekarang ni. Tiba-tiba di depannya terbentang luas laut biru. Ni, bagaimana dia boleh berada di kawasan pantai ni?? Spontan dia menoleh ke belakangnya untuk memastikan yang barek itu masih ada disana. Ya. Masih ada. Cuma mana menghilangnya blok yang satu lagi? Yang tadi terletak berhadapan dengan blok di belakangnya ni? Berputar rasanya otak Ezry memikirkan semua ini. Walaubagaimanapun, Ezry tetap membuka langkahnya menuju ke persisiran pantai di depannya.

Sebaik saja dia berada di persisiran pantai, kelihatan seperti para pengunjung sedang bersuka-ria dan berlibur. Ada yang mandi-manda di laut dan ada pula yang sekadar duduk dan berhidang makanan di kawasan pantai itu. Ada yang datang bersama rakan-rakan dan ada pula yang membawa keluarga. Kelihatan juga beberapa orang kanak-kanak sedang berkejaran. Tawa riang mereka jelas kedengaran di telinga Ezry. Melihatkan pemandangan di depannya, dia tiba-tiba menjadi rindu akan zaman kecilnya. Dia dibesarkan di kawasan perkhemahan tentera laut di Kem Muara, memandangkan ayahnya adalah seorang anggota tentera laut suatu ketika dulu. Barek keluarga Ezry dulu terletak betul-betul hampir kawasan pantai, iaitu di jalan masuk ke Pantai Muara. Mengenangkan kisah silamnya, dia menjadi pilu. Ibunya meninggal semasa bertugas dan ketika itu dia masih kecil lagi. Arwah ibunya adalah seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Muara. Ketika dia masih kecil, arwah ibunya sering membawa dia dan adiknya ke pantai jika arwah ibunya tak bertugas ataupun waktu bertugasnya telah selesai. Boleh dikatakan hampir tiap hari mereka ke pantai waktu itu. Tetapi setelah ibu mereka meninggal dunia, mereka sudah jarang turun ke pantai lagi walaupun kedudukan barek dan pantai itu tak jauh. Ayah mereka memang tak berapa gemar membawa mereka turun ke pantai. Sejak itu Ezry sudah kurang menghabiskan masanya di pantai, tambahan pula sekarang ini dia sibuk dengan tugasnya. Hanya saat ini baru dia menjejakkan kakinya semula ke pantai, seterusnya mengundang sebuah kerinduan yang sekian lama terpuruk jauh didalam hati kecilnya. Rindu akan belaian seorang ibu.

Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti tembakan dilepaskan. Lamunan Ezry terus mati dek bunyi itu. Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi jeritan para pengunjung pantai. Suasana bertukar menjadi huru-hara apabila pengunjung bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri. Bunyi tembakan kedengaran lagi. M-16! Ezry kenal bunyi senapang yang ditembakkan itu. Lantas Ezry mencari siapa dalangnya yang melepaskan tembakan itu. Jelas di mata Ezry, ada beberapa orang pengunjung yang sudah pun bergelimpangan di atas pantai dan berlumuran darah. Ada di antaranya yang masih bernyawa dan lainnya ada yang sudah terbujur kaku. Melihatkan situasi yang mencemaskan itu, Ezry nekad untuk mencari kedudukan si penembak di sebalik celahan manusia-manusia yang sedang berlarian. Bunyi tembakan masih terus kedengaran, mensasarkan kepada jiwa-jiwa yang tak berdosa. Setelah beberapa lama mengesan kedudukan si penembak, akhirnya Ezry berjaya menemukannya. Ezry berlari mengikut arus sekumpulan besar manusia-manusia yang menyelamatkan diri.

Setelah berada dalam kedudukan beberapa meter dari si penembak, dia terus menggolekkan diri lalu menendang perut si penembak, yang sedang menggila dengan tembakannya. Si penembak itu terundur lalu jatuh terlentang. Senapangnya terlepas dari tangannya dan terpelanting agak jauh dari kedudukannya. Di kesempatan itu, Ezry cuba untuk mendapatkan senapang itu tetapi kakinya berjaya di ditarik oleh si penembak tadi, lalu tersungkur. Maka bermulalah pergelutan antara Ezry dan si penembak. Ezry melepaskan sebuah tumbukan padu ke wajah si penembak sehingga dia mengerang kesakitan. Ezry bingkas bangun dan memberikan sebuah tendangan pula ke pipi kanan si penembak sehingga wajahnya terpaling ke kiri. Jelas kelihatan darah mula mengalir di bibirnya. Ezry membongkok dan cuba hendak mencekik leher si penembak tetapi lengannya berjaya ditahan dan digenggam kuat oleh si penembak tadi, lalu menolaknya kuat sehingga Ezry tersungkur semula. Si penembak tadi bingkas bangun sambil tangan kanannya menyeluk kocek seluarnya. Dalam masa yang sama, Ezry juga bangun semula lalu meluru ke arah si penembak itu. Belum sempat dia memberikan serangan seterusnya kepada si penembak, tiba-tiba bahagian atas perutnya terasa hangat dan sakit. Pergerakannya terhenti secara automatik. Seperti ada cecair hangat yang keluar dari bahagian itu. Ezry menundukkan kepalanya perlahan. Cecair hangat berwarna merah sudah pun membasahi bahagian bawah bajunya ketika ini. Sebilah pisau komando tertusuk di bahagian atas perutnya. Tahulah dia, yang cecair merah itu sebenarnya adalah darahnya. Dia telah ditikam oleh si penembak tersebut. Dia kembali mengangkat wajahnya perlahan dan memandang wajah si penembak. Sayangnya dia tak mampu mengenali wajah sebenar si penembak itu memandangkan wajahnya diselindungi oleh penutup wajah. Peluh dingin mulai membasahi tubuh Ezry. Tubuhnya menggeletar dan pandangannya mulai kabur. Dunia terasa berputar saat ini, lalu dia rebah tak sedarkan diri.

Tak lama kemudian…

“Ezry! Bangun! Hei, bangunlah bongok!”

Kedengaran suara seseorang memanggil namanya dan tubuhnya terasa digoncang kuat. Dia membuka matanya perlahan. Terkebil-kebil dia sebentar setelah dia sedar sepenuhnya. Eh? Dia masih berada di pejabatnya? Dia merenung lelaki yang kini berada di depannya. Rakan sepasukannya, Erwan, sedang duduk berpeluk tubuh di atas salah sebuah kerusi yang diletakkan di depan mejanya.

“Ni mesti kes tak baca ayat kursi kan sebelum kau tidur? Tidur kat kerusi begini pun kau boleh mengigau. Fuh! Nasib baik aku terjah masuk office kau ni.” Bebel Erwan dengan mulutnya yang becok.

Ezry tak menjawab bebelan rakannya itu. Dia memang sudah masak dengan sikap rakannya yang seorang ni dan dia tak pernah sekalipun ambil hati dengan Erwan, walaupun kadangkala kata-katanya agak kasar. Dia hanya tersenyum mendengarkannya. Entah, kenapa dia terasa kepalanya pening dan teramat letih ketika itu. Mimpi-mimpinya itu terasa bagaikan sebuah kenyataan. Bahagian atas perutnya juga terasa sakit, seolah-olah tusukan pisau itu betul-betul terjadi. Kerana itulah juga dia mulutnya terasa berat untuk berkata-kata. Dia merasa tak bermaya. Tak sangka pula, dia bukannya setakat bermimpi biasa saja tetapi juga mengigau. Kalau tak, masakan Erwan ada menyebut dia mengigau tadi.

“Kau ni okey ke tak, Ez? Selalu kau sahut cakap aku. Ni kau diam saja. Muka kau pun pucat semacam. Kau sihat ke ni?” Tanya Erwan bertubi-tubi. Riak wajahnya kelihatan cemas tiba-tiba.

Ezry mengangguk lemah. Berbohong kepada Erwan. Dia tak rasa okey sebenarnya. Dia cuba menggagahkan dirinya untuk berdiri, tetapi tiba-tiba dia tertunduk. Kedua belah tangannya bertumpu kuat di atas mejanya. Dahinya berkerut menahan rasa pening, juga kesakitan yang dirasakannya pada bahagian atas perutnya itu. Berdenyut rasanya. Dan berbisa. Erwan yang melihatkan situasi itu terus mendapatkan Ezry yang sedang menahan kesakitan.

“Kau ni tak sihat ni, Ez!” Ujar Erwan cemas.

Erwan lantas mencapai gagang telefon pejabat Ezry lalu mendail nombor talian control room operator seksyen waktu ini untuk meminta bantuan dari anggota-anggota yang bertugas. Setelah Erwan selesai menghubungi, dia cuba memapah Ezry dan membawanya ke sebuah kerusi sofa yang terletak berhampiran dengan pintu masuk pejabat Ezry. Dia meminta Ezry untuk berbaring di atas sofa itu. Ezry kedengaran mengerang kesakitan. Erwan pelik. Seingatnya semasa dia bertugas bersama Ezry dari malam semalam hingga ke awal pagi ni, Ezry nampak sihat saja. Tak ada pun tanda-tanda yang menunjukkan dia kurang sihat. Dia kelihatan cergas dan bertenaga saja sebelum ini. Dikatakan dia jatuh sakit disebabkan kerja lebih masa, rasanya sudah banyak kali Ezry menghadapi situasi begini, tapi tak pernah pun dia jatuh sakit. Paling-paling pun, cuma demam biasa saja. Tapi kali ini…dari raut wajahnya, seperti bukan demam biasa. Apa yang telah dia lakukan sebelum ni sehingga dia jadi begini? Apa yang telah terjadi?

Tidak lama kemudian, kedengaran pintu pejabat dibuka. Tuan Hamidon berserta beberapa orang anggota lain masuk ke dalam pejabat Ezry untuk melihat apa yang berlaku. Erwan berdiri tegak lalu memberi salam kepada Tuan Hamidon. Tuan Hamidon membalas salamnya kembali lalu mengalihkan pandangannya kepada Ezry yang sedang terlentang diatas sofa sambil mata terpejam. Peluhnya bercucuran walaupun ketika itu suhu penghawa dingin di pejabatnya di tahap rendah. Tuan Hamidon melirik ke bahagian bawah bajunya. Dia terkejut melihat apa yang disaksikannya. Darah! Ada darah mengalir di bahagian perut Ezry! Apabila Tuan Hamidon menekankan apa yang dilihatnya itu, Erwan pantas menoleh ke tempat yang dinyatakan. Ha? Bagaimana boleh perut Ezry berdarah? Dan bagaimana dia boleh tak sedar akan darah itu tadi?? Kecut hatinya bila mengenangkan hanya dia seorang yang bersama dengan Ezry tadi. Tak pasal nanti dia yang dituduh cuba membunuh Ezry!

Erwan menghampiri Ezry lalu menanggalkan butang baju Ezry satu persatu sehingga ke bahagian perutnya. Sekali lagi mereka dikejutkan dengan sesuatu yang tak diduga. Bahagian atas perut Ezry terdapat kesan tikaman. Tuan Hamidon memalingkan wajahnya memandang Erwan. Tiba-tiba timbul rasa curiganya akan pegawai muda seorang ini.

“Apa yang kamu buat disini tadi? Apa yang sudah kamu lakukan padanya?” Soal Tuan Hamidon kepada Erwan.

Erwan turut memalingkan wajahnya memandang Tuan Hamidon. Seperti yang dijangkakannya. Kesemua mata tertumpu padanya saat ini. Erwan menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum membuka mulut untuk menjawab soalan Tuan Hamidon itu. Belum sempat pun Erwan menjawab, Ezry terlebih dulu memintasnya dalam keadaan tergagap-gagap.

“Di…dia…tak…bu…buat…apa-apa…tuan…” Jelas Ezry kepayahan.

“Di…dia…tak…ber…salah…” Sambung Ezry lagi.

Tak lama selepas itu, Ezry tak sedarkan diri. Suasana dalam pejabat Ezry menjadi kecoh. Tuan Hamidon menyuruh salah seorang anggota yang berada disana untuk menghubungi medik pasukan dengan segera. Sementara menunggu kedatangan medik, mereka cuba merawat luka Ezry setakat yang mereka mampu. Setelah medik tiba, Ezry dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans medik pasukan polis. Dia terus dimasukkan ke bahagian kecemasan hospital untuk diberikan rawatan segera. Ezry ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi atau ICU selama lebih kurang dua minggu sebelum dipindahkan ke wad kelas pertama. Selama dua minggu itu dia langsung tak sedarkan diri.

Selepas dia berpindah ke wad kelas pertama, dia sudah mulai boleh bergerak sedikit demi sedikit. Semasa dia baru sedar, keadaannya masih terlalu lemah. Tetapi sekarang dia dapat merasakan tenaganya perlahan-lahan sudah mulai kembali seperti sediakala. Luka di bahagian atas perutnya pun sudah mulai sembuh. Cuma sehingga kini dia masih tertanya-tanya, bagaimana dia boleh mendapat luka itu? Sedangkan sebelum itu dia hanya bermimpi? Sesak fikirannya bila mengenangkan persoalan yang tak ada jawapan itu. Dia mencabut wayar perubatan ditangannya seketika dan cuba bangkit dari katilnya lalu berjalan perlahan menuju ke sebuah cermin besar di bilik wad itu. Dia melepaskan butang-butang bajunya sehingga menampakkan tubuhnya yang sasa. Matanya tertancap pada bahagian atas perutnya. Parutnya masih kelihatan dan denyutannya masih terasa walaupun sudah tak sakit lagi. Pelik. Sungguh pelik. Bermimpikah dia waktu itu? Atau ianya benar-benar terjadi?

Lima minggu sudah berlalu. Kini dia sudah pun memulakan tugasnya kembali. Kalau diikutkan sebenarnya, Tuan Hamidon mahu memberinya cuti selama seminggu lagi, tetapi dia sendiri yang menolak cadangan pengarah jabatannya itu. Alasannya, dia cukup bosan jika berehat di rumah terlalu lama. Puas Tuan Hamidon memaksa dan memujuknya supaya menerima cadangan tersebut, tetapi tetap ditolak oleh Ezry. Akhirnya Tuan Hamidon terpaksa akur dengan keputusan Ezry itu. Ezry memang seorang pegawai yang agak keras kepala. Tetapi tugasan-tugasan yang dilakukannya tak pernah tak sempurna.

Ezry melangkah keluar dari perut keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta khas. Hari ini dia ditugaskan untuk menyoal-siasat salah seorang mangsa rompakan yang telah pun sedar dari komanya seminggu lebih yang lalu di hospital Pusat Perubatan Jerudong Park bagi membantu siasatan dan mendapatkan bukti kejadian. Pihak polis menunggu keadaannya stabil dulu, barulah soal-siasat dijalankan dan hari ini keadaan mangsa sudah pun agak stabil. Ezry sempat melihat cermin sisi keretanya untuk mengemaskan rambutnya sebelum dia melangkah masuk ke dalam hospital. Dia tak mengenakan pakaian seragam hari itu. Ketika dia membelek-belek wajahnya di cermin sisi kereta, kelihatan beberapa orang remaja perempuan yang melintas berdekatan, menoleh ke arahnya. Masing-masing menghadiahkannya senyuman yang cukup manis, siap control ayu lagi semasa melintas dekatnya.

Setelah sekumpulan remaja itu berlalu agak jauh…

“Alaaa. Orang handsome lah katakan. Wajah dah nak macam Keanu Reeves, patut laa budak-budak pompuan tu tergoda semacam, oiii.”

Ezry pantas menoleh ke arah yang empunya suara tersebut. Dia sudah dapat mengagak. Rakannya yang bermulut becok. Tak lain dan tak bukan. Erwan.

“Kau buat apa kat sini?” Soal Ezry ringkas.

“Bertugas macam kau jugaklah, Mr. Keanu Reeves.” Jawabnya sambil menyakat Ezry.

Ezry cuba menumbuk lengannya, geram bila digelar ‘Mr. Keanu Reeves’. Tetapi Erwan sempat mengelak dari terkena tumbukan rakannya itu. Fuh! Selamat. Tangan mamat seorang ni tangan besi. Sakit bila terkena tumbukannya, wo! Ezry ketawa kecil melihat kelakuan rakannya itu.

“Kau bertugas apa sebenarnya? Soal-siasat juga?.” Tanya Ezry lagi.

“Ye la, bro. Macam kau jugak. Takkan aku nak kerja bedah orang pula. Ada dua orang mangsa yang ditempatkan disini, bro. So, kita berdualah yang kena assign untuk menyoal-siasat mereka ni.” Balas Erwan, menjelaskan tugasan yang akan dilakukannya disana.

Ezry tersenyum nipis mendengar jawapan rakannya itu.

“Okeylah, bro. Jom masuk. Aku nak mulakan tugasan aku awal ni.” Ajak Ezry sambil menepuk bahu Erwan.

“Kau masuklah dulu, bro. Aku nak smoke break sekejap.” Erwan menolak pelawaan Ezry untuk masuk bersama-sama kerana hendak merokok terlebih dulu.

Erwan memang seorang perokok yang ‘tegar’. Inilah satu-satunya kebiasaannya yang Ezry tak berkenan. Puas Ezry menasihati dia untuk berhenti merokok tapi nasihat itu hanya masuk ke telinga kanannya tapi keluar pula di telinga kiri. Ezry melepaskan keluhan lalu menggelengkan kepalanya perlahan. Belum kena lagi, budak ni! Gerutu Ezry di dalam hati. Tanpa membuang masa, Ezry berpaling dan berjalan menuju ke dalam hospital.

Sewaktu berada di ruang kaunter pertanyaan, Ezry disambut oleh seorang anggota polis dari jabatan siasatan jenayah cawangan Balai Polis Bandar. Anggota itu membawanya ke wad di mana mangsa yang akan disoal-siasatnya nanti ditempatkan. Semasa dia melewati sebuah lorong di hospital itu, tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang yang dikenalinya sedang berdiri tersandar berdekatan dengan pintu masuk menuju ke sebuah wad yang lain. Orang itu asyik dengan telefon bimbitnya sehingga tak menyedari keadaan sekelilingnya.

‘Amin!’ Detik hati Ezry.

Ya. Itu seniornya yang pernah hadir di dalam mimpi peliknya sebelum dia jatuh koma sebulan yang lalu. Dia terasa hendak menyapa Amin tetapi dia membatalkan hasratnya itu. Dia takut tugasnya terbengkalai jika terleka nanti, lalu dia meneruskan perjalanannya sehinggalah sampai ke wad mangsa rompakan itu. Pintu wad diketuk lalu dibuka perlahan oleh anggota polis yang mengiringi Ezry tadi. Tiada sesiapa di dalam, kecuali mangsa seorang. Mangsa sudah pun bangun dan kini dia duduk bersandar di kepala katil. Dia menoleh kepada mereka berdua. Ezry melangkah masuk ke dalam wad, manakala anggota polis tadi hanya menunggu di luar. Pintu wad ditutup semula. Dalam wad itu, hanya mangsa seorang saja yang ditempatkan disana. Ezry menarik sedikit kerusi yang terletak berhampiran dengan katil mangsa, lalu melabuhkan punggungnya. Dia mengeluarkan buku catitan dan sebatang pen dari dalam kocek jaketnya. Dia memerhatikan sejenak keadaan fizikal mangsa sebelum memulakan sesi soal-siasat.

Mangsa seorang remaja lelaki dalam lingkungan umur tiga belas tahun. Seorang yang pendiam dan amat sukar berbicara dengannya. Wajahnya, terutama sekali matanya nampak kosong seperti tiada perasaan langsung. Kebanyakan soalan yang disoal Ezry hanya dibalas dengan anggukan atau gelengan. Kadangkala saja dia akan bercakap. Itupun hanya beberapa patah perkataan. Sesi soal-siasat itu memakan masa sejam lebih. Soalan terakhir, atau sebenarnya lebih kepada sebuah permintaan yang Ezry kemukakan adalah dia meminta mangsa untuk melakarkan wajah perompak yang sempat dicam oleh mangsa sebelum dia dibelasah teruk oleh mereka, memandangkan mangsa seorang yang punya bakat dalam lukisan. Mangsa tidak teragak-agak untuk melakarnya sebaik saja Ezry menyerahkan sekeping kertas putih kosong dan sebatang pensil yang disimpannya dalam kocek jaketnya. Ezry memerhatikan dengan tekun lakaran yang cuba dilakar oleh mangsa. Setelah lakaran itu siap, mangsa membalikkan kertas tersebut dan melakarkan satu lagi lakaran diatasnya. ‘Oh, dua rupanya,’ detik hati Ezry. Sebaik saja lakaran kedua itu selesai, mangsa menyerahkan kertas yang mempunyai dua lakaran perompak itu kepada Ezry. Ezry menyambutnya perlahan. Ezry seperti tak percaya sebaik saja melihat lakaran-lakaran yang dilakar oleh oleh si mangsa. Dia melihat kertas dan mangsa silih berganti dengan kerutan di dahinya. Betulkah apa yang dilakar oleh si mangsa ini? Dia tak menipu? Tapi masakan dia nak menipu pula? Dari riak wajah dan caranya dapat Ezry kesan, si mangsa yang muda itu tak berbohong. Dia akan tahu dan dapat dikesan jika seseorang itu tak berlaku jujur. Ezry naik cemas. Dia teringat tiba-tiba akan seorang lagi mangsa rompakan di wad yang berasingan.

Lakaran-lakaran ditangannya itu, sememangnya dikenalinya. Lakaran yang pertama pernah muncul di dalam mimpinya. Yang menikamnya sehingga sakitnya terbawa ke alam realiti. Dan seorang lagi…yang seorang itu amat tidak diduganya. Dia bijak menyembunyikan identitinya yang sebenar dan seterusnya memanipulasi pandangan orang lain, termasuk dirinya. Orang itu sekarang berada di wad yang lain, bersama seorang lagi mangsa rompakan. Erwan! Ya, dialah manusianya!

Ezry memanggil anggota polis yang mengiringnya sehingga ke wad ini, yang pada saat ini berada di luar wad.

“Konstabel! Masuk ke dalam sekejap!” Panggilnya.

Sunyi. Tak ada sahutan kedengaran dari luar. Tiada sebarang tindakan juga kelihatan. Ke mana perginya polis seorang ni?

“Kons…”

Belum sempat dia menyudahkan panggilannya lagi, tangannya dipegang oleh si mangsa. Ezry spontan menoleh ke arahnya. Si mangsa yang masih memegang tangan Ezry, menggelengkan kepalanya perlahan.

“Dia dah tak ada…tapi ada orang jahat kat luar.” Terang si mangsa perlahan.

Sebaik mendengarkan kata-kata si mangsa itu, Ezry terkesima. Wajahnya dipalingkan semula memandang pintu. Jantungnya terasa berdegup kencang. Tiba-tiba…

“Arggghhhhhh!!!”

