Tiga Dimensi – bhg. 2.

Candi Trimurti – Zaman Pengindiaan.
Angin pagi yang bertiup perlahan terasa dingin menampar tubuhnya yang hanya dibaluti kain putih. Matanya tertutup rapat, postur tubuhnya menegak sambil duduk bersila. Kedua-dua telapak tangannya terbuka dan belakang telapak tangan diletakkan di atas kedua belah pehanya. Di hadapannya terdapat patung Siwa serta beberapa patung dewa-dewa agama Hindu yang lain. Meditasi itu berlangsung sejak dua jam yang lalu. Sedikit pun dia tak terasa lenguh dengan kedudukan sebegitu dalam masa yang agak lama. Dalam masa itu juga mindanya dirasakan menerawang .

Tiba-tiba kelopak matanya bergerak. Dalam pandangan batinnya, ada beberapa orang pamegat manghuri dan kandangan tuha sedang bergerak menuju ke candi tempatnya bermeditasi ketika ini.

Tiga…ngga’. Ada empat kesemuanya. Apa maunya para pamegat ini ke mari?

Bunyi derapan kaki menaiki tangga candi kedengaran jelas di telinganya. Dia masih berada dalam kedudukan meditasi tanpa bergerak sedikit pun.

“Dengan hormat, kami ingin sekali bertemu Gusti Dharmadhyaksa yang kami muliakan”, terang salah seorang dari mereka.

Menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya, perlahan-lahan dia bangkit dari kedudukannya lalu berdiri menghadap mereka.

“Bilang terus apa yang kamu ingin katakan”, sahutnya mendatar.

Para pamegat itu berpandangan sesama sendiri, seolah-olah sedang bermusyawarah di dalam diam. Akhirnya, salah seorang dari mereka tampil ke hadapan. Jika dilihat dari segi ketrampilannya, dia nampak lebih muda dari tiga yang lain.

“Gusti. Adapun kami hanya ingin menyampaikan titah perintah Duli Yang Maha Mulia Prabhu Jayasingganagara dan Gusti Adipati, bahwa Gusti Dharmadhyaksa yang kami muliakan harus meninggalkan candi ini dan pertapaan Gusti mulai sekarang”, jelasnya, cuba menyampaikan sebaik mungkin apa yang telah dipesankan padanya.

Lelaki yang digelar ‘Gusti Dharmadhyaksa’ itu mendengar tanpa ada riak terkejut di wajahnya. Dia nampak tenang sahaja.

“Bilang sama saya, ke mana saya harus pergi sekarang?”, tanyanya tenang.

Pamegat yang kelihatan muda tadi nampak gelisah. Apa yang harus dikatakannya pada orang ini? Dia memandang pamegat yang berada di sebelahnya. Pamegat itu kelihatan agak berusia dari dia. Melihatkan kegelisahanya yang terpancar di wajahnya, pamegat itu menganggukkan sedikit kepalanya lalu maju setapak.

“Gusti yang kami muliakan. Gusti bebas pergi ke mana saja selepas ini. Baginda Prabhu Jayasingganagara dan Gusti Adipati membenarkan Gusti meneruskan kerja-kerja rohani Gusti di mana-mana candi di muka bumi ini”, jawab pamegat yang lebih berusia tadi.

Mendengarkan penjelasan pamegat itu, Gusti Dharmadhyaksa berkenaan mengeluh perlahan. Ya, mungkin jua masanya untuk meninggalkan tempat itu sudah tiba. Tapi…kenapa bukan mereka berdua yang menemuinya? Kenapa perlu ada pengantara? Ini soal jawatan yang telah dikurniakan padanya melalui Sang Prabhu satu ketika dahulu. Baik diserahkan, sepatutnya baik pulalah dikembalikan. Dan yang menjadi tanda tanya padanya, kenapa tiba-tiba dia dikehendaki meninggalkan tempat itu?

“Apa…sudah ada pengganti saya di sini?”, dia bertanya lagi kepada para pamegat itu.

Sekali lagi mereka berpandangan antara satu sama lain. Lama mereka berkeadaan sebegitu, mencari kekuatan untuk menyampaikan kebenaran yang dititahkan oleh Prabhu dan Gusti Adipati kepada Sang Dharmadhyaksa tersebut melalui mereka.

“Sungguh berat rasa kami untuk bilangin Gusti yang kami muliakan, bahwa Baginda Prabhu dan putranya Gusti Adipati sudah punya Dharmadhyaksa Kasaiwan yang baru dilantik semalam. Kami ngga’ punya apa-apa pengetahuan tentang urusan pemilihan maupun perlantikan baru ini karna kami hanya menyampaikan sahaja apa yang dititahkan”, jelas pamegat itu lagi.

Sang Dharmadhyaksa tersebut menarik nafas dalam-dalam.

“Baiklah, jika itu titah perintah baginda dan putranya. Saya akan undur diri sekarang”, lalu Dharmadhyaksa itu pun mula melangkah setapak demi setapak meninggalkan candi berkenaan setelah memberi salam hormat kepada para pamegat tersebut.

