KONSEP DEWARAJA/KHALIFAH ISLAM, DAULAT DAN DERHAKA HANYA WUJUD PADA TEORI TETAPI PADA REALITI SEJARAH, IA DIKETEPIKAN OLEH SEKELOMPOK RAKYAT APABILA DILIHAT PEMERINTAH BERSIFAT ZALIM (AH-3402 KESULTANAN MELAYU TRADISIONAL: KEPIMPINAN DAN KUASA)

Abstrak.

Di zaman Kesultanan Melayu Tradisional, konsep dewaraja dan khalifah Islam, daulat dan derhaka amat dijunjung dan ditaati oleh masyarakat Melayu ketika itu. Mereka telah diajar sedari awal lagi bahawa jika seseorang itu menderhaka kepada raja atau sultan, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk atau tulah kerana pemerintah itu dikatakan jelmaan dewa di zaman Pengindiaan atau ‘bayangan Allah’ di zaman kedatangan Islam. Kerana itu mereka dimestikan taat kepada pemerintah walaupun adakalanya seseorang pemerintah itu bersifat zalim.

Tapi di sebalik itu, ada di antara masyarakat Melayu ketika itu yang mengingkari konsep tersebut. Di antara kisah-kisah penderhakaan yang terkenal di Alam Melayu di zaman tradisi tersebut adalah seperti kisah Sang Rajuna Tapa dengan Parameswara, Hang Jebat dengan Sultan Mahmud Shah, Pengiran Yusof dengan Kerajaan Brunei yang melibatkan Sultan Omar Ali Saifuddin II, serta beberapa kisah yang lain lagi seperti yang terjadi dalam Kerajaaan Jawa. Di antara penyebab-penyebab kenapa timbulnya penderhakaan demi penderhakaan tersebut adalah kerana corak pemerintahan dan terjadinya perebutan kuasa di dalam sesebuah kerajaan.

Ada banyak lagi faktor-faktor yang menjurus kepada penderhakaan dan kenapa mereka tidak menjunjung konsep dewaraja dan khalifah Islam, daulat dan derhaka tersebut sebagai tatacara hidup beraja yang akan diterangkan lebih lanjut di bahagian-bahagian seterusnya.

PENGERTIAN DEWARAJA SECARA RINGKAS.
Kedudukan seorang raja itu adalah yang tertinggi, terpenting dan amat mulia dalam sesebuah organisasi Alam Melayu. Ianya tidak boleh dipersoal dan dipertikai oleh sesiapa sahaja. Seorang raja yang memerintah itu akan diberikan kepadanya sifat-sifat kedewaan atau ketuhanan kerana masyarakat yang ketika itu dipengaruhi dengan kepercayaan Hindu-Buddha percaya bahawa seorang raja itu adalah jelmaan dari dewa-dewa kayangan; penjelmaan dari Shiva, Vishnu atau Brahma, lelembut, mambang atau makhluk-makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar [1]. Konsep dewaraja ini berasal dari sebuah doktrin teologi agama Hindu-Buddha yang menekankan konsep inkarnasi dan reinkarnasi iaitu penitisan dewa dalam diri seorang raja dan kelahiran semula, di mana seseorang yang baik di masa silamnya dilahirkan semula sebagai seorang raja kemudiannya [2]. Kerana kepercayaan ini, masyarakat Melayu tradisi mempercayai bahawa seorang raja itu mampu memberikan kemewahan dan kesenangan dunia serta mentaati raja itu akan dilimpahkan rahmat dan kehidupan yang selesa di dunia [3].

Konsep sebegini sudah pun menjadi sebati dalam jiwa masyarakat Melayu tradisi dan hujah-hujah yang disebarkan menguatkan lagi kepercayaan mereka bahawa raja atau sultan itu mempunyai kebesaran dan kemuliaan sehingga baginda wajib disembah oleh rakyat [3].

