“Minjam Mubail Kita!”

10.30 malam. Matanya masih belum terasa mengantuk lagi. Tersadai di atas sofa empuk di ruang tamu, si Awang begitu asyik bermain permainan telefon bimbit ‘Mobile Legends’ sehingga tak disedari masa yang bergerak dengan pantas. Sudah dua jam dia bermain. Ibunya yang sudah berulang kali melintasi ruang tamu itu menggelengkan kepalanya.

“Adang-adang tah kan main game saja ani, Wang. Ahir sudah ni. Tidur tah, eh! Agatah naik ke bilikmu ah”, tegur ibunya.

“Karang dulu bah, bu. Alum jua mau tidur mataku ani. Baiktah ku main daulu”, jawabnya.

Ibunya mengeluh. “Bah, manatah saja kau Wang. Mun apa-apa, jangan pulang kau ingar”. Lalu ibunya naik ke tingkat atas, menuju ke bilik tidur.

Dia hanya memasang telinga. Apa pula yang “apa-apa” ni? Tak ada yang pelik pun selama ni. Dia malas hendak mengambil kisah kata-kata ibunya itu, lalu menyambung permainannya.

Jam sudah menunjukkan 1 pagi. Ketika ini matanya sudah terasa berat. Hendak melangkah ke tingkat atas pun terasa malas. Akhirnya dia membuat keputusan untuk tidur saja di ruang tamu itu. Permainan Mobile Legends di logout dan telefon bimbitnya ditutup. Tubuhnya segera dibaringkan keatas kerusi sofa. Nyaman sungguh rasanya. Tidak lama selepas itu, dia pun hanyut dibuai mimpi.

Entah, tak tahu berapa lama dia terlelap di situ, apabila tiba-tiba dia tersedar dan terdengar bunyi permainan Mobile Legends dimainkan. Aik? Bukankah dia sudah pun menutupnya? Dengan telefon bimbitnya sekali dia tutup. Pelik.

Perlahan-lahan dia membuka matanya walaupun terasa masih mengantuk. Ada seseorang sedang duduk di lantai membelakanginya, tak jauh dari tempatnya berbaring. Seperti seorang kanak-kanak dalam perumuran 9 atau 10 tahun. Eh? Bila masa pula dia ada adik kecil lagi? Seingatnya, adik kebongsuannya berusia 17 tahun.

“Bang. Bulih ku minjam mubail kita? Aku mau main game“, kata kanak-kanak itu tanpa memandangnya.

Dia bingkas bangun dan melihat, adakah telefon bimbitnya masih berada diatas meja berdekatan dengan sofa atau sebaliknya. Ternyata telefon bimbitnya tiada. Ya, kanak-kanak tu yang mengambilnya.

“Bulih bang?”, tanyanya lagi.

“Kau anak siapa? Cemana bulih kau masuk ke sini ani?”

Kanak-kanak itu tidak menjawab pertanyaannya. Perlahan-lahan, telefon bimbit itu diletakkannya di tepi lalu memalingkan tubuhnya menghadap si Awang.

“Arrrggghhhhhhhhh!!!”, jerit si Awang demi melihatkan rupa kanak-kanak itu.

Sebelah kanan wajah kanak-kanak itu seperti papan; langsung tiada bentuk. Manakala sebelah kiri pula, rupanya sangat buruk. Matanya terkeluar dan terjuntai, kulitnya seperti terkoyak teruk sehingga menampakkan isinya, dan mulutnya carik sehingga ke pipi. Dia mengengsot perlahan, menghampiri si Awang yang terkaku sambil menghulurkan telefon bimbit si Awang.

“Bang. Aku pinjam mubail kita. Aku kan main game“.

Peluh dingin memercik di dahi si Awang. Mindanya seperti tersekat. Tak mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Pergerakannya pun terkaku. Matanya semakin membulat bila “kanak-kanak” tersebut berada semakin hampir dengannya. Dia sudah tak berdaya lalu memejamkan matanya rapat-rapat. Hatinya kian berdegup lebih kencang.

“Bang. Aku minjam mubail kita ah”, lembaga itu bersuara lagi. Kian dekat bunyinya.

Tiba-tiba si Awang terasa kedua belah kakinya seperti dipegang. Terasa sangat sejuk seperti ais. Ketika ini si Awang sudah tak mampu lagi membendung rasa takutnya. Akhirnya dia pengsan di situ juga.

Keesokannya…

“Eh, Wang. Luan jua kau tidur di sini ani. Inda kau tedapat bilik kah?”

Kedengaran suara ibunya membebel.

Si Awang membuka matanya. Terkejut bukan kepalang dia bila melihatkan dirinya terlentang di dalam ruang dapur. Bukankah dia berada di ruang tamu semalam?

Telefon bimbitnya berada tidak jauh dari tempatnya berbaring. Lekas-lekas dia mencapai telefon bimbit tersebut lalu memeriksanya.

“Aarrggghhhhhhh!!”, jeritnya lalu membaling telefon bimbit tersebut ke lantai. Dia terundur ke belakang dengan wajah ketakutan.

Ibunya terkejut. “Kenapa kau, Wang eh??”, tanya ibunya yang kehairanan.