Ezry menjerit kesakitan lalu terduduk dalam keadaan melutut. Dia memegang tangan kanannya yang terasa sakit tak terperi. Terasa seperti ada bisa yang sedang menjalar di dalam urat dan nadinya. Apa yang mangsa telah lakukan ke atasnya? Dia sudah tak mampu bertahan lagi lalu terssungkur di atas lantai wad itu. Kepalanya terasa berpinar dan pandangannya mulai kabur.

“Kau memang naif, Ezry. Kau ingat kau dah pandai sangat menilai orang. Heh.” Kata-kata satu suara yang dikenalinya, tetapi sayup bunyinya.

Derap kasut kedengaran melangkah menghampirinya yang sudah kaku, tak mampu bergerak lagi. Hanya matanya saja yang masih terbuka dan melihat apa dan siapa yang berada di sisinya. Wajah Erwan kelihatan depan matanya saat ini. Tidak lama kemudian, si mangsa yang disoal-siasatnya, yang juga memegang erat tangannya tadi kini berdiri di sisi Erwan. Dia hanya memandang Ezry dari atas dengan pandangan matanya yang tajam dan kosong. Erwan tersenyum sinis melihat Ezry.

“Dia hidup dibawah tangan aku. Aku yang angkut dia semasa kau dengan orang-orang kau membunuh ibubapanya ketika operasi pasukan kau tu dulu.” Jelas Erwan. Dia melepaskan ketawa sinisnya perlahan.

Apa yang disampaikan oleh Erwan itu memang mengejutkan Ezry. Tetapi Ezry tak mampu berbuat apa-apa lagi ketika ini. Lalu, kenapa budak itu ditempatkan disini? Apa motif sebenarnya?

“Mangsa rompakan cuma ada seorang kat sini. Saja aku buat report kat si Hamidon tu yang ada seorang lagi mangsa ditempatkan di sini. Aku tahu dia kan hantar kau untuk menyoal-siasat salah seorang mangsa.” Sambung Erwan. “Dan sengaja aku buat dalam laporan yang dia ni salah seorang mangsa, supaya dia dapat balas perbuatan yang telah kau lakukan ke atas kedua orang tuanya.”

Allah…itukah rancangan sebenar Erwan? Ya, dia ingat yang dia dan pasukannya pernah membunuh sepasang suami isteri dalam sebuah operasi memburu penjenayah. Pasangan suami isteri itu merupakan pengedar dadah dan penyeludup senjata api. Mereka juga pernah terlibat dalam kegiatan samun sehingga menimbulkan huru-hara pada negara setahun yang lalu. Itu bukan salahnya, tapi salah pasangan suami isteri tu, yang juga ibubapa budak tu. Kenapa pula Erwan nak mempertahankan dia?

“Oh, sebelum aku terlupa. Kau mungkin tertanya kenapa aku sendiri terlibat dalam hal ini. Ibu budak ini, adalah kakak aku!”

Selepas Erwan meluahkan ayat-ayat itu, kakinya terus menendang tubuh Ezry bertubi-tubi sehingga tubuh Ezry menjadi longlai. Ezry semakin lemah. Darah hangat lebat mengalir dari bibirnya yang sudah cedera. Wajah dan lengannya sudah mulai lebam. Kesakitan dan keperitan menjalar di seluruh tubuhnya kini. Penglihatannya sudah semakin kabur.

“Sebelum aku mengundur diri…”

Erwan mengeluarkan sebilah pisau komando dari dalam kocek seluarnya lalu mencangkung di sisi Ezry. Dia memberikan senyuman yang teramat sinis lalu menikam belakang telapak tangan kiri Ezry yang terjulur berdekatan wajahnya.

“Arrrgggghhhhhhhhh!!!!!” Ezry menjerit kuat, menahan kesakitan.

“Hadiah untuk kau!” Erwan berkata dengan suara yang keras, lalu mencabut pisau komando itu dari telapak tangan Ezry dengan kasar. Sekali lagi jeritan lantang Ezry kedengaran.

Setelah Erwan puas dengan perbuatan gilanya, dia dan budak lelaki itu lari meninggalkan wad tersebut, seterusnya membiarkan Ezry yang sudah pun nyawa-nyawa ikan itu di situ. Detak jantung Ezry sudah semakin lemah. Nafasnya terasa tersekat di kerongkongan ketika ini. Akhirnya Ezry menutup mata dan diam tak berkutik. Jasadnya kaku di situ.

Ezry terasa tubuhnya digoncang oleh seseorang. Dia membuka matanya perlahan. Kelibat seorang lelaki menyapa tubir matanya, walaupun ketika itu penglihatannya masih kabur. Lelaki itu bangkit, lalu berpaling dan berjalan menuju ke arah sebuah bangku yang terletak tidak jauh dari hujung katil Ezry. Setelah itu dia duduk membelakangi Ezry dan seperti sibuk melakukan sesuatu. Siapa lelaki ni?

“Selagi nadimu masih berdenyut, kau tak layak berada di sini.” Ujarnya.

Ezry bangkit dari pembaringannya dengan penuh kepayahan, lalu duduk menyandar di kepala katil. Seluruh tubuhnya masih terasa sakit. Dia merenung lelaki yang berada di depannya itu.

“Apa maksudmu? Aku di mana sebenarnya ni?.” Soal Ezry yang merasa kurang senang dengan apa yang disaksikan dan didengarnya. Kepalanya masih berdenyut.

“Bukan di alammu.” Jawab lelaki itu ringkas.

“Lalu aku di mana sekarang ni?” Soal Ezry lagi.

Lelaki itu berhenti membuat kerjanya. Dia terdiam seketika sebelum berdiri perlahan-lahan lalu berpaling semula menghadap Ezry. Ezry terkejut bukan kepalang apabila melihat wajah lelaki itu. Aqif? Aqif kan sudah terlebih dulu dijemput Illahi? Bagaimana…..

“Seperti yang aku katakan tadi, ini bukan alammu. Belum sampai masanya kau menjejakkan kaki ke sini. Pulanglah kembali ke alammu.” Balas lelaki yang bernama Aqif itu kepada persoalan Ezry.

Ezry cuba untuk bangkit dari katil itu dan memaksa kakinya untuk berdiri, tetapi terjelepok kembali ke atas katil. Dia masih belum berdaya untuk berdiri. Dia melepaskan satu keluhan berat. Dia mengangkat kepalanya dan memandang Aqif.

“Bagaimana aku nak pulang, sedangkan aku tak tahu jalannya? Aku tak tahu di mana jalan pulang.” Jelas Ezry.

“Jalan pulang itu ada di dalam diri kau.” Terang Aqif ringkas.

Dalam diri? Ezry tak faham apa yang dimaksudkan Aqif itu. Jalan pulang ada di dalam diri?

Aqif melangkah perlahan menghampiri Ezry. Sesudah dia berada betul-betul di depan Ezry yang sedang duduk di tepi katil itu, dia menekan kuat dahi Ezry menggunakan jari telunjuk dan jari hantunya yang dirapatkan. Ezry seperti terkena renjatan elektrik. Tubuhnya terasa kejang tetapi mindanya bergerak. Ingin rasanya dia hendak meraung tetapi tersekat di halkum. Jasadnya seperti berada di awang-awangan saat ini. Tidak lama kemudian, dia suasana di sekelilingnya berubah menjadi gelap. Teramat gelap. Tidak ada satu cahaya pun yang menembusi tempat itu.

Ezry merasa sedikit cemas dengan keadaan itu. Dia berdiri perlahan dan melangkah dalam keadaan terhencut-hencut. Baru saja dia melangkah dalam beberapa tapak, dia terjelepok tiba-tiba. Ada benda yang cuba menyerangnya, tetapi dia tak nampak bagaimana rupanya. Degupan jantung Ezry terasa kencang. Dia menggagahkan diri untuk bangkit semula dan berjalan untuk mencari jalan keluar dari situ. Dia diserang sekali lagi, tetapi kali ini dia mampu bertahan dengan serangan dari benda asing itu. Benda itu terbang. Ezry tak dapat pastikan apakah dia benda berkenaan. Tapi dia merasakan benda itu bukannya betul-betul seekor burung, kerana dia terasa benda itu sebesar seorang manusia. Ezry bergerak lagi mencari arah untuk melepaskan diri. Dia mulai terasa lemas berada di dalam suasana gelap itu. Tambahan lagi dia diserang oleh satu benda yang tidak dikenalinya. Kali ini Ezry mempercepatkan lagi langkahnya walaupun terasa menyucuk di kakinya. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, dia mesti bertindak dengan secepat mungkin.

Sayup kedengaran bunyi kepak dikibarkan. Ezry cuba meraba dinding di depannya dengan harapan akan terjumpa sebuah pintu. Setelah gagal menemui sebarang pintu di kawasan berhampiran itu, dia cuba beranjak lagi ke sebelah kanannya. Dia tak putus asa. Sambil meraba dinding, kepalanya tetap tertoleh-toleh ke belakangnya. Bunyi kepak itu datangnya dari belakang. Dia tak tahu, berapa luas ruang dimana dia berada ketika ini. Sedang dia asyik menoleh ke belakang, tiba-tiba benda itu menyerangnya dari arah kiri sehingga dia tersungkur. Pipi kirinya terasa perit seperti dicakar. Dia bingkas bangun lalu menyambung semula pencariannya. Walauapapun yang terjadi, dia takkan putus usaha. Gerakannya semakin cepat. Dia sudah tak mengendahkan lagi segala kesakitan yang dialaminya waktu ini, mahupun bunyi kepak yang dikibar kencang itu. Semangatnya tiba-tiba menjulang tinggi dan keazamannya menjadi sekeras besi. Dia nekad mahu meninggalkan sesegera mungkin. Tak ada satu pun yang boleh menghalangnya. Itulah tekadnya. Setelah beberapa lama dia mencari, tiba-tiba tangannya tersentuh sesuatu yang agak berlainan dari dinding sebelum ini. Dia cuba merabanya untuk memastikan apakah itu dinding atau mungkin struktur lain. Ataupun, mungkin juga itu pintu yang dicari. Rona wajah Ezry tiba-tiba berubah. Bibirnya menguntum senyum. Pintu! Dia telah menemui sebuah pintu!

Belum sempat dia cuba membuka pintu itu, tiba-tiba dia diserang lagi oleh benda itu sehingga dia terjelepok buat ke sekian kalinya. Baru saja dia cuba hendak bangkit, benda itu menerjahnya kuat sehingga dia jatuh terlentang. Benda itu semakin menggila nampaknya sesudah Ezry berhasil dalam mencari kedudukan pintu itu. Ezry sudah penat dan bosan diserang saja. Dengan tak semena-mena, jiwa Ezry merusuh. Tiba-tiba saja dia hatinya menggelegak hebat, bagaikan air yang mendidih. Panas terasa. Dia bangun semula dan mula berjalan menuju ke pintu yang sudah dijumpainya itu. Benda itu datang kembali untuk menyerang belakang Ezry. Belum sempat ia menyerang Ezry, Ezry sudah pun berpaling dan melibaskan tangannya ke arah benda itu dengan kuat. Tiba-tiba saja Ezry begitu bertenaga. Rasa cemas, gerun dan gentarnya sudah hilang entah ke mana dan diganti dengan rasa amarah yang membuak. Benda itu terpelanting dan mengeluarkan bunyi seperti burung gagak. Tapi Ezry yakin, itu bukannya gagak. Masakan gagak besarnya sebegitu. Benda itu tak berputus asa. Ia bangkit dan mencuba untuk menyerang Ezry lagi. Setelah berada begitu hampir dengan Ezry, satu tumbukan yang cukup padu dilepaskan oleh Ezry. Kali ini ia terpelanting lebih jauh dari tadi, seterusnya api marak tiba-tiba, membakarnya. Kali ini bunyinya sudah berubah, dari bunyi seperti gagak menjadi seperti anjing melolong. Walaupun kegelapan itu sekarang diterangi sedikit oleh cahaya api yang membakar benda itu, Ezry tetap tak dapat mengesahkan apa sebenarnya benda yang menyerangnya itu. Tapi Ezry sudah tak ambil kisah apapun bendanya. Yang penting, pintu keluar sudah berada di depan matanya. Dia melangkah semula menuju ke pintu tersebut. Dia memulas tombol pintu dan membukanya perlahan. Setelah pintu dibuka luas, cahaya terang-benderang menerjah masuk anak mata Ezry sehingga pandangannya menjadi silau.

“Syukur, alhamdulillah. Abang dah sedar!” Sapa satu suara.

Dia membuka matanya. Apa? Dia berada di hospital?? Terkebil-kebil dia seketika. Dia memandang sekelilingnya. Pengarah jabatannya, Tuan Hamidon dan adiknya yang berada di situ. Dia membelek dirinya sendiri. Dia terlantar di atas katil hospital rupanya. Berapa lama sudah dia berada di sini?

“Tiga minggu lebih abang tak sedarkan diri. Hari tu doktor kata abang dah tak ada harapan untuk terus hidup sebab kecederaan abang teruk sangat, terutama di bahagian kepala.” Jelas adiknya dalam nada yang kedengaran sayu.

“Tapi kami tak putus asa, bang. Kami yakin dan percaya dengan ketentuan Tuhan.” Sambungnya lagi.

“Syukurlah kau selamat, Ez.” Ujar Tuan Hamidon ringkas, setelah suasana sunyi seketika.

Perlahan, Ezry melepaskan sebuah keluhan berat. Dia masih belum mampu bergerak dan bersuara waktu ini. Masih terlalu lemah. Tiga minggu lebih rupanya dia berada di alam lain. Tapi kejadian itu terasa bagaikan sehari, ketika dia terjumpa Aqif sehinggalah dia di dalam ruang gelap itu. Ini adalah kali kedua dia koma dan dimasukkan ke hospital. Malang sungguh nasibnya tahun ini.

Ezry kembali memandang mereka berdua. Tiba-tiba Ezry terpandang seseorang di celah-celah antara Tuan Hamidon dan adiknya. Lelaki itu berwajah pucat dan merenung Ezry tak berkelip. Berkerut dahi Ezry melihat orang tu. Tuan Hamidon dan adik Ezry hairan melihat ekspresi wajah Ezry. Adik Ezry spontan menoleh ke belakang, lalu berpaling semula memandang Ezry setelah dilihatnya tiada apa-apa yang menarik perhatian.

“Kenapa bang?” Soal adik Ezry hairan.

Ezry tersentak. Dia menggeleng kepalanya sebagai jawapan kepada persoalan adiknya itu. Dia berbohong. Seketika kemudian, Ezry cuba mengangkat tangan kanannya perlahan dan melambai lemah kepada adiknya. Adiknya faham akan isyarat yang diberikan oleh abangnya itu, lalu melangkah menghampiri Ezry. Ezry menarik tangannya perlahan lalu berbisik sesuatu padanya. Adik Ezry mengangguk lalu berpaling semula dan berjalan ke arah Tuan Hamidon.

“Tuan. Abang kata, dia nak kita tinggalkan dia dulu. Dia nak tenangkan diri, katanya.” Adik Ezry memberitahu Tuan Hamidon.

Tuan Hamidon tak banyak cakap. Dia menganggukkan kepalanya lalu beredar dari situ bersama adik Ezry. Setelah mereka keluar, Ezry kembali memandang lelaki yang masih berada di dalam bilik khas dalam wad itu. Dia tak ke mana-mana.

“Kenapa kau di sini?” Tanya Ezry kepada lelaki itu. Walaupun masih dalam keadaan yang lemah, dia tetap berkeras mahu membuka mulut bertanya.

Lelaki itu tersenyum nipis.

“Akhirnya kau berjaya keluar dari alam itu.” Sahutnya tanpa menjawab persoalan Ezry.

“Kau belum jawab soalan aku lagi, Qif.” Balas Ezry tak puas hati.

“Aku tak perlu jawab soalanmu. Aku cuma nak kau tahu, manusia-manusia yang cuba hendak membunuhmu masih bebas. Jejak mereka masih belum dapat dikesan. Dan…hati-hati dengan manusia-manusia di sekelilingmu.”

Usai dia berkata begitu, dia terus melangkah pergi lalu menghilang di balik dinding bilik. Ezry memejamkan matanya, lalu menghempaskan keluhan kecil. Aqif hanya datang untuk memberinya sebuah amaran dan peringatan. Setelah mendengar kata-kata Aqif, kini dia terasa seolah-olah hidupnya sudah tak selamat lagi. Dia bagaikan diburu dari segenap arah. Entah. Mungkin juga itu perasaannya saja. Mungkin dia terlalu memikirkan kata-kata Aqif itu.

“Kau yang sekarang sudah tak sama dengan kau yang sebelum ini. Hati-hati, Ezry…”

Ezry terkejut. Satu suara yang kedengaran seperti sebuah bisikan bergema di pendengarannya. Matanya meliar melihat sekeliling bilik itu.

“Kau siapa?” Ezry bertanya.

Tiada sahutan. Senyap saja.

“Kau siapa sebenarnya?” Ezry mengulangi pertanyaannya

Tetap tiada sahutan kedengaran. Akhirnya Ezry mengalah. Dalam keadaannya yang masih tak stabil, dia hanya ingin merehatkan diri ketika ini. Perlahan-lahan dia menutup matanya. Akhirnya dia terlena…

Tempoh dia berada di hospital kali ini agak lama dari yang lepas. Hampir dua bulan dia diberada dan dirawat di hospital. Sekarang dia sudah dibenarkan pulang oleh doktor yang merawatnya memandangkan dia sudah pulih seperti sediakala. Ketika dia melangkah keluar dari wad itu dan berjalan melalui lorong hospital, dia terperasan pandangan matanya seperti ada kelainan. Tiba-tiba saja dia dapat melihat benda-benda yang sepatutnya tak dapat dilihat. Roh-roh yang bergentayangan, atau mungkin makhluk halus, bertebaran di sana sini di sepanjang lorong di hospital itu. Dia tahu mereka itu bukan manusia kerana rupa fizikal mereka. Makhluk-makhluk itu juga seakan menyedari bahawa dia mampu melihat mereka. Mereka semua menoleh dan memberikan sebuah pandangan yang amat tajam kepadanya semasa dia melintas di depan mereka. Tiba di kawasan lif, dia ternampak seseorang bersandar berdekatan dengan pintu salah sebuah lif. Ezry memandangnya dengan rasa sebal. Kenapa lelaki itu masih mengekorinya? Lalu dia mempercepatkan langkahnya dan berhenti betul-betul di depan lelaki itu.

“Kau kenapa sebenarnya, Qif? Kau kerap ekori aku ni kenapa?” Ezry terus meluahkan persoalannya, tanda rasa tak puas hati.

Aqif merenungnya dengan wajah yang tak beriak.

“Kau dah nampak kan bagaimana penglihatan kau sekarang? Kau dah tak normal. Sekarang kau sudah mampu melihat alam lain. Hijab kau dah terbuka dan pancaindera ke enam kau sekarang dah menguasai diri kau.” Jawab Aqif tenang.

“Lalu, apa kaitannya semua ini dengan kau? Dan kenapa ini terjadi padaku?” Ezry masih mahu bersoal-jawab dengan Aqif.

Aqif meluruskan badannya dan berdiri tegak menghadap Ezry.

“Kau akan terserempak dengan manusia yang ingin membunuhmu berserta budak lelaki yang bersamanya. Kau akan tahu sekejap lagi, siapa mereka sebenarnya.” Balas Aqif lalu mulai bergerak meninggalkan Ezry.

“Hei, Qif.” Panggil Ezry sambil mengekori langkah Aqif. Aqif tak mengendahkan panggilannya.

“Qif!” Panggilnya lagi dengan nada yang agak kuat dari tadi.

Aqif seperti tak mendengar panggilannya lalu lesap sekelip mata. Ezry merengus dan menyumpah kuat. Setiap kali dia meminta penjelasan yang lebih jelas dari Aqif, setiap kali itulah jua Aqif menghilangkan diri. Apa sebenarnya yang Aqif inginkan?

Ezry meneruskan langkahnya untuk masuk ke perut lif. Dia menekan butang ‘G’ untuk turun ke aras bawah. Setelah pintu lif terbuka, dia melangkah keluar menuju ke lobi hospital. Adiknya yang akan menjemputnya nanti. Ramai manusia berada di aras bawah ketika itu. Mungkin nak melawat sahabat-handai atau saudara-mara mereka, memandangkan hari itu adalah Hari Ahad. Matanya tertancap pada dua orang lelaki yang berada di kalangan manusia-manusia yang lalu-lalang. Seorang lelaki dewasa dan seorang lagi kanak-kanak. Wajah lelaki dewasa itu kelihatan tenang, manakala kanak-kanak itu kelihatan bengis. Ezry mengenali mereka. Semasa mereka menoleh ke kiri, mata Ezry tiba-tiba membulat. Dia seperti tak percaya apa yang dilihatnya. Inikah yang dimaksudkan oleh Aqif tadi? Jelas kelihatan di mata Ezry, wajah sisi kanan mereka berdua buruk. Berlubang, berdarah dan berulat. Ezry seperti dapat meneka sekarang, siapa mereka sebenarnya. Patutlah dia tak semena-mena terasa seperti renjatan elektrik semasa budak tu menggenggam kuat tangannya. Kalau manusia biasa, takkan adanya sampai jadi begitu.

Ezry berdiri kaku. Kedua-dua tangannya dikepal erat menjadi penumbuk. Tidak ada rasa takut dalam dirinya menghadapi makhluk-makhluk itu, sebaliknya amarahnya yang timbul menguasai dirinya. Dia memandang mereka berdua dengan pandangan yang penuh kebencian.

“Aku akan tamatkan riwayat mereka!”

Itulah azam Ezry. Dan itulah jua dendam kesumatnya.

‘Leaning over you here
Cold and catatonic
I catch a brief reflection
What you could and might have been
It’s your right and your ability
To become my perfect enemy’

-TAMAT-

Advertisements

HARAPAN

Sudah lima kali dia menyertai sukan berprestij itu. Lima kali. Dan kemungkinan juga kali ini adalah kali terakhir dia menyertainya. Pada tahun 2011 yang lalu, dia berjaya meraih pingat gangsa dalam acara Kumite Berpasukan dan pingat perak dalam acara Kumite Lelaki Perseorangan bawah 55 Kilogram pada tahun 2013. Untuk kali ini, dia masih belum tahu akan nasibnya. Akan berjayakah dia merangkul pingat gangsa setelah dia gagal meraih pingat emas dan perak kerana tewas di tangan atlet dari Indonesia? Mampukah dia menewaskan lawannya yang seterusnya yang begitu hebat beraksi di gelanggang? Dia sendiri sudah menyaksikan akan kehebatan para atlet dari negara-negara ASEAN yang lain. Walaubagaimanapun, dia berjaya menewaskan lawannya dari Timor-Leste di pusingan kedua. Itu yang memberikannya sedikit harapan untuk merebut pingat gangsa di pusingan seterusnya.