PENGERTIAN KHALIFAH ISLAM SECARA RINGKAS.
Konsep Khalifah Islam tidak jauh bezanya dengan konsep dewaraja di Zaman Pengindiaan. Konsep ini berlangsung sesudah kedatangan Islam di Alam Melayu. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu di zaman Khalifah Islam, raja atau sultan itu merupakan ‘bayangan Allah’ di dunia ini serta meletakkannya setara dengan Nabi Muhammad Sallallaahu ‘Alaihi Wassalam, seperti mana yang jelas dibuktikan melalui wasiat Bendahara Paduka Raja Tun Perak kepada semua keturunan beliau yang berbunyi;

“Adalah raja yang adil itu dengan Nabi Salla’llah u’alaihi wassalam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagipun raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana zulli’illahu fi ‘l-‘alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, seperti berbuat kebaktian kepada Allah Subhanahu Wataala. Yakni berbuat kebaktian kamu akan Allah dan RasulNya dan akan raja inilah wasiatku kepada kamu semua. Hendaklah jangan kamu lupai, supaya kebesaran dunia akhirat kamu perolehi”[3][4].

Walaupun setelah kedatangan Islam ianya sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi masyarakat Melayu tradisi tentang kedudukan seorang pemerintah, namun unsur-unsur keagungan seorang raja tetap tidak hapus dan masih dikekalkan.

APA DIA DAULAT? PENGERTIANNYA SECARA RINGKAS.
Asal perkataan daulat itu adalah dari perkataan Arab, daulatun, yang membawa maksud kuasa kerajaan, empayar, dinasti, pemerintahan, negara atau negeri. Daulat itu adalah sebuah pengiktirafan yang diberikan kepada individu atau kelompok, sama ada secara lisan, kepercayaan ataupun tulisan (piagam atau perlembagaan). Ianya tidak dapat dilihat kerana daulat itu ada sesuatu yang abstrak tetapi dapat dirasakan. Daulat itu juga menuntut kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dikritik serta diingkar akan titah perintah seseorang pemerintah itu.

Ada sebuah pendapat mengatakan bahawa konsep daulat itu adalah intipati kepada hak pemerintah dalam menggunakan kuasanya untuk memerintah sesebuah kerajaan atau negara. Daulat seseorang raja juga sebagai unsur tuah, kemuliaan, keistimewaan dan kelebihan yang ada pada diri seseorang raja itu [1] [2].

Sebuah lagi pendapat mengatakan bahawa daulat itu bukanlah semata-mata suatu gambaran kuasa undang-undang yang terletak di tangan para Raja-Raja Melayu, tetapi mencakupi aspek agama dan budaya. Ianya memberikan sultan banyak hak dan keistimewaan, meletakkannya dalam masyarakat tanpa boleh dicela atau dikritik [2] [5].

Kedaulatan seorang raja itu dilihat daripada karisma dan peribadi baginda. Salah satu ciri seorang raja yang berdaulat itu adalah adil dan saksama dalam membuat pertimbangan dan undang-undang selain alim dalam ugama, memiliki ilmu kebatinan, bijak dan cergas. Kedaulatan itu juga dapat dinilai dari keadaan sesebuah negara itu; ianya dapat ditandakan apabila negara tersebut mengalami kemakmuran seperti ekonomi negara meningkat, perhubungan perdagangan dalam dan luar negara berkembang, dan sebagainya.

PENGERTIAN DERHAKA DALAM KERAJAAN MELAYU TRADISIONAL.
Pengertian derhaka secara umum adalah tidak taat, khianat, ingkar dan menentang. Dalam konteks kerajaan, ianya boleh ditakrifkan sebagai menentang, melawan atau cuba menjatuhkan kuasa pemerintah. Derhaka itu ada dua cara; pertama adalah secara terang-terangan iaitu perbuatan dan kedua adalah secara halus, yakni secara lisan atau tulisan. Contoh derhaka secara terang-terangan atau perbuatan itu seperti mengapi-apikan pemberontakan, melakukan rampasan kuasa dan perebutan takhta kerajaan yang sedia ada. Derhaka yang dilakukan terang-terangan itu selalunya melibatkan kekerasan dan kekasaran secara fizikal. Manakala derhaka secara lisan atau tulisan itu selalunya dilakukan secara halus melalui ayat-ayat sindiran seperti pantun, sajak, syair, gurindam, dan sebagainya, sama ada diluahkan melalui kata-kata mulut atau di atas kertas.