Si Awang tak menjawab. Apa yang pasti, dia ternampak wajah lembaga kanak-kanak yang mengganggunya semalam di telefon bimbitnya.

Advertisements

NYAWA YANG TERTINGGAL (Short Story)

“Itu tempatku, di situ nyawaku berakhir. Jangan ada yang mengganggu-gugat rumahku, kerana di situ nyawaku tertinggal”.

Sudah berminggu rasanya aku mencari sebuah rumah untuk dijadikan tempat kediaman sementara selama aku berkerja di daerah ini. Puas aku mencari dan bertanya dari satu tempat ke satu tempat, hanya ini sajalah yang aku dapat. Kawasannya agak terpencil dari rumah-rumah lain cukup pula diselubungi oleh pokok-pokok kayu yang tinggi dan rendang. Tapi seperkara yang aku suka tempat ini, dibelakang rumah ini ada sebuah tasik yang menghijau airnya. Cukup indah pemandangannya dan mendamaikan jiwa.

Aku dah buat keputusan. Aku akan tinggal di sini. Aku bersetuju untuk menyewa rumah ini dan aku dah pun menyatakan persetujuanku itu kepada tuan punya rumah sewa tersebut. Setelah selesai menguruskan semuanya, aku pun mula mengangkut segala barang-barang keperluan termasuk perabot dan set televisyen ke rumah yang baruku sewa itu. Aku meminta pertolongan dari sepupuku untuk menguruskan pengangkutan khas untuk membawa barang-barang yang besar dan berat. Sememangnya hari ini adalah hari yang begitu sibuk dan amat meletihkan bagiku. Sebaik saja semuanya telah diletakkan di dalam rumah, aku dan sepupu-sepupuku mula mengatur dan mengemas rumah tersebut sehinggalah ke larut malam. Sekarang barulah seluruh tubuh badanku terasa lenguh hasil dari kerja yang sambung-menyambung dari siang tadi.

Bilikku berada di tingkat atas. Aku mendaki setiap anak tangga untuk menuju ke bilikku. Tubuhku terasa melekit kerana cucuran peluh yang tak henti-henti mengalir semasa berkerja tadi. Sesampainya aku di dalam bilikku, aku terus mencapai tualaku lalu keluar semula untuk turun ke bawah, hendak menuju ke bilik mandi untuk menyegarkan diri. Semasa aku berada di luar bilikku, aku ternampak salah seorang sepupuku berdiri seorang diri di beranda luar yang menghala ke tasik. Dia berdiri tegak membelakangi aku. Aku tak tahu kenapa tiba-tiba dia menyendiri di situ dan aku tak rasa hendak mengganggunya yang mungkin saja tengah melayan perasaan. Aku hanya menggelengkan kepalaku lalu terus menuruni anak tangga.

Di bawah, aku melihat kesemua sepupu-sepupuku berkumpul di ruang tamu, bercerita dan bergelak ketawa melepaskan kelelahan yang dirasai. Tiba-tiba…

“Aik? Bila masa kau pergi kat atas, Kim?” tegur salah seorang sepupuku, Azrimin.

Pelik. Aku merasa sungguh pelik mendengarkan pertanyaannya. Bagaimana mereka tak perasan aku berlalu ke atas sekejap tadi, sedangkan aku sememangnya melintas depan mereka? “Aku melintas depan kau pun kau tak perasan eh? Khusyuk betul kau bercerita” aku membalas kembali. Aku rasa sepertinya dia bergurau saja.

Mereka semua terdiam tiba-tiba dan kesemua mata memandang tepat ke wajahku. Apa pula kali ni? Aku hanya mampu mengangkat kening dan kedua bahuku.

“Eh, Kim. Tadi kami nampak kau duduk diam-diam sorang diri kat hujung sana tu, ha” sampuk seorang lagi sepupuku, Azim sambil jari telunjuknya menunjukkan ke satu sudut berhampiran dengan pintu masuk. “Tak pula kami nampak kau melintas depan kami, apatah lagi naik ke atas”.

Mereka yang lain hanya mengangguk tanda mengiyakan kata-kata Azim. Aku merasa terkejut bukan kepalang mendengarkan penjelasan sepupuku itu. Tak semena-mena, aku terkenang kembali akan sepupuku yang ku lihat berdiri di luar beranda atas tadi lantas aku mencari kelibatnya diantara mereka yang berada di sana. Sekali lagi aku terkejut. Dia ada di sana bersama mereka. Jadi? Yang di atas tu siapa? Aku merasakan peluh dingin mula bercucuran di dahiku.

“Kau okey ke Hakim?” tanya Amar, sepupuku yang ku lihat berada di beranda itu.

“Hmmm. Ya, aku okey. Aku mandi dulu eh. Kau orang tidur kat sini ke malam ni?”. Sempat aku bertanyakan mereka sebelum berlalu ke bilik mandi.

“Dah jauh malam ni takkan kita orang nak pi balik lagi. Takkan tak biasa kot kita orang tinggal satu bumbung dengan kau bro. Takdenya kes khalwat ni”. Rafi sempat bergurau lalu disambut dengan gelak tawa mereka yang lain.