Setelah dia berada di anak tangga yang terakhir, tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia berdiri kaku. Diam tak berkutik. Matanya dikecilkan, seolah-olah memerhatikan sesuatu yang jauh. Setelah beberapa saat dia berkeadaan begitu, dia menutup matanya rapat-rapat. Dalam pandangan mata hatinya, dia melihat beberapa orang panglima sedang mengerumuninya di kawasan candi itu juga. Golok dihunuskan kepadanya dari semua penjuru, dan tiba-tiba salah seorang dari mereka mara hendak menikamnya. Sejurus itu, dia tersedar lalu membuka matanya semula.

Curang! Apa, itu juga masuk titah-perintah Baginda Prabhu??

Akalnya terdetik setelah melihat kejadian yang bakal berlaku tak lama lagi dalam pandangan batinnya. Pantas dia mengorak langkahnya meninggalkan kawasan candi berkenaan. Dia mencari jalan keluar yang dijamin tidak akan terserampak dengan sekumpulan panglima itu nanti serta tidak dapat dikesan akan kelibatnya. Dia tahu, nyawanya sekarang di dalam bahaya. Cuma dia berasa aneh. Kenapa tiba-tiba dia dikhianati sebegitu rupa? Apa salah silapnya sehingga dia dilucutkan jawatan dan diburu oleh para panglima itu? Apa yang sudah terjadi sebenarnya??

Terlalu berat rasanya kepalanya memikirkan persoalan demi persoalan yang mengasak mindanya kini. Dan…apakah para pamegat tersebut juga sudah pun mengetahui akan buruan yang dilakukan oleh panglima-panglima yang sedang menuju ke candi berkenaan? Atau mungkin sekali para pamegat itu juga bersekongkol? Dia berhenti seketika di pertengahan jalan. Dalam tak sedar, sudah separuh hutan rimba diredahinya. Tiba-tiba dia merasakan dunianya berputar hebat. Dia terjelopok di atas tanah lalu tersandar di sepohon kayu yang sebesar dua pemeluk. Kelam dirasakan penglihatannya lalu dia terus tidak sedarkan diri.

Di Suatu Kawasan Lain di Perkarangan Candi.
Kepalanya sungguh berserabut memikirkan kejadian itu. Terasa hendak menangis pun ada. Sehingga ke saat ini dia langsung tak percaya dengan apa yang dilihat dan dialaminya ketika ini. Faizul merasakan dirinya seperti sudah gila. Dia melangkah longlai. Terasa kedua-dua belah lututnya lemah untuk mengheret kakinya berlalu dari situ.

Fazrul yang terperasan akan kelakuan Faizul itu menoleh kepadanya sepintas lalu.

“Memang banyak benda yang tak masuk akal dalam dunia ni”. Fazrul bersuara, memecah kebisuan antara mereka berdua. Dia berjalan perlahan di hadapan Faizul.

Faizul masih membungkam. Dia tak tahu apa yang hendak diluahkan. Yang penting, kepalanya diserang berbagai soalan, teka-teki, teori dan bermacam lagi sehingga dia merasakan kepalanya mahu pecah menampung semua itu. Sungguh haru-biru perasaannya ketika itu. Kalut yang tak terperi rasanya.

Tidak semena-mena, Fazrul berhenti bergerak lalu menarik Faizul bersamanya dan bersembunyi di sebalik salah sebuah candi tersebut. Faizul yang melihat kelakuan Fazrul itu menelan liur. Apa pula yang tak kena dengan dia ni?

Fazrul diam memerhati pergerakan manusia-manusia yang lalu di hadapan mereka. Kelihatan seperti para panglima dan pahlawan-pahlawan Zaman Majapahit sedang berlari-lari anak menuju ke sebuah candi utama yang terletak tidak jauh dari tempat persembunyian mereka. Nampak seperti ada sesuatu yang berlaku di situ. Fazrul tiba-tiba merasa tidak sedap hati.

Fazrul menoleh ke sisinya. Faizul memandangnya tajam. Pasti Faizul merasa sakit hati sebab dia menarik Faizul tiba-tiba tanpa sempat memberitahunya kenapa. Faizul tak tahu bahawa ada segerombolan panglima melintas di hadapan mereka tadi. Dia tak dapat menyalahkan Faizul dalam hal ini kerana dia yang bertindak melulu.

“Aku rasa baik kita berpatah balik. Kita salah jalan ni”, Fazrul memberitahu Faizul.

Faizul mengerutkan dahinya. “Kau dah kenapa ni? Tadi kau yang bawak aku pergi sini, sekarang salah jalan pulak??”, balas Faizul tak puas hati.