Derhaka termasuk dalam kesalahan besar dan hukuman yang akan dikenakan kepada penderhaka sangat berat sehingga membawa kepada hukuman bunuh. Tetapi ada di antara kes derhaka tersebut yang tidak dijatuhkan sebarang hukuman, sebaliknya diberikan pengampunan seperti kisah Raja Tengah, adinda Sultan Abdul Jalilul Akbar yang memerintah di Sarawak Asal. Kisah ini akan diterangkan dengan lebih lanjut di bahagian seterusnya.

DEWARAJA DAN KHALIFAH ISLAM, DAULAT DAN DERHAKA: DIANGKAT ATAU DIBABAT?
Benarkah konsep dewaraja dan Khalifah Islam, daulat dan derhaka itu benar-benar diangkat dan dimartabat oleh masyarakat Melayu tradisi? Sejarah Alam Melayu sudah ada mencatatkan kisah-kisah penderhakaan yang seterusnya menyangkal keras konsep tersebut. Berikut adalah beberapa kisah penderhakaan terkenal di Alam Melayu:

SANG RAJUNA TAPA DAN PARAMESWARA (ERA DEWARAJA).
Penderhakaan Sang Rajuna Tapa bermula apabila Parameswara menjatuhkan hukuman sula secara membuta tuli terhadap anak perempuannya. Kisahnya bermula apabila anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang juga merupakan perempuan kesayangan Parameswara difitnah oleh salah seorang dayang-dayang istana yang mencemburuinya. Dayang istana itu menabur fitnah dengan mengatakan bahawa anak perempuan Sang Rajuna Tapa berlaku curang di belakang Parameswara.

Dengan rasa berang berbaur kesal, Parameswara memerintahkan menterinya untuk membawa anak perempuan Sang Rajuna Tapa ke hujung pasar sebelum terbit matahari keesokannya untuk dihukum sula. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Sang Rajuna Tapa sehingga menggemparkan seluruh kaum keluarganya termasuk Sang Rajuna Tapa sendiri.

Keesokan harinya, anak perempuan Sang Rajuna Tapa dihukum sula di hadapan orang ramai dan dari kejadian itu, Sang Rajuna Tapa mula bersekongkol dengan Majapahit dengan mengutus surat kepada Betara Majapahit, menyatakan bahawa peluang Majapahit untuk menyerang Singapura sudah terbuka.

Angkatan Majapahit serta orang-orang Jawa berjaya menumpaskan Singapura sehingga memaksa Parameswara melarikan diri ke Melaka. Setelah Singapura berjaya ditewaskan, angkatan Majapahit dan orang-orang Jawa itu pun kembali semula ke Majapahit [6].

ARIA WIRARAJA DAN SRI KERTANEGARA (ERA DEWARAJA).
Aria Wiraraja merupakan seorang demung di masa pemerintahan Sri Kertanegara dari Kerajaan Singhasari. Beliau dikatakan disingkirkan dari jawatannya sebagai demung kerana Sri Kertanegara tidak menyukai keturunan Wangsa Rajasa, leluhur Ken Arok yang telah menewaskan Kertajaya dari Kerajaan Kahuripan [7]. Kerana penyingkiran itulah Aria Wiraraja membuat keputusan untuk bersekongkol dengan Sri Jayakatwang, raja bawahan dari Gelang-Gelang yang juga merupakan ipar Sri Kertanegara untuk menjatuhkan Sri Kertanegara, seterusnya menjadi penamat kepada era Kerajaan Singhasari [8].

Aria Wiraraja mengambil kesempatan itu semasa angkatan tentera Singhasari sibuk menakluk Suwarnabhumi dan suasana di Singhasari sepi tanpa kekuatan tenteranya. Ketika itulah Aria Wiraraja berpeluang untuk meneruskan niatnya lantas memberitahu rancangannya itu kepada Sri Jayakatwang di Gelang-Gelang. Sri Jayakatwang tidak menunggu lama untuk membuat persiapan ketenteraan. Setelah semuanya sedia, beliau berserta bala tenteranya pun menyerang Singhasari sehingga musnah dan akhirnya mengorbankan Sri Kertanegara ketika baginda sedang minum bersama menterinya [8].