‘InsyaAllah. Tiada yang mustahil jika berusaha’, dia bermonolog sendiri.

“Fida’iy. Kamu sudah sedia?”. Pertanyaan seseorang yang dikenalinya itu mematikan lamunannya.

“Ya, sudah sensei”, jawabnya ringkas.

Insan yang digelarnya ‘sensei’ itu merupakan salah seorang jurulatih karate-do di dalam acara kumite atau tanding dalam Bahasa Melayunya. Sensei Haji Okhida Simangasing. Jurulatih yang berasal dari Indonesia. Dia telah lama berkhidmat dengan Brunei Darussalam Karate-do Federation atau ringkasnya BRUKAF dan sudah ramai atlet karate-do negara dalam acara kumite yang diasuhnya. Sensei Haji Okhida seorang jurulatih yang tenang tapi tegas dalam melatih. Ramai atlet negara yang menyenangi sikap dan caranya.

“Kalau begitu, kita harus bersedia sekarang. Perlawanan kamu akan berlangsung tidak lama lagi”, katanya sambil menepuk perlahan bahu Fida’iy.

Fida’iy menarik nafas sedalam-dalamnya lalu menghembuskannya perlahan. Terasa jantungnya berdegup kencang. Walaupun luarannya nampak tenang, tapi hakikatnya dia merasa begitu resah. Lima kali menyertai Sukan Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai SEA Games itu masih tak mampu membuatnya bertenang sebelum berlawan. Ya, itu perkara biasa bagi seorang atlet. Mana-mana acara pun pasti tetap terasa berdebar apabila perlawanan belum selesai. Apatah lagi perlawanan di dalam sukan peringkat serantau dan antarabangsa. Lebih meresahkan daripada perlawanan di peringkat daerah atau kebangsaan, kerana ketika ini dia sedang membawa nama negara. Dia sedang memikul amanah serta harapan negara di bahunya. Tambahan lagi di pusingan ketiga ini, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan sendiri yang turun ke Kuala Lumpur Convention Centre itu, untuk turut sama menyaksikan perlawanannya selepas ini. Dia berjanji kepada dirinya sendiri untuk membuat yang terbaik dalam perlawanan seterusnya.

Setelah gear siap dipakai, dia menunggu di tepi gelanggang sementara menunggu namanya diumumkan. Pada pusingan ketiga itu, dia ditempatkan di sudut merah atau aka di dalam istilah karate. Sempat dia menoleh ke arah jurulatihnya. Sensei Haji Okhida turut memandangnya dan memberikan isyarat thumbs up kepadanya. Fida’iy membalas kembali isyarat tersebut dengan memberikan isyarat yang sama.

Tidak lama kemudian, namanya dan nama lawannya diumumkan lalu kedua-duanya memasuki gelanggang dan berdiri di sudut masing-masing. Setelah pengadil memberikan arahan ‘mula’, maka perlawanan pun dimulakan. Fida’iy kelihatan begitu bersungguh-sungguh dalam memberikan serangan terhadap lawannya dari Thailand tersebut. Tetapi atlet Thai itu juga tidak kurang cekapnya. Gerakannya cukup pantas sehingga mampu membalasi serangan-serangan yang diberikan oleh Fida’iy dengan baik. Sudah beberapa kali Fida’iy tidak mampu mengelak dari serangan yang diberikan dan tangkisannya masih berjaya dibolosi oleh lawannya. Sebuah tendangan tinggi yang diberikan oleh atlet Thai tersebut membuatkan mata yang diperolehi oleh Fida’iy ketinggalan jauh, memandangkan nilai bagi tendangan tersebut adalah tinggi berbanding dengan tendangan rendah dan tumbukan. Fida’iy sedaya upaya membalas kembali tendangan tersebut dengan memberikan tendangan yang sama, namun berjaya di ashi barai atau dibanting oleh lawannya. Sekali lagi atlet Thai tersebut berjaya mengumpulkan tiga mata penuh. Kini Fida’iy ketinggalan lima mata di belakang lawannya dengan kiraan enam berbalas satu. Walaupun ketinggalan jauh, dia tak akan berputus asa. Tidak sekali-kali. Dia bangkit semula untuk menghadapi lawannya. Kali ini dia mencuba nasib dengan memberikan tumbukan di leher lawan.

Yame!!”, kedengaran arahan dari pengadil untuk menghentikan sebentar perlawanan.

Fida’iy dan lawannya kembali semula ke sudut masing-masing. Pengadil menerangkan sesuatu lalu memberi isyarat tangan ke sudut merah. Fida’iy berjaya meraih satu mata hasil dari tumbukan yang diberikannya tadi. Kini mata yang diperolehi adalah enam berbalas dua. Perlawanan disambung semula. Kali ini lawannya tampak lebih cergas dari sebelum ini. Masa perlawanan juga sudah semakin ke penghujung. Kedua-duanya saling tak melepaskan peluang yang ada. Fida’iy gigih memberikan serangan bertalu-talu kepada lawannya. Gema sorakan dari penyokong-penyokong negara juga membuatkannya terus bersemangat menghadapi lawannya. Walaubagaimanapun, sekali lagi Fida’iy berjaya ditinggalkan oleh lawannya. Kali ini lawannya memberikan tendangan rendah, tepat mengenai perutnya. Lapan mata berbalas dua kini. Tidak lama kemudian wisel penamat dibunyikan. Masa perlawanan telah tamat. Kedua-dua peserta kembali semula ke sudut masing-masing dan pengadil mengumumkan serta memberi isyarat tangan ke sudut biru, menandakan bahawa peserta di sudut biru beroleh kemenangan. Fida’iy tumpas di tangan atlet Thai tersebut.

Setelah keluar dari gelanggang dan berjalan menuju ke bilik persalinan, bahu Fida’iy sekali lagi ditepuk lembut oleh Sensei Haji Okhida.

“Kamu sudah pun melakukan yang terbaik, Fida’iy. Kalah menangnya, itu sudah adat pertandingan. Kamu tetap yang terbaik. Tahniah, ya”, ujar Sensei Haji Okhida.

Fida’iy mengangguk perlahan. Walaupun terasa sedikit kecewa di dalam hatinya kerana gagal membawa pulang pingat gangsa, dia tetap merasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya, dia telah membuat yang terbaik untuk perlawanan ini dan dia tak main-main. Kata-kata yang berbaur pujukan dari Sensei Haji Okhida itu juga sedikit sebanyak mampu memadamkan kekecewaannya.

“Terima kasih, sensei. Saya ingat, sekarang sudah tiba masanya saya mengundur diri dari arena ini.”, jelasnya.

Sensei Haji Okhida memandangnya lama dan tak berkelip. Reaksinya seperti orang yang tak percaya. Mungkin terkejut mendengarkan penjelasan Fida’iy itu.

“Kamu serius? Kamu masih muda lagi. Kamu masih mampu melangkah lebih jauh lagi di masa akan datang. Kamu punya potensi yang besar, Fida’iy. Kenapa kamu harus mengundur diri begitu awal?”, tanyanya. Dia merasakan keputusan Fida’iy itu sukar untuk diterima oleh akalnya. Masih muda tapi sudah mahu mengundur diri? Sayang sekali. Masih banyak peluang lagi untuk meraih kejayaan.

Fida’iy terdiam seketika. Dia mencari ayat-ayat yang sesuai untuk diperkatakan kepada jurulatihnya itu. Setelah mendapat ilham, barulah dia membuka mulut untuk berkata-kata.

“Ada ramai lagi ahli-ahli karate di Brunei yang jauh lebih muda dan punya potensi untuk menjadi atlet yang berbakat, sensei. Saya sudah pun berkali-kali menyertai pertandingan di peringkat serantau mahupun antarabangsa dan saya sudah puas merasainya. Kerana itu saya mahu peluang seterusnya diberikan kepada atlet-atlet muda kita. Berikan mereka peluang untuk merasakan pertandingan di luar negara seperti ini. Jika kita tak berikan mereka peluang, bagaimana kita akan tahu sejauh mana kebolehan mereka? Saya yakin, potensi mereka jauh lebih besar daripada saya dan insyaAllah, mereka akan mampu memecahkan rekod saya di masa akan datang”, jawabnya panjang lebar.

Sensei Haji Okhida melepaskan satu keluhan kecil sebaik mendengarkan kata-kata yang terluah dari mulut Fida’iy itu.

“Kalau itu keputusan kamu, saya tidak dapat buat apa-apa. Cuma nasihat saya, fikir lagi. Saya tidak mahu kamu menyesal nanti. Kamu mengerti kan kata-kata saya ini?”, ujarnya sambil menepuk-nepuk bahu Fida’iy.

“Saya pergi dulu, ya”, sambungnya lagi, lalu meninggalkan Fida’iy yang berada di dalam bilik persalinan tersebut.

Fida’iy memandangnya sehingga keluar bilik. Kali ini dia pula yang melepaskan keluhan. Dia menyandarkan belakang badannya ke dinding bilik tersebut lalu memejamkan matanya. Ya, dia sudah nekad dengan keputusannya itu!

 

Seminggu Selepas Sukan SEA…

Dia berdiri di hadapan tangga besar stadium tertutup tersebut. Dari luar sudah kelihatan ada beberapa orang ahli-ahli karate yang gigih membuat latihan. Kelibat Sensei Haji Okhida juga turut kelihatan berada di sana. Dia menggagahkan kakinya untuk melangkah setapak demi setapak menuju ke tempat latihan tersebut. Sebaik saja dia berada di sana, dia disapa oleh seseorang.

“Nah, ini dia orangnya baru timbul semula”, tegur orang tersebut.

Fida’iy lantas menoleh kepada yang empunya suara tersebut. Junaidi. Sahabat seperjuangannya di dalam pasukan kebangsaan, yang juga merupakan salah seorang atlet karate ketika di Sukan SEA baru-baru ini.

“Saja aku nak datang. Nak tengok latihan yang dijalankan”, terangnya tanpa sempat Junaidi menyoal tujuannya. Dia ternampak Junaidi membuka mulutnya, seperti hendak bertanyakan sesuatu.

Junaidi menumbuk lengannya lalu tertawa. Dia turut sama tertawa. Sensei Haji Okhida yang berada berdekatan, menoleh ke arah mereka berdua. Dia tersenyum lalu menganggukkan kepalanya kepada Fida’iy sebaik dia melihat siapa yang datang. Ketika itu dia sibuk melatih para atlet muda yang sedang tekun menjalani latihan.

“Bakal pelapis kita, bro. Aku boleh nampak mereka mempunyai bakat yang besar dalam karate ni. Pergerakan mereka pun cukup cantik dan tangkas. Mereka inilah harapan negara yang seterusnya. Mudahan mereka berjaya melangkah lebih jauh lagi”, Junaidi menyuarakan pendapatnya.

Fida’iy mengangguk. Dia khusyuk menyaksikan sendiri latihan yang dijalankan. Ya, Junaidi memang betul. Dia nampak potensi dan bakat yang ada di dalam diri para atlet muda dan baru tersebut. Apa yang pernah diperkatakannya kepada Sensei Haji Okhida ketika di Kuala Lumpur minggu lepas memang tak salah. Rasanya jika diasuh lagi dengan lebih intensif, mereka ini akan mampu mencapai tahap cemerlang dan tak mustahil ada di antara mereka nanti yang akan berjaya merangkul pingat emas di kejohanan-kejohanan yang akan datang. Dia menaruh harapan yang tinggi kepada para pelapis mereka di dalam acara karate ini.

‘Kalau yang lama sudah rebah, harapnya yang baru akan bangkit!’, monolognya sendiri.

Ya. Dia mahu melihat atlet-atlet baru karate di negara ini bangkit! Itu tekadnya!

Tiga Dimensi – bhg. 2.

Candi Trimurti – Zaman Pengindiaan.
Angin pagi yang bertiup perlahan terasa dingin menampar tubuhnya yang hanya dibaluti kain putih. Matanya tertutup rapat, postur tubuhnya menegak sambil duduk bersila. Kedua-dua telapak tangannya terbuka dan belakang telapak tangan diletakkan di atas kedua belah pehanya. Di hadapannya terdapat patung Siwa serta beberapa patung dewa-dewa agama Hindu yang lain. Meditasi itu berlangsung sejak dua jam yang lalu. Sedikit pun dia tak terasa lenguh dengan kedudukan sebegitu dalam masa yang agak lama. Dalam masa itu juga mindanya dirasakan menerawang .

Tiba-tiba kelopak matanya bergerak. Dalam pandangan batinnya, ada beberapa orang pamegat manghuri dan kandangan tuha sedang bergerak menuju ke candi tempatnya bermeditasi ketika ini.

Tiga…ngga’. Ada empat kesemuanya. Apa maunya para pamegat ini ke mari?

Bunyi derapan kaki menaiki tangga candi kedengaran jelas di telinganya. Dia masih berada dalam kedudukan meditasi tanpa bergerak sedikit pun.

“Dengan hormat, kami ingin sekali bertemu Gusti Dharmadhyaksa yang kami muliakan”, terang salah seorang dari mereka.

Menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya, perlahan-lahan dia bangkit dari kedudukannya lalu berdiri menghadap mereka.

“Bilang terus apa yang kamu ingin katakan”, sahutnya mendatar.

Para pamegat itu berpandangan sesama sendiri, seolah-olah sedang bermusyawarah di dalam diam. Akhirnya, salah seorang dari mereka tampil ke hadapan. Jika dilihat dari segi ketrampilannya, dia nampak lebih muda dari tiga yang lain.

“Gusti. Adapun kami hanya ingin menyampaikan titah perintah Duli Yang Maha Mulia Prabhu Jayasingganagara dan Gusti Adipati, bahwa Gusti Dharmadhyaksa yang kami muliakan harus meninggalkan candi ini dan pertapaan Gusti mulai sekarang”, jelasnya, cuba menyampaikan sebaik mungkin apa yang telah dipesankan padanya.

Lelaki yang digelar ‘Gusti Dharmadhyaksa’ itu mendengar tanpa ada riak terkejut di wajahnya. Dia nampak tenang sahaja.

“Bilang sama saya, ke mana saya harus pergi sekarang?”, tanyanya tenang.

Pamegat yang kelihatan muda tadi nampak gelisah. Apa yang harus dikatakannya pada orang ini? Dia memandang pamegat yang berada di sebelahnya. Pamegat itu kelihatan agak berusia dari dia. Melihatkan kegelisahanya yang terpancar di wajahnya, pamegat itu menganggukkan sedikit kepalanya lalu maju setapak.

“Gusti yang kami muliakan. Gusti bebas pergi ke mana saja selepas ini. Baginda Prabhu Jayasingganagara dan Gusti Adipati membenarkan Gusti meneruskan kerja-kerja rohani Gusti di mana-mana candi di muka bumi ini”, jawab pamegat yang lebih berusia tadi.

Mendengarkan penjelasan pamegat itu, Gusti Dharmadhyaksa berkenaan mengeluh perlahan. Ya, mungkin jua masanya untuk meninggalkan tempat itu sudah tiba. Tapi…kenapa bukan mereka berdua yang menemuinya? Kenapa perlu ada pengantara? Ini soal jawatan yang telah dikurniakan padanya melalui Sang Prabhu satu ketika dahulu. Baik diserahkan, sepatutnya baik pulalah dikembalikan. Dan yang menjadi tanda tanya padanya, kenapa tiba-tiba dia dikehendaki meninggalkan tempat itu?

“Apa…sudah ada pengganti saya di sini?”, dia bertanya lagi kepada para pamegat itu.

Sekali lagi mereka berpandangan antara satu sama lain. Lama mereka berkeadaan sebegitu, mencari kekuatan untuk menyampaikan kebenaran yang dititahkan oleh Prabhu dan Gusti Adipati kepada Sang Dharmadhyaksa tersebut melalui mereka.

“Sungguh berat rasa kami untuk bilangin Gusti yang kami muliakan, bahwa Baginda Prabhu dan putranya Gusti Adipati sudah punya Dharmadhyaksa Kasaiwan yang baru dilantik semalam. Kami ngga’ punya apa-apa pengetahuan tentang urusan pemilihan maupun perlantikan baru ini karna kami hanya menyampaikan sahaja apa yang dititahkan”, jelas pamegat itu lagi.

Sang Dharmadhyaksa tersebut menarik nafas dalam-dalam.

“Baiklah, jika itu titah perintah baginda dan putranya. Saya akan undur diri sekarang”, lalu Dharmadhyaksa itu pun mula melangkah setapak demi setapak meninggalkan candi berkenaan setelah memberi salam hormat kepada para pamegat tersebut.

Setelah dia berada di anak tangga yang terakhir, tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia berdiri kaku. Diam tak berkutik. Matanya dikecilkan, seolah-olah memerhatikan sesuatu yang jauh. Setelah beberapa saat dia berkeadaan begitu, dia menutup matanya rapat-rapat. Dalam pandangan mata hatinya, dia melihat beberapa orang panglima sedang mengerumuninya di kawasan candi itu juga. Golok dihunuskan kepadanya dari semua penjuru, dan tiba-tiba salah seorang dari mereka mara hendak menikamnya. Sejurus itu, dia tersedar lalu membuka matanya semula.

Curang! Apa, itu juga masuk titah-perintah Baginda Prabhu??

Akalnya terdetik setelah melihat kejadian yang bakal berlaku tak lama lagi dalam pandangan batinnya. Pantas dia mengorak langkahnya meninggalkan kawasan candi berkenaan. Dia mencari jalan keluar yang dijamin tidak akan terserampak dengan sekumpulan panglima itu nanti serta tidak dapat dikesan akan kelibatnya. Dia tahu, nyawanya sekarang di dalam bahaya. Cuma dia berasa aneh. Kenapa tiba-tiba dia dikhianati sebegitu rupa? Apa salah silapnya sehingga dia dilucutkan jawatan dan diburu oleh para panglima itu? Apa yang sudah terjadi sebenarnya??

Terlalu berat rasanya kepalanya memikirkan persoalan demi persoalan yang mengasak mindanya kini. Dan…apakah para pamegat tersebut juga sudah pun mengetahui akan buruan yang dilakukan oleh panglima-panglima yang sedang menuju ke candi berkenaan? Atau mungkin sekali para pamegat itu juga bersekongkol? Dia berhenti seketika di pertengahan jalan. Dalam tak sedar, sudah separuh hutan rimba diredahinya. Tiba-tiba dia merasakan dunianya berputar hebat. Dia terjelopok di atas tanah lalu tersandar di sepohon kayu yang sebesar dua pemeluk. Kelam dirasakan penglihatannya lalu dia terus tidak sedarkan diri.

Di Suatu Kawasan Lain di Perkarangan Candi.
Kepalanya sungguh berserabut memikirkan kejadian itu. Terasa hendak menangis pun ada. Sehingga ke saat ini dia langsung tak percaya dengan apa yang dilihat dan dialaminya ketika ini. Faizul merasakan dirinya seperti sudah gila. Dia melangkah longlai. Terasa kedua-dua belah lututnya lemah untuk mengheret kakinya berlalu dari situ.

Fazrul yang terperasan akan kelakuan Faizul itu menoleh kepadanya sepintas lalu.

“Memang banyak benda yang tak masuk akal dalam dunia ni”. Fazrul bersuara, memecah kebisuan antara mereka berdua. Dia berjalan perlahan di hadapan Faizul.

Faizul masih membungkam. Dia tak tahu apa yang hendak diluahkan. Yang penting, kepalanya diserang berbagai soalan, teka-teki, teori dan bermacam lagi sehingga dia merasakan kepalanya mahu pecah menampung semua itu. Sungguh haru-biru perasaannya ketika itu. Kalut yang tak terperi rasanya.

Tidak semena-mena, Fazrul berhenti bergerak lalu menarik Faizul bersamanya dan bersembunyi di sebalik salah sebuah candi tersebut. Faizul yang melihat kelakuan Fazrul itu menelan liur. Apa pula yang tak kena dengan dia ni?

Fazrul diam memerhati pergerakan manusia-manusia yang lalu di hadapan mereka. Kelihatan seperti para panglima dan pahlawan-pahlawan Zaman Majapahit sedang berlari-lari anak menuju ke sebuah candi utama yang terletak tidak jauh dari tempat persembunyian mereka. Nampak seperti ada sesuatu yang berlaku di situ. Fazrul tiba-tiba merasa tidak sedap hati.

Fazrul menoleh ke sisinya. Faizul memandangnya tajam. Pasti Faizul merasa sakit hati sebab dia menarik Faizul tiba-tiba tanpa sempat memberitahunya kenapa. Faizul tak tahu bahawa ada segerombolan panglima melintas di hadapan mereka tadi. Dia tak dapat menyalahkan Faizul dalam hal ini kerana dia yang bertindak melulu.

“Aku rasa baik kita berpatah balik. Kita salah jalan ni”, Fazrul memberitahu Faizul.

Faizul mengerutkan dahinya. “Kau dah kenapa ni? Tadi kau yang bawak aku pergi sini, sekarang salah jalan pulak??”, balas Faizul tak puas hati.

Fazrul merenung wajah Faizul tak berkelip. “Aku rasa tak sedap hati. Aku nampak sekumpulan panglima tadi melintas depan kita menuju ke salah sebuah bangunan tu seperti ada sesuatu yang berlaku. Aku tak nak mereka terserampak dengan kita sehingga menimbulkan masalah yang lain. Kau tahu kan kita ni bukan dari zaman ini? Zaman mereka? Aku tak tahu apa motifnya kita terdampar di sini dan kembali ke zaman yang aku sendiri rasa tak dapat diterima oleh akal aku, tapi aku rasa pasti ada sebab tertentu kenapa kita dihantar ke sini”, jelas Fazrul panjang lebar. “Dan aku sendiri merasa seperti hilang akal bila bertemu dengan seorang manusia dari zaman yang beratus tahun ke hadapan dari zaman aku”, sambungnya lagi. Kata-kata tersebut merujuk kepada Faizul yang hidup beratus tahun setelah zamannya.

Panas juga rasanya telinga Faizul mendengarkan ayat-ayat terakhir yang terluah dari mulut Fazrul tu. Kedengaran sinis di telinganya. Rasanya dia sendiri pun merasakan hampir gila apabila dia mengetahui bahawa Fazrul itu datangnya satu abad dari zamannya. Tu dah satu hal. Tambahan lagi Fazrul itulah orang yang selalu mengganggu malam-malamnya; orang yang mati dibunuh dalam mimpi-mimpinya. Sekarang, yang mati dibunuh tu lah yang bersamanya ketika ini. Peliknya makin menjadi-jadi bila dilihatnya Fazrul itu punya wajah yang serupa sepertinya. Kalau Fazrul hilang akal, dia pulang dah tak siuman.

“Betul jugak tu. Rasanya aku sendiri pun rasa benda yang sama macam kau. Pelik bagaimana tiba-tiba aku jumpa dengan manusia yang hidup satu abad dari aku. Lebih pelik lagi, manusia yang mati dibunuh dalam mimpi-mimpi aku”, sahut Faizul dengan suara yang kedengaran sedikit tegang.