“Ye lah, ye lah. Suka hati kau orang lah”. Aku tersenyum lalu terus beredar ke bilik mandi. Mereka memang begitu bila dah bertemu. Aku tak hairan.

Di dalam bilik mandi, aku termangu seketika sebelum mencurahkan air dingin ke tubuhku. Aku masih tertanya-tanya siapa gerangan yang berada di beranda itu? Dan siapa pula yang dilihat mereka tadi? Mereka melihat itu ‘aku’ sedangkan aku pada saat itu berada di tingkat atas. Aku mula merasa tak sedap hati. Aku terfikir kalau-kalau rumah ini…

“Praaakkkkkk!”.

Aku tersentak mendengarkan bunyi seperti dahan kayu patah itu. Begitu dekat dengan bilik mandi, cuma saja ianya di luar rumah. Kencang terasa degupan jantungku selepas mendengar bunyi itu. Memandangkan kawasan rumah ini dikelilingi oleh pokok-pokok kayu yang besar, aku tak pelik kalau ada diantara dahan pokok kayu tersebut yang patah. Tambahan pula kalau pokok-pokok tersebut dah berusia beberapa abad, sudah setentunya ada diantaranya yang akan reput. Setelah degupan jantungku kembali normal, aku meneruskan mandianku sehingga selesai.

Sebaik aku melangkah keluar dari bilik mandi tersebut, sekali lagi aku terdengar bunyi dahan patah. Kali ini bunyinya betul-betul berada di depan pintu dapur di sebelah luar, memandangkan bilik mandi itu terletak tidak jauh dari situ. Kali ini aku terasa seperti ada sesuatu yang ganjil. Dahan patah depan pintu? Aku tak menunggu lama. Aku terus melangkah menuju ke ruang tamu lalu naik ke atas menuju ke bilikku. Aku sudah tak menghiraukan lagi ekspresi wajah sepupu-sepupuku yang jelas seperti tertanya-tanya akan kelakuanku itu. Sebaik aku berada di tingkat atas, aku langsung tak menoleh ke beranda tersebut sebaliknya terus masuk ke dalam bilikku. Aku terasa seperti seluruh tulang-temulangku menggigil. Peluh dingin tak henti-henti mengalir dan kali ini bukan setakat di dahi tetapi seluruh tubuh. Ada apa sebenarnya dengan rumah ini? Baru hari pertama berada di dalam rumah ini, aku sudah mula merasakan sesuatu yang tidak elok.

Aku terus menyarung pakaianku dengan pantas. Tuala mandiku aku campak saja ke atas katil tanpa sempat menyidainya lalu aku terus meluru keluar menuju ke ruang tamu di tingkat bawah. Semasa aku sudah berada berdekatan dengan tangga, telingaku sempat menangkap bunyi seperti derap kaki orang berjalan di atas bumbung rumah itu. Langkah kakiku semakin laju untuk menuruni anak-anak tangga tersebut. Di bawah, tanpa berlengah lagi, aku pun terus duduk dan mengambil tempat di sisi Amar. Mereka semua memandang wajahku.

“Kau ada dengar atau nampak apa-apa ke Kim?” Amar menyoalku.

Aku terdiam. Aku tak tahu apa yang hendak ku jawab. Aku seperti kehilangan kata-kata untuk menceritakan apa yang berlaku. Aku juga tak tahu, patutkah aku mengangguk saja atau menggeleng sebagai tanda menafikan atau menidakkan. Tapi itu bermakna aku menipu mereka. Dan juga menipu diri sendiri.

“Kami rasa macam tak sedap hati Kim. Tadi masa kau kat bilik mandi, kami terdengar bunyi dahan patah kat luar pintu tu. Tapi kalau difikirkan semula, bagaimana pula boleh ada dahan tepat kat luar pintu tu? Kat sini memang banyak pokok-pokok kayu yang besar tapi takkan pula sampai patah depan pintu?” terang Amar lagi dengan panjang lebar.

“Masa kau kat atas tadi lepas kau dari bilik mandi, kami terdengar seperti seseorang sedang membaca sesuatu. Sayup bunyinya. Mulanya kami sangkakan kau yang membaca tu tapi bila kami dengar betul-betul, bunyinya seperti seorang perempuan pula. Aku rasa ada yang tak kena kat sini ni Kim. Dari kawasan rumah ni pun dah nampak yang tempat ni seperti ada ‘penghuni’ lain yang dah bertapak awal” jelas Azrimin pula.

Seperti tadi, aku masih membatukan diri. Semasa aku di dalam bilik mandi, mereka terdengar bunyi dahan patah tepat di luar pintu ruang tamu tersebut sedangkan dalam masa yang sama, aku juga terdengar dahan patah di luar bilik mandi. Semasa aku di atas pula, mereka seperti terdengar sayup-sayup seorang perempuan sedang membaca sesuatu dan aku pula terdengar bunyi derap kaki di atas bumbung rumah ini. Aku sudah mula merasa resah. Kalau beginilah yang akan terjadi di hari-hari seterusnya, nampaknya aku tak akan menunggu lama di sini. Sekarang pun sudah mula terjadi perkara-perkara yang aneh.