Fazrul merenung wajah Faizul tak berkelip. “Aku rasa tak sedap hati. Aku nampak sekumpulan panglima tadi melintas depan kita menuju ke salah sebuah bangunan tu seperti ada sesuatu yang berlaku. Aku tak nak mereka terserampak dengan kita sehingga menimbulkan masalah yang lain. Kau tahu kan kita ni bukan dari zaman ini? Zaman mereka? Aku tak tahu apa motifnya kita terdampar di sini dan kembali ke zaman yang aku sendiri rasa tak dapat diterima oleh akal aku, tapi aku rasa pasti ada sebab tertentu kenapa kita dihantar ke sini”, jelas Fazrul panjang lebar. “Dan aku sendiri merasa seperti hilang akal bila bertemu dengan seorang manusia dari zaman yang beratus tahun ke hadapan dari zaman aku”, sambungnya lagi. Kata-kata tersebut merujuk kepada Faizul yang hidup beratus tahun setelah zamannya.

Panas juga rasanya telinga Faizul mendengarkan ayat-ayat terakhir yang terluah dari mulut Fazrul tu. Kedengaran sinis di telinganya. Rasanya dia sendiri pun merasakan hampir gila apabila dia mengetahui bahawa Fazrul itu datangnya satu abad dari zamannya. Tu dah satu hal. Tambahan lagi Fazrul itulah orang yang selalu mengganggu malam-malamnya; orang yang mati dibunuh dalam mimpi-mimpinya. Sekarang, yang mati dibunuh tu lah yang bersamanya ketika ini. Peliknya makin menjadi-jadi bila dilihatnya Fazrul itu punya wajah yang serupa sepertinya. Kalau Fazrul hilang akal, dia pulang dah tak siuman.

“Betul jugak tu. Rasanya aku sendiri pun rasa benda yang sama macam kau. Pelik bagaimana tiba-tiba aku jumpa dengan manusia yang hidup satu abad dari aku. Lebih pelik lagi, manusia yang mati dibunuh dalam mimpi-mimpi aku”, sahut Faizul dengan suara yang kedengaran sedikit tegang.

Fazrul yang telah pun menoleh ke hadapan, kini mengalihkan semula pandangannya ke wajah Faizul. Sekarang mereka bertentangan sesama mereka tanpa sepatah kata.

Fazrul baru sahaja hendak menghamburkan kata-kata kesatnya kepada Faizul bila tiba-tiba kedengaran bunyi jerit tempik dari dalam candi yang dimasuki oleh para panglima tadi. Fazrul dan Faizul diam membungkam mendengarkan bunyi itu. Fazrul membatalkan niatnya yang hendak “menyembur” Faizul itu, sebaliknya dia menarik kolar baju Faizul dan mengheretnya bersama untuk pergi dari situ. Dia mengambil keputusan untuk lari ke arah yang bertentangan dengan kedudukan panglima-panglima itu, iaitu arah di mana mereka bermula tadi.

Faizul yang merasakan lehernya hampir tercekik apabila kolarnya ditarik oleh Fazrul, lalu menepis kasar tangan Fazrul.

“Kau tak payah heret aku macam aku tak tahu berjalan sendiri”, ujarnya sambil membetulkan kolar bajunya.

“Kau kalau nak selamat kat alam ni, jangan cuba cari pasal dengan aku. Aku cuma nak kita selamat dari sebarang kecelakaan, bukan nak masuk ke dalam mulut buaya!”, tegas Fazrul yang merasakan muak dengan sikap Faizul.

Faizul merengus kasar. “Kenapa tak cuba saja, mintak tolong dari panglima-panglima yang kau kata tu? Mana kau tahu kalau-kalau mereka tu mahu menolong kita??”

“Kau nak aku ulang berapa kali lagi? Aku dah cakap, kita ni dari dunia lain, zaman lain. Kau ingat mereka boleh percayakan kita ni, haa??”, Fazrul meninggikan suaranya. Hatinya sudah mula terbakar dengan kedegilan Faizul. Susah juga budak masa hadapan ni.

“Dah tu, kau ingat kau tu satu zaman dengan aku? Begitu?”

“Walaupun zaman kita tak sama tapi kemajuan pemikiran kita hampir serupa, kau faham??”

Rancangan Fazrul untuk meloloskan diri dari situ tergendala disebabkan perdebatan mulut antara dia dan Faizul. Entah, untuk berapa lama mereka bertelingkah apabila satu anak panah tiba-tiba memacak betul-betul di hadapan mereka berdua. Fazrul dan Faizul yang tadinya rancak bertengkar sesama sendiri kini terpaku melihat anak panah itu.

Mata Fazrul meliar, mencari siapa yang memanah itu dan akhirnya tertancap pada sebentuk tubuh yang berdiri di atas salah sebuah candi yang kedudukannya tidak jauh dari mereka berdua. Demi sahaja melihatkan kelibat manusia itu, Fazrul tanpa berlengah dan bersuara terus menarik lengan Faizul dan melarikan diri secepat dan sejauh mungkin dari situ. Faizul yang tadinya berkeras, kini hanya menuruti langkah Fazrul. Kecut juga perutnya melihatkan panah yang terpacak di hadapan mereka serta manusia yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dan berdiri di atas candi. Hati Faizul terasa haru-biru dengan kejadian-kejadian yang tidak dapat diterima oleh akal logiknya itu. Dia menjadi bungkam dan membiarkan sahaja lengannya ditarik kuat oleh Fazrul. Kesakitan sudah tidak lagi dirasakan olehnya apabila bahaya sedang menunggu dan memburu mereka bila-bila masa dari sekarang.