Fazrul yang telah pun menoleh ke hadapan, kini mengalihkan semula pandangannya ke wajah Faizul. Sekarang mereka bertentangan sesama mereka tanpa sepatah kata.

Fazrul baru sahaja hendak menghamburkan kata-kata kesatnya kepada Faizul bila tiba-tiba kedengaran bunyi jerit tempik dari dalam candi yang dimasuki oleh para panglima tadi. Fazrul dan Faizul diam membungkam mendengarkan bunyi itu. Fazrul membatalkan niatnya yang hendak “menyembur” Faizul itu, sebaliknya dia menarik kolar baju Faizul dan mengheretnya bersama untuk pergi dari situ. Dia mengambil keputusan untuk lari ke arah yang bertentangan dengan kedudukan panglima-panglima itu, iaitu arah di mana mereka bermula tadi.

Faizul yang merasakan lehernya hampir tercekik apabila kolarnya ditarik oleh Fazrul, lalu menepis kasar tangan Fazrul.

“Kau tak payah heret aku macam aku tak tahu berjalan sendiri”, ujarnya sambil membetulkan kolar bajunya.

“Kau kalau nak selamat kat alam ni, jangan cuba cari pasal dengan aku. Aku cuma nak kita selamat dari sebarang kecelakaan, bukan nak masuk ke dalam mulut buaya!”, tegas Fazrul yang merasakan muak dengan sikap Faizul.

Faizul merengus kasar. “Kenapa tak cuba saja, mintak tolong dari panglima-panglima yang kau kata tu? Mana kau tahu kalau-kalau mereka tu mahu menolong kita??”

“Kau nak aku ulang berapa kali lagi? Aku dah cakap, kita ni dari dunia lain, zaman lain. Kau ingat mereka boleh percayakan kita ni, haa??”, Fazrul meninggikan suaranya. Hatinya sudah mula terbakar dengan kedegilan Faizul. Susah juga budak masa hadapan ni.

“Dah tu, kau ingat kau tu satu zaman dengan aku? Begitu?”

“Walaupun zaman kita tak sama tapi kemajuan pemikiran kita hampir serupa, kau faham??”

Rancangan Fazrul untuk meloloskan diri dari situ tergendala disebabkan perdebatan mulut antara dia dan Faizul. Entah, untuk berapa lama mereka bertelingkah apabila satu anak panah tiba-tiba memacak betul-betul di hadapan mereka berdua. Fazrul dan Faizul yang tadinya rancak bertengkar sesama sendiri kini terpaku melihat anak panah itu.

Mata Fazrul meliar, mencari siapa yang memanah itu dan akhirnya tertancap pada sebentuk tubuh yang berdiri di atas salah sebuah candi yang kedudukannya tidak jauh dari mereka berdua. Demi sahaja melihatkan kelibat manusia itu, Fazrul tanpa berlengah dan bersuara terus menarik lengan Faizul dan melarikan diri secepat dan sejauh mungkin dari situ. Faizul yang tadinya berkeras, kini hanya menuruti langkah Fazrul. Kecut juga perutnya melihatkan panah yang terpacak di hadapan mereka serta manusia yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dan berdiri di atas candi. Hati Faizul terasa haru-biru dengan kejadian-kejadian yang tidak dapat diterima oleh akal logiknya itu. Dia menjadi bungkam dan membiarkan sahaja lengannya ditarik kuat oleh Fazrul. Kesakitan sudah tidak lagi dirasakan olehnya apabila bahaya sedang menunggu dan memburu mereka bila-bila masa dari sekarang.

Fazrul dapat merasakan ada orang lain yang sedang mengejar mereka ketika ini. Nalurinya kuat mengatakan bahawa orang ketiga itu adalah si pemanah yang berada di atas candi tadi. Dia mempercepatkan lariannya. Tangannya yang menggenggam lengan Faizul semakin dieratkan. Dia sudah tak peduli lagi jika Faizul merasa kesakitan dengan genggamannya, asalkan Faizul tak tertinggal di belakang. Pergerakan Faizul dirasakan longlai. Dia pasti, Faizul dalam keadaan tertekan sekarang. Tertekan kerana terperangkap di dalam alam yang asing ini.

Langkah Fazrul terhenti tiba-tiba. Faizul yang sedari tadi seperti patung bernyawa, terlopong melihat manusia yang kini berada di depan mereka berdua. Ya, sangkaan Fazrul tepat sekali. Yang mengejar mereka adalah si pemanah itu. Wajahnya jelas kelihatan bengis.

“Siapa kalian berdua??”, tanyanya kasar.

Mereka berdua diam merenung wajah si pemanah itu. Fazrul tiba-tiba bergerak setapak ke hadapan. Faizul agak terkejut melihatkan perlakuan Fazrul itu.

“Kami datang dari dunia jauh. Kami terdampar ke alam ini”, Fazrul kedengaran bersuara, menyahut soalan si pemanah itu.

Faizul tambah terkejut mendengar kata-kata Fazrul tersebut. ‘Bahasa apa yang dia gunakan ni??’, benak Faizul tertanya-tanya. Bahasa yang Fazrul gunakan begitu asing bunyinya dari yang selalu dituturkan.

Si pemanah tersebut memandang Fazrul tajam. Dari kerutan dahinya, jelas menampakkan reaksi terkejut setelah mendengar kata-kata Fazrul. Loghat Minangkabau? Manusia ganjil ini orang Minang? Tapi pakaiannya agak ganjil. Bukannya pakaian tradisi Minangkabau. Berbagai persoalan timbul di benaknya melihatkan Fazrul dan Faizul. Dan sudah setentunya dia hairan melihat cara berpakaian mereka berdua. Tak pernah lagi dia melihatkan pakaian seperti itu seumur hidupnya.

“Apa maksudmu manusia asing?!!”, jerkah si pemanah.

“Kau takkan bisa memahaminya”, jawab Fazrul pantas.

Dengan tidak semena-mena, Fazrul pantas menyerang si pemanah tersebut. Faizul hampir menjerit kecil melihatkan tingkah Fazrul yang tiba-tiba itu. Apa, Fazrul sudah gila?? Hilang akal bilamana tiba-tiba menyerang si pemanah yang rasanya jauh lebih handal dan licik itu?? Kecut perut Faizul melihat tindakan Fazrul itu.

Fazrul bergerak sekelip mata tanpa sempat dihalang oleh si pemanah tersebut. Si pemanah itu terkejut bukan kepalang bila dia mendapat tahu, Fazrul sudah pun berada di belakangnya. ‘Kapan dia berada di belakangku???’, benaknya menujahkan sebuah persoalan.

Fazrul menusukkan hujung jari-jemarinya ke belakang si pemanah itu, tepat di kawasan jantung si pemanah. Tindakan pantas Fazrul sempat ditepis oleh si pemanah apabila si pemanah tersebut pantas berpaling dan menepis lengan Fazrul. Fazrul cuba meradak perut si pemanah tapi sekali lagi serangan Fazrul berjaya dipatahkan oleh si pemanah. Fazrul terus memberikan serangan fizikal bertali-arus, yang juga sesekali dibalas oleh si pemanah. Faizul tercengang melihatkan serangan demi serangan yang diberikan oleh Fazrul itu. Beginikah kekuatan sebenar Fazrul? Dan inikah kebolehan Fazrul? Dia tidak pasti apakah namanya perbuatan yang dibuat oleh Fazrul itu, tapi dia seperti pernah melihatnya di dalam laman Youtube. Itu pun dia hanya melihatnya dalam beberapa saat sebelum beralih ke video lain. Silat? Pencak silat? Itukah namanya? Dia rasa itulah namanya perbuatan itu. Dia tak berapa ingat. Ye lah. Bukannya dia berminat dengan benda-benda sebegini. Lainlah kalau futsal atau dodgeball.

Tiba-tiba pergerakan si pemanah terhenti. Si pemanah menjadi kaku. Bulat mata Faizul melihatkan golok sudah pun berada tepat di leher si pemanah. Fazrul pula kelihatan seperti tiada perasaan semasa menghunuskan golok di leher si pemanah itu.

“Apa maumu, anak bangsat?? Apa sebenarnya tujuan kalian ke sini?!! Apa, kamu hanya mau membunuh saya???”, tanya si pemanah bertubi-tubi dalam nafas yang tersekat-sekat.

“Tidak ada apa-apa. Aku cuma tak mahu laluanku dihalang”, jawab Fazrul dalam loghat Minangnya, tenang.

Tanpa sempat si pemanah tersebut membalas kata-kata Fazrul, darah merah pekat memercik dari leher si pemanah lalu jasadnya rebah menyembah bumi. Matanya masih terbeliak dan mulutnya kelihatan sedikit terbuka. Kali ini Faizul terjerit kecil melihatkan situasi itu. Dia memandang jasad si pemanah dengan wajah yang pucat, lantas beralih memandang Fazrul pula.

Golok berdarah yang dipegang oleh Fazrul terlepas dari tangannya. Kepala Fazrul tiba-tiba terasa pening. Sangat pening. Dia cuba menggagahkan dirinya untuk berjalan walaupun dalam keadaan terhuyung-hayang tapi akhirnya Fazrul rebah, tidak sedarkan diri. Faizul cepat-cepat menghampiri Fazrul lalu menggoyangkan badan Fazrul dan menampar-nampar pipinya berkali-kali sambil memanggil namanya. Setelah dilihatkan tiada respon dari Fazrul, Faizul cuba mengheret tubuh Fazrul untuk beredar dari situ menuju ke satu tempat yang dirasakan lebih selamat dan terlindung dari mana-mana manusia. Faizul masih cuba menyedarkan Fazrul tetapi hampa. Akhirnya Faizul membiarkan sahaja mereka dalam keadaan begitu. Tak tahu untuk berapa lama. Dia sendiri pun panik dan mati akal. Dia tak tahu bagaimana hendak handle situasi begini. Maklumlah. Dia tak pernah lagi berhadapan dengan situasi-situasi yang getir seperti ini.

Fazrul membuka matanya. Terasa silau dengan cahaya yang kuat memancar ke wajahnya. Dia di mana sekarang?

“Kau kembali semula, anak muda”, tegur seseorang. Dia tak kenal siapa lelaki itu.

“Kau siapa?”, tanya Fazrul.

“Ingatkan semula, wahai anak muda. Kau pasti kenal aku”, jawab lelaki itu seringkas mungkin.

“Aku tak ada masa nak berteka-teki dengan kau!!”, Fazrul naik berang secra tiba-tiba.

Lelaki misteri itu melangkah setapak demi setapak, memperlihatkan dirinya pada Fazrul. Fazrul terbungkam tiba-tiba melihatkan lelaki di hadapannya ketika ini. Tiba-tiba peluh dinginnya terasa mengalir, membasahi bajunya. Lelaki itu…

“Ya, aku yang pernah bersua denganmu satu ketika dahulu”.

[Bersambung]

TIGA DIMENSI

‘Apabila tiga alam yang berbeza bergerak selari…’

BEBERAPA RATUS TAHUN YANG LALU…

‘Cis!! Jahanam!!’

Lari. Kaki tersadung akar lalu menyembah tanah. Sumpah seranah. Semuanya gara-gara rancangan yang tak menjadi. Niat hatinya mahu melihat kehancuran, tapi sebaliknya, nyawanya pula yang hendak dihancurkan.

Tidak jauh dari situ, kelihatan kelibat berserta bunyi orang. Dia lantas berselindung di sebalik semak dan pohon kayu yang besar. Dia memasang telinga. Bunyi itu semakin menghampiri tempatnya berselindung, dan jelas kedengaran butir-butir percakapan mereka.

Melalui tutur percakapan mereka, jelas mereka adalah dari Tanah Jawa. Bunyinya agak sukar untuk difahami tapi tidak baginya. Dia faham apa yang mereka cuba cakapkan.

“Apa benar kamu melihat si brengsek itu lari ke sini?!”, tanya suara itu kepada seseorang dengan nada yang kedengaran marah.

“Demi keagungan Sang Hyang Tungal yang hamba junjungi dan Gusti Adipati yang hamba hormati, hamba melihat dengan mata kepala hamba sendiri, bahwa dia membawa dirinya ke sini. Maka ada baiknya kalau kita cari jejaknya di sini”, jawab seseorang. Nadanya kedengaran lebih tenang dari yang seseorang yang bergelar ‘Gusti Adipati’ tadi.

“Baiklah. Aku mahu kita berpecah sekarang, dan cari si brengsek itu sampai dapat!”, arah si Gusti Adipati keras.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi sekumpulan manusia berlarian di sekitar kawasan itu. Mereka sudah mula mencarinya. Di kesempatan itu, dia cuba bergerak perlahan, menjauhi kawasan itu dengan penuh waspada. Dia merangkak untuk menuju ke satu destinasi yang dia sendiri pun tidak pasti arah tujunya. Akhirnya, dia sampai ke tebing sebatang sungai yang agak besar dan dalam airnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskan perlahan. Sangkanya dia telah terlepas dari orang-orang Jawa itu.

Baru saja dia berdiri menghadap sungai itu, tiba-tiba…

Zappp!

Dia terasa seperti ada benda yang tajam menyucuk belakangnya…seperti dilemparkan oleh seseorang. Belakang badannya terasa amat pedih. Tidak. Bukan setakat pedih, tapi juga sakit. Kini rasa sakit itu mula menjalar ke seluruh tubuhnya. Kepalanya juga mula terasa berat dan seperti berputar. Sayup kedengaran seperti suara orang ramai. Sakitnya sudah tidak tertahan lagi, hingga akhirnya dia rebah dan jasadnya terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Orang-orang Jawa itu bergegas pergi ke tebing sungai, melihat jasad yang sudah terjatuh ke dalam sungai itu. Akhirnya mereka bersorak kegembiraan. Mereka berpuas hati kerana berjaya menamatkan riwayat seorang pembunuh.

“Bagus kalian semua. Disebabkan kalian sudah berjaya membunuhnya, maka malam ini, aku akan adakan pesta bagi meraikan kemenangan kita dalam memburu si pembunuh!”, umum si Gusti Adipati yang disambut dengan sorakan orang-orangnya.

“Untuk kemuliaan Sang Hyang Tunggal dan Gusti Adipati, hamba akan turutkan apa jua yang Gusti Adipati titahkan”, lalu yang empunya suara memberi sembah hormat. Akhirnya, mereka semua berangkat pulang setelah mereka dapati si pembunuh itu sudah tidak lagi bernyawa.

Jasadnya tenggelam di dalam sungai dan laju dibawa arus. Dia tidak pasti apa yang terjadi pada jasadnya ketika ini. Matikah dia? Atau masih hidupkah dia? Dia benar-benar keliru. Tapi kalaulah dia mati, kenapa dia merasakan, dia seperti masih hidup? Soalan yang tiada jawapannya. Tiba-tiba dia merasakan jasadnya menjadi ringan dan seperti melayang-layang. Serasa bagaikan berada di awang-awangan. Apa pula lagi selepas ini?

TAHUN 2016.

Fazrul seperti baru tersedar dari mimpi yang panjang. Kepalanya terasa pening yang teramat sehinggakan badannya terasa sukar untuk digerakkan. Nafasnya pula tersekat-sekat. Entah, kenapa dengan dirinya. Apa yang pasti, dia merasa aneh kerana mengalami mimpi yang berulang-ulang. Sama jalan ceritanya. Tiada satu pun yang terkeluar dari landasan cerita asalnya. Kalau sekali, dia takkan kisah kerana dia menganggap itu hanyalah permainan tidur. Tapi kalau sudah berkali-kali?

Mimpi yang seringkali berkunjung dalam lenanya itu membuatkan dia tertanya-tanya, apa maksudnya sebenarnya? Selalu saja dia bermimpi sebagai seorang pembunuh. Bukan pembunuh seperti dalam filem Hitman atau Resident Evil tetapi seperti di zaman…ah, zaman apa ya? Nampak seperti ala-ala filem Puteri Gunung Ledang lakonan M. Nasir dan Tiara Jacquelina tu. Kesultanan Melayu dulu-dulu? Ya, nampak seperti itu. Berbaju Melayu, bersamping, bertanjak dan lengkap berkeris. Tetapi yang mengejarnya kelihatan seperti raja-raja Jawa pula, cukup dengan wajah mereka yang bengis. Apa yang lebih sadis dan tragis, mimpinya itu selalunya akan berakhir dengan kematiannya yang terjatuh ke dalam sungai setelah belakang badannya dipanah dengan panah yang dibubuh racun berbisa.

Dia menutup matanya lalu mengeluh perlahan mengenangkan semula mimpi yang sentiasa berulang itu. Dia meraup wajahnya.

‘Apa yang hendak ditunjukkan padaku sebenarnya?’

Fazrul bermonolog sendiri. Lama dia berkeadaan sebegitu sebelum dia bangkit dari katilnya dan menuju ke bilik mandi.

Belum sempat dia menjejakkan kakinya ke dalam bilik mandi, tiba-tiba pintu bilik apartmentnya diketuk dari luar. Tanpa rasa ragu, dia terus membuka pintunya. Terkejut bukan kepalang dia melihat tetamu-tetamu yang datang di awal pagi ini. Polis? Kenapa dengan anggota-anggota polis ni? Apa salahnya? Apa yang telah dibuatnya sehingga membawa mereka ke sini?

“Jangan bergerak!!”, jerit salah seorang dari mereka sambil mengacukan pistol ke dahi Fazrul. Fazrul tercegat kaku.

“Kamu telah didapati membunuh seorang lelaki sebaya kamu malam semalam. Sekarang kamu ditahan!!”, sambung anggota polis itu lagi. Kesemua mereka mengacukan pistol kepada Fazrul sebagai langkah berjaga-jaga dan dua dari mereka bergerak untuk menangkap dan menggari tangannya.

Dengan tidak semena-mena, jiwa Fazrul merusuh seperti ada satu semangat aneh yang membangkitkannya. Apabila anggota-anggota polis yang hendak menangkap Fazrul berada berhampirannya, Fazrul tiba-tiba menyiku wajah salah seorang anggota polis tersebut dan menendang perutnya sehingga terdengar bunyi erangannya. Fazrul seterusnya memulas tangan seorang lagi anggota polis di sisinya sehingga menjerit kesakitan apabila anggota tersebut hendak menumbuk wajahnya. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Anggota-anggota polis yang lain terpegun melihatkan situasi itu. Mereka mula mencekah pistol mereka, bertujuan untuk menembak Fazrul. Belum pun sempat mereka melepaskan sedas tembakan, Fazrul sudah terlebih dahulu ‘mematahkan’ tembakan mereka dengan menyerang secara fizikal. Fizikal? Tiba-tiba Fazrul menjadi sekuat itu. Dari mana datangnya kekuatan itu? Fazrul seperti tersedar dengan apa yang telah dilakukannya. Melihatkan kesemua anggota polis tersebut bergelimpangan dengan berlumuran darah, Fazrul mengambil keputusan untuk lari dari situ.

Sejurus dia melangkah keluar dari apartmentnya, dia bercadang untuk melarikan diri ke tempat yang terpencil untuk menyembunyikan diri sementara waktu. Sebaik saja dia menghampiri keretanya, dia terperasan ada seorang lelaki misteri bersandar di belakang keretanya. Berpakaian serumpun hitam, lengkap dengan jaket dan hoodnya yang menutupi separuh wajahnya kecuali sedikit hidung dan mulutnya.

“Hei. Kau siapa?”, tegur Fazrul. Lelaki itu tidak menjawab.

“Hei. Ini kereta aku. Kau siapa yang bersandar kat belakang kereta aku ni ha?!”, sergah Fazrul lalu cuba memegang bahu lelaki tersebut.

Tanpa sembah tanpa salam, tiba-tiba tangan Fazrul ditarik lalu tubuhnya direbahkan ke atas lantai dan tangannya dipulas kuat ke belakang. Dagunya terhentak lantai simen di tempat letak kereta tersebut. Dia menyumpah kuat sambil mengerang kesakitan.

“Hebat permainanmu, anak muda. Tumbang semua lawanmu disebabkan alammu yang di sana!”, ujar lelaki misteri itu perlahan tapi cukup jelas di telinga Fazrul.

‘Alamku di sana? Apa maksud lelaki ni?’

Fazrul hairan dalam kesakitan. Apa yang dimaksudkan lelaki itu? Alamnya yang di sana? Alam apa? Berapa alam lagi yang dia ada?

“Alam kau adalah di SANA!”, lelaki itu berkata dengan lebih keras, seraya menghentak kepala Fazrul dengan kuat.

Fazrul terasa kepalanya seperti berbisa. Sakitnya tak terperi. Lebih menyakitkan dari awal-awal tadi sehinggakan badannya mula terasa longlai. Dia dapat merasakan seperti ada cecair hangat yang mengalir dari kepalanya. Akhirnya dunianya menjadi gelap dan kelam. Mungkin sekarang dia sedang menuju ke alam lain…mungkin…

DI SATU WAKTU DI MASA HADAPAN…

Dia bingkas bangun dari tidurnya. Peluh bercucuran di seluruh tubuhnya sehingga membasahi bajunya. Bermimpi lagi! Dan mimpi yang sama, berulang-ulang. Hampir setiap malam dia mengalaminya. Dia terasa kepalanya berat dan tengkuknya terasa kencang memikirkan mimpinya itu.

Faizul meraup wajahnya berkali-kali sebelum bangkit dari katilnya. Di liriknya jam dindingnya yang menggunakan lampu LED di dalamnya. Baru 2 pagi. Masih awal rupanya. Tetapi disebabkan mimpi yang dialaminya tadi, dia sudah tak mampu melelapkan mata lagi. Dia memutuskan untuk turun ke dapur. Terasa tekaknya sangat haus ketika itu dan amat memerlukan air untuk membasahinya. Ahli-ahli keluarganya yang lain masih nyenyak dibuai mimpi indah ketika itu. Hanya dia yang bermimpi ngeri.

Ketika berada di dapur, dia mengelamun seorang diri sambil menghirup minumannya. Fikirannya kembali melayang kepada mimpinya itu. Dia melihat dirinya diserbu oleh pihak polis, lalu dia melawan dan menumbangkan mereka seorang demi seorang. Dia kemudiannya lari dari situ, tetapi belum pun sempat dia melarikan diri, dirinya dibunuh oleh seorang lelaki yang langsung tidak dikenali di sebuah tempat…nampaknya seperti tempat letak kereta. Faizul termangu memikirkan maksud mimpi tersebut. Dia merasa pelik, kenapa mimpi yang sama hadir dalam lenanya setiap malam? Kenapa seperti tak wujud mimpi-mimpi yang lain?

‘Ah, sudah’.