Aku mengangkat kepalaku untuk melihat jam yang telah digantung di dinding. Sudah hampir masuk jam 1 pagi. Tubuh sudah merasa penat tapi kerana kejadian-kejadian yang mengganggu ketenteraman jiwa, rasa penat itu ditolak ke tepi. Biarlah, sampai-sampai mana kepenatan itu boleh bertahan. Aku yakin, bila sampai masanya aku akan terlena juga. Begitu juga mereka yang lain. Tambahan pula aku mengambil cuti ketika ini seperti juga mereka berempat jadi kami tak risau kalau pun bangun akhir. Apa yang penting saat ini, hati kami galau dan merasa tak senang duduk bila mengenangkan semua yang berlaku dalam sekelip mata.

Dalam aku melayan perasaan sendiri, tiba-tiba pintu dan jendela ruang tamu tersebut diketuk dengan kuat dan serentak. Kami yang berada di ruang tamu itu tersentak. Ketukan-ketukan itu menggegarkan pintu dan jendela tersebut, sepertinya mahu tercabut dan pecah berderai dibuatnya. Kami yang melihatkan situasi tersebut berpandangan sesama sendiri. Habis baju kami basah lencun oleh peluh dingin yang mengalir. Kami merapatkan tubuh kami antara satu sama lain sambil mata kami tak lepas memandang pintu dan jendela tersebut. Azrimin dan Azim ku lihat terkumat-kamit seperti membaca sesuatu dan bagai tersedar dari mimpi, aku pun turut serta membaca beberapa potong ayat-ayat suci Al-Quran yang aku hafal walaupun hatiku sudah bergetar hebat. Bukan getaran cinta tapi getaran ketakutan.

Ketukan-ketukan tersebut dirasakan semakin kuat sehingga dirasakan gegarannya bagai terasa di seluruh penjuru rumah. ‘Benda’ yang mengetuk itu seperti berkeras mahu melawan sebaik saja kami membacakan ayat-ayat suci tersebut. Walaupun dalam ketakutan, kami tetap menggagahkan diri kami untuk membaca segala kalimah-kalimah agung yang kami ingat tanpa henti, sehingganyalah reda setelah beberapa lama kemudian. Setelah itu keadaan kembali menjadi tenang. Awal pagi itu kami membuat keputusan untuk tidur bersama-sama di ruang tamu itu. Masing-masing tidak berani untuk tidur bersendirian di dalam bilik tidur. Akhirnya kami tetap berkumpul di ruang tamu itu tanpa bergerak ke mana-mana lagi kecuali ke tandas. Itupun mesti berteman.

Aku pasti, jam ketika itu sudah menghampiri 2.15 pagi bilamana tiba-tiba aku berdiri betul-betul menghadap sebuah tasik yang airnya berwarna hijau. Tasik ini…bukankah ini tasik yang berada di belakang rumah tersebut? Memang cantik kawasannya. Tenang mata memandangnya dan aku merasakan jasadku seperti melayang jauh di awangan bila melihat pemandangan indah yang tersaji di depanku ketika ini. Tempat yang sesuai untuk membawa hati yang lara seperti apa yang ku alami ketika ini. Genap sebulanlah sudah aku ditinggalkan tunangku dan kini, aku hanya menjalani hari-hariku seorang diri. Kedua orang tuaku telah kembali menghadap Sang Pencipta 3 tahun yang lalu dan kakakku kini telah meninggalkan negara ini untuk tinggal bersama suaminya di Kanada. Tinggallah aku sebatang kara di sini. Hanya sepupu-sepupuku yang sudi menemankan aku di kala aku susah dan senang. Hanya mereka tempatku menumpang kasih.

Sedang aku bersendirian di kawasan tasik itu, tiba-tiba kelihatan kelibat seorang perempuan berbaju kurung hijau muda dan berselendang hitam berjalan perlahan menuju ke tepi tasik. Dia berhenti sebaik saja berada betul-betul di tepi tasik tersebut sambil matanya merenung jauh ke hujung tasik. Aku anggarkan usianya dalam awal 20-an begitu. Berkulit cerah dan mempunyai paras wajah yang jelita. Tetapi wajahnya kelihatan mendung saat ini. Dan matanya…mata itu…mata itu seperti tiada cahaya. Kelam. Seperti terluka sehingga menyebabkan kesakitan yang amat dalam tetapi sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Keadaannya itu membuatkan hatiku bagai digaru-garu untuk menghampirinya. Ingin aku bertanya kepadanya apa yang menyebabkan dia menjejakkan kakinya ke sana di saat itu. Tak takutkah dia berjalan seorang diri ke situ? Tambahan pula dia seorang perempuan.

Setelah aku menimbang-nimbang keputusanku, akhirnya aku memberanikan diri untuk menghampirinya. Aku hanya ingin tahu kenapa dia ke situ. Di pertengahan jalan, belum pun sempat aku menemuinya tiba-tiba saja dia terjun ke dalam tasik dengan tidak disangka-sangka. Aku tergamam melihatkan situasi yang berlaku di depan mata itu. Apa?? Dia membunuh diri??