Fazrul dapat merasakan ada orang lain yang sedang mengejar mereka ketika ini. Nalurinya kuat mengatakan bahawa orang ketiga itu adalah si pemanah yang berada di atas candi tadi. Dia mempercepatkan lariannya. Tangannya yang menggenggam lengan Faizul semakin dieratkan. Dia sudah tak peduli lagi jika Faizul merasa kesakitan dengan genggamannya, asalkan Faizul tak tertinggal di belakang. Pergerakan Faizul dirasakan longlai. Dia pasti, Faizul dalam keadaan tertekan sekarang. Tertekan kerana terperangkap di dalam alam yang asing ini.

Langkah Fazrul terhenti tiba-tiba. Faizul yang sedari tadi seperti patung bernyawa, terlopong melihat manusia yang kini berada di depan mereka berdua. Ya, sangkaan Fazrul tepat sekali. Yang mengejar mereka adalah si pemanah itu. Wajahnya jelas kelihatan bengis.

“Siapa kalian berdua??”, tanyanya kasar.

Mereka berdua diam merenung wajah si pemanah itu. Fazrul tiba-tiba bergerak setapak ke hadapan. Faizul agak terkejut melihatkan perlakuan Fazrul itu.

“Kami datang dari dunia jauh. Kami terdampar ke alam ini”, Fazrul kedengaran bersuara, menyahut soalan si pemanah itu.

Faizul tambah terkejut mendengar kata-kata Fazrul tersebut. ‘Bahasa apa yang dia gunakan ni??’, benak Faizul tertanya-tanya. Bahasa yang Fazrul gunakan begitu asing bunyinya dari yang selalu dituturkan.

Si pemanah tersebut memandang Fazrul tajam. Dari kerutan dahinya, jelas menampakkan reaksi terkejut setelah mendengar kata-kata Fazrul. Loghat Minangkabau? Manusia ganjil ini orang Minang? Tapi pakaiannya agak ganjil. Bukannya pakaian tradisi Minangkabau. Berbagai persoalan timbul di benaknya melihatkan Fazrul dan Faizul. Dan sudah setentunya dia hairan melihat cara berpakaian mereka berdua. Tak pernah lagi dia melihatkan pakaian seperti itu seumur hidupnya.

“Apa maksudmu manusia asing?!!”, jerkah si pemanah.

“Kau takkan bisa memahaminya”, jawab Fazrul pantas.

Dengan tidak semena-mena, Fazrul pantas menyerang si pemanah tersebut. Faizul hampir menjerit kecil melihatkan tingkah Fazrul yang tiba-tiba itu. Apa, Fazrul sudah gila?? Hilang akal bilamana tiba-tiba menyerang si pemanah yang rasanya jauh lebih handal dan licik itu?? Kecut perut Faizul melihat tindakan Fazrul itu.

Fazrul bergerak sekelip mata tanpa sempat dihalang oleh si pemanah tersebut. Si pemanah itu terkejut bukan kepalang bila dia mendapat tahu, Fazrul sudah pun berada di belakangnya. ‘Kapan dia berada di belakangku???’, benaknya menujahkan sebuah persoalan.

Fazrul menusukkan hujung jari-jemarinya ke belakang si pemanah itu, tepat di kawasan jantung si pemanah. Tindakan pantas Fazrul sempat ditepis oleh si pemanah apabila si pemanah tersebut pantas berpaling dan menepis lengan Fazrul. Fazrul cuba meradak perut si pemanah tapi sekali lagi serangan Fazrul berjaya dipatahkan oleh si pemanah. Fazrul terus memberikan serangan fizikal bertali-arus, yang juga sesekali dibalas oleh si pemanah. Faizul tercengang melihatkan serangan demi serangan yang diberikan oleh Fazrul itu. Beginikah kekuatan sebenar Fazrul? Dan inikah kebolehan Fazrul? Dia tidak pasti apakah namanya perbuatan yang dibuat oleh Fazrul itu, tapi dia seperti pernah melihatnya di dalam laman Youtube. Itu pun dia hanya melihatnya dalam beberapa saat sebelum beralih ke video lain. Silat? Pencak silat? Itukah namanya? Dia rasa itulah namanya perbuatan itu. Dia tak berapa ingat. Ye lah. Bukannya dia berminat dengan benda-benda sebegini. Lainlah kalau futsal atau dodgeball.

Tiba-tiba pergerakan si pemanah terhenti. Si pemanah menjadi kaku. Bulat mata Faizul melihatkan golok sudah pun berada tepat di leher si pemanah. Fazrul pula kelihatan seperti tiada perasaan semasa menghunuskan golok di leher si pemanah itu.

“Apa maumu, anak bangsat?? Apa sebenarnya tujuan kalian ke sini?!! Apa, kamu hanya mau membunuh saya???”, tanya si pemanah bertubi-tubi dalam nafas yang tersekat-sekat.