Faizul menggelengkan kepalanya. Sebaik saja minumannya habis, dia meletakkan cawannya di sinki lalu terus naik semula ke bilik tidurnya. Dia tak terus tidur kembali sebaliknya dia mahu melayari internet terlebih dahulu. Dia membuka suis komputernya dengan menggunakan retina scan dan secara automatik, komputernya terus menghubungkannya ke internet. Yang pertama sekali dilayarinya adalah berita-berita semasa dan terkini. Faizul sememangnya seorang pembaca tegar. Bab berita-berita semasa, tanyalah dia. Semua dia tahu kerana dia memang sentiasa update dengan hal-ehwal semasa.

Untuk awal pagi itu, belum ada berita tempatan yang menarik perhatiannya. Baru kisah-kisah luar negara. Dia cuba refresh berkali-kali laman web tersebut sehinggalah terpapar satu berita tempatan yang baru diupdate ke laman tersebut. 5 saat yang lalu. Memang masih baru lagi. Berita yang baru tersiar itu amat menarik perhatian Faizul. Satu kes bunuh yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 20an. Mayatnya ditemui terbujur kaku di tempat letak kereta di sebuah apartment kawasan bandar. Lewat 20an. Seperti usianya ketika ini. Dalam erti kata lain, lelaki itu sebayanya.

Tiba-tiba Faizul teringat akan mimpi-mimpi yang dialaminya sebelum ini. Kes bunuh. Dibunuh di tempat letak kereta. Tidak semena-mena, peluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Wajahnya bertukar menjadi pucat. Entah mengapa, dia merasakan kes pembunuhan yang baru terjadi itu seperti ada kaitan dengan mimpi-mimpi yang dialaminya itu. Nafasnya menjadi sesak dan tak teratur memikirkan hal itu. Dia menjadi gelisah. Dia takut mimpi-mimpinya itu menjadi realiti.

Dalam dia membawa rasa resahnya, tiba-tiba dia terdengar seperti bunyi seseorang menekan loceng rumahnya. Berkali-kali. Dia cuba memberanikan diri untuk membuka sedikit pintu biliknya dan melihat ke bawah. Hairannya, tak ada seorang pun ahli keluarganya yang terbangun oleh bunyi loceng tersebut. Disebabkan rasa ragu menguasai hati, Faizul mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan bunyi loceng tersebut.

Faizul terus menutup komputer lalu kembali berbaring atas katilnya dan menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Entah, dia tak pasti berapa lama loceng tersebut di bunyikan. Akhirnya bunyi itu hilang dan kembali sunyi. Walaupun begitu, Faizul masih dalam keadaan berjaga-jaga. Jam ketika itu sudah pun menunjukkan 3.30 pagi. Faizul yang tadinya sukar untuk melelapkan semula matanya akhirnya terlena jua.

Faizul membuka matanya perlahan. Dia tersentak melihatkan keadaan sekelilingnya.

‘Kenapa aku di sini?’

Dia terpinga-pinga. Bagaimana dia boleh berada di tempat ini? Dia perhatikan suasana tempat itu. Candi? Terdapat ukiran-ukiran patung Siwa dan Buddha di sana sini. Tiba-tiba dia terlihat sekumpulan manusia yang lalu di sebalik candi-candi tersebut, agak jauh sedikit dari dia berada. Dia bertambah panik bila melihatkan pakaian mereka tak ubah seperti zaman pemerintahan Betara Majapahit.

‘Zaman apakah ini??’

Bahunya terasa dipegang oleh seseorang. Dia pantas menoleh ke sisinya. Belum habis rasa terkejutnya melihatkan sekumpulan manusia yang melintas tadi, kini dia dikejutkan pula oleh seorang lelaki yang…yang rupanya…saling tak tumpah seperti DIRINYA! Bagaimana boleh wujudnya orang seperti itu??

“Faizul?”, tanya lelaki itu. Faizul masih tergamam memandangnya.

Lelaki itu tersenyum. “Aku Fazrul. Orang yang dibunuh dalam mimpi-mimpi yang selalu mengganggu tidur malammu”. Faizul masih tak mampu bersuara kerana rasa panik masih menguasai dirinya. Dia hanya mampu menatap wajah Fazrul dan menelan liur.

Melihatkan keadaan Faizul, dengan pantas, Fazrul meletakkan tangan kanannya ke atas kepala Faizul. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu lalu dihembuskan ke ubun-ubun Faizul. Beberapa saat kemudian, Faizul mula pulih seperti biasa. Ketika itu barulah Faizul mula bersuara walaupun masih dalam keadaan lemah.

“Bagaimana kau dan aku boleh berada di sini? Kita di mana ni? Ini zaman apa?”. Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Faizul kepada Fazrul.

Fazrul terdiam seketika sambil merenung Faizul. “Kita berada di zaman yang jauh terdahulu dari zaman kita. Dan aku pula adalah dari zaman yang jangakamasanya adalah satu abad dari zamanmu”.

Faizul terdiam. Satu abad? Itu bermakna, Fazrul telah pun hidup seratus tahun terdahulu dari dia!

‘Arrgghhhh!! Mengarut!! Bilakah semua ini akan berakhir??’

Sungguh, dunia ini penuh dengan mistik dan misteri.

[Bersambung]

KISS FROM A ROSE – Bhg 23

Beberapa hari kemudian…

Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, 2230 jam.

Suasana malam di hospital itu sungguh sunyi. Waktu melawat pun sudah habis sejak sejam yang lalu. Ilham  terlentang di atas katil dalam bilik khas dalam sebuah wad di hospital tersebut. Matanya masih merenung siling bilik, mengimbas kembali kisah beberapa hari yang lalu dan pagi tadi. Dia masih belum mengantuk. Mugkin jua kerana dia sudah puas tidur lewat petang tadi akibat dari kesan ubat yang diberi jururawat kepadanya. Akhirnya dia melepaskan satu keluhan berat. Dalam sekelip mata, bermacam-macam kejadian sudah menimpa. Tangan kanannya digerakkan lalu meraba dahinya yang berbalut. Masih terasa berdenyut dan sakit akibat serangan bertalu-talu itu tapi sedikit sebanyak sudah ada kurangnya. Dia cuba menggerakkan tubuhnya pula untuk bangun. Rusuk kirinya terasa pedih seperti ditusuk benda yang tajam tapi tidak seperit beberapa hari yang lalu. Dia menggagahi dirinya untuk bangun walaupun terasa berat dan payah. Akhirnya dia berjaya jua bangun dari pembaringannya dan kini duduk bersandar di hujung katil. Dia cuba menggerakkan kaki kanannya pula. Syukur. Sudah boleh digerakkan dengan baik walaupun masih terasa sakit.

Setelah dia duduk dengan tenang, mindanya kembali terarah kepada pertemuannya dengan rakannya, Arm, beberapa hari yang lalu dan pada pagi ini. Pertemuan pertama adalah ketika dia baru dikejarkan ke hospital ini dan diberikan rawatan intensif oleh pihak hospital. Arm bersama dua lagi anggota peringkat rendah datang menemuinya untuk mengambil statement tentang kejadian malam itu. Akan tetapi dia tidak mampu memberikan penerangan secara terperinci ketika itu memandangkan dia masih belum berdaya untuk bersuara. Pihak hospital pun menasihatkan mereka untuk memberinya masa untuk berehat sebelum diambil statement. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menemuinya hari ini setelah mereka mendapat tahu keadaannya sekarang sudah beransur pulih. Dia diajukan pertanyaan demi pertanyaan oleh dua anggota peringkat rendah yang sekali-sekala disampuk oleh Arm sendiri. Bagaimana pertemuan pada malam itu berlangsung? Bagaimana dia kenal lelaki itu? Apa hubungkait mereka berdua? Bagaimana rupa lelaki tersebut? Apa? Kenapa? Bagaimana? Di mana? Adakalanya dia terasa jenuh ditanya sebegitu rupa tapi dia tak dapat buat apa-apa. Ini merupakan salah satu prosedur yang mesti dilaluinya dan dia sebagai salah seorang pegawai polis, dia patut bersikap profesional kerana dia sepatutnya lebih tahu akan skop-skop tugasan seorang anggota polis.

Mengenangkan lelaki tidak dikenali tersebut, dia masih belum dapat cam rupa lelaki itu sepenuhnya. Apa yang dia ingat, lelaki itu bertubuh sasa dan tinggi, lebih kurang dalam 183 sentimeter. Wajahnya…dia hanya ingat lelaki itu seperti seorang lelaki Inggeris. Bagaimana bentuk rupanya yang sebenar, dia tak pasti sangat memandangkan waktu itu, keadaan sekelilingnya agak suram. Tapi apa yang dia yakin, lelaki itu rasanya bukannya lelaki Inggeris. Mungkin sekali dia cuma berdarah kacukan bangsa Inggeris memandangkan pertuturan Melayunya tak kedengaran janggal. Cuma…dari mana lelaki itu tahu tentang dia? Tahu yang  dia adalah salah seorang pegawai polis? Tahu namanya berserta pangkatnya sekali? Dia merasa pelik bagaimana lelaki itu tahu serba sedikit tentang dirinya. Dia menyandarkan kepalanya di bucu katil. Belakang tapak tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Pening rasanya memikirkan semua itu. Terlalu banyak teka-teki yang masih belum terjawab dengan baik. Sedang dia memikirkan tentang lelaki itu, dia teringat akan kes laman web rahsia mereka yang diceroboh oleh seseorang dari luar pasukan. Setahu dia, laman web tersebut mempunyai security yang cukup kuat. Tidak mudah diceroboh oleh penggodam-penggodam luar kecuali dari anggota-anggota pasukan itu sendiri. Lalu, siapa yang menceroboh laman web itu sebenarnya? Dia mengeluh untuk ke sekian kalinya. Tetapi dia mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan lelaki tersebut.

Dia tidak sedar untuk berapa lama dia berkeadaan sebegitu bilamana dia terdengar pintu bilik itu dibuka perlahan oleh seseorang. Dia diam membatu. Dia terasa seperti ada yang tidak kena dengan pergerakan tersebut. Nampak mencurigakan. Jika yang datang itu jururawat atau mana-mana petugas kesihatan, mereka tidak akan membuka pintu itu sebegitu perlahan. Pasti mereka membukanya seperti biasa. Hendak dikatakan ada orang yang melawatnya ketika ini…mustahil! Waktu ini bukan lagi waktu melawat.

Dengan segala kudrat yang ada dalam dirinya, dia bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi seterusnya. Dia berbaring semula atas katil dan memejamkan matanya rapat-rapat seolah-olah dia masih tidur. Kedengaran bunyi derapan kasut seseorang yang melangkah perlahan menuju ke arahnya. Sebaik saja bunyi itu berhenti tepat di sisi katilnya, tiba-tiba wajahnya ditekup dengan sesuatu sehingga menyukarkannya untuk bernafas. Mujur tenaganya masih bersisa. Dia berusaha sedaya upaya untuk menggerakkan kaki kirinya lalu menendang orang yang cuba membunuhnya. Kedengaran bunyi erangan seorang lelaki yang sedang kesakitan seterusnya meleraikan tekupan di wajahnya. Kelihatan seorang lelaki yang memakai pakaian serba hitam dan bertopeng tertunduk memegang perutnya. Tanpa berlengah lagi, Ilham menggagahi dirinya untuk bangkit dari katil tersebut lalu mengambil peluang untuk menyerang lelaki itu lagi. Kali ini dia menendang wajah lelaki yang sedang tertunduk itu. Lelaki itu kini terundur ke belakang lalu terduduk di atas lantai. Tidak cukup dengan tendangan, disikunya pula wajah lelaki itu sekuat hati sehingga terteleng ke kanan. Kesempatan yang ada digunakan Ilham dengan baik. Dengan sepantas mungkin, dia meluru menuju ke tandas yang berada di dalam bilik tersebut. Sebuah jendela kelihatan dan tanpa membuang masa, dia membuka jendela itu seluas-luasnya. Dia bernasib baik kerana tidak jauh dari jendela itu terdapat saluran paip. Dia memanjat jendela tersebut dengan sedikit kepayahan lalu kedua-dua tangannya pantas memaut saluran paip dan turun menggelongsor sehingga ke tingkat bawah sekali.

Sebaik saja dia berada di bawah, lelaki yang menyerangnya tadi merenungnya melalui jendela itu. Dia ternampak satu benda yang dipegang oleh lelaki tersebut. Spontan Ilham berlari meninggalkan tempat itu walaupun langkahnya dirasakan berat. Dia tahu apakah benda di tangan lelaki itu; selaras pistol! Sebaik saja dia berada di tempat letak kereta hospital berkenaan, dia ternampak seorang lelaki yang kelihatan masih muda sedang rancak berbual di telefon bimbitnya. Tidak jauh dari kedudukan pemuda berkenaan, sebuah kereta jenis Mazda RX-8 masih hidup enjinnya. Ilham yakin kereta itu kepunyaan pemuda tersebut. Dengan pantas dan berhati-hati, Ilham menyelinap masuk ke dalam kereta tersebut lalu memecut pergi dari situ. Pemuda itu yang tadinya rancak berbual kini berlari dan menjerit untuk mendapatkan semula keretanya tetapi terhenti setelah kereta itu jauh meninggalkannya.

Lelaki yang hendak membunuh Ilham tadi kini menanggalkan topengnya setelah berjaya meloloskan diri dari jendela tandas tersebut. Dia berjalan menuju ke tempat letak kereta dengan selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia sempat menoleh ke arah seorang pemuda yang keretanya telah di’curi’ oleh Ilham. Pemuda itu berlari menuju ke depan pintu masuk utama hospital dan mendapatkan beberapa orang pengawal keselamatan di situ. Mungkin untuk melaporkan tentang kejadian sebentar tadi. Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke dalam keretanya yang terletak di belakang sekali. Setelah dia duduk di tempat pemandu, dia memegang perutnya yang masih terasa sakit akibat ditendang oleh Ilham. Wajahnya juga terasa pedih akibat tendangan dan pukulan Ilham tadi. Dahinya berkerut dan berpeluh menahan kesakitan.

“Arrgghhhhh!”.

Dia kemudiannya menghempas steering keretanya berkali-kali menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap apa yang telah berlaku. Rancangannya untuk menamatkan riwayat Ilham pada malam itu menemui kegagalan. Ilham telah berjaya melarikan diri dan sebaliknya dia pula yang dibelasah oleh Ilham. Dia tidak dapat menerima kegagalan itu. Dia mesti mencari Ilham sampai dapat dan membunuhnya.

“Binatang!!”.

Sumpahnya kuat sebelum dia keluar dari perkarangan hospital itu.

Balai Polis Kuala Belait, Kuala Belait, 2340 jam.

Mujurlah jarak antara hospital dan balai polis tidak sejauh mana. Dan nasib juga dia masih ingat jalan menuju ke balai itu. Jika tidak, alamat dia tersesat di pekan itu.

Sebaik saja dia melarikan diri dari hospital, dia terus memecut kereta tersebut menuju ke Balai Polis Kuala Belait. Dia mesti cepat sampai ke sana sebelum lelaki tersebut berjaya menjejakinya semula. Tambahan pula tubuhnya sudah mula terasa sakit kembali setelah bergelut dengan lelaki itu tadi. Dia merasakan denyutan di kepalanya kembali menyerang dan rusuk kirinya yang cedera terasa menusuk. Begitu juga kaki kanannya. Sempat diliriknya sekilas keadaan baju pesakit yang disarungnya ketika itu bila dia merasakan seperti ada cecair hangat yang membasahi bajunya. Dia sudah dapat mengagak. Rusuk kirinya kembali berdarah dan kerana itulah terasa sakit yang teramat. Dia mempercepatkan kelajuan kereta supaya lekas sampai di balai.

Setelah beberapa minit dalam perjalanan, kini dia sudah pun berada di depan balai tersebut. Tanpa mematikan enjin kereta, dia terus keluar dan berjalan menuju ke dalam balai. Kakinya terasa lemah dan longlai sehingga dia terjelopok semasa melangkah ke dalam. Digagahinya langkahnya sehingga akhirnya dia rebah tepat di dalam balai. Suasana yang hening ketika itu bertukar menjadi kecoh. Anggota-anggota polis yang sedang bertugas bergegas mendapatkan Ilham yang rebah di lantai.

“Encik! Encik kenapa ni, encik?”, tegur salah seorang anggota polis yang mendapatkan Ilham. Dia nampaknya masih belum mengenali Ilham.

“Bawak dia ke dalam sekarang!”, arah seorang anggota berpangkat koperal.

Mereka yang lain menganggukkan kepala mendengar arahan itu. Baru saja mereka hendak mengangkat Ilham, seorang pegawai polis muncul di ruang itu menegur mereka semua.

“Apa yang riuh-riuh ni?”.

“Tuan”, jawab koperal tadi lalu menuding jarinya kepada Ilham.

Pegawai tadi bingkas mendapatkan Ilham lalu merangkak, memandang wajahnya.

“Ini kan pegawai polis juga? Pegawai dari ibu pejabat Gadong dalam unit khas. Bagaimana dia lepas ke mari? Bukankah dia ketika ini sepatutnya berada di hospital sini?”, soal pegawai itu bertalu-talu sambil telunjuknya menunjuk ke arah kedudukan Hospital Suri Seri Begawan. Dia turut memeriksa keadaan Ilham ketika itu.

Mereka yang mendengarkan kata-kata pegawai itu agak terkejut mendengarkannya. Baru mereka perasan yang orang itu adalah pegawai polis juga.

“Kami tidak tahu tuan. Tiba-tiba saja dia datang ke sini dan…”.

Belum sempat koperal itu menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran suara Ilham seperti mengerang kesakitan. Cepat-cepat mereka menghampirinya semula. Mereka melarang Ilham dari melakukan sebarang pergerakan apabila Ilham kelihatan berusaha untuk menggerakkan tubuhnya. Gerun juga mereka melihat kecederaan Ilham itu. Mereka mengangkat dan membawanya ke bilik rehat yang terletak di belakang ruang kaunter balai. Peti pertolongan cemas dibawa bersama lalu pembalut luka dikeluarkan. Ilham diberikan rawatan asas oleh anggota-anggota polis tersebut.

Pegawai polis tersebut yang sedari tadi memerhatikan anak-anak buahnya merawat Ilham melangkah menghampiri Ilham.

“Bagaimana ASP boleh terlepas dari hospital? Kenapa pergi sini?”, soalnya perlahan dan berhati-hati setelah dilihatnya Ilham menggerakkan kepalanya sedikit. Tubuh sasa Ilham yang kini tidak berbaju dibalut di bahagian rusuk kirinya untuk menghentikan pendarahan.

Bibir Ilham kelihatan bergerak. “Di…dia…”, katanya tersekat-sekat.

Pegawai itu mendengar dengan penuh perhatian. Dia?

“Siapa ‘dia’?”. Pegawai itu ingin memastikan siapa ‘dia’ yang dimaksudkan Ilham.

“Dia…dia…ma…mahu aku…mati…”, jawab Ilham.

Pegawai itu tersentak. Semua yang ada di situ turut terkejut mendengarkan jawapan Ilham itu.

“ASP. Siapa ‘dia’ tu?”, pegawai itu bertanya lagi. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan Ilham. Dia mahukan kepastian siapa ‘dia’ yang hendak membunuh Ilham itu.

Ilham termengah.

“A..aku…ta…tak…tahu…”, jawabnya perlahan dan tersekat.

Mendengarkan jawapan Ilham itu, pegawai itu segera mengarahkan seramai lima orang anggotanya pergi ke tempat kejadian untuk membuat siasatan awal. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Nampaknya kawalan keselamatan di hospital berkenaan agak loose sehinggakan penjenayah senang meloloskan diri ke dalam wad.

Di luar bilik rehat berkenaan, kedengaran bunyi riuh-rendah seperti orang yang sedang marah. Dia diam mendengar bunyi tersebut sebelum keluar dari bilik itu, meninggalkan Ilham seorang untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi di luar. Anggota-anggota lain sudah pun meninggalkan bilik rehat usai memberikan rawatan kepada Ilham. Seorang lelaki muda kelihatan sedang marah. Bersamanya ialah dua orang pengawal keselamatan.

“Ada apa ni?”, tanya pegawai berkenaan.

“Kereta saya dicuri!”, jawab pemuda tersebut kasar.

“Encik. Boleh kami tahu keterangan kereta encik?”, tanya salah seorang anggota polis yang berpangkat lans koperal.

Mazda RX-8 warna hitam!”, terangnya ringkas.

“Kereta itu?”, anggota polis berkenaan menunjuk ke arah sebuah kereta yang terletak di depan balai.

Pemuda dan pengawal-pengawal keselamatan tersebut serentak menoleh ke arah yang ditunjuk oleh anggota polis itu. Pemuda itu terkejut. Bagaimana keretanya boleh berada di situ? Adakah pihak polis telah menangkap pencuri itu? Tapi bagaimana pula mereka tahu sedangkan dia baru saja melaporkan perkara tersebut?

Pegawai polis itu menyembunyikan senyumannya setelah dia melihat reaksi pemuda tersebut. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Tapi curious juga dia bagaimana kereta pemuda itu boleh terdampar di depan balai berkenaan.

“Maaf encik. Rasanya kereta encik bukannya dicuri, sebaliknya digunakan untuk ke sini. Kami tahu ia adalah menjadi satu kesalahan menggunakan kereta seseorang tanpa keizinan tuan punya kereta tapi dalam kes ini, orang yang menggunakan kereta encik berada dalam bahaya yang boleh mengancam nyawanya. Apapun, kami akan siasat lagi hal ini. Kami akan ambil tindakan sewajarnya jika ianya tidak dapat dipertimbangkan”, jelas anggota polis tersebut panjang lebar.

‘Berada dalam bahaya?’. Pegawai itu lantas menoleh ke arah Ilham yang sedang berbaring di dalam bilik rehat. ‘Dia yang membawa kereta itu?’, mindanya bermonolog sendiri.

“Ahhh!!! Jangan beralasan! Sejak bila negara ini ada pembunuh?! Korang tak payah bagi alasan tak masuk akal! Terus terang sajalah yang korang ni pemalas nak buat kerja! Nak goyang kaki saja! Makan gaji buta! Polis memang tak guna!!””, pemuda itu membidas dengan kata-kata kesat.

Mendengarkan kata-kata pemuda itu, pegawai polis tersebut terasa darahnya menyirap ke kepalanya namun cepat dia mengingatkan dirinya supaya bersabar.

“Encik. Encik kata tiada pembunuh di negara ini. Boleh encik terangkan pada saya, apa yang sudah terjadi di negara ini beberapa hari lepas? Ketika itu heboh satu negara memperkatakannya. Tapi saya tak tahulah jika encik bukan seorang yang suka ambil tahu hal-hal dalam negara sendiri”, jawab pegawai itu tenang walaupun hatinya panas.