Dengan tidak semena-mena, timbul kekuatanku untuk menyelamatkannya dari terus lemas. Itu nyawa. ITU NYAWA!! Anugerah Tuhan yang tidak terhingga, kenapa harus mencabutnya sebelum tiba masanya?? Sebagai seorang anggota bomba dan penyelamat, aku telah terlatih untuk menghadapi kejadian-kejadian sebegini. Tanpa berlengah lagi, aku pun terus terjun ke dalam tasik tersebut lalu mencari perempuan tersebut untuk diselamatkan. Aku pasti dia berada tidak jauh dari situ. Aku mencari di kawasan tidak jauh dari tempatnya terjun tadi tapi hampa. Aku tak terjumpa pun di mana perempuan itu berada. Aku naik ke atas dan mengapungkan diri seketika untuk mengambil nafas sebelum menyelam kembali ke dasar tasik. Kali ini aku jauhkan sedikit kawasan pencarianku dari tempat perempuan itu terjun tadi. Aku merasa hairan, bagaimana boleh dia menghilang begitu saja? Kalau pun dia mati lemas, pasti jasadnya tenggelam tidak jauh dari tempatnya terjun tadi. Adakah dia masih hidup lalu menyelam ke tempat lain? Adakah dia melakukan terjunan itu saja-saja? Sekadar hendak berenang atau menyelam di tasik itu? Semasa dia hendak terjun tadi, aku tak nampak pun tanda-tanda yang dia sekadar nak berenang atau menyelam suka-suka tapi dia menunjukkan tanda sebaliknya.

Aku teruskan usaha mencari tapi jawapannya masih sama; aku tak jumpa dia. Akhirnya aku memutuskan untuk berpatah balik menuju ke tempat aku mula-mula, yang juga tempatnya terjun tadi. Sebaik aku berpaling untuk menuju ke tempat tadi, aku merasakan nyawaku hampir tercabut melihatkan benda yang timbul tiba-tiba di depanku. Betul-betul berada di depanku. Kelibat seorang wanita yang sangat buruk rupanya. Kelopak matanya kosong kedua-duanya tanpa biji mata, pipinya berlubang-lubang dan berulat, rambutnya pula putih-kelabu dan panjang menggerbang manakala giginya dipenuhi dengan taring yang tajam. Pakaiannya koyak-rabak dan berdarah. Aku cuba untuk melarikan diri dengan menyelam ke arah lain tetapi kakiku terasa berat untuk mengayuh sehingga aku tak mampu untuk bergerak. Nafasku sudah naik sesak kerana terlalu lama berada di dalam air ditambah pula dengan ‘pertemuan’ yang tidak disangka-sangka ini menyebabkan nafasku semakin sempit kerana ketakutan. Akhirnya aku lihat tangan-tangannya yang berkuku panjang dan tajam meruncing itu hampir menjangkau leherku, menunggu masa untuk menamatkan riwayat hidupku. Di kesempatan itu aku cuba untuk berteriak sekuat hati sambil memejamkan mata biarpun aku tahu, aku tak akan mampu mengeluarkan suara bila berada di dalam air. Tapi aku tetap mencuba.

Aku terasa tubuhku seperti digoncang-goncang oleh seseorang. Tak cukup digoncang, pipiku pula terasa diusik. Akhirnya aku membuka mataku. Bila saja terbuka sepenuhnya, aku merasa kaget lantas aku bangun dan duduk sambil memandang sekelilingku. Aku di dalam rumah? Bukan di tasik? Aku bermimpi ke?

“Kau mengigau bro. Kami terdengar kau seperti meracau tapi mata kau tertutup. Tahulah kami yang kau sedang mengigau”. Rafi memberitahuku tentang yang apa yang terjadi padaku.

Aku meraup wajahku lalu melihat jam di dinding. 4 pagi. Lama kah aku bermimpi itu? Atau dengan lebih tepat lagi, mengigau? Aku tak pasti. Tapi apa yang aku pasti, mimpi atau igauan itu seperti benar-benar terjadi. Aku masih terasa mengah dan letih walaupun ianya bukan kejadian sebenar. Nasib baik mereka sempat menyedarkan aku, kalau tak…mungkin juga saat ini aku sudah tak bernyawa lagi.

“Kim. Kau tahu ke serba sedikit tentang latarbelakang rumah ni? Kau ada dengar sebarang cerita tak?”. Azim bertanya kepadaku mengenai rumah ini.

“Tak. Aku tak tahu langsung. Kenapa?”.

“Kau tak nak cungkil apa-apa mengenainya? Kot-kot rumah ni ada sejarah. Tak tahulah kenapa tiba-tiba aku terfikir mengenai itu semua tapi tak salahkan kalau kita nak tahu” sambung Azim lagi.

Aku berfikir sejenak mengenai kata-kata Azim itu. Mungkin ada benarnya. Aku kembali teringatkan mimpiku itu tadi. Siapa perempuan muda tu? Dan apa sebenarnya mimpi itu? Aku terfikir kiranya perempuan itu mempunyai kaitan dengan rumah ini. Tapi apa yang terjadi? Itu yang tak pasti.

“Kalau nak tahu mengenai rumah ni, di mana nak mula?” soalku kepada Azim.

“Yang sewakan rumah ni?”.