“Tidak ada apa-apa. Aku cuma tak mahu laluanku dihalang”, jawab Fazrul dalam loghat Minangnya, tenang.

Tanpa sempat si pemanah tersebut membalas kata-kata Fazrul, darah merah pekat memercik dari leher si pemanah lalu jasadnya rebah menyembah bumi. Matanya masih terbeliak dan mulutnya kelihatan sedikit terbuka. Kali ini Faizul terjerit kecil melihatkan situasi itu. Dia memandang jasad si pemanah dengan wajah yang pucat, lantas beralih memandang Fazrul pula.

Golok berdarah yang dipegang oleh Fazrul terlepas dari tangannya. Kepala Fazrul tiba-tiba terasa pening. Sangat pening. Dia cuba menggagahkan dirinya untuk berjalan walaupun dalam keadaan terhuyung-hayang tapi akhirnya Fazrul rebah, tidak sedarkan diri. Faizul cepat-cepat menghampiri Fazrul lalu menggoyangkan badan Fazrul dan menampar-nampar pipinya berkali-kali sambil memanggil namanya. Setelah dilihatkan tiada respon dari Fazrul, Faizul cuba mengheret tubuh Fazrul untuk beredar dari situ menuju ke satu tempat yang dirasakan lebih selamat dan terlindung dari mana-mana manusia. Faizul masih cuba menyedarkan Fazrul tetapi hampa. Akhirnya Faizul membiarkan sahaja mereka dalam keadaan begitu. Tak tahu untuk berapa lama. Dia sendiri pun panik dan mati akal. Dia tak tahu bagaimana hendak handle situasi begini. Maklumlah. Dia tak pernah lagi berhadapan dengan situasi-situasi yang getir seperti ini.

Fazrul membuka matanya. Terasa silau dengan cahaya yang kuat memancar ke wajahnya. Dia di mana sekarang?

“Kau kembali semula, anak muda”, tegur seseorang. Dia tak kenal siapa lelaki itu.

“Kau siapa?”, tanya Fazrul.

“Ingatkan semula, wahai anak muda. Kau pasti kenal aku”, jawab lelaki itu seringkas mungkin.

“Aku tak ada masa nak berteka-teki dengan kau!!”, Fazrul naik berang secra tiba-tiba.

Lelaki misteri itu melangkah setapak demi setapak, memperlihatkan dirinya pada Fazrul. Fazrul terbungkam tiba-tiba melihatkan lelaki di hadapannya ketika ini. Tiba-tiba peluh dinginnya terasa mengalir, membasahi bajunya. Lelaki itu…

“Ya, aku yang pernah bersua denganmu satu ketika dahulu”.

[Bersambung]

TIGA DIMENSI

‘Apabila tiga alam yang berbeza bergerak selari…’

BEBERAPA RATUS TAHUN YANG LALU…

‘Cis!! Jahanam!!’

Lari. Kaki tersadung akar lalu menyembah tanah. Sumpah seranah. Semuanya gara-gara rancangan yang tak menjadi. Niat hatinya mahu melihat kehancuran, tapi sebaliknya, nyawanya pula yang hendak dihancurkan.

Tidak jauh dari situ, kelihatan kelibat berserta bunyi orang. Dia lantas berselindung di sebalik semak dan pohon kayu yang besar. Dia memasang telinga. Bunyi itu semakin menghampiri tempatnya berselindung, dan jelas kedengaran butir-butir percakapan mereka.

Melalui tutur percakapan mereka, jelas mereka adalah dari Tanah Jawa. Bunyinya agak sukar untuk difahami tapi tidak baginya. Dia faham apa yang mereka cuba cakapkan.

“Apa benar kamu melihat si brengsek itu lari ke sini?!”, tanya suara itu kepada seseorang dengan nada yang kedengaran marah.

“Demi keagungan Sang Hyang Tungal yang hamba junjungi dan Gusti Adipati yang hamba hormati, hamba melihat dengan mata kepala hamba sendiri, bahwa dia membawa dirinya ke sini. Maka ada baiknya kalau kita cari jejaknya di sini”, jawab seseorang. Nadanya kedengaran lebih tenang dari yang seseorang yang bergelar ‘Gusti Adipati’ tadi.

“Baiklah. Aku mahu kita berpecah sekarang, dan cari si brengsek itu sampai dapat!”, arah si Gusti Adipati keras.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi sekumpulan manusia berlarian di sekitar kawasan itu. Mereka sudah mula mencarinya. Di kesempatan itu, dia cuba bergerak perlahan, menjauhi kawasan itu dengan penuh waspada. Dia merangkak untuk menuju ke satu destinasi yang dia sendiri pun tidak pasti arah tujunya. Akhirnya, dia sampai ke tebing sebatang sungai yang agak besar dan dalam airnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskan perlahan. Sangkanya dia telah terlepas dari orang-orang Jawa itu.

Baru saja dia berdiri menghadap sungai itu, tiba-tiba…

Zappp!