HANG JEBAT DAN SULTAN MAHMUD SHAH (ERA KHALIFAH ISLAM).
Kenapa Hang Jebat menderhaka? Semuanya bermula apabila Hang Jebat mendengar titah perintah Sultan Mahmud Shah yang menjatuhkan hukuman mati ke atas rakannya, Hang Tuah, yang juga difitnah oleh sultan sendiri. Hang Tuah difitnah berlaku curang dengan Melor, gundik sultan, juga merupakan bekas kekasih Hang Tuah sendiri. Kerana cemburu buta itulah yang mendorong Sultan Mahmud Shah untuk menabur fitnah ke atas Hang Tuah, seterusnya menitahkan hukuman bunuh ke atasnya.

Hang Jebat berang lalu mengamuk di istana sultan sebaik sahaja beliau mendengarkan berita itu. Beliau mahu menuntut bela ke atas kematian Hang Tuah dan cuba menghentikan kezaliman yang berleluasa. Melihatkan keadaan Hang Jebat itu, Sultan Mahmud Shah mengambil kesempatan menabur fitnah ke atasnya dengan menyatakan bahawa Hang Jebat menimbulkan kekacauan serta mempunyai hubungan sulit dengan Dang Wangi yang merupakan bekas kekasih Hang Jebat tetapi dirampas oleh sultan.

Hang Tuah yang disembunyikan oleh menteri, muncul tiba-tiba setelah mendengarkan berita bahawa Hang Jebat mengamuk di istana. Beliau menawarkan dirinya untuk menumpaskan Hang Jebat lalu mencabar Hang Jebat untuk beradu. Sebaik sahaja Hang Jebat melihat Hang Tuah masih hidup, beliau menyerahkan keris Taming Sari kepada Hang Tuah sebagai penghormatan seterusnya menghentikan ancamannya. Kerana terlalu berpegang teguh kepada ungkapan “pantang anak Melayu menderhaka”, akhirnya Hang Jebat mati dibunuh oleh Hang Tuah, rakannya sendiri [9].

Hang Tuah dikenali sebagai seorang laksamana yang sangat taat akan sultan dan pantang menderhaka, dan kerana itulah jua yang mendorongnya untuk menumpahkan darah rakannya sendiri sebaik sahaja beliau mendapat berita bahawa Hang Jebat menderhaka kepada sultan. Prinsip yang berlainan sama sekali dengan Hang Jebat, yang mana, Hang Jebat lebih berpegang kepada ungkapan “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

PENGIRAN YUSOF DAN KERAJAAN BRUNEI – SULTAN OMAR ALI SAIFUDDIN II (ERA KHALIFAH ISLAM).
Kisah penderhakaan Pengiran Yusof terhadap Kerajaan Brunei bertolak dari rancangannya yang ingin menjual Sarawak Asal kepada saudara Sultan Sambas tetapi dibantah keras oleh Kerajaan Brunei. Kerana itulah Pengiran Yusof mengambil tindakan dengan mengapi-apikan penduduk Sarawak Asal yang terdiri daripada masyarakat Melayu Sarawak dan Bidayuh untuk bangkit menentang kerajaan. Beliau juga mendapat sokongan dari Datuk Patinggi Ali, Datuk Patinggi Gapur dan Datuk Temenggung dari kaum Bidayuh. Apa yang menguatkan lagi sokongan mereka terhadap Pengiran Yusof adalah disebabkan rasa kurang senang mereka terhadap pentadbiran keras Pengiran Indera Mahkota Muhammad Salleh yang merupakan wakil Kerajaan Brunei di Sarawak Asal ketika itu.

Pemberontakan terjadi di Sarawak Asal tetapi gagal ditangani oleh Pengiran Indera Mahkota, lalu Sultan Omar Ali Saifuddin II menghantar Raja Muda Hashim selaku Pengiran Bendahara untuk mengatasi pemberontakan itu. Walau bagaimanapun, pemberontakan masih gagal dihentikan sehingga akhirnya Raja Muda Hashim meminta bantuan dari James Brooke yang ketika itu berkunjung ke Sarawak Asal.

Di era pentadbiran Raja Muda Hashim, Pengiran Yusof telah dilucutkan jawatannya sebagai Pengiran Bendahara dan diganti oleh Raja Muda Hashim atas campurtangan dan desakan James Brooke dan Belcher dari Angkatan Laut British. Pengiran Yusof juga pernah merancang untuk menyerang istana sultan dan angkatan Inggeris kerana berang dengan keputusan Sultan dan Raja Muda Hashim yang membenarkan Laksamana Thomas Cochrane menghukumnya atas kesalahan yang dilakukan di masa lalu tetapi menemui kegagalan sebaik sahaja rumahnya diserang oleh Inggeris serta berjaya dipatahkan oleh Pengiran Badaruddin, adik Raja Muda Hashim. Beliau akhirnya lari ke Berakas, seterusnya ke Kimanis, Sabah. Semasa di Kimanis, beliau beserta adiknya, Pengiran Yakub ditangkap lalu dibunuh atas arahan Raja Muda Hashim [2].