Pengawal-pengawal keselamatan yang menemankan pemuda tersebut ke balai hanya mengulum senyum mendengarkan kata-kata pegawai itu. Pemuda itu merenung tajam pegawai berkenaan lalu merengus kasar. Baru saja dia hendak membuka mulut membalas kata-kata pegawai itu, dua dari lima orang anggota polis yang dikerahkan untuk membuat siasatan di tempat kejadian kembali semula ke balai. Kelihatan seorang anggota berpangkat sarjan berjalan mendahului yang seorang lagi.

Sebaik saja dia melihat pegawai itu, dia memberikan tabik hormat. Pegawai tersebut membalas tabik hormatnya.

“Mana yang lain, sarjan?”, pegawai itu bertanya.

“Masih di tempat kejadian, tuan, untuk membuat siasatan lanjut”, jelas sarjan itu. “Tuan…”.

Dia tak menyambung terus kata-katanya sebaliknya menyuakan satu benda yang berbungkus di dalam beg plastik tanpa warna kepada pegawai itu. Bulat mata pegawai tersebut sebaik saja dia melihat benda di dalam plastik itu. Senjata api. Pistol setepatnya.

“Dari mana kamu dapat benda ini?”.

“Di tempat letak kereta hospital, tuan”, jawab sarjan berkenaan.

Pengawal-pengawal keselamatan yang masih berada di sana masing-masing terkedu mendengarkan penerangan sarjan tersebut. Pemuda itu yang tadinya ‘kencang’ kini hanya diam membungkam. Pegawai polis tersebut menoleh kepadanya.

“Negara ini tiada pembunuh kan?”.

Kata-kata pegawai itu kedengaran amat sinis.

Kampong Lambak Kanan, 0000 jam.

Puas dia mencuba untuk melelapkan mata tapi tak berjaya. Tak tahu kenapa dia merasa gelisah ketika ini. Dikatakan suhu bilik itu panas…kalau panas, takkan dia tarik selimut sampai hampir kepalanya. Tapi jika dikatakan terlalu sejuk pun mustahil. Dia takkan membiarkan kedua belah tangannya terunjur di luar selimut sekiranya suhu bilik itu terlalu sejuk. Suhunya biasa-biasa saja. Tak terlalu panas dan tak terlalu sejuk tapi dia tetap gelisah tak tentu pasal. Jam sudah pun menunjukkan angka 12 tengahmalam. Ada beberapa jam saja lagi untuk dia bersiap sedia tapi sampai ke saat ini dia masih berjaga. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bangun dan duduk di atas katilnya. Dia mengusap-usap rambutnya yang panjang paras belakang itu.

“Kenapa dengan aku ni?”, Zahra menyoal dirinya sendiri yang masih belum mahu tidur itu.

Selalunya dia sudah pun melelapkan mata dalam jam itu. Malah dalam jam 10 malam lagi dia sudah pun masuk tidur jika tiada tugas di sebelah malam. Tapi malam itu matanya masih segar sehingga ke lewat malam.
Telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja berdekatan katilnya bergegar menandakan satu mesej atau panggilan masuk diterima.

“Siapa pula yang texting aku malam-malam buta ni?”, rungutnya sendirian, lantas mencapai telefon bimbitnya untuk melihat pengirim mesej tersebut.

Setelah dia mengetahui siapa pengirim mesej itu, tanpa berlengah lagi dia membaca isi mesej yang dikirimkan kepadanya. Sebaik saja dia selesai membaca mesej tersebut, dia mengeluh kasar lalu tersandar di hujung katil dan memejamkan matanya.

Meeting lagi!”, gumamnya sendiri.

Sejak-sejak dia menjadi pemangku ketua unit, dia menjadi begitu sibuk. Lebih sibuk dari sebelum ini. Dialah yang menguruskan segala hal-hal unit, dari perkara kecil sehingga ke perkara yang lebih besar. Sebelum ini, Ilhamlah yang menguruskan hal-hal ‘atasan’ dan dia hanya melakukan tugasan seperti yang diarahkan oleh Ilham. Tapi kini, dia turut mengerjakan tugas dan tanggungjawab yang dipikul Ilham.

Mengenangkan Ilham, dia terfikir bagaimana perkhabaran Ilham ketika ini. Ada juga dia bertanyakan khabar Ilham pada rakan-rakan dan anggota-anggota lain tapi tak berkesempatan untuk bersembang dengan lebih lama memandangkan masih banyak lagi tugasannya yang perlu diselesaikan. Dalam dia merasa rimas terhadap Ilham, terasa juga dia mengambil berat akan lelaki itu. Masakan tidak. Ilham itu ketuanya yang juga rakannya sewaktu sama-sama dalam pengajian dulu. Memang patut jugalah dia mengambil berat. Dia cuma tak berapa berkenaan dengan sikap Ilham yang ingin menghampiri dirinya. Pernah sekali dia mendapati Ilham merenungnya penuh asyik. Seriau juga dia melihat pandangan mata Ilham ketika itu. Hampir tercekik pun ada rasanya. Tapi dia tetap berlagak biasa bila berada depan Ilham. Lama-kelamaan dia naik lali dengan situasi begitu.

Dia melirik jam loceng hampir katilnya. Sudah 12 lebih! Risau juga dia matanya masih belum mahu mengantuk. Dia tak tahu apa puncanya. Adakah disebabkan malam ini merupakan yang pertama kali selepas beberapa lama dia meninggalkan rumah ini? Ya, selepas kejadian rumah ini digeledah, agak lama dia dan Anna meninggalkan rumah ini buat sementara waktu sehingga siasatan yang dijalankam selesai. Kini dia kembali semula mendiami rumah ini. Anna pula masih tinggal di rumah sepupunya. Tinggallah dia seorang saja di situ malam itu.

Dia tak mahu fikirannya terganggu ketika mesyuarat pagi nanti. Dia mesti memaksa dirinya untuk tidur juga saat itu. Dia bebaring semula lalu menarik selimutnya sehingga ke kepala. Setelah agak lama dia berkeadaan sebegitu, akhirnya berjaya juga dia melelapkan matanya.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 22

Kementerian Pertahanan, Kem Bolkiah, 0500 jam.

Keadaan pejabat masih lengang. Tidak ada satu pun kelibat manusia yang lalu-lalang dan berkeliaran di dalam pejabat tersebut kecuali dirinya. Kalau ada pun hanyalah polis-polis tentera yang berkawal di luar bangunan dan di tempat masuk ke setiap tingkat bangunan tersebut. Matanya meliar, memeriksa keadaan pejabat berkenaan untuk memastikan bahawa tiada seorang pun yang berada disana ketika itu kecuali dirinya. Setelah dia pasti dan berpuas hati, dengan pantas dia meluru masuk ke dalam sebuah bilik penyimpanan data-data rahsia pasukan dan negara. Bilik tersebut sebenarnya di handle oleh seorang pegawai bahagian IT dan mempunyai sistem kawalan yang sangat ketat untuk memasukinya. Tetapi dia telah berjaya menceroboh masuk tanpa diketahui oleh anggota-anggota lain, termasuklah pegawai IT. Apa yang orang tak tahu, dia juga mempunyai kebolehan yang tinggi di dalam bidang IT terutama sekali godam atau hack. Sebelum dia memasuki bilik tersebut, dia terlebih dahulu memastikan segala rangkaian kamera litar tertutup yang ada telah digodam supaya tidak berfungsi dengan baik ketika keberadaannya di sana.

Setelah dia berada di dalam bilik tersebut, dia terus mendapatkan sebuah komputer yang diletakkan tidak jauh dari pintu bilik. Dia perlu bertindak secepat mungkin sebelum anggota-anggota lain mula memasuki pejabat berkenaan dalam jam enam lebih nanti. Matanya ralit mencari sesuatu di dalam komputer tersebut tanpa berkalih sedikit pun. Dia berterusan sebegitu dalam masa setengah jam sehinggalah ke satu saat, wajahnya tiba-tiba berubah. Khusyuk dia membaca segala maklumat yang terkandung di dalam data yang baru dijumpainya itu. Dan wajah yang terpampang di dalam data itu…ya, wajah itulah yang dia nampak sewaktu bertembung dengannya di Kuala Belait kelmarin.

“Bekas pegawai polis? Mana rekodnya yang seterusnya?”, dia menyoal dirinya sendiri.

Rekod tentang bekas pegawai polis yang dimaksudkannya itu terhenti setakat kes pemecatannya saja. Apa yang terjadi dan apa jua kegiatannya selepas itu langsung tidak diketahui. Tidak ada pemantauan susulan dari pihak berkuasa terhadapnya.

‘Atau mungkin tidak direkodkan? Ataupun dia seorang yang licik dan sukar dijejaki? Atau…atau…arrggghhhhh!!!’, mindanya bermonolog.

Apa yang pasti, dia merasa tidak berpuas hati terhadap data tersebut. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang bekas pegawai polis berkenaan, tambahan pula mempunyai rekod jenayah sebelum dipecat. Dia yakin, ada sesuatu yang ‘hilang’ dari data berkenaan. Amat yakin.

Jam ketika itu telah pun menunjukkan lima minit lagi ke angka enam. Dia bingkas bangun dan menutup semula komputer tersebut, seterusnya memulihkan semula keadaan kamera litar tertutup seperti sediakala. Dia berjalan keluar dari bilik dan pejabat tersebut seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Dalam masa yang sama, di tempat lain…

Ibu Pejabat Polis, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong.

Kecoh! Awal pagi yang sepatutnya aman dan tenang menjadi begitu kecoh dan sibuk. Mereka baru saja menerima laporan dari Balai Polis Panaga 15 minit yang lalu; salah seorang pegawai dari cawangan Ibu Pejabat Polis Gadong mengalami kecederaan serius setelah dijumpai terlantar di tempat letak kereta di Taman Jubli Anduki, Seria lewat tengahmalam semalam dan kini terpaksa dihantar ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait untuk menjalani rawatan. Hasil siasatan awal mendapati pegawai tersebut dipercayai dipukul di bahagian muka dan ditembak di rusuk kiri serta kaki kanannya ditikam bertalu-talu oleh seseorang. Ditembak?

Berkerut dahi Armin atau panggilannya Arm mendengarkan penjelasan tersebut. Bagaimana boleh berlaku tembakan? Dari mana orang tersebut mendapatkan senjata api? Apa sebenarnya yang telah terjadi? Apa motifnya? Siapa orang itu? Apa? Bagaimana? Kenapa? Berbagai persoalan menerjah minda Arm. Sesungguhnya, apa yang terjadi pada awal pagi ini sangat memeningkannya. Serasa berputar dunianya ketika ini. Dan apa yang lebih mengejutkannya lagi, rakan sejawatnya sendiri yang terlibat di dalam kes ini. Dia mahu melihat sendiri keadaan rakannya itu ketika ini dan mendengar penjelasan rakannya dengan telinganya sendiri tentang apa yang terjadi.

Tiba-tiba dia teringat akan Zahra. Adakah dia telah maklum akan kes ini memandangkan Zahra merupakan penolong pegawai tersebut? Tapi jika dia fikirkan semula, seperti mustahil pula jika Zahra belum maklum. ‘Tapi apa pula mustahilnya?’, fikirnya lagi. Dia menjadi serba salah samada hendak menghubungi Zahra ataupun sebaliknya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membiarkan saja. Dia yakin, Zahra telah dimaklumkan melalui pengarah jabatannya.

Seorang anggota berpangkat rendah datang menemuinya beberapa minit kemudian.

“Tuan. Ada call dari Hospital Suri Seri Begawan untuk tuan”, lalu dia menyuakan telefon bimbitnya kepada Arm.

Arm segera menyambut telefon bimbit tersebut.

“Helo, ASP Armin bercakap”, Arm memulakan perbualan.

Lama dia terdiam mendengarkan segala butiran kata yang dicakapkan di talian sebelah sana. Hanya sekali-sekala dia menyampuk.

“Ya, baiklah. Saya akan ke sana sekarang”. Arm seterusnya mematikan talian setelah perbualan tersebut tamat lalu menyerahkan semula telefon bimbit tersebut kepada anggota berpangkat rendah berkenaan.

“Ada apa tuan?”, tanyanya inginkan kepastian.

“Ada tugas di sana, sarjan. Awak dan Koperal Alisham, ikut saya ke Hospital Suri Seri Begawan sekarang”, arah Arm.

Demi mendengarkan arahan tersebut, mereka pun bersiap dalam kadar segera. Mereka harus menyoal siasat pegawai berkenaan mengenai kejadian semalam. Dan Arm sendiri pun sememangnya tak sabar hendak mengetahui kisahnya.

Kejadian semalam…

Taman Jubli Anduki, Seria, 1900 jam.

Dia menghentikan enjin sebaik saja meletakkan keretanya di tempat letak kereta taman berkenaan lalu keluar dari perut kereta dan berdiri tidak jauh dari situ. Matanya meliar memerhatikan sekeliling taman untuk memastikan tiada sebarang pergerakan yang mencurigakan di situ walaupun keadaan waktu itu agak gelap. Dia mengerling jam tangannya. Sudah pun masuk jam 7 malam. Tapi kelibat manusia yang dinantikan nampaknya masih belum kunjung tiba.

Kerana bosan menantikan kehadiran orang yang ditunggu, dia cuba menggagahkan diri untuk berjalan-jalan di sekeliling taman tersebut sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Adakalanya dia duduk di atas pagar penghadang berdekatan tasik taman. Melihatkan jam sudah makin beranjak jauh ke larut malam, dia mula merasakan dirinya seperti ditipu oleh lelaki yang menghubunginya pagi tadi lalu membuat keputusan untuk pulang semula ke Muara. Hatinya ketika itu berbaur antara ingin tahu, letih dan marah kerana merasakan masanya telah terbuang begitu saja.

Baru saja dia berpaling ke belakang dan hendak melangkah menuju ke keretanya semula, tiba-tiba…

Hello ASP Ilham. Nice to see you in person“.

Seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba berdiri betul-betul di depannya dan hanya dalam jarak beberapa meter saja darinya. Dia cuba mengamati wajah lelaki tersebut bilamana kedengaran bunyi tembakan pistol yang menggunakan silencer dilepaskan.

Dia terasa rusuk kirinya tersangat pedih dan perit sehinggakan akhirnya dia tidak mampu lagi untuk menampung kekuatan tubuhnya. Dia rebah di situ juga. Serasa peluhnya bercucuran membasahi pakaiannya dan dalam masa yang sama seperti ada cecair yang pekat dan hangat keluar dengan begitu banyak sehingga membasahi rusuk kirinya yang terasa perit itu. Nafasnya terasa kencang dan tersekat. Dia kesakitan. Dia tahu dia telah ditembak oleh lelaki itu.

Lelaki yang menembaknya tadi, kini berada disisinya yang telah terlentang di atas tempat letak kereta yang tidak jauh dari keretanya.

Well, ASP Ilham. Tell me about something you know regarding the syndicate that you and your team currently pursue. Aku tahu kau mempunyai maklumat yang cukup tentangnya. Just…tell…me…“, dia sengaja meleretkan suaranya ketika dia mengucapkan ayat-ayat yang terakhir tersebut sambil memain-mainkan pistolnya di depan Ilham.

No fucking way!“, balas Ilham kasar dan dalam nada tersekat-sekat. Dia tahu, lelaki ini pasti mempunyai niat jahat.

Lelaki tersebut merenungnya tajam. Beberapa saat kemudian dia melepaskan tawa ‘histeria’nya sebelum melepaskan satu tumbukan ke wajah Ilham. Ilham mengerang kesakitan.

“ASP Ilham. Aku ajukan pertanyaan aku sekali lagi. Tell me everything you know about the syndicate. Apa yang sudah kau ketahui tentangnya? Dari siapa? Dan bagaimana?”, tanyanya sekali lagi dengan nada yang lebih keras.

“Aku takkan beritahu apa-apa kepada manusia bangsat seperti kau”, jawab Ilham perlahan.

Sebaik saja dia mendengarkan jawapan Ilham itu, dia menghentakkan butt pistolnya ke wajah Ilham dengan sekuat hati. Sekali lagi kedengaran erangan Ilham.

“Kau memang hebat tuan ASP. Masih belum mahu membuka mulut ya? Aku mahu bertanya sekali lagi. Apa yang kau tahu tentang sindiket itu? Where did you know it? Who told you about it? How?“. Dia bertanyakan soalan yang sama kepada Ilham untuk ke sekian kalinya.

“Kau tak perlu tahu apa-apa tentang yang aku tahu. Itu bukan urusan kau!”. Ilham tetap tidak memberikan kerjasama kepada lelaki itu.

Lelaki itu sudah naik berang dengan jawapan Ilham. Kali ini dia memukul wajah Ilham bertubi-tubi sehinggakan darah banyak mengalir dari bibir dan hidungnya. Dia dibelasah teruk oleh lelaki itu sehinggakan dia menjadi semakin lemah. Setelah lelaki itu puas memukulnya, dia cuba bersuara lagi.

“ASP Ilham! Aku akan tanya kau lagi buat kali terakhir. Where…“.

Belum pun sempat dia menyudahkan pertanyaannya, Ilham terlebih dulu membalasnya.

“Aku tetap…tak akan…beritahu…apa-apa…kepada kau!”, ujarnya tersekat-sekat.

Fine, ASP. Kalau begitu jawapan kau…”, dia terhenti seketika dan meraba saku tepi seluarnya lalu mengeluarkan sebilah pisau komando. “…Aku akan berikan kau hadiah istimewa sebelum aku mengucapkan selamat tinggal pada kau”, sambungnya.

Sebaik saja dia menyudahkan kata-katanya, dia terus menusuk kaki kanan Ilham dengan pisau komando tersebut.

“Arrggghhhhhhh!!”, jeritan Ilham memecah kesunyian di taman tersebut.

Tidak cukup sekali, dia menusuk kaki kanan Ilham bertalu-talu sehingga darah membasahi seluarnya dan tar jalan di tempat letak kereta berkenaan. Setelah dia berpuas hati, dia bangkit meninggalkan Ilham dan tempat itu dengan segera.

Ilham sudah tidak berupaya memandang lelaki tersebut, jauh sekali hendak menahannya dalam keadaan sebegitu. Apa yang dia tahu, seluruh tubuhnya berasa kesakitan yang teramat sangat dan semakin lama. Lama-kelamaan pandangannya semakin kelam sehingga akhirnya dia langsung tidak sedarkan diri lagi.

Kementerian Pertahanan, Kem Bolkiah, 1000 jam.

Dia melangkah dengan perlahan menuju ke mess di dalam kem tersebut. Hari ini merupakan hari pertamanya bertugas di sana atas arahan pegawai memerintahnya. Dia meninggalkan Kem Muara buat sementara waktu sehingga tugas-tugasnya di Kementerian Pertahanan selesai.

Rasanya perutnya masih belum terlalu lapar. Masih boleh tahan lagi hingga tengahari tapi dia cuma mahukan kopi panas. Sampai di mess, dia mengambil tempat tidak jauh dari pintu masuk. Senanglah dia keluar nanti. Tak jauh. Sebelum itu, dia sempat mengambil senaskah surat khabar tempatan untuk mengisi masa rehat selama setengah jam itu. Dia membelek muka surat belakang surat khabar tersebut. Perlawanan bolasepak diantara DPMM FC dan Tampines Rovers FC di Clementi Stadium, Singapura berakhir dengan kemenangan pasukan DPMM FC. Segar matanya membaca berita tentang kemenangan pasukan kegemarannya itu. Dah nasib perlawanan tersebut diadakan di negara seberang. Kalaulah ianya diadakan di negara ini…hmmm! Memang dia takkan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri perlawanan tersebut.

Dia membelek lagi muka surat seterusnya sehinggalah sampai ke satu muka surat yang membuatkan dahinya berkerut seribu. ‘Pegawai polis cedera parah dalam satu kejadian disyaki kes jenayah’. Tajuk artikel berkenaan begitu menarik minatnya untuk terus membaca keseluruhan isi artikel tersebut. Setelah dia selesai membacanya, dia menghempaskan satu keluhan berat. Dia segera menutup surat khabar tersebut dan mengembalikan ke tempat asalnya sebelum kembali ke tempat duduknya.

Kopi yang dipesannya tadi telah pun sampai. Dia menghirup perlahan kopi tersebut. Mindanya masih berlegar mengingati berita yang sungguh mengejutkannya itu. Rasanya mungkin bukan dirinya saja tapi seluruh negara. Dia dapat merasakan yang penjenayah-penjenayah di negara ini sudah semakin berani bertindak agresif sehingga melibatkan nyawa penguatkuasa undang-undang.

Tiba-tiba dia teringatkan kes jenayah berprofil tinggi yang sedang mereka buru sekarang. Saat itu juga dia seperti mengesyaki bahawa kejadian yang melibatkan pegawai polis berkenaan ada kaitan dengan kes tersebut. Seingatnya, belum pernah ada kes-kes jenayah yang begitu berani seperti ini. Paling berani pun hanya melibatkan senjata tajam. Tapi yang ini? Pegawai tersebut disyaki ditembak di bahagian rusuk kirinya. Apa maksudnya jika sudah sampai ke tahap itu? Dan yang lebih penting lagi, dari mana penjenayah tersebut mendapatkan senjata api? Setakat ini, hanya kes yang mereka siasat saja yang terlibat dengan penyeludupan senjata api. Kerana itulah pihak tentera berganding bahu dengan pihak polis dalam menyelesaikan kes ini memandangkan ianya benar-benar boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. Ianya bukan setakat penyeludupan senjata api tapi lebih dari itu. Tamak dan rakus, itulah yang mendorong mereka melakukan kerja-kerja kotor tersebut.

Sedar tak sedar, kopinya sudah pun habis dihirupnya. Fikirannya kembali memikirkan maklumat yang didapatinya awal pagi ini tadi. Dia memang yakin. Teramat yakin yang itulah orangnya yang dia terserampak kelmarin. Yang gerak-gerinya nampak sungguh mencurigakan. Semalaman dia memikirkan tentang lelaki yang mencurigakan itu sehingga dia mengambil keputusan untuk melakar wajah lelaki itu di atas sehelai kertas.

Malam itu juga dia menghubungi rakannya yang bertugas di bahagian intelligence untuk meminta bantuan tentang lelaki berkenaan. Dia menghantar lakaran tersebut kepada rakannya melalui faks. Kebetulan rakannya itu ada tugas pada sebelah malam, jadi senanglah rakannya membantunya secepat mungkin. Itupun dalam jam 3 pagi baru dia menerima balasan dari rakannya. Rakannya hanya menghantar maklumat asas mengenai lelaki berkenaan tetapi tidak secara detail. Serabut juga fikirannya memikirkan maklumat yang sedikit itu kerana baginya itu masih belum mencukupi. Kerana itulah dia membuat keputusan untuk menyelinap masuk ke dalam pejabat IT awal pagi tadi. Berpandukan maklumat yang sedikit itu, dari situlah dia dapat membongkar segala maklumat yang lebih banyak tentang lelaki itu yang tersimpan di dalam komputer penyimpanan data-data rahsia di sebuah bilik dalam pejabat IT berkenaan. Tetapi dia tetap masih tak berpuas hati. Apa yang terjadi pada lelaki tersebut selepas pemecatannya dari pasukan polis? Adakah dia telah didakwa di mahkamah? Terlepas begitu saja kerana tiada bukti kukuh? Ataupun dia baru saja lepas dari menjalani hukuman yang telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah? Kalau tidak, bagaimana dia boleh lepas begitu saja? Bahagian intelligence pun nampaknya seperti kekurangan maklumat mengenainya. Pening juga kepalanya memikirkan hal itu.