Dia terasa seperti ada benda yang tajam menyucuk belakangnya…seperti dilemparkan oleh seseorang. Belakang badannya terasa amat pedih. Tidak. Bukan setakat pedih, tapi juga sakit. Kini rasa sakit itu mula menjalar ke seluruh tubuhnya. Kepalanya juga mula terasa berat dan seperti berputar. Sayup kedengaran seperti suara orang ramai. Sakitnya sudah tidak tertahan lagi, hingga akhirnya dia rebah dan jasadnya terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Orang-orang Jawa itu bergegas pergi ke tebing sungai, melihat jasad yang sudah terjatuh ke dalam sungai itu. Akhirnya mereka bersorak kegembiraan. Mereka berpuas hati kerana berjaya menamatkan riwayat seorang pembunuh.

“Bagus kalian semua. Disebabkan kalian sudah berjaya membunuhnya, maka malam ini, aku akan adakan pesta bagi meraikan kemenangan kita dalam memburu si pembunuh!”, umum si Gusti Adipati yang disambut dengan sorakan orang-orangnya.

“Untuk kemuliaan Sang Hyang Tunggal dan Gusti Adipati, hamba akan turutkan apa jua yang Gusti Adipati titahkan”, lalu yang empunya suara memberi sembah hormat. Akhirnya, mereka semua berangkat pulang setelah mereka dapati si pembunuh itu sudah tidak lagi bernyawa.

Jasadnya tenggelam di dalam sungai dan laju dibawa arus. Dia tidak pasti apa yang terjadi pada jasadnya ketika ini. Matikah dia? Atau masih hidupkah dia? Dia benar-benar keliru. Tapi kalaulah dia mati, kenapa dia merasakan, dia seperti masih hidup? Soalan yang tiada jawapannya. Tiba-tiba dia merasakan jasadnya menjadi ringan dan seperti melayang-layang. Serasa bagaikan berada di awang-awangan. Apa pula lagi selepas ini?

TAHUN 2016.

Fazrul seperti baru tersedar dari mimpi yang panjang. Kepalanya terasa pening yang teramat sehinggakan badannya terasa sukar untuk digerakkan. Nafasnya pula tersekat-sekat. Entah, kenapa dengan dirinya. Apa yang pasti, dia merasa aneh kerana mengalami mimpi yang berulang-ulang. Sama jalan ceritanya. Tiada satu pun yang terkeluar dari landasan cerita asalnya. Kalau sekali, dia takkan kisah kerana dia menganggap itu hanyalah permainan tidur. Tapi kalau sudah berkali-kali?

Mimpi yang seringkali berkunjung dalam lenanya itu membuatkan dia tertanya-tanya, apa maksudnya sebenarnya? Selalu saja dia bermimpi sebagai seorang pembunuh. Bukan pembunuh seperti dalam filem Hitman atau Resident Evil tetapi seperti di zaman…ah, zaman apa ya? Nampak seperti ala-ala filem Puteri Gunung Ledang lakonan M. Nasir dan Tiara Jacquelina tu. Kesultanan Melayu dulu-dulu? Ya, nampak seperti itu. Berbaju Melayu, bersamping, bertanjak dan lengkap berkeris. Tetapi yang mengejarnya kelihatan seperti raja-raja Jawa pula, cukup dengan wajah mereka yang bengis. Apa yang lebih sadis dan tragis, mimpinya itu selalunya akan berakhir dengan kematiannya yang terjatuh ke dalam sungai setelah belakang badannya dipanah dengan panah yang dibubuh racun berbisa.

Dia menutup matanya lalu mengeluh perlahan mengenangkan semula mimpi yang sentiasa berulang itu. Dia meraup wajahnya.

‘Apa yang hendak ditunjukkan padaku sebenarnya?’

Fazrul bermonolog sendiri. Lama dia berkeadaan sebegitu sebelum dia bangkit dari katilnya dan menuju ke bilik mandi.

Belum sempat dia menjejakkan kakinya ke dalam bilik mandi, tiba-tiba pintu bilik apartmentnya diketuk dari luar. Tanpa rasa ragu, dia terus membuka pintunya. Terkejut bukan kepalang dia melihat tetamu-tetamu yang datang di awal pagi ini. Polis? Kenapa dengan anggota-anggota polis ni? Apa salahnya? Apa yang telah dibuatnya sehingga membawa mereka ke sini?

“Jangan bergerak!!”, jerit salah seorang dari mereka sambil mengacukan pistol ke dahi Fazrul. Fazrul tercegat kaku.

“Kamu telah didapati membunuh seorang lelaki sebaya kamu malam semalam. Sekarang kamu ditahan!!”, sambung anggota polis itu lagi. Kesemua mereka mengacukan pistol kepada Fazrul sebagai langkah berjaga-jaga dan dua dari mereka bergerak untuk menangkap dan menggari tangannya.