RAJA TENGAH (SULTAN TENGAH) DAN SULTAN ABDUL JALILUL AKBAR (ERA KHALIFAH ISLAM).
Raja atau Sultan Tengah merupakan adinda kepada Sultan Abdul Jalilul Akbar dan anakanda Sultan Muhamad Hasan. Raja Tengah mempunyai hasrat untuk menduduki takhta Kerajaan Brunei tetapi terhalang kerana baginda bukan putera sulung Sultan Muhamad Hasan dan takhta itu lebih layak disandang oleh Sultan Abdul Jalilul Akbar. Baginda merasa tidak puas hati lalu menyatakan bahawa baginda diputerakan setelah ayahandanya ditabalkan menjadi sultan sedangkan kekandanya diputerakan sebelum ayahanda baginda menaiki takhta.

Berbagai cara yang dilakukan oleh Raja Tengah untuk merebut takhta dari kekanda baginda sehingga ke satu tahap baginda sengaja menimbulkan perselisihan antara baginda dan Sultan Abdul Jalilu Akbar. Melihatkan perlakuan Raja Tengah itu, Sultan Abdul Jalilul Akbar akhirnya membuat keputusan untuk menghantarnya ke Sarawak dan menjadikannya pemerintah di sana untuk mengelak dari berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini [10].

MEMISI KISAH DI SEBALIK PENDERHAKAAN DEMI PENDERHAKAAN.
Melihatkan beberapa kisah yang dihuraikan, dapat dirumuskan bahawa di antara punca-punca kenapa ada sekelompok rakyat di zaman tradisi yang mengetepikan konsep dewaraja dan Khalifah Islam, daulat dan derhaka ini adalah disebabkan corak pemerintahan yang zalim dan tidak adil, termasuklah sifat-sifat keji pada seorang pemerintah seperti menabur fitnah, menjatuhkan hukuman secara membuta-tuli tanpa menyiasat terlebih dahulu serta memerintah atau mentadbir dengan menggunakan kekerasan.

Karisma seorang raja atau sultan yang memerintah juga sedikit sebanyak mempengaruhi ketaatan sekelompok rakyat seperti halnya Sultan Mahmud Shah, seorang sultan yang penuh kejelekan, suka berfoya-foya dan menindas rakyat. Jika menurut adat Melayu, Hang Jebat itu merupakan seorang penderhaka dan tindakannya itu dilihat keterlaluan. Begitu juga akan halnya Sang Rajuna Tapa yang bertindak memberi laluan kepada Majapahit untuk menyerang Singapura. Tetapi di sebalik penderhakaan yang mereka lakukan itu tersirat satu iktibar yang perlu diperbaiki oleh generasi yang mendatang, terutama bagi mereka yang memegang kuasa.

Seorang raja atau sultan yang benar-benar berdaulat itu adalah seorang yang adil saksama dalam pemerintahannya, mendengar dan berfikir sebelum bertindak, bijak dalam membuat penilaian dan belas terhadap rakyat. Jika seorang pemerintah itu bersifat kejam dan tidak adil, ia hanya akan melahirkan rasa ketakutan dan kebencian di hati rakyat, bukannya ketaatan, dan sehingga ke satu tahap apabila rakyat puas menderita dan hidup dalam kegelapan, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri dari penderitaan yang dialami di bawah pemerintahan kuku besi tersebut. Di situlah bermulanya penderhakaan, yang sebenarnya membawa maksud akan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan yang zalim.

Ada juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada penderhakaan seperti perebutan kuasa antara kerabat-kerabat diraja dan pembesar-pembesar negara seperti kisah Pengiran Yusof dan Raja Tengah, rampasan kuasa seperti yang dilakukan oleh Aria Wiraraja yang bersekongkol dengan Sri Jayakatwang untuk mengambil alih kuasa Kerajaan Singhasari serta ketidakpuasan hati rakyat terhadap sesebuah sistem yang dikuatkuasakan oleh sesebuah kerajaan seperti mengenakan berbagai cukai sehingga menyusahkan rakyat.