“Hei, Zan. Kau jangan nak mengelamun panjang sana tu. Pukul berapa lagi kau nak masuk ofis, ha?”, sergah seseorang sehingga menghancurkan lamunannya.

Dia menoleh kepada empunya suara. ‘Laa, dia rupanya!’ hatinya berkata-kata.

“Bila kau sampai sini?”, tanyanya pada rakannya yang menegurnya tadi.

Time kau tengah mengelamun. Tu lah kau. Lain kali jangan mengelamun sangat sampai geng datang pun kau tak sedar!”, bebel rakannya lagi.

Dia hanya tersenyum mendengarkan kata-kata rakannya itu lalu bangkit dari tempat duduknya, bersedia untuk meninggalkan mess tersebut.

“Okey. Sekarang kita naik ke pejabat. Kau jugak nanti bertanya pukul berapa lagi nak masuk”, katanya sambil melangkah menuju ke pintu.

“Kau jangan nak tinggalkan aku pula!”, laung rakannya lalu meluru kepadanya.

Dia hanya ketawa melihatkan telatah rakannya itu.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 21

Kampong Sungai Liang, Jalan Labi, Belait, 1500 Jam.

Sampai di rumah, dia terus meluru masuk ke dalam biliknya. Dia menyelongkar komputer ribanya lalu memasang sebuah pendrive kecil ke dalam komputer tersebut. Dia membuka satu folder yang berisi maklumat yang baru saja dimuat-turunnya tadi dan meneliti sekali lagi maklumat itu.

“ASP Ilham Waqiuddin. Hebat tuan ASP” lalu dia tersenyum sinis sambil memandang wajah yang terpampang di depan skrin komputer ribanya.

Dia membuka laci mejanya dan mengeluarkan sebuah fail berwarna biru muda. Beberapa helai kertas yang merupakan maklumat-maklumat peribadi tersimpan kemas di dalam fail tersebut. Dia menyelak sehelai demi sehelai lalu terhenti pada sehelai kertas. Dia menatap lama kertas yang memaparkan satu foto seorang pegawai polis yang berukuran passport berserta maklumat tentangnya sekali dan membaca isi kandungan yang tercatat di dalamnya dengan tekun.

“ASP Adam Mikhael Murdoch. Left in January. Heh”.

Sejurus kemudian, dia menutup fail tersebut lalu menghempaskannya ke atas meja. Dia menolak kerusi dengan kasar dan melangkah menuju ke depan cermin hias yang besar yang terletak berdekatan dengan meja tersebut. Dia merenung lama wajahnya sendiri.

Mindanya berputar kembali mengingati masa lalu. Dia dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana budaya barat memandangkan dia dan keluarganya menatap di negara Uncle Sam selama bertahun-tahun lamanya sehingga dia menginjak ke usia pertengahan remaja. Ayahnya merupakan seorang lelaki berketurunan Inggeris-Amerika dan ketika itu ayahnya masih berkerja di negara kelahirannya sebelum mendapat tawaran berkerja di Brunei. Dari sejak awal remaja lagi dia sudah mengenali arak dan pergaulan bebas yang tidak terbatas. Dia benar-benar liar ketika zaman awal remajanya sehingga prestasi akademiknya terjejas. Ketika dia berusia 17 tahun, dia dan keluarganya berpindah ke Brunei setelah ayahnya mendapat tawaran pekerjaan di negara ini lalu mereka membuat keputusan untuk tinggal bersama keluarga abang kepada ibunya sebelum mendapatkan rumah sendiri. Ibunya merupakan anak jati Brunei.

Sejak dia bertemu sepupu-sepupunya, dia mula berubah dari seorang remaja yang liar kepada seorang yang baik peribadinya memandangkan keluarga ayah saudaranya itu terdiri daripada orang-orang yang arif di dalam agama. Sungguh jauh berbeza dengan keluarganya sendiri termasuklah ibunya. Dari sana juga dia mula mengenal solat serta bacaan Al-Quran. Di negara ini, dia melanjutkan persekolahannya di sebuah sekolah swasta antarabangsa sehingga ke peringkat A Level. Sebaik sahaja tamat pengajian tingkatan enam dan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, dia melanjutkan lagi pengajiannya ke peringkat tinggi di salah sebuah universiti di Jerman selama 4 tahun.

Dia mengambil keputusan untuk memohon menjadi pegawai polis selepas dia menamatkan pengajian ijazah sarjana mudanya. Dari situlah, ketika dia berada di dalam pasukan tersebut sejarah hitam terpalit di dalam hidupnya. Sebaik sahaja dia menamatkan kursus asas pegawai polis selama 9 bulan serta kursus asas Skuad Gerakan Khas selama beberapa bulan seterusnya, dia ditempatkan di Unit Skuad Gerakan Khas sebagai ketua unit di unit tersebut. Tetapi tidak lama kemudian, dia dipanggil oleh pihak atasan dan apa yang mengejutkannya, dia diberitahu bahawa pihak pasukan akan mengambil tindakan tatatertib seterusnya memecatnya dari pasukan atas tuduhan menyeludup dadah dan arak serta menerima rasuah. Kesnya dibawa ke mahkamah dan dia dibicarakan tetapi sempat melarikan diri ke negara ayahnya, Amerika Syarikat apabila pihak mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman kepadanya. Dia tidak tahu bagaimana semua itu terjadi sedangkan dia tak pernah melakukan semua itu. Dia sudah berubah dan tak pernah lagi menyentuh benda-benda haram itu sebaik berpindah ke negara ini. Kini dia di dalam buruan pihak polis dan termasuk di dalam senarai orang yang dikehendaki.

Dia kecewa. Teramat kecewa bilamana dia dikhianati sebegitu rupa. Dia sedih apabila bukti-bukti palsu yang ditunjukkan kepada pihak penyiasat itu dikaitkan dengannya. Dan apa yang lebih menyedihkannya, dia tidak diberi peluang untuk bersuara dan membela diri sebaliknya terus dijatuhkan hukuman ke atasnya. Sejak itu, dia kembali berubah menjadi liar dan kali ini bersekongkol dengan sebuah kumpulan kongsi gelap hanya untuk membalas dendam. Dia bertekad mahu mencari siapa dalang di sebalik pengkhianatan tersebut.

Sekarang tempatnya telah diambil alih oleh seorang pegawai baru yang kini menjadi salah seorang sasaran utama kumpulan kongsi gelap yang disertainya. Dan ketika itu juga dia teringat akan berita yang baru diterimanya sebentar tadi; ada beberapa orang lagi anggota-anggota keselamatan yang menjadi sasaran utama mereka dan diantaranya ialah seorang pegawai polis wanita dalam Unit Skuad Gerakan Khas yang juga merupakan penolong kepada ASP Ilham Waqiuddin serta seorang lagi merupakan pegawai tentera di dalam unit khas tentera.

Mengingatkan itu, dia bertekad akan mencari lagi maklumat-maklumat tentang mereka tetapi bukan sekarang. Malam ini pula dia memutuskan untuk berdepan sendiri dengan ASP Ilham Waqiuddin. Ada perkara yang mesti dilunaskan juga pada malam nanti dan itu juga akan menentukan nasibnya sendiri. Jiwa yang berkecamuk itu mesti dilegakan secepat mungkin sebelum ianya menjadi lebih parah.

Setelah lama melayan ingatan silam yang kembali menerjah minda, dia bergerak menghampiri sebuah almari kecil lalu membukanya. Dia pantas mencapai sebuah kotak hitam yang terletak di aras bawah almari dan membuka penutup kotak tersebut. Selaras pistol jenis Smith & Wesson SD9 Self Defense serta sebilah pisau komando kelihatan lalu dikeluarkan dari dalam kotak. Dia mencekah pistol tersebut dan menarik picunya untuk memastikan pistol tersebut masih berfungsi dengan baik. Beberapa buah magazine yang masih berisi peluru dicapai lalu dimasukkan ke dalam saku jaketnya manakala pisau komando disisipkan ke dalam saku tepi seluarnya.

Selepas semua peralatan yang dikehendaki telah tersedia, dia pun berlalu dari biliknya dan seterusnya meninggalkan rumah itu. Dia menuju ke sebuah destinasi tertentu sebelum menuju ke destinasi seterusnya, yang mana akan menemukan dia dengan Ilham pada malam nanti.

Dengan langkah yang mantap berserta genggaman tangannya yang cukup padu, dia akan pastikan apa jua rancangannya selepas ini akan terlaksana menurut apa yang telah dirancang. Itulah Adam bersama dendamnya.

Kampong Beribi, 1600 Jam.

Sudah dua hari dia kembali tinggal bersama keluarganya setelah beberapa hari bersama rakannya di Kuarters Bujang Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei di Anggerek Desa. Semangatnya yang merundum beberapa hari yang lalu kini semakin pulih. Ya, dia tak akan benarkan dirinya terus-menerus dalam keadaan sugul dan tertekan. Bagaimana dia akan menyempurnakan tugasannya dengan baik nanti jika dia berterusan berkeadaan sebegitu? Kerana itu dia berusaha untuk memulihkan semangatnya dan dia juga cuba untuk melupakan peristiwa-peristiwa yang mengganggu jiwanya sebelum itu.

Petang itu dia bersendirian di rumah memandangkan ahli-ahli keluarganya yang lain berjalan menghadiri sebuah kenduri salah seorang saudaranya di Daerah Tutong. Dia bangkit dari tempat duduknya setelah puas mengelamun lalu berjalan menuju ke sebuah bilik yang juga merupakan sebuah gim khas untuk mereka sekeluarga. Sepasang glove khas untuk latihan seni mempertahankan diri dicapai dan dipasang pada kedua belah tangannya. Kini dia berdiri tepat menghadap sebuah punch bag yang tergantung di dalam gim tersebut. Dia membuka langkahnya perlahan dan membongkokkan sedikit badannya. Kedua-dua tangannya yang tersarung glove digenggam menjadi penumbuk. Penumbuk kirinya dihalakan tepat kepada punch bag, manakala penumbuk kanannya diletakkan separas dadanya. Sejurus kemudian dia mula menumbuk punch bag tersebut bertalu-talu dan pantas, bergantian antara kiri dan kanan. Dia berterusan membuat latihan tersebut selama sejam.

Setelah dia selesai melakukan pergerakan boxing, dia cuba merehatkan diri seketika dan duduk di atas sebuah bangku panjang di dalam gim itu sebelum memulakan senaman gim yang lain lagi. Peluh bercucuran membasahi tubuh sasanya yang disarungi sehelai baju sukan tanpa lengan. Dalam pada itu, mindanya tiba-tiba terarah kepada sebuah peristiwa dimana dia bertembung dengan seseorang pada pagi tadi. Dahinya berkerut memikirkan hal itu. ‘Siapa lelaki tu? Aku rasa aku seperti mengenalinya’ bisik benaknya sendiri.

Awal pagi tadi dia telah pun turun ke Kuala Belait untuk mencari barang-barang pesanan kedua orang tuanya. Puas dicari barang-barang tersebut di merata tempat dalam Daerah Brunei-Muara dan juga Tutong tetapi malangnya barang-barang yang dikehendaki itu sudah pun habis dan tiada stok lagi. Maka terpaksalah dia pergi jauh ke Kuala Belait hari itu. Dia berharap sangat barang-barang yang dipesan itu ada di sana. Jika tidak, alamatlah dia terpaksa meredah Sungai Brunei untuk ke Daerah Temburong semata-mata untuk mencari barang-barang tersebut. Hendak pergi ke negara jiran, passportnya disimpan oleh pihak atasan tentera. Jika dia berkehendakkan passport tersebut maka terpaksalah dia memohon kebenaran bertulis untuk dilepaskan passport tersebut kepadanya.

Sudahnya dia terpaksa bangun awal pada hari itu supaya awal pula sampai ke Daerah Belait. Ketika tiba di Kuala Belait, jam sudah pun menunjukkan angka 9.30 pagi. Kebanyakan kedai yang ada disana masih belum buka. Hanya beberapa buah kedai makan dan runcit sahaja yang telah pun buka sejak awal lagi termasuk sebuah cybercafe.

Dia membuat keputusan untuk meletakkan keretanya di kawasan letak kereta berdepanan deretan kedai di tengah Kuala Belait. Dia memilih tempat letak kereta di hujung sekali dan hanya berjalan kaki dari sebuah ke sebuah kedai di pekan itu walaupun cuaca ketika itu tidak begitu mengizinkan. Seronok juga bila sesekali berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat dalam jarak yang agak jauh. Dalam masa yang sama dia juga berpeluang untuk menikmati pemandangan di kawasan itu sungguhpun ketika itu ianya sudah diselaputi hujan yang turun dalam kapasiti yang sederhana. Rasanya sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya ke Kuala Belait ini. Bila dia datang ke daerah ini pun hanya atas urusan tugas dan destinasinya hanya setakat di Kem Batalion Ketiga di Lumut, Seria. Tak pula sampai ke sini. Kerana itulah dia menikmati sepuas-puasnya suasana pekan itu.

Ketika berada di depan sebuah cybercafe, seorang lelaki tidak dikenali yang mengenakan jaket dan hood yang menutup kepala serta sedikit wajahnya meluru keluar dari cybercafe itu secara tiba-tiba dan hampir-hampir saja terlanggar dirinya. Dia tak tahu samada lelaki itu perasan akan perbuatannya itu atau tidak kerana lelaki itu berjalan menuju ke arah yang sama halanya dengan perjalanannya. Untuk seketika dia memang merasa marah dengan tindakan lelaki itu. Mana dia letakkan matanya??

Tetapi kemarahannya tidak lama. Setelah dia mengingati kembali wajah lelaki tersebut yang sempat dilihatnya sekilas tadi, dia seperti terpanar seketika. Dia cuba mengingati semula dimana dia pernah nampak lelaki tersebut. Dia berusaha untuk menimbulkan semula ingatan-ingatan yang lepas semata-mata untuk menemukan identiti lelaki tidak dikenali tersebut tetapi sungguh menghampakan. Dia masih belum dapat mengenali lelaki tersebut walaupun dia dapat merasakan seperti pernah melihatnya sebelum ini. ‘Atau déjà vu saja?’ soalnya sendiri.

Pergerakan tergesa-gesa lelaki itu sungguh mencurigakannya. Dia dapat merasakan seperti ada yang tak kena pada lelaki itu tetapi dia mencuba untuk tidak menghiraukannya walaupun hakikatnya dia mula merasa kurang senang dengan sikap lelaki tersebut. Dia tidak tahu apa yang cuba disembunyikan oleh lelaki itu sehingga begitu sekali perlakuannya.

Dia terfikir untuk mengekori lelaki tersebut sekadar mencari kepastian siapakah gerangan lelaki itu seterusnya menyiasat sendiri apa sebenarnya yang hendak dilakukan oleh lelaki itu. Tetapi malang sekali dia telah terlepas jejak lelaki tersebut kerana dalam sekelip mata sahaja, kelibat lelaki tersebut sudah pun hilang dari pandangan mata dan tidak pula diketahui ke mana arah tuju lelaki itu. Dia merasa hairan bagaimana lelaki itu boleh ‘hilang’ dengan begitu pantas? Bagaimana dia boleh mempunyai kemahiran sebegitu? Akhirnya dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk mengekori lelaki tersebut dan berpatah semula menuju ke kawasan kedai dengan minda yang sarat dengan seribu satu pertanyaan.

Lamunannya berkecai sebaik sahaja alarm jam dinding di dalam gim itu berbunyi. Jarum jam tersebut sudah pun menunjukkan pukul 6 petang. Tanpa disedarinya, dia telah membuang masanya selama sejam hanya untuk mengenang semula peristiwa pada pagi itu. Dia terpaksa melupakan hajatnya untuk melakukan senaman-senaman yang lain memandangkan hari sudah mulai senja. Dia berdiri lalu meninggalkan gim tersebut dan menuju ke bilik mandi yang terletak tidak jauh dari situ. Masa untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk menghadap Yang Maha Esa dalam masa setengah jam lagi.

Tetapi dalam ketika itu juga mindanya masih ligat memikirkan tentang lelaki itu. Dia nekad untuk mencari sendiri maklumat tentang lelaki tersebut dan jika diizinkan, dia mahu bersua muka sekali lagi dengannya di lain hari. Dia benar-benar teruja untuk mengorek rahsia lelaki tersebut.

“Awal atau akhir, aku tetap akan dapat juga”.

Itulah janjinya pada dirinya sendiri.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 20

Di suatu tempat rahsia, 0930 Jam.

Dia menghayun langkahnya dengan begitu cepat untuk menuju ke tempat itu. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja dia berlari supaya cepat sampai tetapi dia terpaksa menahan dirinya dari berbuat demikian. Dia sudah tidak sabar lagi hendak menyampaikan berita yang baru diterimanya dari konco-konconya kepada ketuanya. Dia mesti maklumkan ketuanya itu sesegera mungkin.

Tiba di depan pintu utama, dia ditahan oleh dua orang lelaki yang memakai suit serba hitam yang juga bercermin mata hitam yang kelihatannya mengawal pintu tersebut.

“Kau siapa?” tanya salah seorang lelaki tersebut.

“Hei, aku nak jumpa bos lah. Ini berita penting aku nak sampaikan kat dia!” jerkahnya.

“Kami tak benarkan. Bos sedang berehat sekarang dan kalau kau betul-betul orang dia, kau pun tentu tahu kan apa yang bos buat kalau masa rehat dia terganggu?” bidas lelaki kedua.

Fine! Kalau macam tu, aku lepaskan segala-galanya kat korang berdua. Tapi kalau korang dapat masalah disebabkan berita ni tak sampai kat bos, jangan cari dan salahkan aku!” jawabnya kasar lalu merengus. Matanya tajam mencerlung mereka berdua silih berganti.

Kedua-dua lelaki tersebut berpandangan antara satu sama lain. Beberapa saat kemudian pandangan mereka berkalih semula kepadanya.

“Baiklah, kami lepaskan. Tapi kalau kau pula diapa-apakan oleh bos, jangan salahkan kami” salah seorang dari mereka memberi amaran.

Dia mendengus kasar lalu meluru masuk ke dalam ruang legar tersebut tanpa mengendahkan mereka berdua. Hatinya cukup berbuku dengan sikap mereka kerana dihalang sebegitu. ‘Apa hak mereka nak halang aku sedangkan aku orang kepercayaan bos??’ hatinya berkata-kata.

Sebaik sahaja dia berada di dalam ruang legar itu, dia diam seketika dan berdiri di depan pintu sebuah bilik yang terletak di dalam ruang tersebut. Beberapa saat kemudian dia mengangkat tangannya untuk mengetuk pintu itu. Tidak lama selepas itu kedengaran satu suara mengarahkannya masuk setelah dia mengetuk pintu dengan beberapa kali ketukan. Tanpa berlengah lagi, dia memulas tombol pintu lalu melangkah masuk ke dalam bilik dengan langkah yang perlahan dan berhati-hati. Dia tidak mahu lelaki itu meradang di saat-saat ini.

Lelaki yang mengarahkannya masuk itu mendongak dan memandangnya dengan pandangan yang cukup tajam sambil bersandar di kerusi. Dia menelan liur.

“Maklumat apa yang kau nak sampaikan?” tanya lelaki itu dengan suara yang mendatar. “Aku harap berita baik. Jangan hampakan aku”.

Dia kaku seketika. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, menenangkan diri dan mengambil kekuatan sebelum menyuarakan perkara yang hendak disampaikannya. Sejurus kemudian dia mula membuka mulut, menyusun kata supaya lelaki yang dipanggil ‘bos’ itu tidak mengamuk.

“Err…bos, saya dah dapat menjejaki keberadaan sebahagian anggota-anggota keselamatan tu. Orang-orang saya dah dapat mengesan mereka” dia bersuara dengan teragak-agak.

Lelaki itu diam sebentar. Matanya masih terarah tepat kepadanya sehinggakan dia merasa kepanasan berdiri di situ walaupun bilik itu berpasang penghawa dingin.

“Lantas apa yang sudah kamu lakukan terhadap mereka? Tangkap? Bunuh? Atau lumpuhkan mereka?” soal lelaki berusia separuh abad itu dengan tenang.

“Mereka terlepas bos…”.

Belum pun sempat dia memberitahu selanjutnya, meja di depannya dihempas dengan kuat sehingga mengejutkannya. Spontan dia mendongakkan wajahnya, memandang lelaki di depannya itu sambil menelan liur. Dia tahu, lelaki itu sekarang naik angin.

“Ini yang hendak kau sampaikan padaku?? Berita sebegini?! Aku ulang sekali lagi. Aku hanya nak mendengar berita baik not this bullshit!“. Lelaki itu menekankan ayat-ayat tersebut kepadanya dengan nada yang tinggi dan keras.

Dia terpanar seketika. Bukan dia tak dapat mengagak perkara ini akan berlaku apabila berita yang tidak diingini yang sampai kepada lelaki itu tetapi dia tetap berkeras mahu menyampaikan berita tersebut. Sekurang-kurangnya lelaki itu tahu setakat mana mereka membuat ‘kerja’ mereka.

“Bos, saya belum habis cakap lagi. Mereka memang terlepas tapi maklumat tentang mereka sekarang ada di tangan orang-orang saya. Itu akan memudahkan kita menjejaki mereka di mana saja mereka berada. Mereka tu anggota-anggota keselamatan yang akan terlibat memburu kita bos, orang-orang penting pasukan mereka. Sorang komando tentera dan dua lagi skuad khas polis. Bukan mudah hendak mengesan mereka sebelum ni bos memandangkan mereka tu licik orang-orangnya” jelasnya panjang lebar. Dia mahu bosnya faham akan situasi sebenar yang berlaku.

Lelaki itu menghempaskan keluhan kasar dan berdiri sambil bercekak pinggang. Wajahnya kelihatan tegang ketika ini.

“Lalu apa yang hendak kamu buat dengan maklumat tu?” lelaki itu bertanya dengan kasar.

Kali ini dia tersenyum nipis. “Bos, dalam maklumat tu penuh dengan identiti peribadi mereka serta siapa mereka dalam pasukan mereka. Saya yakin, maklumat itu amat berguna dan akan membawa kita kepada mereka satu masa nanti. Mungkin ketika ini mereka terlepas tapi mereka bisa kita ‘rembat’ kiranya kita rancang dengan baik. Malah mungkin lebih bagus kalau mereka dilepaskan saja ketika ini supaya lebih banyak maklumat yang akan kita perolehi lagi jika sekiranya mereka kita tangkap kemudian”.