Dengan tidak semena-mena, jiwa Fazrul merusuh seperti ada satu semangat aneh yang membangkitkannya. Apabila anggota-anggota polis yang hendak menangkap Fazrul berada berhampirannya, Fazrul tiba-tiba menyiku wajah salah seorang anggota polis tersebut dan menendang perutnya sehingga terdengar bunyi erangannya. Fazrul seterusnya memulas tangan seorang lagi anggota polis di sisinya sehingga menjerit kesakitan apabila anggota tersebut hendak menumbuk wajahnya. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Anggota-anggota polis yang lain terpegun melihatkan situasi itu. Mereka mula mencekah pistol mereka, bertujuan untuk menembak Fazrul. Belum pun sempat mereka melepaskan sedas tembakan, Fazrul sudah terlebih dahulu ‘mematahkan’ tembakan mereka dengan menyerang secara fizikal. Fizikal? Tiba-tiba Fazrul menjadi sekuat itu. Dari mana datangnya kekuatan itu? Fazrul seperti tersedar dengan apa yang telah dilakukannya. Melihatkan kesemua anggota polis tersebut bergelimpangan dengan berlumuran darah, Fazrul mengambil keputusan untuk lari dari situ.

Sejurus dia melangkah keluar dari apartmentnya, dia bercadang untuk melarikan diri ke tempat yang terpencil untuk menyembunyikan diri sementara waktu. Sebaik saja dia menghampiri keretanya, dia terperasan ada seorang lelaki misteri bersandar di belakang keretanya. Berpakaian serumpun hitam, lengkap dengan jaket dan hoodnya yang menutupi separuh wajahnya kecuali sedikit hidung dan mulutnya.

“Hei. Kau siapa?”, tegur Fazrul. Lelaki itu tidak menjawab.

“Hei. Ini kereta aku. Kau siapa yang bersandar kat belakang kereta aku ni ha?!”, sergah Fazrul lalu cuba memegang bahu lelaki tersebut.

Tanpa sembah tanpa salam, tiba-tiba tangan Fazrul ditarik lalu tubuhnya direbahkan ke atas lantai dan tangannya dipulas kuat ke belakang. Dagunya terhentak lantai simen di tempat letak kereta tersebut. Dia menyumpah kuat sambil mengerang kesakitan.

“Hebat permainanmu, anak muda. Tumbang semua lawanmu disebabkan alammu yang di sana!”, ujar lelaki misteri itu perlahan tapi cukup jelas di telinga Fazrul.

‘Alamku di sana? Apa maksud lelaki ni?’

Fazrul hairan dalam kesakitan. Apa yang dimaksudkan lelaki itu? Alamnya yang di sana? Alam apa? Berapa alam lagi yang dia ada?

“Alam kau adalah di SANA!”, lelaki itu berkata dengan lebih keras, seraya menghentak kepala Fazrul dengan kuat.

Fazrul terasa kepalanya seperti berbisa. Sakitnya tak terperi. Lebih menyakitkan dari awal-awal tadi sehinggakan badannya mula terasa longlai. Dia dapat merasakan seperti ada cecair hangat yang mengalir dari kepalanya. Akhirnya dunianya menjadi gelap dan kelam. Mungkin sekarang dia sedang menuju ke alam lain…mungkin…

DI SATU WAKTU DI MASA HADAPAN…

Dia bingkas bangun dari tidurnya. Peluh bercucuran di seluruh tubuhnya sehingga membasahi bajunya. Bermimpi lagi! Dan mimpi yang sama, berulang-ulang. Hampir setiap malam dia mengalaminya. Dia terasa kepalanya berat dan tengkuknya terasa kencang memikirkan mimpinya itu.

Faizul meraup wajahnya berkali-kali sebelum bangkit dari katilnya. Di liriknya jam dindingnya yang menggunakan lampu LED di dalamnya. Baru 2 pagi. Masih awal rupanya. Tetapi disebabkan mimpi yang dialaminya tadi, dia sudah tak mampu melelapkan mata lagi. Dia memutuskan untuk turun ke dapur. Terasa tekaknya sangat haus ketika itu dan amat memerlukan air untuk membasahinya. Ahli-ahli keluarganya yang lain masih nyenyak dibuai mimpi indah ketika itu. Hanya dia yang bermimpi ngeri.

Ketika berada di dapur, dia mengelamun seorang diri sambil menghirup minumannya. Fikirannya kembali melayang kepada mimpinya itu. Dia melihat dirinya diserbu oleh pihak polis, lalu dia melawan dan menumbangkan mereka seorang demi seorang. Dia kemudiannya lari dari situ, tetapi belum pun sempat dia melarikan diri, dirinya dibunuh oleh seorang lelaki yang langsung tidak dikenali di sebuah tempat…nampaknya seperti tempat letak kereta. Faizul termangu memikirkan maksud mimpi tersebut. Dia merasa pelik, kenapa mimpi yang sama hadir dalam lenanya setiap malam? Kenapa seperti tak wujud mimpi-mimpi yang lain?

‘Ah, sudah’.