Kesimpulannya, penderhakaan-penderhakaan yang dilakukan itu ada baiknya dan ada juga buruknya. Penderhakaan terhadap kezaliman itu secara tidak langsung merupakan salah satu cara tersirat untuk menyuarakan rasa yang menginginkan keadilan dan kebaikan dalam pemerintahan walaupun ianya nampak kasar. Ketaatan itu pula ada hadnya dan tidak semua perkara yang boleh ditaati, terutama sekali jika ianya membawa kepada keburukan. Ketaatan yang membuta-tuli itu hanya akan membawa padah kepada negara di masa-masa akan datang kerana ia hanya akan membantutkan perkembangan serta kemajuan sesebuah negara. Penderhakaan yang berdasarkan perebutan dan rampasan kuasa itu biasanya didalangi oleh rasa khianat, iri hati dan tamakkan kuasa yang hanya membawa kepada kehancuran demi kehancuran sesebuah kerajaan atau negara dan hanya akan menimbulkan lebih banyak dendam lagi di kalangan ahli-ahli waris keturunan yang dihapuskan sebelumnya.

KESIMPULAN.
Tidak semua rakyat di zaman Melayu tradisi itu benar-benar menjunjung konsep dewaraja dan Khalifah Islam, daulat dan derhaka itu. Ada di antara mereka yang ingkar dan menderhaka kepada pemerintah, sama ada secara terang-terangan atau secara halus. Beberapa faktor yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada penderhakaan-penderhakaan tersebut seperti pemerintahan yang zalim dan tidak adil, perebutan kuasa, rampasan kuasa dan sistem kerajaan yang menyusahkan rakyat. Di sebalik penderhakaan-penderhakaan yang dilakukan, tersirat beberapa iktibar yang perlu diambil oleh generasi-generasi mendatang agar ianya tidak berulang kembali di masa akan datang. Penderhakaan-penderhakaan itu juga tidak semuanya menjurus kepada kejahatan kerana ada di antaranya dilakukan demi keadilan dan kesejahteraan rakyat kerana ketaatan yang membuta-tuli itu hanya akan melahirkan generasi yang kurang cerdik dan lemah.

BIBLIOGRAFI.
[1] Muhammad Yusoff Hashim, 1989. Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Prof. Madya Dr. Haji Asbol bin Mail, 2011. Kesultanan Melayu Brunei Abad ke-19: Politik dan Struktur Pentadbiran, Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[3] Ishak Saat dan Adnan Jusoh, 2011. Isu-Isu Terpilih Sejarah Alam Melayu: Sumbangsih Kepada Profesor Madya Dr. Hj. Ahmad Jelani Halimi, Johor Darul Ta’zim: Penerbit UTHM.
[4] Shellabear, W.G., 1979. Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[5] Zainal Abidin Abdul Wahid, 1966. Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[6] Ismail Ahmad, 2005. Cerita-Cerita Sejarah Melayu, Pahang: PTS One Sdn. Bhd.
[7] Mansur Hidayat, 2012. Sejarah Lamajang: Melacak Ketokohan Arya Wiraraja dan Keemasan Lamajang Tigang Juru, Denpasar: Cakra Press.
[8] Prof. Dr. Slamet Muljana, 1983. Pemugaran Persada Sejarah Leluhur Majapahit, Jakarta: Inti Idayu Press.
[9] A. Bakar Hamid, 1983. Peristiwa-Peristiwa Dari Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
[10] Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Hj. Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, 1995. Sultan Tengah: Sultan Sarawak Pertama dan Terakhir dlm. Jurnal Darussalam, Bil.2, No. 4.

Dewaraja, Daulat & Derhaka : Raja & Rakyat, Zalim & Ingkar

Ketiga-tiga konsep yang disebutkan di atas secara tidak langsung berkaitan antara satu sama lain. Konsep yang disebut sebagai “dewaraja” tersebut bermula dari Zaman Pengindiaan (yang sebelumnya dipanggil ‘Zaman Hindu-Buddha) di mana para raja dipandang suci oleh rakyat jelata sehinggakan mereka (raja-raja) disanjung dan disembah serta digalati oleh rakyat. Kerana itu rakyat pada ketika itu tidak ada yang berani membantah atau menentang para raja kerana takut akan ‘tulah’ yang akhirnya membawa bencana kepada mereka. Dari rasa ‘galat’ itulah timbulnya lagi dua konsep seterusnya, iaitu “daulat” dan “derhaka”.