Dia memandang tepat wajah lelaki itu untuk melihat reaksi seterusnya. Ternyata kata-katanya berjaya mengendurkan riak tegang di wajah separuh abad itu. Lelaki itu seperti terpukau oleh kata-katanya tadi.

“Baiklah. Kalau begitu rancangan kamu, teruskan. Tapi ingat. Aku mahu rancangan ini sukses. Aku takkan terima sebarang berita buruk dan kegagalan. Faham?!”. Lelaki itu terus membetulkan tie sejurus memberi amaran kepadanya.

“Bos jangan risau. Kami takkan menghampakan bos” dia cuba meyakinkan lelaki itu. Kini dia sudah mula tersenyum sinis. Kemarahan bosnya nampaknya berjaya ‘dipatahkan’ olehnya.

Lelaki itu duduk kembali dan memandangnya lama sebelum bersuara. “Aku mahu itu bukan sekadar janji. Tangkap mereka hidup-hidup dan bawa mereka ke sini. ‘Kerja’kan mereka jika perlu. Ingat, aku harapkan kau dan orang-orang kau. Sekarang kau boleh keluar dan buat kerja kau” arah lelaki itu.

Dia membongkokkan sedikit badannya sebagai tanda hormat kepada lelaki itu yang juga bosnya lalu berpaling menuju ke pintu bilik dan melangkah keluar dari bilik itu. Untuk seketika dia berhenti dan berdiri di luar bilik tersebut sambil menarik nafas.

Dia tersenyum. Nampaknya dia berjaya lagi kali ini mendapatkan kepercayaan bosnya.

Di Waktu Yang Sama…

Kuala Belait, Belait.

Matanya meliar seperti mencari sesuatu. Wajahnya agak terlindung dari penglihatan orang ramai memandangkan dia mengenakan hood jaketnya ketika itu. Cuaca sememangnya tak mengizinkan pada hari itu dan hujan telah pun turun sejak awal pagi tadi dan masih berterusan sehingga ke waktu itu. Dan kerana itu juga orang ramai tidak merasa hairan melihatkannya berkeadaan sebegitu kerana mereka menyangka mungkin kerana hujan.

Sebaik sahaja dia berada betul-betul di depan sebuah cybercafe, dia tidak berfikir panjang. Pintu cybercafe itu ditolak lalu dia terus mengambil tempat yang agak terpencil dan jauh dari kaunter pembayaran.

Sebaik saja melihatkan dia seperti tergesa-gesa, penjaga cybercafe tersebut bingkas dari tempat duduk lalu menghampirinya.

“En…encik. Encik mesti bayar dulu sebelum gunakan komputer ni” terang penjaga itu yang merupakan seorang remaja lelaki berusia lingkungan 17 atau 18 tahun.

“Berapa?” sahutnya.

“Setiap satu jam, encik perlu bayar seringgit” jelas penjaga itu lagi.

Tanpa berkata-kata dan berpaling kepada penjaga tersebut, dia menghulurkan not sepuluh ringgit dan meletakkannya di atas meja komputer tersebut.

“Err…encik…”.

Keep the change” pintasnya.

Penjaga itu terpinga-pinga seketika. Setelah itu barulah penjaga tersebut mengambil not itu dan mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum kembali ke kaunter pembayaran. Dia hanya mendiamkan diri tanpa mengucapkan apa-apa kepada penjaga tersebut.

Sebaik sahaja penjaga itu kembali ke tempatnya, dia sempat memeriksa suasana cybercafe tersebut. Hanya ada tiga orang saja yang menggunakan cybercafe tersebut; dia dan dua orang lelaki warga Indonesia yang menggunakan komputer-komputer tidak jauh dari kaunter.

Dia berpaling semula menghadap komputer. Tanpa berlengah, dia menekan butang suis on komputer tersebut. Setelah komputer beroperasi sepenuhnya, dengan pantas dia mengklik ikon Google Chrome  yang telah diinstall ke dalam komputer lalu menaip alamat sebuah laman web. Sebaik laman web tersiar sepenuhnya, dia terpaksa menghadapi satu masalah untuk akses ke dalam laman web tersebut. Dia perlu sertakan satu kata kunci yang telah disediakan oleh pengelola laman web tetapi dia tidak tahu memandangkan dia bukannya salah seorang yang berhak untuk memasuki laman itu.

Dia meraba saku jaketnya. Ya, ianya berada di situ! Sebuah pendrive kecil berwarna hitam dikeluarkan lalu dipasang pada USB port komputer. Sebuah aplikasi dipilih lalu diinstall ke dalam komputer. Setelah selesai, dia membuka aplikasi tersebut dan menggunakannya untuk memecah kata kunci laman web itu. Usahanya ternyata membuahkan hasil. Dia berjaya memasuki laman tersebut dan tanpa membuang masa, dia terus mencari sesuatu. Matanya tidak berkalih dari skrin komputer dan terus meneliti gambar-gambar berserta informasi yang disertakan sekali. Dia mencari sesuatu. Atau seseorang dengan lebih tepat.

Setelah mencari untuk beberapa lama, akhirnya dia terhenti pada sebuah gambar. Ya, itulah yang dicarinya. Akhirnya dia menemukan jua maklumat orang itu. Dengan segera dia memuat-turun segala data-data peribadi orang itu dan dimasukkan ke dalam pendrivenya. Selesai semuanya, dia menutup Google Chrome dan memadam semula aplikasi yang telah diinstallnya tadi lalu menutup komputer tersebut.

Dia berjalan menuju ke pintu cybercafe dan keluar dari situ. Maklumat tentang orang yang dikehendakinya sekarang sudah berada di dalam tangan. Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke satu tempat untuk menyerahkan maklumat tersebut sesegera mungkin.

Dia tahu habuan apa yang bakal dia perolehi nanti. Segalanya sudah terbayang di mindanya.

Bilik Ketua Unit Skuad Gerakan Khas, Pasukan Polis DiRaja Brunei, Gadong, 1100 Jam.

Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena. Tapi apa? Untuk memuaskan hatinya sendiri, dia memastikan sendiri status laman web tersebut. Dia terasa seperti ada ‘tetamu tak diundang’ yang telah menceroboh masuk laman tersebut. Dia memeriksa dengan tekun segala data-data trafik laman web termasuk incoming Internet Protocol address atau ringkasnya IP. Ternyata apa yang disangkanya benar sama sekali. Satu alamat IP yang asing telah memecah masuk ke dalam laman web rahsia itu.

Setelah dia berjaya mendapatkan alamat IP asing tersebut, dia berusaha untuk mencari empunya alamat IP itu. Sebuah senarai panjang pemilik alamat-alamat IP tersiar di skrin komputer peribadinya dan dari sana dia cuba menemukan alamat IP yang diperolehinya sebentar tadi. Namun keputusan pencariannya nyata agak menghampakannya.

Cybercafe? Kuala Belait? Damn it!” sumpahnya dengan suara yang tertahan. Dia tidak tahu apa tujuan orang itu menceroboh masuk ke dalam laman web tersebut. Dia mengesyaki orang itu mempunyai niat tertentu. Mungkin untuk menjatuhkan mereka. Atau salah seorang dari mereka. Dia tak tahu dan tak pasti.

Dia hendak menyiasat perkara itu dengan lebih jauh lagi sehingga dia mengetahui siapa gerangan yang berani menceroboh laman web itu. Dia mencari nombor telefon cybercafe itu untuk menghubungi sendiri dan menanyakan sedikit maklumat berhubung dengan pengguna-pengguna yang telah menggunakan cybercafe tersebut dalam sekian jam yang telah diberitahu semasa dia memeriksa data-data trafik laman web tadi.

Dia baru saja hendak mendail nombor telefon cybercafe tersebut apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdering.

“Helo” sapanya.

Good to hear you, ASP Ilham. Taman Jubli, Anduki at 1900 hours, be there or you will regret for the rest of your life“. Suara itu kedengaran seperti mengugut.

Belum sempat Ilham menjawabnya, talian sudah diputuskan.

Bullshit!” kali ini dia menyumpah kuat, melepaskan rasa amarah yang berbuku. Dadanya kelihatan berombak kencang.

Dia bersandar di kerusinya dan memejamkan matanya. Bibirnya diketap kuat. Sejurus selepas itu dia meraup wajahnya lama. Dia tertanya, siapakah gerangan lelaki yang menghubunginya sebentar tadi? Dan apa tujuan lelaki itu untuk berjumpa dengannya? Siapa dia? Bagaimana lelaki itu tahu namanya? Dari mana? Apa? Kenapa? Argghhhhh!!! Dia cukup pening memikirkan hal itu. Adakah lelaki itu…yang telah memecah masuk ke laman web itu? Tiba-tiba dia terdetik akan perkara itu. Ya, mungkin juga.

Telefon bimbitnya berdering sekali lagi. Kali ini satu mesej masuk dari whatsapp yang diterimanya. Usai dia membaca mesej tersebut, dia bingkas bangun dari tempat duduknya dan bersiap memakai topi lalu melangkah keluar meninggalkan bilik pejabatnya. Sedar tak sedar rupanya jam sudah pun mencecah angka 12.30 tengahari. Patutlah rakannya memanggilnya untuk mengajak makan bersama.

Ya, kali ini dia menerima pelawaan mereka. Memang sukar untuk mengajaknya keluar makan bersama kerana dia lebih suka makan di restoran di dalam kawasan ibu pejabat sahaja tetapi tidak kali ini kerana dia mahu melupakan seketika perkara-perkara yang mengganggu fikirannya ketika ini.

Dan mungkin dengan menerima pelawaan rakannya itu, dia juga boleh memikirkan tindakan-tindakan yang akan diambil apabila berada dalam keadaan kesuntukan jika sekiranya ‘pertemuan’ malam nanti mempunyai seribu satu muslihat.

Posted from WordPress for Android

KISS FROM A ROSE – Bhg 19

Kampong Serasa, Muara, 0107 Jam.

Ilham masih belum dapat melelapkan matanya walaupun masa sudah jauh menjangkau ke waktu dinihari. Dia merasa gelisah apabila dia menerima perkhabaran yang baru saja disampaikan oleh rakannya yang berada di Balai Polis Bandar Seri Begawan melalui sebuah pesanan ringkas. Tanpa berlengah lagi dia pun terus menghubungi telefon bimbit wanita itu tetapi malangnya tidak berjawab. Dia mencuba pula menghubungi seorang anggota polis berpangkat rendah yang telah membantu wanita itu seperti yang telah diberitahu oleh rakannya tersebut. Kali ini panggilannya berjawab. Dia meminta anggota tersebut supaya menyampaikan pesanannya kepada wanita itu untuk menghubunginya semula secepat mungkin. Ya, secepat mungkin kerana dia perlu tahu sesuatu dengan kadar segera agar dia dapat mengatur langkahnya yang seterusnya dengan pantas dan kemas. Dia pasti, ada sesuatu yang tak kena pada kejadian tersebut. Sudah beberapa kali dia mendengar kes-kes seperti itu terjadi kepada anggota-anggota keselamatan negara termasuk dirinya sendiri yang mana dia hampir dirempuh oleh sebuah kereta tidak lama sebelum ini.

Lama dia menunggu panggilan daripada wanita tersebut. Hatinya dipagut resah dan bimbang ketika ini sehinggakan dia terasa tak senang duduk dibuatnya. Dalam beberapa minit kemudian telefon bimbitnya berdering menandakan satu panggilan masuk diterima. Dia melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit tersebut. Tepat sekali tekaannya.

“Zahra? Kau kat mana ni? Masih kat pos polis tu?” soalnya tanpa berlengah lagi. Untuk seterusnya, dia lebih banyak berdiam diri mendengar penerangan Zahra dengan sepenuh perhatian. Hanya sesekali dia menyampuk perbualan yang berlangsung melalui alat perhubungan itu. Itu pun bila dia hendak menyoal Zahra saja.

Tiba-tiba riak wajah Ilham berubah. Dahinya berkerut seribu bila mendengar apa yang cuba disampaikan oleh Zahra di talian sebelah sana. Tangan kanannya spontan memicit dahinya. Terasa dunianya seakan berputar hebat ketika ini. Dia hairan kenapa mereka pula yang dijadikan sasaran utama lelaki-lelaki itu? Apa hubungkaitnya? Dan yang paling penting, siapa mereka itu sebenarnya? Dia tahu dan dia yakin, lelaki-lelaki itu adalah orang-orang yang sama dengan yang mengejarnya tempoh hari kerana dari segi keterangan kenderaan yang digunakan oleh mereka adalah sama dengan apa yang disaksikannya. Dan berkemungkinan sekali juga merekalah orang-orangnya yang merancang hendak membunuh pegawai tentera itu sehingga membawa mereka ke flat yang didiami oleh pegawai tersebut.

Apa yang pasti sekarang, dia ingin segera mengetahui siapa mereka. Tiba-tiba dia teringat akan kes pecah rumah yang terjadi ke atas rumah sewa yang dikongsi oleh Zahra dan rakan setugasnya Anna di Kampong Lambak Kanan. Adakah mereka itu juga kumpulan yang serupa? Atau ada lagi kumpulan lain yang juga mempunyai tujuan yang sama? Terasa hatinya mengesyaki sesuatu. Satu keluhan berat akhirnya terluah dari mulutnya.

“Tuan okey ke tak ni?” kedengaran satu suara menegurnya melalui corong telefon bembitnya. Agak lantang bunyinya.

“Ah, ya. Aku okey. Aku tak apa-apa, kau jangan risau” sahut Ilham.

“Suara Tuan macam tak okey, Tuan tahu? Betul Tuan tak apa-apa eh?”.

“Betul, aku tak apa-apa. Aku risau tentang kau saja” Ilham cuba meyakinkan Zahra. Dia cuba untuk menutup galau hatinya. Dia bukan hanya sekadar risaukan Zahra seorang saja sebenarnya tetapi lebih kepada nasib anggota-anggota keselamatan yang terlibat. Dia bimbang kiranya ianya akan melibatkan lebih ramai anggota-anggota yang lain. Dan apa yang lebih menakutkan adalah nyawa orang-orang awam yang akan turut terseret sama ke dalam kes ini bila ianya sudah tidak terkawal lagi. Kerana itu adalah wajar baginya mereka bertindak pantas.

“Tuan jangan tipu saya. Saya tahu ada sesuatu yang tak kena” suara Zahra kedengaran seperti tidak berpuas hati.

Ilham ketawa perlahan, menyembunyikan perasaan sebenarnya ketika ini. “I’m fine, Zahra. It’s just a small matter. Okeylah, aku nak tidur ni. Be safe, okay? Kau update aku kalau ada apa-apa hal lagi”.

Zahra kedengaran mendengus perlahan lalu mengucapkan selamat malam kepada Ilham. Ilham membalas kembali ucapan tersebut sebelum mengakhiri perbualan dan seterusnya meletakkan telefon bimbitnya.

Sebaik saja perbualan mereka tamat, Ilham bergegas menuju ke meja kerjanya yang terletak tidak jauh dari katilnya. Dia membuka laci meja tersebut, lantas mengeluarkan beberapa buah fail kertas berwarna biru. Dia membelek helai demi helai kertas yang tersimpan di dalam fail-fail tersebut. Habis satu persatu fail-fail tersebut diselaknya sehinggalah sampai ke fail yang terakhir, matanya tertancap kepada sehelai kertas yang penuh berisi dengan sebuah maklumat. Dia membaca setiap maklumat yang dicatit dengan penuh perhatian. Wajahnya berubah menjadi pucat bagai tiada berdarah apabila tiba di satu perenggan. Matanya yang bundar membulat seperti tidak percaya dengan apa yang dibacanya ketika itu.

Direct link? Maknanya, mereka sekarang sudah mula bergerak jauh?” dia tertanya-tanya sendiri.

Dia mencampakkan fail tersebut ke atas meja kerjanya lalu beredar menuju ke pintu biliknya yang menghadap ke balkoni. Dia merenung jauh ke dalam kegelapan malam melalui kaca pintu tersebut. Matanya masih belum terasa mengantuk. Ditambah pula dengan situasi yang terjadi ketika ini, menyebabkan dia terasa hendak berjaga selama kes ini masih berlangsung. Tak lalu rasanya hendak menutup mata walau sesaat. Fikirannya ligat memikirkan apa yang disampaikan oleh Zahra tadi dan juga segala maklumat yang dibacanya dalam fail tersebut. Keyakinannya bertambah jitu untuk mengatakan bahawa mereka itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang sangat dikehendaki oleh pasukan-pasukan keselamatan negara ini. Dia teramat pasti yang mereka telah mula melangkah jauh apabila mereka sudah berani ‘bermain nyawa’ dengan anggota-anggota pasukan-pasukan keselamatan. Dia tahu, masanya sudah tiba. Mereka tidak boleh berdiam diri lagi ketika ini.

The game is just begun“.

Kuarters Bujang bagi Pegawai Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei, Flat Kampong Anggerek Desa, 0130 Jam.

Dia merasakan dia berada di pinggir sebuah tasik yang tenang dan jernih airnya. Suasana persekitaran tasik tersebut sungguh indah dan mendamaikan hati. Tidak jauh dari situ dia ternampak seorang wanita berpakaian serba putih dan bertudung sedang berdiri dan merenung jauh ke dasar tasik. Wajahnya serius dan kelihatan seperti tak mengendahkan keadaan sekelilingnya. Setelah diamat-amati, dia seperti mengenali wanita itu. Dia bergerak perlahan menuju ke arah wanita tersebut untuk melihat dengan lebih jelas lagi dan ternyata sememangnya dia mengenali wanita itu. Zahra! Kenapa dia di sini? Dan kenapa wajahnya nampak muram?

Dia mula menapak mendekati wanita itu dan hendak menyapanya apabila tiba-tiba sahaja Zahra seperti ditarik oleh sesuatu dari dalam tasik tersebut. Dia tak nampak apakah benda yang menarik Zahra itu tetapi apa yang pasti wanita itu seperti ditarik sehingga terjatuh ke dalam tasik. Tanpa berfikir panjang lagi dia terus terjun ke dalam tasik tersebut untuk menyelamatkan Zahra, tapi sayang sekali. Semakin dia menghampiri Zahra, wanita itu semakin jauh tenggelam ke dasar tasik sehingga akhirnya dia merasakan dia sudah tak berdaya lagi untuk menyelamatkannya. Nafasnya sudah terasa sesak dan termengah. Dia hanya mampu menjerit nama Zahra di dalam hatinya. Dia memejamkan matanya serapat-rapatnya. Terasa luluh segenap sanubarinya kerana gagal menyelamatkan Zahra.

Entah, untuk berapa lama dia berada dalam keadaan sebegitu, dia tidak sedar sehinggalah dia terasa badannya digoncang kuat dan namanya dipanggil oleh seseorang. Perlahan-lahan dia membuka matanya lalu tergamam seketika melihat pemandangan di depannya. Rakannya, Adi berdiri berdekatan dengan katilnya. Rakannya itulah yang menggoncang tubuhnya tadi. Dia berada di dalam sebuah bilik sebenarnya. Apa yang dialaminya tadi hanyalah mimpi. Dia bangun lalu duduk bersandar ke dinding di hujung katil. Dia meraup wajahnya. Kelihatan peluh bercucuran di seluruh tubuhnya.

Adi yang melihat perlakuannya itu menggeleng perlahan. Dia melabuhkan punggung di birai katilnya. “Kau tak apa-apa Zan? Mengigau eh?”.

Ezan terdiam seketika dan menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menjawab pertanyaan Adi. “Hmm, ya. Aku okey. Aku tak apa-apa. Mimpi saja”.

“Kebetulan aku melintas kat luar bilik ni tadi dan aku nampak pintu bilik ni renggang. Aku ingat nak tutup rapat bila aku terdengar kau macam cakap sesuatu. Tapi mata kau terpejam rapat. Kau tak sedar nampaknya” terang Adi panjang.

Ezan mengeluh perlahan dan memejamkan matanya. Di mindanya masih terbayang akan mimpinya sebentar tadi. “Mungkin sebab keletihan agaknya aku jadi macam tu. Kau jangan risau Di. Aku tak apa-apa. Aku rasa aku cuma perlukan rehat saja” balasnya dengan suara yang agak perlahan.

Adi merenungnya untuk beberapa saat sebelum bersuara. “Baiklah. Ingat, kau call aku kalau kau nak apa-apa atau ada masalah. Don’t keep it to yourself, okay?” lalu menepuk bahu Ezan dan menggoncangnya perlahan.

Ezan hanya mengangguk dan memegang lengan Adi yang memegang bahunya. Dia terasa kehabisan daya untuk bersuara pada waktu itu. Adi bangkit dan melangkah menuju ke pintu bilik. Dia berpaling ke arah Ezan seketika dan mengucapkan selamat malam sebelum keluar. Pintu bilik ditutup rapat.

Setelah Adi beredar dari situ, Ezan berbaring semula dan cuba untuk melelapkan matanya kembali. Tetapi setiap kali dia mencuba untuk terlena semula, mimpi yang dialaminya itu tadi terlayar jelas di benaknya. Dan setiap kali itulah jua dia merasa gelisah. Adakah itu sekadar mimpi biasa? Permainan tidur? Atau adakah itu merupakan sebuah alamat yang dia tak faham akan maknanya? Dia menjadi begitu risau, apatah lagi ianya melibatkan seorang insan yang berjaya mencuri hatinya. Dia takut terjadi sesuatu yang buruk ke atas insan itu. Dia tak rela akan kehilangan insan itu sebelum dia memiliknya. Memiliki?

Sekali lagi Ezan mengeluh. ‘Apa yang tak kena sebenarnya dengan aku ni?’. Dia sendiri bingung akan perasaan yang dirasakannya sekarang. Apakah betul dia mencintai wanita yang bernama Emira Zahra itu? ‘Atau adakah aku sudah gila?’. Dia bertanya kepada dirinya sendiri. Lebih kepada komunikasi satu hala.

Dia cuba untuk tidak memberatkan fikirannya mengenai soal itu. Dia berusaha sedaya upaya untuk melupakannya walaupun hanya seketika. Dia terasa begitu letih baik dari segi fizikal mahupun mentalnya kerana itu dia mahu menyambung semula lenanya.

Sebaik sahaja dia hendak tidur semula, telefon bimbitnya yang sudah pun disilentkan bergegar. Nampaknya ada satu mesej masuk yang baru diterima. Dia mencapai telefon bimbit tersebut lalu membaca mesej masuk itu. Terbuntang luas matanya membaca mesej tersebut. Matanya yang sebentar tadi mula redup kini segar semula. Perasaan bimbangnya kembali menerpa dirinya sesudah ianya mula reda.

“Dia dikejar penjenayah? Itu sudah melampau!”.

Posted from WordPress for Android