“Aku tak yakin dia akan menjawab dengan baik kalau kita persoalkan tentang sejarah rumah ini” bidasku.

“Atau mungkin orang-orang kampung ada yang tahu akan sejarah rumah ini. Kita cuba saja” cadang Azim lagi.

Aku terdiam seketika mendengarkan cadangannya sebelum mengangguk bersetuju. “Okey. Kita cuba siang nanti” jawabku ringkas.

Sebaik saja kami selesai menunaikan solat subuh berjemaah, kami memutuskan untuk terus bangun dan menunggu hari siang. Selalunya jarang sekali kami akan terus bangun sebegini apabila selesai bersolat tapi tidak untuk hari ini. Aku baru saja mengetahui selepas diceritakan oleh mereka berempat sebentar tadi. Semasa aku tenggelam dalam mimpiku, dalam masa yang sama tidur mereka berempat telah diganggu. Azim ternampak kelibat hitam yang berjalan merangkak dari tingkat atas menuju ke tingkat bawah di mana tempat kami semua berkumpul. Ketika itu dia baru saja keluar dari tandas dan hendak menyambung semula tidurnya. Azrimin pula ternampak bayangan hitam yang melintas dengan laju di sebelah dapur semasa dia terjaga seketika dari lenanya manakala Amar ternampak seperti bayangan seseorang di luar rumah sedang meninjau ke dalam ruang tamu melalui jendela tersebut apabila dia hendak memalingkan badannya menghadap jendela ruang tamu. Cuma Rafi saja yang terkena gangguan yang agak ‘berat’ bilamana dia terasa kakinya seperti diusik seseorang. Apa yang membuatkannya tak lena tidur, dia ternampak seperti jari telunjuk yang kulitnya kelihatan buruk serta cukup dengan kuku yang panjang dan tajam sedang mengusik kakinya tetapi yang empunya jari itu tidak kelihatan seolah-olah terlindung oleh kerusi sofa tersebut. Hanya aku yang tidak diganggu secara terang-terangan sebegitu sebaliknya aku diganggu melalui mimpi.

Apabila matahari telah naik ke angkasa dan memuntahkan sinaran paginya, kami pun keluar dari rumah tersebut lalu merayau ke kawasan kampung itu dan mencari mana-mana warung atau restoran yang ada di situ. Kami ternampak sebuah restoran yang jaraknya hanya satu kilometer dari simpang menuju ke rumah sewaku itu lalu memutuskan untuk singgah bersarapan di situ. Kami dapati pemilik restoran tersebut yang juga mengusahakannya sendiri adalah seorang lelaki berbangsa Melayu dan berusia dalam lingkungan 60-an. Penduduk kampung itu juga.

“Anak-anak ini dari mana? Baru pernah nampak di kampung ini” sapanya ramah. Dia nampak baik orangnya.

“Kami berempat ni dari Brunei-Muara sebenarnya pak haji kecuali dia ni yang dari Tutong” Amar menepuk perlahan bahu Rafi sebagai pemberitahuan kepada pak haji itu bahawa dialah saja yang satu-satunya berasal dari Tutong.

“Kami ke sini sebab nak menemani sepupu kami ni yang baru saja pindah kelmarin ke sebuah rumah sewa di kampung ini juga. Dia baru ditugaskan di daerah ini sebab tu dia menyewa rumah. Nak memohon barek pula dah penuh tambahan lagi ada diantara blok-blok barek tersebut yang terpaksa ditutup disebabkan menjalani pengubahsuaian ketika ini” jelas Amar lagi bagi pihak aku. Aku hanya tersenyum dan mengangguk kepada pak haji tersebut.

“Oh, begitu. Jauh juga kamu turun ke mari. Boleh pak haji tahu rumah mana yang kamu sewa tu?” dia menyoalku.

“Tak jauh dari sini pak haji, hanya jarak satu kilometer saja. Rumah tu letaknya jauh kat dalam lagi dari simpang masuknya. Yang penting, kat belakang rumah tu ada sebuah tasik berwarna hijau” terangku kepadanya.

Tiba-tiba ku lihat riak wajah pak haji itu berubah. Dia seperti terkejut mendengarkan penjelasan aku itu. Aku pasti ada sesuatu megenai rumah itu yang dia tahu. Melihatkan reaksinya, aku cuba memulakan langkahku.

“Kenapa pak haji? Pak haji tahu apa-apa tentang rumah tu?” soalku.

Ku lihat bibirnya bergerak-gerak, seperti hendak menyatakan sesuatu tetapi terhenti sesaat kemudian. Dia tertunduk seketika dan menarik nafasnya sedalam-dalamnya. Dia mengangkat wajahnya lalu memandang wajah kami satu persatu.

“Kalau rumah itu yang kamu maksudkan, setentunya rumah itu mempunyai sejarahnya tersendiri. Sejarah hitam” jelasnya.

Sejarah hitam? Benakku tertanya-tanya. Aku semakin teruja ingin mengetahui kisah disebaliknya.