Tapi apakah benar raja-raja itu mesti sentiasa didaulatkan sehingga mereka di’dewa’kan oleh rakyat jelata? Apa buktinya rakyat tidak pernah menderhaka/melawan/menentang raja? Semua itu hanyalah asas dalam institusi beraja, terutama di dalam kerajaan-kerajaan di Zaman Pengindiaan (Sri Wijaya/Srivijaya & Majapahit) tapi hakikatnya terdapat bukti sejarah yang menyatakan adanya unsur-unsur penentangan dari rakyat terhadap raja.

Apa contohnya? Ambil satu kisah di zaman Kerajaan Majapahit. Temasek, atau kemudiannya dikenali sebagai Singapura ketika itu diperintah oleh Parameswara, cicit kepada Sang Nila Utama, pembuka Singapura dan juga seorang yang berketurunan keluarga diraja Kerajaan Sri Wijaya. Rakyat baginda yang juga seorang bendahara, Sang Rajuna Tapa telah membelot baginda dengan membukakan jalan kepada Kerajaan Majapahit untuk menyerang Singapura seterusnya menghancurkan kerajaan yang diperintah oleh Parameswara. Kenapa? Semuanya bermula kerana Parameswara telah menjatuhkan hukuman ke atas puteri Sang Rajuna Tapa tanpa usul periksa sehingga membawa kepada sebuah dendam yang digenggam oleh Sang Rajuna Tapa.

Berdasarkan contoh di atas, dapat dikatakan tidak semua rakyat di zaman itu sama akalnya seperti yang digambarkan secara meluas dalam sejarah yang selalu kita baca dan/atau dengar. Walaupun ketika itu ramai yang memegang prinsip bahawa raja itu adalah suci yang mesti dipatuhi dan melanggar perintahnya akan mendapat bala, tetapi masih ada yang ingkar sehingga ke tahap menderhaka apabila mereka merasa tidak berpuas hati dan teraniaya.

Kesimpulannya, raja yang zalim dan tidak mahu mendengar suara rakyat itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya didaulatkan, apatah lagi di’dewa’kan. Bagi yang tidak berani menentang kerana takutkan derhaka atau ‘tulah’ mungkin hanya akan memendam rasa tapi bagi mereka yang berani ingkar, ianya hanya akan mencetuskan perbalahan seterusnya memungkinkan terjadinya peperangan sesama sendiri disebabkan ketidakpuasan hati, seperti akan halnya antara Parameswara dan Sang Rajuna Tapa di mana Sang Rajuna Tapa sudah kehilangan rasa hormat dan daulatkan Parameswara yang menzalimi puterinya.

Akhir sekali, ketiga-tiga konsep tersebut (dewaraja, daulat dan derhaka) hanyalah sekadar di mulut orang-orang di zaman berkenaan tetapi tidak semua mengamalkannya. Ianya bukanlah mitos tapi ianya juga bukannya sebuah garispandu yang diikuti sepenuhnya oleh rakyat jelata, termasuklah pembesar-pembesar negeri.

*Bersumber dari kuliah modul “AH-3402: Kesultanan Melayu Tradisional – Kepimpinan & Kuasa”

Bumi Anbia Ku Diceroboh

Bumi Anbia ku diceroboh,
Hancur berkecai roboh,
Mengalir darah menjadi sungai,
Nyawa itu tiada harga tiada nilai,
Jasad kaku tiada rasa,
Tua muda “kau apa kira?”

Bumi Anbia ku diceroboh,
Hujan peluru berdentum bagai guruh,
Siang malam tiada bezanya,
Setiap saat menagih nyawa,
Hari ini engkau,
Esuk aku yang menjangkau

Bumi Anbia ku diceroboh,
Sakit ranap runtuh,
Gelap di hujung jalan,
Tak pasti adakah lagi masa depan,
Meletus segala macam api,
Yang indah itu hanyalah dalam mimpi

Posted from WordPress for Android