Faizul menggelengkan kepalanya. Sebaik saja minumannya habis, dia meletakkan cawannya di sinki lalu terus naik semula ke bilik tidurnya. Dia tak terus tidur kembali sebaliknya dia mahu melayari internet terlebih dahulu. Dia membuka suis komputernya dengan menggunakan retina scan dan secara automatik, komputernya terus menghubungkannya ke internet. Yang pertama sekali dilayarinya adalah berita-berita semasa dan terkini. Faizul sememangnya seorang pembaca tegar. Bab berita-berita semasa, tanyalah dia. Semua dia tahu kerana dia memang sentiasa update dengan hal-ehwal semasa.

Untuk awal pagi itu, belum ada berita tempatan yang menarik perhatiannya. Baru kisah-kisah luar negara. Dia cuba refresh berkali-kali laman web tersebut sehinggalah terpapar satu berita tempatan yang baru diupdate ke laman tersebut. 5 saat yang lalu. Memang masih baru lagi. Berita yang baru tersiar itu amat menarik perhatian Faizul. Satu kes bunuh yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 20an. Mayatnya ditemui terbujur kaku di tempat letak kereta di sebuah apartment kawasan bandar. Lewat 20an. Seperti usianya ketika ini. Dalam erti kata lain, lelaki itu sebayanya.

Tiba-tiba Faizul teringat akan mimpi-mimpi yang dialaminya sebelum ini. Kes bunuh. Dibunuh di tempat letak kereta. Tidak semena-mena, peluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Wajahnya bertukar menjadi pucat. Entah mengapa, dia merasakan kes pembunuhan yang baru terjadi itu seperti ada kaitan dengan mimpi-mimpi yang dialaminya itu. Nafasnya menjadi sesak dan tak teratur memikirkan hal itu. Dia menjadi gelisah. Dia takut mimpi-mimpinya itu menjadi realiti.

Dalam dia membawa rasa resahnya, tiba-tiba dia terdengar seperti bunyi seseorang menekan loceng rumahnya. Berkali-kali. Dia cuba memberanikan diri untuk membuka sedikit pintu biliknya dan melihat ke bawah. Hairannya, tak ada seorang pun ahli keluarganya yang terbangun oleh bunyi loceng tersebut. Disebabkan rasa ragu menguasai hati, Faizul mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan bunyi loceng tersebut.

Faizul terus menutup komputer lalu kembali berbaring atas katilnya dan menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Entah, dia tak pasti berapa lama loceng tersebut di bunyikan. Akhirnya bunyi itu hilang dan kembali sunyi. Walaupun begitu, Faizul masih dalam keadaan berjaga-jaga. Jam ketika itu sudah pun menunjukkan 3.30 pagi. Faizul yang tadinya sukar untuk melelapkan semula matanya akhirnya terlena jua.

Faizul membuka matanya perlahan. Dia tersentak melihatkan keadaan sekelilingnya.

‘Kenapa aku di sini?’

Dia terpinga-pinga. Bagaimana dia boleh berada di tempat ini? Dia perhatikan suasana tempat itu. Candi? Terdapat ukiran-ukiran patung Siwa dan Buddha di sana sini. Tiba-tiba dia terlihat sekumpulan manusia yang lalu di sebalik candi-candi tersebut, agak jauh sedikit dari dia berada. Dia bertambah panik bila melihatkan pakaian mereka tak ubah seperti zaman pemerintahan Betara Majapahit.

‘Zaman apakah ini??’

Bahunya terasa dipegang oleh seseorang. Dia pantas menoleh ke sisinya. Belum habis rasa terkejutnya melihatkan sekumpulan manusia yang melintas tadi, kini dia dikejutkan pula oleh seorang lelaki yang…yang rupanya…saling tak tumpah seperti DIRINYA! Bagaimana boleh wujudnya orang seperti itu??

“Faizul?”, tanya lelaki itu. Faizul masih tergamam memandangnya.

Lelaki itu tersenyum. “Aku Fazrul. Orang yang dibunuh dalam mimpi-mimpi yang selalu mengganggu tidur malammu”. Faizul masih tak mampu bersuara kerana rasa panik masih menguasai dirinya. Dia hanya mampu menatap wajah Fazrul dan menelan liur.

Melihatkan keadaan Faizul, dengan pantas, Fazrul meletakkan tangan kanannya ke atas kepala Faizul. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu lalu dihembuskan ke ubun-ubun Faizul. Beberapa saat kemudian, Faizul mula pulih seperti biasa. Ketika itu barulah Faizul mula bersuara walaupun masih dalam keadaan lemah.

“Bagaimana kau dan aku boleh berada di sini? Kita di mana ni? Ini zaman apa?”. Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Faizul kepada Fazrul.

Fazrul terdiam seketika sambil merenung Faizul. “Kita berada di zaman yang jauh terdahulu dari zaman kita. Dan aku pula adalah dari zaman yang jangakamasanya adalah satu abad dari zamanmu”.

Faizul terdiam. Satu abad? Itu bermakna, Fazrul telah pun hidup seratus tahun terdahulu dari dia!

‘Arrgghhhh!! Mengarut!! Bilakah semua ini akan berakhir??’

Sungguh, dunia ini penuh dengan mistik dan misteri.

[Bersambung]