“Rumah itu sebelum ini didiami oleh seorang gadis yatim piatu. Ketika itu usianya baru masuk 21 tahun. Kedua ibubapanya  berserta kedua-dua orang kakaknya telah pun meninggal dunia semenjak usianya 12 tahun kerana terlibat di dalam sebuah kemalangan, maka tinggallah dia sebatang kara. Bukanlah dia tak punya sanak saudara tetapi dia berdegil untuk terus menetap di rumah peninggalan ibubapanya walaupun hanya dia seorang saja yang tinggal di sana” cerita pak haji itu. Dia berhenti seketika untuk menghirup kopi panasnya sebelum menyambung semula ceritanya.

“Satu hari tu dia keluar sebentar untuk membeli berapa barang keperluan untuk dirinya tetapi malang tak berbau. Sebaik saja dia kembali ke rumahnya, dia mendapati ada beberapa orang lelaki yang tidak dikenali mengheretnya ke dalam rumahnya lalu dirogol secara bergilir-gilir. Hari itu merupakan detik hitam di dalam hidupnya. Lelaki-lelaki itu, sebaik saja selesai merogolnya, mereka pun lari entah ke mana. Tinggallah dia seorang meratapi nasibnya sendiri”. Pak haji berhenti lagi buat seketika.

“Sejak-sejak tragedi itu, dia keadaannya bertambah murung. Dia semakin memencilkan dirinya dan langsung tak nak bersua muka dengan orang-orang kampung walaupun mereka tak pernah menghinanya. Dia mengurung dirinya di dalam rumah tersebut sehinggalah satu masa penduduk kampung ini mendapati jasadnya berada di dasar tasik di belakang rumahnya. Ketika itu mereka berhajat untuk melawatnya tetapi mereka dapati dia tiada di dalam rumah tersebut. Mereka sangkakan dia pergi ke kedai tapi dia tiada di situ dan dari sanalah mereka mendapati jasadnya setelah mereka membuat operasi pencarian mereka sendiri”. Pak haji meneguk kopi panasnya itu lagi yang kini sudah bertukar menjadi sejuk.

“Bila kisah ni terjadi pak haji?” aku bertanya lagi.

“Kira-kira 40 tahun yang lalu” jawabnya ringkas.

40 tahun yang lalu? Belum lagi aku mahupun sepupu-sepupuku itu lahir ke dunia ini!

“Rumah itu telah dibaiki dan diubahsuai sedikit oleh sepupu gadis itu kerana itu ianya masih bertahan sehingga kini. Tapi tak sangka pula ianya dijadikan rumah sewa” sambung pak haji. “Pak haji masih ingat, ada seorang penduduk kampung ini menceritakan yang dia terbaca beberapa baris ayat-ayat terakhir yang disampaikan oleh gadis itu melalui secebis kertas sebelumnya membunuh diri”.

“Apa dia pak haji?” soal Azrimin pula.

“Pak haji tak berapa ingat ayat-ayatnya tapi yang pak haji ingat kata-katanya itu seperti sebuah amaran. Dia tak mahu tempat kediamannya diganggu oleh siapa-siapa. Sebab itulah pak haji terkejut bila kamu kata kamu menyewa rumah itu. Pak haji tak tahu pun yang ianya telah menjadi rumah sewa”.

Terlopong aku mendengarkan kenyataan pak haji itu. Azim, Azrimin, Amar dan Rafi pula masing-masing membulatkan mata mendengarkan penjelasan pak haji. Sememangnya kami sama sekali tak menyangka akan perihal sebenar rumah itu. Kalau sudah begitu amarannya, maknanya…itu seperti satu sumpahan. Saat itu juga aku terfikir untuk keluar dari rumah itu pada hari itu juga. Aku tak jadi menyewa rumah tersebut.

Sebaik saja selesai bersarapan di restoran tersebut, kami bersalam-salaman dengan pak haji itu lalu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi berkongsi maklumat mengenai rumah itu. Usai itu semua, aku tak berlengah lagi untuk meminta mereka berempat menguruskan semula pengangkutan khas untuk memindahkan barang-barangku dari rumah itu. Aku telah menyatakan keputusanku kepada mereka berempat untuk membatalkan hasrat menyewa rumah itu. Mereka tidak membantah. Aku seterusnya menghubungi tuan punya rumah sewa dan memberitahunya tentang pembatalan tersebut. Syukur semua urusan tersebut berjalan dengan lancar. Kami tidak terus pulang ke rumah sewa tersebut sebaliknya kami berjalan-jalan tanpa arah tujuan di kampung itu sehinggalah kenderaan-kenderaan untuk mengangkut barang-barang aku itu sampai di sana. Pagi itu juga kami memanyap semula segala barang-barang yang telah disusun dan dipasang di rumah tersebut secepat mungkin. Kami tidak mahu segalanya selesai bila malam sudah membuka tiranya tapi kami mahu beredar dari situ sebelum malam menjelma lagi. Nasib baik barang-barang yang aku bawa ke rumah itu tak banyak sangat jadinya itu memudahkan sedikit urusan angkat-mengangkat barang-barang tersebut.

Sekali lagi aku bersyukur kerana semuanya selesai seperti yang dijangkakan. Tepat jam 3 petang, rumah itu sudah dikosongkan semula. Semua barang-barang kepunyaanku selamat diletakkan di atas kenderaan-kenderaan dan tinggal untuk dibawa pergi dari situ saja lagi. Sebelum meninggalkan rumah itu, aku sempat melihat ke kawasan tasik di belakang rumah tersebut. Tiba-tiba aku ternampak seorang gadis muda berbaju kurung hijau muda dan berselendang hitam berdiri hampir tasik tersebut, membelakangi aku. Gadis itu! Seperti yang di dalam mimpiku awal pagi ini tadi. Perlahan-lahan, gadis itu memalingkan tubuhnya sehingga akhirnya menghadap aku. Aku terpana seketika. Matanya jelas memandangku tajam sambil tersenyum sinis. Aku tersedar lalu aku lekas-lekas berpaling dari situ dan seterusnya melangkah menuju ke keretaku. Sebelum aku melangkah masuk ke dalam keretaku, aku sempat mendengar satu suara halus di belakangku berkata-kata sesuatu. Aku tak menahan lama. Aku terus masuk ke dalam keretaku sambil melafazkan kalimah ‘Bismillah’ lalu menekan pedal minyak kereta dan beredar dari situ. Bagus juga aku tergerak hati untuk menghidup dan memanaskan enjin kereta awal tadi, sekurang-kurangnya sekarang aku tak perlu lagi menunggu sampai beberapa minit untuk suhu enjin itu mulai naik hingga ke sekian tahap dan baru boleh dipandu.

Akhirnya kami semua telah pun selamat berlepas dari kawasan rumah sewa tersebut. Hanya sehari aku bertahan di rumah itu, kini aku terpaksa mencari lagi rumah baru yang kosong untuk disewa di daerah itu. Buat sementara waktu ini terpaksalah aku menumpang di rumah Rafi memandangkan hanya rumahnya saja yang agak dekat sedikit menuju ke daerah itu. Mujur saja ibubapanya yang juga merupakan ibubapa saudaraku tak kisah dengan kehadiranku di rumah mereka. Barang-barangku yang telah diangkut menggunakan pengangkutan khas tadi diletakkan buat sementara di dalam stor milik keluarga Rafi memandangkan stor mereka agak besar dan luas. Setelah segalanya selesai, Azrimin, Azim dan Amar meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing di Daerah Brunei-Muara. Tinggallah aku dan Rafi saja di sana.

Malam itu aku dan Rafi berborak-borak seketika selepas makan malam tapi tidak begitu lama kerana masing-masing merasa keletihan dan mahu berehat awal pada malam itu.  Aku terus masuk ke dalam bilik yang telah pun disiapkan untuk aku. Sebaik saja berada di dalam bilik itu, aku merebahkan tubuhku di atas katil berkenaan. Nyaman terasa setelah tubuh memcecah tilam empuk itu. Aku menongkat belakang kepalaku menggunakan kedua-dua belah tanganku lalu memandang siling rumah tersebut.

Aku masih teringat akan setiap butir bicara pak haji di restoran itu pagi tadi. Mengenangkan cerita itu, tiba-tiba aku seperti terperasan bahawa ada sedikit persamaan antara aku dengan gadis yang dimaksudkan itu. Dia seorang anak yatim piatu dan mempunyai kakak seperti juga aku. Bezanya saja, dia mempunyai dua orang kakak dan kedua-duanya turut mati terbunuh dalam sebuah kecelakaan bersama-sama dengan kedua orang tuanya manakala aku hanya mempunyai seorang kakak dan kakakku pula masih hidup cuma dia sudah tiada lagi di negara ini. Tiba-tiba aku merasa sedikit tersentuh dengan kisah tragis gadis itu. Kaum Adam diciptakan sebagai pelindung kepada kaum Hawa, bukan merosakkannya. Tapi apa yang terjadi kepada gadis itu adalah sebaliknya. Sesungguhnya aku amat membenci perbuatan zalim sebegitu walaupun aku sendiri adalah seorang lelaki. Aku tak pernah diajar untuk merosakkan seorang perempuan tetapi aku diajar untuk menjaga hak mereka, menghormati serta melindungi mereka. Dan itulah prinsip yang aku pegang sehingga sekarang. Sampai bila-bila sekalipun.

Kini mataku terasa berat. Bila-bila masa dari sekarang aku akan terlena diulit mimpi, hanya menunggu masa saja. Terakhir sebelum aku melabuhkan tirai untuk hari itu, aku teringat akan kata-kata yang halu yang sempat menyinggah di telingaku sebelum aku berlalu dari rumah itu petang tadi.

‘Itu tempatku, di situ nyawaku berakhir. Jangan ada yang mengganggu-gugat rumahku, kerana di situ nyawaku tertinggal’.

Bunyinya kedengaran seperti beberapa rangkap pantun atau mungkin sajak tetapi aku tahu, itu adalah beberapa rangkap amaran yang cukup jelas bagi mereka yang datang ‘menceroboh’ tempatnya. Aku tak pasti kenapa tapi aku rasa dia mungkin tak mahu orang tahu dengan lebih lanjut lagi akan kisah rumah itu.

Dan kerana itulah dia memberi sebuah amaran dan seolah-olah memberitahu sesiapa saja yang berada di sana bahawa ada nyawa yang tertinggal di situ.

                                 SELESAI.

Posted from WordPress for Android